INPUT
KEPIMPINAN GURU CEMERLANG TERHADAP KEBERKESANAN SEKOLAH
ABSTRAK
Guru-guru
cemerlang (GC) sering dilihat sebagai pakar dalam sesuatu mata pelajaran dan
sumbangan mereka hanya diukur dari segi output pelajar. Jarang sekali terdapat
kajian mengenai kepimpinan guru cemerlang. Mengikut terma dan rujukan Guru
Cemerlang, mereka bukan sahaja hebat di bilik darjah malah mereka juga perlu
memberi sumbangan sebagai pemimpin di sekolah untuk membantu sekolah merangka
dan melaksanakan program-program pembangunan sekolah. Guru-guru cemerlang juga
mewakili sekolah di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan untuk membuat keputusan-keputusan
tertentu. Mereka juga merangsang perkembangan profesionalisme rakan-rakan guru.
Mereka juga menjadi penasihat kepada tugas-tugas guru dan membantu memperkukuh
proses membuat keputusan di sekolah. Kajian yang dijalankan ini dapat menjawab beberapa
persoalan kajian iaitu a) apakah itu kepimpinan guru cemerlang? b) sejauh
manakah kepimpinan ini menyumbang kepada keberkesanan sekolah? dan c)
bagaimanakah kepimpinan guru cemerlang ini dapat dibentuk?. Kajian ini adalah
berasaskan Model Kenneth Leatherwood. Beberapa input kepimpinan guru cemerlang
telah dikenal pasti oleh penyelidik seperti Ciri-Ciri Tersendiri GC, Keupayaan
GC, Amalan-Amalan GC dan Penghasilan GC. Tujuan kajian ini adalah untuk melihat
sejauh mana keempat-empat input ini dapat memberikan sumbangan terhadap
keberkesanan sekolah. Keempat-empat input tersebut akan dibahagikan kepada
beberapa dimensi yang kecil. Setiap dimensi akan diubah suai sebagai item
soalan dalam satu set instrumen kajian. Instrumen ini akan diedarkan kepada seramai
200 orang GC di seluruh negeri Pulau Pinang. Kesemua jawapan daripada responden
akan dianalisis mengikut peratusan, kekerapan dan min. Bagaimana pun, secara
keseluruhannya dapat dirumuskan bahawa kepimpinan GC adalah satu konsep yang
baru dan amat berguna terhadap pembangunan dan keberkesanan sesebuah sekolah.
No comments:
Post a Comment