Friday 25 March 2016

Pembentangan Kerja Kursus

Pelajar-pelajar diminta sediakan 12 slaid power point untuk pembentangan.

Power point biarlah jelas, ringkas dan jangan gunakan sebarang animasi atau bunyi. Biar kelihatan kerja akademik

Slaid 1-Pendahuluan 3 baris sahaja secara ringkas-tajuk-tempat-responden dan apakah masalah yg ingin anda kaji-mengapakah kamu ingin mengkaji tajuk ini?
Slaid 2-Objektif kajian-senaraikan dengan bullet
Slaid 3- Lokasi kajian-terangkan dalam 3 baris-di mana letaknya-jaraknya-jangan masukkan peta atau foto
Slaid 4- Methodologi- Profil responden
Slaid 5- Methodologi-3 bullet- soal selidik-pemerhatian-temubual
Slaid 6- Methodologi- Instrumen Kajian-Bilangan soalan ditanya-berapakah skala likert digunakan, nyatakan iaitu Amat Bersetuju, Bersetuju dan Tidak Bersetuju
Slaid 7- Analisis data- kekerapan-bilangan-peratus
Slaid 8- Dapatan Kajian- paling banyak amat bersetuju item apa?-bilangan-peratus-Mengapa (Satu sebab cukup)
Slaid 9- Dapatan Kajian- kedua paling banyak amat bersetuju item apa?-bilangan-peratus-Mengapa (Satu sebab cukup)
Slaid 10- Dapatan Kajian- paling banyak bersetuju item apa?-bilangan-peratus-Mengapa (Satu sebab cukup)
Slaid 11- Dapatan Kajian- paling banyak tidak bersetuju item apa?-bilangan-peratus-Mengapa (Satu sebab cukup)
Slaid 12- Kesimpulan-peratus keseluruhan merujuk apa?-Cadangan satu baris-harapan satu baris

Friday 11 March 2016

Pemurnian Kajian Kerja Kursus

Pemurnian Kajian Kerja Kursus
1.Metodologi kajian bermaksud Kaedah Kajian. Anda boleh gunakan mana-mana satu istilah pun, saya terima. Begitu juga dengan soal selidik dan instrumen. Kedua-duanya sama sahaja. Jangan keliru.
2.Saya sudah beritahu dalam kelas. Proposal yang disediakan oleh pelajar boleh diserap terus dalam kajian sebenar. Cuma gunakan istilah seperti penyelidik telah mengadakan temubual dengan 10 orang responden dan sebagainya. Saya cuma perlukan sekurang-kurangnya 3 kaedah seperti pemerhatian, temu bual dan soal selidik. Kesemua ini telah anda lakukan dalam proposal. Proposal dibuat dengan menggunakan akan. Tetapi kajian  sebenar gunakan istilah telah. Itulah bezanya.
2.Dalam bahagian metodologi kajian/ Kaedah Kajian, setelah menerangkan cara-cara anda buat kajian seperti pemerhatian, temu bual dan soal selidik, anda juga kena senaraikan soalan-soalan yang anda bertanya kepada responden. Soalan ini anda serap terus daripada item soal selidik iaiatu 20 soalan item soal selidik tersebut.
3. Dalam bahagian Dapatan Kajian dan Perbincangan pula, mulakan dengan demografi atau pelajar PAUUM menyebutkannya  profil responden. Ini pun kita sudah siap. Kemudian diikuti pula graf untuk 5 item. Ini diikuti dengan analisis item seperti nyatakan bilangan dan peratus amat bersetuju, bilangan dan peratus bersetuju dan bilangan dan peratus tidak bersetuju. Analisis item ini diikuti dengan sebab. Bersetuju satu sebab dan tidak bersetuju satu sebab. Sebab-sebab ini kita ambil daripada temu bual atau pemerhatian. Kalau ada buku atau bahan bacaan ada menyebutnya, silakan dan nyatakan nama penulis buku/bahan bacaan diikuti tahun.Ini pun saya sudah terangkan dalam kelas.
4. Begitulah seterusnya untuk item-item lain.
5. Oleh sebab tiada bahagian asing untuk ulasan maka kesemua soalan yang anda bertanya kepada responden iaitu soalan temu bual dan apa yang anda perhatikan dalam pemerhatian iaitu catatan pemerhatian hendaklah disenaraikannya.
6. Dalam bahagian kesimpulan, ikut sahaja contoh yang saya beri tetapi ubahsuai dengan tajuk kajian objektif kajian dan dapatan kajian kamu. Bahagian ini berbeza bagi setiap pelajar kerana tajuk pelajar tidak sama.
7. Dalam bahagian rujukan pula caranya seperti berikut:
Dhanapal.R.,2007. Persepsi Pelajar Terhadap Perpustakaan. Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur.
Dhanapal.R.,2014.Prasarana Pelajar Universiti dalam pabmhigh.blogspot.com. Tarikh akses: 23 Januari 2016.
Ali bin Ahmad,2013. “Tanggapan Pelajar UiTM Terhadap Kemudahan Bas Universiti” dalam jurnal Kemanusiaan, Jilid 2 Bil 34. UiTM: Shah Alam
8. Dalam bahagian Lampiran, hanya masukkan satu set soal selidik kosong
9. Yang penting anda taipkannya sahaja. Susunan saya akan buat untuk anda semua.



