Saturday 26 December 2015

Ulasan Jawapan PA Penggal 1 Tahun 2016



Berikut  adalah ulasan mengenai jawapan yang telah dijawab oleh pelajar-pelajar saya dalam peperiksaan Pengajian Am Penggal 1 Tahun 2016 iaitu peperiksaan pada tahun 2015. Maklumat ini saya peroleh daripada temu bual dengan pelajar saya seramai 30 orang. Mereka memberitahu saya setakat yang mereka mengingati sahaja. Ramai yang terlupa apa yang ditulis dalam peperiksaan.
Sebelum anda membaca ulasan dan komen ini, anda perlu mempunyai kertas soalan PA1 2016. Ulasan ini dibuat berdasarkan persepsi dan tanggapan saya sebagai seorang guru yang berpengalaman mengajar Pengajian Am .
#Sebelum peperiksaan saya telahpun memberikan taklimat kepada kesemua pelajar saya bahawa jangan tambah sebarang ruang jawapan. Maksud saya ruangan yang disediakan dalam kertas soalan memang memadai. Tetapi ada pelajar saya menambah ruang. Ini satu kesilapan besar.
#Saya juga memberitahu mereka jika soalan meminta dua (bilangan) , pelajar hanya perlu menulis dua jawapan sahaja . Contohnya jika soalan meminta dua sebab, pelajar perlu menulis dua sebab sahaja. Hal ini kerena sebab yang ketiga tidak akan dibaca dan tidak akan disemak walaupun sebab yang ditulisnya itu betul.
#Pelajar-pelajar saya salah faham bahawa, jika mereka menulis lebih banyak dan lebih panjang, maka mereka akan mendapat markah yang banyak. Ini satu persepsi yang salah.
Soalan 16- Sebanyak 5% sahaja menjawab dengan lengkap dan tepat. Baki 95% menjawab salah  soalan ini. Rata-rata pelajar saya memberitahu saya bahawa soalan ini meminta objektif atau tujuan perlembagaan diwujudkan. Komen saya ialah pelajar saya khususnya tidak bijak mengaitkan perlembagaan dengan kedaulatan negara. Hal ini sudah dijelaskan dalam bab pertama sukatan PAP1.
Soalan 17- Boleh dikatakan 85% pelajar saya menjawab dengan lengkap. Namun pelajar saya mengulang isi-isinya. Contohnya mereka menulis hilang kelayakan sebagai isi pertama. Manakala isi kedua dan ketiga pula mereka memberikan contoh seperti penjara , muflis , hilang kewarasan dan sebagainya.
Soalan 18- Boleh dikatakan 55% pelajar saya  salah anggap bahawa SPA merupakan satu badan yang menyediakan perkhidmatan kepada masyarakat awam seperti membersihkan kawasan, membaiki kemudahan awam, menguruskan dan membuang sampah dan sebagainya. Keadaan ini jelas menunjukkan pelajar-pelajar saya tidak dapat membezakan  suruhanjaya perkhidmatan dengan majlis perbandaran.
Soalan 19-Sebanyak 65% jawab salah soalan ini. Mereka salah menanggapi soalan. Kononnya soalan meminta cara-cara seseorang pesalah ditangkap. Jadi pelajar-pelajar saya mungkin juga pelajar-pelajar lain tidak membaca soalan dengan betul. Soalan meminta cara memberi  keterangan.
Soalan 20-Kebanyakan pelajar saya tidak berminat menjawab soalan ini. Yang menjawabnya pula memberikan fokus kepada  kakitangan awam atau pegawai kerajaan secara amnya. Senario ini menunjukkan bahawa pelajar saya tidak mengulang kaji bab terakhir iaitu tadbir urus kerajaan, walaupun topik ini sudah diajar dalam kelas.
Soalan 21-Sebanyak 97% pelajar saya menjawab soalan ini. Hal ini kerana tajuk ini pernah dibincangkan pada awal kemasukan pelajar enam bawah ke sekolah. Saya pernah mengajar topik ini memandangkan pelbagai rusuhan dan demonstrasi jalanan serta banyak mahasiswa kita terlibat dalam pelbagai isu termasuk menyalahgunakan media sosial untuk memfitnah negara dan kerajaan kita. Saya boleh menjangka pelajar saya dapat menjawab dengan baik kerana kebanyakan idea mereka seolah-olah relevan. Tetapi saya tidak pasti sama ada idea mereka akur dengan skema.
Soalan 22- Soalan ini juga  menjadi pilihan utama kebanyakan calon. Namun saya tidak pasti idea-idea mereka boleh diterima oleh pemeriksa. Hal ini kerana rata-rata pelajar yang berjumpa dan berbincang dengan saya mengatakan bahawa mereka menulis idea yang lebih berfokus kepada internet dan kemudahan ICT di rumah, di sekolah dan di tempat awam. 

Semoga semua pelajar yang saya ajar dan bimbing berjaya dengan cemerlang.