ABSTRAK
Kertas
kerja ini mengkaji input guru-guru akademik tingkatan enam terhadap iklim
akademik pelajar di sekolah mereka. Iklim akademik pelajar tingkatan enam
terdiri daripada lima dimensi yang penting iaitu i) sikap terhadap akademik ii)
jangkaan masa depan pelajar iii) jangkaan ibu bapa dan guru terhadap pelajar
tingkatan enam iv) galakan dan norma guru tingkatan enam dan v) norma akademik
pelajar tingkatan enam. Kesemua dimensi ini dikaji dengan kaedah tinjauan iaitu
pelajar diminta menjawab satu set soal selidik skala likert yang terdiri
daripada 26 item soalan mengenai input guru mereka terhadap kelima-lima dimensi
tersebut. Guru akademik tingkatan enam terdiri daripada 4 buah sekolah
tingkatan enam yang terletak di kawasan Seberang Perai Tengah. Keempat-empat
sekolah ini dibahagikan kepad dua profil iaitu sekolah lebih pelajar (SLP) dan
sekolah kurang pelajar (SKP). Kaedah tinjauan ini dipilih untuk menjawab soalan
kajian iaitu “Apakah input guru akademik tingkatan enam terhadap kelima-lima
dimensi tersebut?” Iklim akademik pelajar tingkatan enam ini diuji melalui
persepsi pelajar tentang diri mereka dan guru-guru mereka di dua profil sekolah
tersebut. Kesemua item dalam soal selidik ini diubahsuaikan daripada Instrumen
Haynes dan Comer, Yale University, CT, USA, 1993).
1.0
Pengenalan
Iklim
akademik sekolah yang berjaya atau positif merupakan asas yang kukuh untuk
menjalankan sebarang program pendidikan (Swenny,1988). Iklim akademik sekolah
yang menggalakkan akan membolehkan pelajar sekolah tinggi, guru dan pemimpin
pengajaran menjalankan fungsi dengan baik dan berkesan iaitu mendorong pelajar
sekolah tinggi untuk belajar dan berjaya mencapai hasil persekolahan mereka
(Bulach dan Castleman, 1995).Kajian ini memfokuskan iklim akademik pelajar
tingkatan enam di sekolah SLP dan SKP. Iklim akademik pelajar tingkatan enam
memainkan peranan yang amat penting dalam meningkatkan pencapaian mereka dalam
akademik. Persekitaran masyarakat SLP atau di SKP tidak memberi banyak
sumbangan kepada pelajar tingkatan enam untuk mencapai hasil persekolahan
mereka. Iklim sekolah tingkatan enam seperti persekitaran sekolah, kemudahan
fizikal, guru dan kepimpinan sekolah menjadi pendorong kepada kemajuan akademik
pelajar tingkatan enam di sesebuah sekolah.
Kajian
ini membuat tinjauan tentang persepsi pelajar tingkatan enam mengenai input
guru akademik mereka terhadap 5 dimensi iklim akademik pelajar di sekolah SLP
dan. Iklim akademik ini dibataskan kepada 5 dimensi yang diubahsuaikan daripada
Model Iklim Akademik Haynes dan Comer (1993) iaitu, a) sikap terhadap akademik,
b) jangkaan masa depan pelajar
c)
jangkaan ibu bapa dan guru terhadap pelajar d) galakan dan norma guru tingkatan
enam dan
e) norma
akademik pelajar tingkatan enam.
2.0
Objektif Kajian
Kajian
ini bertujuan untuk:
-mengkaji
input guru akademik tingkatan enam terhadap iklim akademik pelajar tingkatan
enam.
3.0
Soalan Kajian
Berdasarkan
objektif tersebut soalan berikut telah dikemukakan dalam kajian ini, iaitu:
“Apakah
input guru akademik tingkatan enam terhadap sikap pelajar terhadap akademik,
jangkaan masa depan, jangkaan ibu bapa dan guru terhadap pelajar tingkatan
enam, galakan dan norma guru tingkatan enam dan norma akademik pelajar
tingkatan enam”?
4.0
Sorotan Literatur
4.1.