Thursday 10 March 2016

Latihan Masa Cuti

Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT)
Kerja Kumpulan kepada pelajar PAUUM
Latihan Masa Cuti


1.       Dalam keadaan ekonomi yang gawat sekarang sukar bagi kita mencapai wawasan 2020. Setujukah anda dengan pendapat ini?
2.       Pelajar sering keliru antara Dasar Persyarikatan dengan Dasar  Penswastaan . Mengapa?
3.       Sejauh manakah PPPM memartabatkan profesion perguruan?
4.       Dasar 3M dan LINUS berjaya mengatasi masalah buta huruf dalam kalangan masyarakat Malaysia. Buktikan pendapat ini.
5.       Apakah perbezaan antara Penyata Razak dengan Penyata Rahman Talib?
6.       Mengapakah Dasar Pembangunan Nasional menggantikan Dasar Ekonomi Baru pada tahun 1991?
7.       Apakah sumbangan Model Ekonomi Baru (MEB) dalam pelaksanaan RMKe-11?
8.       Nyatakan dua strategi kerajaan dalam membasmi kemiskinan rakyat
9.       Selain langkah penjimatan oleh agensi kerajaan, apakah langkah-langkah lain yang boleh dimabil kerajaan untuk mengatasi masalah kegawatan ekonomi Malaysia?
10.     Mengapakah keadaan sosiopolitik Malaysia amat penting dalam menarik pelancong dan pelabur ke Malaysia?

Graf Bar Gabung

Berdasarkan jadual di bawah, lukiskan graf yang sesuai untuk menunjukkan kes-kes kebakaran dan satu lagi graf untuk menunjukkan bilangan kematian akibat kebakaran yang berlaku dari tahun 2002 hingga 2004.

Kes Kebakaran dan Bilangan Kematian Di Malaysia
antara Tahun 2002 hingga 2004

Punca Kebakaran
2002
2003
2004
Kes
Kematian
Kes
Kematian
Kes
Kematian
Elektrik
1926
185
1051
892
619
339
Puntung Rokok
2274
218
2875
225
3037
190
Percikan Api
431
410
959
795
545
354
Ubat Nyamuk dan lilin
250
204
359
238
395
295
Dapur gas &minyak
794
756
731
557
687
463
Sengaja dibakar
3201
307
4871
382
7965
498
Tidak diketahui
1556
149
1905
189
2751
172
Jumlah
10432
12751
15999

 (Dipetik dan diubahsuaikan daripada Laporan
Jabatan Bomba, 2004)

        Kehendak soalan : Bar komponen untuk kes-kes kebakaran kerana terdapat jumlah dan graf garis       
        kompaun untuk kematian. Garis kompaun kerana media tidak boleh menerima dua jumlah atau
       dua komponen.



Karangan IKS

Rangka Karangan
Perkembangan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) memainkan peranan yang penting dalam pembangunan ekonomi. Pelbagai usaha boleh dilaksanakan untuk memajukan IKS di Malaysia. Jelaskan.

1Menghasilkan input kepada industri utama
Membekal input kepada industri utama-komponen / barang separuh siap-mengurangkan import komponen
2 Mewujudkan peluang pekerjaan
IKS menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada penduduk khususnya di kawasan di mana IKS terbina. Banyak industri kecil dibina di luar-luar bandar dan memberi peluang pekerjaan kepada ramai orang
3 Membasmikan kemiskinan
IKS membantu kerajaan mempercepatkan pertumbuhan ekonomi negara. Sumbangan IKS kepada perkembangan industri Negara semakin penting. Kadar pertumbuhan ekonomi melebihi 8% setahun sejak 1989
4.Membantu perkembangan kepakaran tradisional /warisan tradisi
Menggalakan perkembangan perusahaan ukiran, kraf tangan dan industri yang berkaitan. Latihan kemahiran untuk pengusaha, pekerja dan bakal-bakal pengusaha.
5 Pemindahan teknologi
Pemindahan teknologi melalui latihan, khidmat latihan, khidmat nasihat, kemahiran pekerja
6 Meningkatkan jumlah tabungan
Kebanyakkan pengusaha IKS menggunakan modal dari sumber tabungan sendiri. Amalan ini meningkatkan jumlah tabungan penduduk dalam negara.
Langkah-langkah
7 Mewujudkan rantaian
Mewujudkan kerjasama lebih erat antara industri besar dengan IKS. Memindahkan kepakaran, dan bimbingan kepada IKS
8 Mewujudkan pasaran
Mencari pasaran baru barangan IKS dalam / luar negara meluaskan pasaran bagi produk IKS khususnya bagi IKS yang baru.

