Kajian menunjukkan
bahawa pelajar-pelajar yang suka akan sekolah memperoleh pencapaian akademik
yang tinggi dan kurang berlakunya insiden seperti masalah disiplin, ponteng
atau ketidakhadiran ke sekolah atau keciciran. Untuk meningkatkan prestasi
pencapaian pelajar di sekolah, maka pihak sekolah hendaklah menarik minat
pelajar untuk datang ke sekolah. Para penyelidik atau guru perlu membuat kajian
bagaimana hendak menggalakkan pelajar atau menimbulkan keadaan atau perasaan
ingin datang ke sekolah. Dalam konteks ini peranan dan kreativiti guru untuk
mempengaruhi pelajar agar kerap datang ke sekolah adalah sangat mustahak. Oleh
sebab guru memainkan peranan utama dalam memastikan kehadiran pelajar ke
sekolah, maka Kementerian Pelajaran hendaklah menetapkan perwatakan atau ciri
guru yang mempunyai bakat dalam menarik minat pelajar ke sekolah, sebagai satu
prasyarat dalam pemilihan bakal guru. Kementerian hendaklah memilih bakal guru
yang mempunyai persepsi positif terhadap perasaan pelajar terhadap sekolah.
Kajian mengenai pengaruh guru terhadap perasaan pelajar mengenai sekolah
didapati kurang ditekankan dalam sistem pendidikan kita. Kajian Maureen T.
Hallinan (2012) mendapati pelajar-pelajar yang menanggapi guru mereka yang
prihatin atau cakna terhadap mereka, menghormati mereka dan memuji mereka serta
mengambil peduli tentang diri mereka, rela datang ke sekolah. Guru-guru ini
juga mempunyai harapan dan jangkaan tinggi terhadap pencapaian pelajar.
No comments:
Post a Comment