Guru akademik tingkatan enam
Guru akademik
tingkatan enam ialah individu yang paling penting dan berpengaruh di sesebuah
sekolah.Mereka bertanggung jawab ke atas semua aktiviti yang berlaku di
tingkatan enam di sekolah. Merekalah yang menentukan nada kelas, iklim
pembelajaran, tahap profesionalisme dan moral guru serta darjat keprihatinan
terhadap pelajar tingkatan enam, guru dan sekolah . Mereka bertindak sebagai
penghubung utama antara komuniti dengan sekolah. Kepimpinan guru akademik
menengah tinggi menyebabkan sekolah itu berjaya, inovatif, fokus pelajar ,
terkenal dengan kecemerlangan dalam pembelajaran dan cemerlang dalam melahirkan
pelajar menengah tinggi yang gigih dan berjaya (House, 1971).
4.2.Iklim
akademik pelajar tingkatan enam
Iklim
akademik pelajar tingkatan enam dalam kajian ini mencakupi lima dimensi seperti
a) sikap pelajar terhadap akademik b) jangkaan masa hadapan pelajar tingkatan
enam c) jangkaan ibu bapa dan guru terhadap pelajar tingkatan enam d) galakan
guru dan norma guru dan e) norma akademik pelajar (Haynes dan Comer. 1993).
Pengajaran
yang efektif dipimpin oleh guru akademik yang berkesan manakala pengajaran yang
kurang efektif dipimpin oleh guru akademik yang kurang berkesan (Hussein
Mahmood, 1993). Kesan tingkah laku guru akademik tingkatan enam terhadap
pembelajaran pelajar tingkatan enam disalurkan melalui variabel perantaraan.
Bagaimanapun ada juga kajian menunjukkan bahawa tingkah laku guru akademik
tidak mempunyai kesan secara langsung terhadap pencapaian pelajar sekolah
tinggi di sekolah (Fullan, 2001). Guru akademik menengah tinggi hanya
menjalankan tugas dengan menterjemahkan jangkaan tinggi terhadap pelajar
tingkatan yang lebih tinggi kepada dasar-dasar sekolah (Hussein Mahmood, 1993).
Dasar-dasar ini dilakukan sebagai amalan di sekolah. Amalan-amalan inilah yang
memajukan tingkah laku pelajar menengah tinggi ke arah pencapaian dan pembinaan
konsep kendiri yang positif.
Di
peringkat sekolah, dasar sekolah memberi kesan terhadap pembelajaran pelajar
berkaitan dengan fungsi dan struktur sosialnya. Guru boleh memantau iklim
akademik pelajar di sekolah. Hal ini dapat dilakukan dengan memantau kerja
rumah pelajar, mengesan kemajuan pelajar, menggred, memulih dan melaporkan
kemajuan pelajar kepada ibu bapa pelajar. Guru akademik dan iklim akademik
sekolah saling mempengaruhi dan memberi kesan terhadap pencapaian pelajar
tingkatan yang lebih tinggi di sesebuah sekolah (Gameron, 1992). Terdapat
hubungan timbal balik antara tingkah laku guru akademik tingkatan yang lebih
tinggi dengan pencapaian pelajar.
Tingkah
laku rutin guru seperti menetapkan matlamat pengajaran, merancang, mengawal dan
menilai prestasi pelajar dan guru secara langsung memberi kesan terhadap iklim
akademik kelas-kelas lebih tinggi di sekolah. Model ini juga menunjukkan bahawa
pencapaian pelajar adalah kesan langsung daripada tingkah laku guru akademik.
Kajian
Fullan (2001) menunjukkan bahawa kesan tingkah laku guru akademik terhadap
prestasi pelajar adalah sedikit tetapi signifikan. Oleh yang demikian amatlah
jelas bahawa tingkah laku guru akademik memainkan peranan penting dalam
mempengaruhi atau memberi kesan terhadap pencapaian pelajar di sekolah. Model
ini amat penting dan efektif untuk mewujudkan sekolah berkesan dan melaksanakan
sesuatu program akademik di sekolah.
5.0
Kaedah Kajian
Pendekatan
yang telah digunakan ialah kuantitatif iaitu satu set soal selidik yang terdiri
daripada 26 item dijawab oleh pelajar mengikut skala likert. Item-item dalam
soal selidik ini adalah mengenai input guru akademik tingkatan enam terhadap
iklim akademik pelajar sebanyak 15 item. Hal ini termasuklah norma dan galakan
guru, jangkaan guru terhadap pelajar dan pandangan guru terhadap akademik
pelajar. Manakala 11 lagi item adalah mengenai persepsi pelajar tentang diri
mereka. Hal ini termasuklah sikap mereka terhadap akademik, jangkaan masa depan
dan jangkaan ibu bapa dan guru mereka.
