Kerajaan telah memperkenalkan dan menjalankan pelbagai dasar
untuk mentransformasikan sistem penyampaian perkhidmatan awam sejak era
1980-an. Ulaskan.
Perkhidmatan awam merupakan jentera pentadbiran kerajaan
yang penting. Sistem penyampaian perkhidmatan awam perlu dijalankan dengan
lancar supaya pentadbiran yang cekap dan efisien dapat dijamin. Untuk
merelaisasikan aspirasi ini pelbagai dasar telah diperkenalkan oleh pucuk
pimpinan negara sejak era 80-an.
Antara transformasi dasar yang dijalankan ialah Dasar
Pensyarikatan Malaysia. Objektif dasar ini adalah untuk menghapuskan salah
faham antara sektor awam dan swasta. Dasar ini juga menggalakkan perkongsian
dan pertukaran maklumat antara sektor awam dan swasta. Konsep dasar yang
mencontohi Jepun ini telah membuka banyak peluang pekerjaan sejak dilancarkan
pada 25 Februari 1983 oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Pelaksanaan dasar ini telah mengahpuskan prasangka masyarakat terhadap sektor
swasta. Hasil sinergi antara swasta dan awam bukan sahaja banyak modal dibawa
masuk dari luar negara, tetapi juga peluang pekerjaan baharu telah diwujudkan.
Selain itu, transformasi dasar yang lebih dominan ialah
Dasar Pandang Ke Timur. Dasar ini membolehkan kita mencontohi teladan yang
terbaik dari Jepun dan Korea Selatan dengan mengubahsuaikannya dengan
keadaan-keadaan di Malaysia. Antara perkara yang diterapkan ialah teknologi
yang moden, etika kerja dan sistem pengurusan. Dengan pengimplementasian dasar
ini, prestasi pengurusan dan pembangunan negara dapat dipertingkatkan. Nilai-nilai
dan etika kerja yang positif telah Berjaya diterapkan dalam kalangan penjawat
awam dan swasta.
Di samping itu, Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam Dalam
Pentadbiran juga dijalankan. Rasional dasar ini adalah berasaskan hakikat
bahawa pembentukan satu sistem nilai yang sama adalah perlu bagi melahirkan
satu masyarakat Malaysia yang bermaruah tinggi dan disegani oleh masyarakat
dunia yang lain. Nilai-nilai sejagat yang dimiliki setiap etnik di negara ini
dapat dimiliki dalam agama Islam. Antaranya ialah bekerja secara amanah,
bertanggung jawab, jujur dan ikhlas. Dasar ini amat tepat pada masanya kerana
masalah rasuah yang berakar umbi dalam sektor awam telah dapat dikurangkan.
Dasar ini telah mengangkat martabat perkhidmatan awam di khalayak masyarakat
tempatan dan antarabangsa.
Transformasi dasar turut dijalankan menerusi Kepimpinan
Melalui Teladan. Tiga teladan penting yang harus dicontohi ialah bersih, cekap
dan amanah. Negara tidak akan maju atau dihormati oleh masyarakat dunia tanpa
pentadbiran yang bersih, cekap dan amanah. Bersih merangkumi sifat-sifat
seperti menjalankan tugas tanpa niat jahat, berdisiplin dan lain-lain. Cekap
pula merangkumi sifat-sifat seperti menjalankan tugas dengan cepat dan
sempurna. Amanah pula merangkumi sifat-sifat seperti menjalankan tugas dengan
ikhlas dan penuh bertanggungjawab. Dasar ini berjaya dilaksanakan dalam sektor
awam dan swasta
Kesimpulannya, transformasi dasar telah mendatangkan
pelbagai faedah kepada masyarakat Malaysia. Kerajaan seyogianya meneruskan
dasar-dasar ini demi kesejahteraan rakyat dan pembanguan negara.
No comments:
Post a Comment