Thursday, 16 July 2015

Kualiti IPT Tempatan



Saya amat tertarik dengan rencana yang bertajuk mengangkat universiti tempatan tempoh hari. Kualiti IPT tempatan masih dipertikaikan lagi. Sebelum kita mengangkat martabat ipt kita, saya berasa adalah lebih baik kita menelusur kelemahan yang ada pada setiap pusat pengajian di universiti. Masih kita dapat melihat terdapat amalan kronisme dalam pemilihan pensyarah di universiti. Kini didapati banyak guru yang berpengalaman dalam pedagogi memiliki PhD dalam pelbagai bidang. Saya percaya jika guru-guru ini diberi peluang untuk mengajar pelajar univesiti, tentu kita dapat meningkatkan kualiti pelajar kita. Hal ini kerana guru-guru ini mempunyai pengalaman, berfikiran matang dan mudah berinteraksi dan berkongsi pengalaman dan ilmu dengan pelajar universiti. Kebanyakan tenaga akademik muda di universiti menjadi pensyarah sebaik sahaja mereka menyerahkan tesis sarjana. Orang -orang muda ini tiada pengalaman dan gagal mengawal pelajar universiti ketika kuliah berlangsung. Mereka ini beruntung kerana kebanyakan mereka ini adalah tajaan universiti sendiri. Pensyarah muda ini tidak dilatih dan tidak pernah mendapat latihan perguruan seperti guru-guru di sekolah. Malah masih terdapat pensyarah yang berasa kekok membentangkan kertas kerja dalam seminar. Ada yang tidak pernah menseminarkan hasil kajian mereka. Ada di antara mereka belum menulis sebarang artikel dlam sebarang jurnal ilmu apatah lagi membukukan wacana ilmu mereka. Untuk mengangkasa universiti tempatan, penilaian prestasi berdasarkan penghasilan kajian, penerbitan dan sumbangan akademik kepada orang awam hendaklah dijadikan sebagai kriteria dalam hal-hal kenaikan pangkat dalam kalangan pensyarah tempatan. Selain itu, pengeluaran ijazah yang begitu melimpah ruah hendaklah dihentikan dengan serta-merta. Sekarang universiti jarak jauh mula menawarkan kursus peringkat sarjana. Siapakah pensyarah yang melatih, menyelia dan mendidik pelajar. Berapa kerapkah pelajar ini bertemu muka dengan penyelia mereka. Saya berpendapat program pelanjutan pengajian ke peringkat sarjana ataupun PhD patut diserahkan kepada universiti harian bukan kepada universiti jarak jauh atau universiti terbuka kerana kesahihan dan kualiti pengajian boleh dipertikai. Adalah menjadi satu budaya di universiti tempatan iaitu mereka yang menganggur terus mendaftar untuk melanjutkan pengajian di peringkat sarjana. Situasi ini perlu dibendung. Pelajar perlu bekerja atau mencari pengalaman tertentu sebelum memohon melanjutkan pengajian. Pelajar seumpama ini kebanyakannya tidak matang dari segi pemikiran dan mereka gagal mengawal dan berkongsi ilmu dengan pelajar jika ditawarkan menjadi tutor. Persoalan saya ialah mengapakah pihak universiti tidak mengiklankan jawatan tutor sambilan atau pensayarah sambilan kepada umum. Sekurang-kurangnya guru-guru sekolah yang berkelulusan tinggi serta yang berpengalaman boleh menjadi tenaga akademik sambilan di samping membantu universiti mengeluarkan graduan yang berkualiti.

No comments:

Post a Comment