6.0
Dapatan Kajian
Dapatan
soal selidik pelajar mengenai input guru akademik mereka tentang sikap terhadap
akademik , jangkaan masa depan, jangkaan ibu bapa dan guru terhadap pelajar
tingkatan enam, galakan dan norma guru tingkatan enam dan norma akademik
pelajar tingkatan enam dibentangkan seperti berikut.
6.1.Sikap
terhadap akademik
Mengikut
dapatan soal selidik, guru akademik tingkatan enam mentafsirkan sikap pelajar
sebagai pelajar yang tidak mementingkan masa depan. Mereka berpendapat nasib
pelajar di sekolah mereka hanya berubah jika mereka mengubah ‘mindset’ mereka.
Rata-rata guru akademik tingkatan enam tidak bersetuju sama sekali bahawa punca
utama sikap pelajar terhadap akademik adalah disebabkan oleh guru sekolah.
Mereka berpendapat guru-guru tingkatan enam sama ada di SLP atau di SKP memang
sedia membantu pelajar tingkatan enam.
Menurut
guru-guru, pelajar tingkatan enam tidak berminat untuk belajar dan tidak banyak
masa digunakan untuk aktiviti pembelajaran. Mereka berpendapat bahawa pelajar
tingkatan enam yang bersikap negatif yakin bahawa mereka mudah mendapat
pekerjaan di pasaran yang tidak memerlukan kelayakan akademik seperti bekerja
sendiri dan bekerja di kilang.
Menurut
guru-guru akademik tingkatan enam, terdapat juga satu lagi golongan pelajar
yang tidak mempedulikan pelajaran iaitu pelajar ini datang ke sekolah dengan
pakaian lengkap tetapi tidak mahu belajar. Mereka enggan membuat sebarang kerja
sekolah dan tidak memberi perhatian ketika guru mengajar. Menurut guru SLP,
pelajar tingkatan enam seumpama ini tidak begitu ramai. Pelajar ini berasal
daripada keluarga berada atau kelas tinggi. Menurut guru, sikap[ negatif
pelajar adalah disebabkan oleh ibu bapa mereka terlalu memberi kebebasan dan
memberi wang yang lebih daripada cukup sebagai wang saku.
6.2.Jangkaan
masa depan pelajar tingkatan enam
Menurut
guru-guru akademik tingkatan enam sebanyak 75% pelajar tingkatan enam SLP dan
di SKP menyatakan hasrat mereka melanjutkan pengajian tinggi sehingga ke
peringkat tinggi. Sebanyak 50% pelajar tingkatan enam ingin melanjutkan
pengajian ke peringkat universiti dan 25% pelajar tingkatan enam yang lain
ingin melanjutkan pengajian sehingga peringkat kolej sahaja. Guru akademik
tingkatan enam menyatakan bahawa tidak seorang pun pelajar tingkatan enam yang
hendak menghabiskan pengajian sehingga ke peringkat menengah sahaja. Mereka
berpendapat pelajar di SLP mempunyai aspirasi tinggi untuk melanjutkan
pelajaran. Guru akademik di SKP pula optimis bahawa pelajar tingkatan enam
mereka dapat melanjutkan pelajaran sekurang-kurangnya ke peringkat kolej.
Menurut dapatan soal selidik pelajar di SLP, pelajar tingkatan enam sekolah
mereka mempunyai tahap keyakinan tinggi. Dapatan juga menunjukkan perspektif
yang sama. Cuma bezanya hanya tiga perempat daripada jumlah pelajar tingkatan
enam sekolah mereka dapat melanjutkan pelajaran. Dapatan menunjukkan pelajar
tingkatan enam sekolah ini tidak begitu mempunyai jangkaan tinggi. Terdapat
pelajar mengakui kelemahan mereka. Pelajar seumpama ini menilai diri mereka
sama ada boleh belajar terus atau tidak.
Jangkaan
masa depan banyak bergantung kepada guru. Kecuali guru mereka memberi keyakinan
tentang masa depan, pelajar tingkatan enam tidak akan menyatakan hasrat mereka.
