Thursday, 16 July 2015

PERANAN MASYARAKAT DALAM PEMBANGUNAN SEKOLAH



Ibu bapa yang menghantar anak-anak ke sekolah dapat dibahagikan kepada 3 kelas, iaitu kelas elit, kelas pertengahan dan kelas pekerja. Kebanyakan kelas elit tidak memberi sumbangan yang bermakna kepada sekolah. Mereka lebih mementingkan kerjaya dan  prospek masa depan. Sesetengahnya tidak mengendahkan sekolah. Jika anak-anak mereka menghadapi sebarang masalah pembelajaran di sekolah, mereka juga jarang datang ke sekolah untuk berbincang dengan pihak sekolah. Jika mereka mendapati anak mereka memerlukan bimbingan, maka mereka mampu menyediakan tutor peribadi atau menghantar anak mereka ke pusat tuisyen. Boleh dikatakan mereka tidak banyak bergantung kepada sekolah. Tetapi lain halnya bagi ibu bapa kelas pertengahan dan kelas pekerja. Di kebanyakan sekolah sama ada sekolah menengah ataupun rendah, kelas pertengahan memberi banyak sumbangan dan memainkan peranan bersama dengan pihak sekolah. Mereka menganggotai PIBG dan Alumni sekolah untuk membantu sekolah. Kajian menunjukkan golongan kelas pertengahan ingin melihat anak mereka aktif dalam aktiviti sekolah dan mereka banyak bergantung kepada sekolah untuk kemajuan dan kejayaan anak mereka. Golongan ini sanggup datang ke sekolah untuk memberi sumbangan intelek, tenaga dan wang. Keadaan yang sebaliknya berlaku dalam kalangan golongan kelas pekerja. Oleh sebab mereka diselubungi masalah kewangan, mereka tidak dapat memberi sumbangan bermakna kepada pihak sekolah. Ada di antara mereka tidak begitu arif mengenai pelajaran anak mereka dan tidak dapat membantu pihak sekolah dalam apa jua cara sekalipun. Kelas pekerja hanya mementingkan keselamatan anak mereka di sekolah. Terdapat beberapa orang ibu bapa sahaja memberatkan kepentingan akademik anak mereka. Keadaan taraf sosioekonomi yang rendah menyebabkan mereka berasa kekok datang ke sekolah.

No comments:

Post a Comment