Dapatan menunjukkan bahawa hampir semua pelajar tingkatan enam tidak berani
menyatakan pendapat mereka tentang masa depan kepada guru mereka. Guru akademik
tingkatan enam dapat mengetahui hasrat mereka melalui percakapan mereka dengan
guru kelas mereka. Menurut guru pelajar amat malu bercakap tentang masa depan
mereka. Hal ini kerana mereka menganggap kelemahan yang ada pada diri mereka
menjadi halangan untuk mereka berjaya. Pelajar-pelajar ini tidak bersikap
terus-terang dan hasrat masa depan mereka terpendam begitu sahaja.
Menurut
guru, pelajar di SKP menilai diri mereka sangat lemah, tidak begitu optimis dan
bersikap pesimis terhadap diri dan masa depan mereka. Terdapat beberapa orang
pelajar tingkatan enam yang pandai bercakap dan sering memberitahu rakan lain
bahawa mereka akan melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti dan ada yang ingin
menjadi doktor, peguam, jurutera dan sebagainya. Namun dari segi akademik,
pelajar-pelajar ini amat lemah dan sudah pasti mereka tidak akan mencapai tahap
itu.
Pelajar
di sekolah SKP mempunyai jangkaan yang amat tipis. Ibu bapa pelajar di SLP
meletakkan harapan mereka terlalu tinggi terhadap anak mereka. Dapatan
menunjukkan hanya ibu bapalah yang boleh memberi kata-kata perangsang dan
nasihat kepada mereka tentang masa depan pelaja. Kesedaran ibu bapa tentang
masa depan anak adalah lebih penting daripada pembentukan sikap oleh guru di
sekolah.
6.3
Jangkaan ibu bapa terhadap pelajar tingkatan enam
Pelajar-pelajar
mengakui bahawa guru akademik tingkatan enam selalu memberi sokongan kepada ibu
bapa jika mereka mencadangkan sebarang aktiviti yang berfaedah kepada pelajar
tingkatan enam. Menurut pelajar, guru sering menggunakan pelbagai kaedah untuk
mempertemukan ibu bapa dan guru. Sebanyak 77% ibu bapa dan guru mempunyai
jangkaan yang positif terhadap pelajar mereka. Hal ini dapat dilihat apabila
kedua-dua pihak sering mengadakan perbincangan tentang cara-cara meningkatkan
pencapaian akademik pelajar. Manakala sebanyak 23% ibu bapa dan guru langsung
tidak mempedulikan akademik pelajar tingkatan enam. Mereka tidak begitu yakin
dengan pelajar kerana pelajar ini amat lemah dan tidak percaya mereka boleh
melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
Data
menunjukkan bahawa guru-guru datang ke sekolah mengajar mengikut Huraian
Sukatan Pelajaran dan tiada sebarang aktiviti tambahan seperti kelas tambahan
atau pemulihan kepada pelajar tingkatan enam yang lemah.
Dari
segi jangkaan ibu bapa terhadap pelajar tingkatan enam, memang positif di SLP.
Mereka amat berpuas hati kerana sekolah menyediakan buku kerja, buku latihan
dan alat bantu mengajar kepada pelajar. Guru akademik tingkatan enam sekolah
SLP memuji ibu bapa pelajar kerana kerap datang melawat sekolah. Ibu bapa
mempunyai jangkaan positif terhadap anak mereka dan menyatakan anak-anak mereka
akan berjaya dalam akademik dan mereka berjanji akan membantu sekolah dalam apa
jua cara sekalipun.
6.4.Galakan
dan norma guru tingkatan enam
Dapatan
soal selidik pelajar menyatakan kebanyakan guru mereka memperlihatkan perlakuan
yang kurang mesra dengan pelajar tingkatan enam dan tumpuan utama hanya diberi
kepada bahan pengajaran. Menurut dapatan, gaya pengajaran guru adalah
semata-mata untuk menghabiskan sukatan pelajaran dan pengajaran disampaikan
secara umum tanpa mengambil kira sama ada pelajar lemah atau pandai. Sesetengah
guru masih mengajar menggunakan kaedah kapur dan cakap dan amat jarang
menggunakan alat bantuan mengajar yang disediakan oleh Kementerian seperti
laptop, LCD dan internet untuk mengajar subjek-subjek yang abstrak seperti
sains dan matematik. Data soal selidik pelajar menunjukkan terdapat segelintir
guru kurang berminat dan tidak serius dalam kerjayanya sebagai seorang guru.
Dapatan
data juga menunjukkan bahawa rangsangan sikap dan pendekatan guru merupakan
pengaruh utama terhadap corak respons pelajar tingkatan enam sekolah ini
terhadap pengajaran dan galakan guru. Dapatan mengesahkan bahawa walaupun
terdapat guru-guru yang kurang memiliki sahsiah yang positif, tetapi mereka
boleh menimbulkan suasana pembelajaran yang memberangsangkan.
Dapatan
kajian menunjukkan bahawa pelajar-pelajar mengakui guru mereka memberi galakan
yang positif kepada pelajar dan mereka sendiri menjadi contoh yang terbaik
kepada pelajar. Data menunjukkan guru-guru di sekolah tingkatan enam ini
mengambil berat terhadap pencapaian akademik pelajar dan mereka percaya bahawa
pelajar akan bekerja lebih gigih lagi dan tidak akan mensia-siakan masa depan
mereka
6.5.Norma
akademik pelajar tingkatan enam
Guru
akademik tingkatan enam di SKP berpendapat bahawa mereka menilai norma akademik
pelajar tingkatan enam dengan menganalisis keputusan akademik pelajar. Menurut
mereka, pelajar tingkatan enam amat cepat berpuas hati apabila mereka mendapati
keputusan mereka bertambah baik. Mereka berasa bangga jika keputusan mereka
meningkat. Guru-guru akademik tingkatan enam menyatakan bahawa norma akademik
pelajar tingkatan enam banyak bergantung kepada inisiatif dan konsep kendiri
mereka.
Data
menunjukkan bahawa pelajar tingkatan enam di SLP menganggap sekolah mereka
boleh dipercayai dan guru-guru telah menjalankan tugas mereka dengan baik jika
pencapaian akademik mereka bertambah baik. Jika tidak, pelajar sering
menyalahkan guru-guru tidak menjalankan tugas. Pelajar tingkatan enam di SLP
yang terlalu results oriented cepat berasa hampa dan kecewa jika gagal dan
pelajar tingkatan enam di SKP yang bukan results oriented pula tidak
menunjukkan sebarang reaksi jika keputusan mereka merosot.
Sebagai
guru akademik tingkatan enam, mereka juga mempunyai persepsi sendiri terhadap
pencapaian anak didik mereka. Kebanyakan guru bersetuju memberi pelbagai jenis
ganjaran kepada pelajar yang menunjukkan minat dalam akademik. Antaranya
memberi hadiah berbentuk buku, mengumumkan nama pelajar di perhimpunan dan
menulis surat tahniah kepada pelajar.
Dari
segi keupayaan akademik, kebanyakan guru di SKP menyatakan bahawa mereka
berusaha mencungkil minat pelajar terhadap akademik dengan menyediakan
latihan-latihan tambahan bagi pelajar yang lemah akademiknya. Mereka kerap
meminta guru-guru mencadangkan idea untuk mengukuhkan kemahiran atau penguasaan
pelajar dalam sesuatu mata pelajaran.
Guru-guru
di SLP mempunyai pandangan yang sama dalam hal ini. Mereka memberi ruang kepada
pelajar untuk bertanya soalan kepada guru apabila guru selesai mengajar sesuatu
topik. Dalam mesyuarat staf, guru-guru sering diperingatkan supaya menggalakkan
pelajar banyak bertanya. Melalui pertanyaan, seseorang pelajar dapat
meningkatkan keupayaan akademik mereka.
7.0
Perbincangan
Guru di
SKP berpendapat pelajar terlalu banyak membuang masa dan tidak menganggap
akademik itu sebagai satu asas penting untuk masa depan. Terdapat beberapa
orang guru tidak bersetuju dengan pandangan mereka. Hasil daripada pemerhatian
penyelidik sendiri memang terdapat sikap negatif terhadap akademik dalam
kalangan pelajar SKP. . Hal ini kerana seramai 90% pelajar adalah daripada
keluarga miskin, kelas pekerja dan keluarga bermasalah. Ibu bapa mereka tidak
dapat membantu dari segi akademik di rumah. Malah terdapat ibu bapa sendiri
tidak begitu mementingkan akademik. Hal ini sedikit sebanyak memberi impak
kepada pelajar tingkatan enam berkenaan. Sikap seumpama ini terdapat juga dalam
kalangan pelajar tingkatan enam di SLP. Pelajar di SLP juga menunjukkan sikap
negative terhadap akademik. Lemahnya konsep kendiri dalam kalangan pelajar ini
menyebabkan mereka tidak begitu mementingkan akademik. Malah sikap mengambil
mudah dan suka meniru jawapan kawan serta tidak menyiapkan kerja sekolah di
rumah juga antara punca mereka mensia-siakan akademik.
Pelajar
tingkatan enam di SKP mempunyai jangkaan masa depan. Guru-guru menyatakan
keadaan ini berlaku kerana persepsi sesetengah guru terhadap pelajar mereka.
Sesetengah guru menunjukkan persepsi yang positif terhadap pelajar. Walaupun
tidak banyak pelajar tingkatan enam sekolah SKP akan melanjutkan pelajaran
sehingga ke universiti tetapi mereka masih boleh menamatkan pengajian di
peringkat kolej. Sementara pelajar di SLP pula didapati mempunyai jangkaan masa
depan yang agak sama kerana mereka sentiasa diberi motivasi dan dorongan oleh
ibu bapa mereka yang berpelajaran. Dorongan ibu bapa yang terdiri daripada
kelas menengah dan tinggi menyebabkan pelajar di SLP membuat perancangan untuk
menghadapi masa depan mereka.
Iklim
akademik pelajar tingkatan enam di SKP banyak bergantung kepada sejauh mana
jangkaan ibu bapa dan guru terhadap pelajar . Ibu bapa tidak menunjukkan minat
terhadap pelajaran anak mereka dan begitu juga dengan sikap segelintir guru
memandang enteng terhadap kemampuan dan kebolehan akademik pelajar. Seramai 85%
ibu bapa menghantar anak ke sekolah tanpa mempunyai sebarang visi dan misi
tentang akademik anak-anak mereka. Ibu bapa dan guru-guru di SLP mempunyai
tanggapan yang positif tentang pelajar. Ibu bapa dan guru di sekolah-sekolah
ini memberi dorongan sepanjang masa kepada pelajar dan berjaya mengadakan kelas
pemulihan, kelas tambahan dan seminar kerjaya serta kem kecemerlangan akademik
secara berusaha sama demi kecemerlangan akademik pelajar.
Pencapaian
pelajar tingkatan enam dalam peperiksaan STPM sejak tiga tahun kebelakangan
menyokong kepentingan persepsi, kesungguhan dan komitmen ibu bapa dan guru
dalam usaha memperoleh kemajuan akademik pelajar tingkatan enam di SLP. Ibu
bapa harus lebih proaktif dan konsisten terhadap perkembangan akademik
anak-anak mereka. Mereka hendaklah kerap datang berjumpa dengan guru kelas anak
mereka untuk mengetahui perkembangan akademik dan tingkah laku anak-anak mereka
di sekolah. Ibu bapa yang mempunyai anak yang cemerlang kerap meminta bantuan
guru kelas untuk menyemak latihan-latihan tambahan yang dibuat oleh pelajar di
rumah. Mereka lebih banyak meluangkan masa dan wang untuk meningkatkan prestasi
pelajaran anak-anak mereka.
Galakan
dan norma guru tingkatan enam merupakan faktor yang sangat penting mempengaruhi
iklim akademik pelajar di SKP. Galakan guru yang konsisten dan berterusan
dengan menasihati pelajar agar selalu memberi tumpuan terhadap akademik ,
berjaya menimbulkan kesedaran akademik dalam kalangan pelajar. Pengajaran yang
stereotaip dapat diperhatikan di sekolah ini. Guru-guru tidak menggalakkan
pelajar banyak bertanya dan sebaliknya masa ditumpukan untuk menghabiskan
sukatan pelajaran. Sama ada pelajar yang lemah memahami sesuatu konsep atau
tidak, jarang diberi perhatian oleh guru. Hal ini disebabkan guru-guru di
sekolah SKP kekurangan prasarana pelajaran dan kekurangan pelajar untuk
membentuk kumpulan pandai, sederhana dan lemah, melemahkan semangat guru
memberi perhatian secara individu.
Bagaimanapun
dapatan soal selidik menunjukkan guru-guru ini tidak patah semangat mengajar
pelajar. Fenomena yang berlainan pula didapati berlaku di SLP. Di sini
guru-guru mengamalkan suatu sistem kerja yang seragam dan konsisten dan mereka
memastikan sistem ini dijalankan sepanjang masa. Penyemakan latihan kerja
rumah, penyediaan bahan pengajaran dan pemantauan kemajuan akademik dilakukan
sepanjang masa. Pemerhatian penyelidik dan hasil temu bual dengan guru di SKP
mendapati galakan dan norma guru di sekolah ini adalah tidak konsisten dan
mereka sentiasa mengubah-ubah norma mereka. Manakala galakan dan norma guru di
SLP adalah lebih tegas dan tidak berkompromi dengan pelajar dengan norma-norma
yang telah ditetapkan.
Dimensi
yang paling penting membantu pelajar tingkatan enam untuk mewujudkan iklim
akademik ialah norma akademik pelajar. Norma akademik pelajar ialah hasrat, matlamat
dan hala tuju pelajar untuk mencapai matlamat pembelajaran. Sikap pelajar SKP
yang sering tidak menghabiskan kerja sekolah, tidak membawa peralatan
pembelajaran ke sekolah dan selalu memesongkan tumpuan guru apabila guru sedang
mengajar dalam kelas menunjukkan mereka memiliki norma akademik yang tidak
menggalakkan. Hal ini disebabkan kelemahan dari segi kognitif dan intelek serta
tiada bimbingan ibu bapa di rumah menyebabkan pelajar bersikap sedemikian.
Manakala
pelajar di SLP walaupun bukan semuanya mempunyai norma akademik yang positif,
tetapi ada di antara mereka memang konsisten dengan kerja-kerja sekolah dan
yakin mereka boleh berjaya dalam akademik. Pemerhatian, rekod sekolah dan hasil
temu bual dengan guru dan pelajar di SLP menunjukkan norma akademik pelajar
tingkatan enam di sekolah ini adalah lebih tinggi. Perkara ini disokong oleh
dapatan bahawa pelajar di sekolah ini sering menghabiskan kerja sekolah dengan
cepat dan membuat kerja sendiri seperti membaca atau membuat latihan susulan
apabila guru sedang melayani pelajar lain dalam kelas.
8.0
Kesimpulan
Tuntasnya,
kajian telah menunjukkan bahawa iklim akademik pelajar tingkatan enam di SLP
adalah lebih positif berbanding dengan pelajar di SKP. Sumbangan guru akademik
tingkatan enam di SLP didapati lebih memuaskan jika dibandingkan dengan
sumbangan guru akademik tingkatan enam di SKP. Di samping kepimpinan guru
akademik tingkatan enam, terdapat banyak lagi pihak memberi sumbangan yang
aktif ke arah peningkatan iklim akademik pelajar tingkatan enam di SLP.
Sumbangan-sumbangan tersebut harus diteruskan demi kejayaan akademik yang
cemerlang pada masa akan datang.
RUJUKAN
Abdul
Shukor b. Abdullah. (1995). Membina sekolah yang berkesan : Aplikasi dasar.
Kertas Seminar Sekolah Efektif. Genting Highlands : Institut Aminudin Baki
Bulach,
C.R., Malone, B. dan Castleman, C. (1995). An investigation of variabels
related to student achievement. Educational Reseracher, 8(2), 23-29.
Fullan,
M.G. (1992). Successful School Improvement. Buckingham: Open University Press.
Fullan,
M.G. (2001). The New Meaning of Educational Change (3rd Ed). New York: Teachers
College Press
Gameron,
A. (1992). Social Factors. In Education Encyclopedia of Educational Research
6th ed. New York: Mc Millan.
Haynes,
N. M., Emmons, C., & Comer, J. P. (1993). School climate survey. New Haven,
CT. Yale University Child Study Center
House,
R.J. (1971). A path goal theory of leader effectiveness. Administrative Science
Quarterly, 16, 321-338
Hussein
b. Mahmood. (1993). Kepimpinan dan Keberkesanan Sekolah. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Swenny,
J. (1988). Tips for improving school climate. Education Leadership, 46, 200-220
No comments:
Post a Comment