9 Menyediakan tenaga buruh yang mencukupi
Latihan untuk menyediakan tenaga kerja bagi keperluan IKS. Penubuhan institusi latihan dan sekolah-sekolah vokasional
10 Penggunaan teknologi
Penggunaan teknologi moden dalam proses penghasilan / pengeluaran produk IKS untuk memenuhi keperluan pasaran tempatan dan luar negeri.
11 Penawaran insentif / galakan
Bantuan: kredit (pinjaman kewangan), bantuan / subsidi Pengecualian cukai bagi menggalakkan pengeluaran produk IKS. Mengurangkan kos produk, lebih kompetitif dan dapat bersaing dengan produk di pasaran antara bangsa
12 Mempelbagai produk IKS

Kepelbagaian produk dapat menjamin kelangsungan sesebuah IKS untuk terus berada di pasaran.

Wednesday 9 March 2016

PANDUAN PENULISAN DAPATAN, PERBINCANGAN, KESIMPULAN DAN ABSTRAK

PANDUAN KEPADA PELAJAR TENTANG PENULISAN KAJIAN KERJA KURSUS
DAPATAN KAJIAN
Dalam dapatan kajian  buat  analisis item. Bagi setiap 5 item buat graf dan huraikan analisisnya.Pelajar cuma  masukkan bilangan dan peratus amat bersetuju ,bilangan dan peratus  bersetuju dan bilangan dan peratus tidak bersetuju. Jangan berikan alasan di sini
PERBINCANGAN
Mesti menulis perbincangan ini mengikut objektif. Susun balik objektif diikuti item-itemnya. Kemudian copy and paste alasan/sebab yang diberi (yang pernah anda buat di bawah analisis tempoh hari). Kalau begitu susunan transkripsi temu bual atau catatan pemerhatian tidak perlu sebab kita sudah pindahkannya di bawah perbincangan.
KESIMPULAN
Ikut contoh diberi oleh guru
ABSTRAK
Ikut contoh diberi oleh guru. Campur angka Amat Bersetuju untuk semua item dibahagi dengan 600 dan cari peratus, contohnya 206/600X100= 34.33%. Kemudian campur angka  Bersetuju untuk semua item dibahagi dengan 600 dan cari peratus, contohnya 266/600X100= 44.33%. Jadi pelajar kena tulis bahawa Tahap kepuasan pengguna terhadap perpustakaan/feri/kereta api/kemudahan awam dsb  ialah 78.66%. manakala tahap ketidakpuasan pengguna terhadap perpustakaan/feri/kereta api/kemudahan awam dsb  ialah 21.34%
RUJUKAN
Ikut contoh dalam edaran taklimat tempoh hari
LAMPIRAN
Masukkan hanya satu set soal selidik sahaja.
INGAT JANGAN PRINT LAGI. HANYA DIBENARKAN PRINT SELEPAS GURU SEMAK SEMUA KERJA PELAJAR DALAM LAPTOP.

Disediakan oleh
Dr. R Dhanapal

Ketua Panitia Pengajian Am

Contoh Kesimpulan

KESIMPULAN
Kajian yang bertajuk Tahap Kepuasan Pelanggan Di Klinik Swasta ….(nama klinik) telah menepati  objektif kajian penyelidik. Penyelidik telah mengenal pasti jenis-jenis kemudahan yang disediakan di klinik ini dan telah berjaya mengkaji tahap kepuasan pelanggan yang sering berkunjung ke klinik ini.   Walaupun pada mulanya penyelidik menghadapi pelbagai kekangan dan cabaran sepanjang kajian ini, namun berkat kerjasama responden dan bimbingan guru penyelia , penyelidik akhirnya dapat menjayakan kajian ini dengan sempurna.
Penyelidik menghadapi masalah sikap responden khususnya apabila mengadakan sesi temu bual. Kadang kala jawapan responden tiada kaitan dengan soalan yang diajukan. Begitu juga ada beberapa orang responden menanda di dua ruang dalam skala likert. Oleh sebab penyelidik memilih responden-responden secara rawak, maka penyelidik berjaya mengatasi masalah ini. Tuan punya premis lokasi kajian iaitu doktor perubatan klinik swasta  tidak membenarkan penyelidik menemu bual pesakit. Bagaimanapun penyelidik terpaksa menunggu pesakit di parkir kereta dan menemu bual mereka setakat yang terdaya. Ketika memantau modus operandi pesakit (pelanggan klinik) penyelidik juga menghadapi masalah untuk mencari lokasi yang sesuai untuk duduk dan memerhati pesakit. Masalah ini dapat diatasi apabila terdapat seorang juru rawat yang prihatin menyediakan kerusi untuk penyelidik menjalankan pemerhatian.
Secara keseluruhannya, responden di Klinik swasta menunjukkan  tahap kepuasan pelanggan yang tinggi iaitu 89.4%. Dari segi aspek kepuasan pelanggan yang dikaji, responden di klinik swasta tidak berpuas hati dengan faktor seperti persekitaran fizikal, availabiliti, caj perkhidmatan dan penjagaan berterusan. Beberapa cadangan boleh disimpulkan di sini bagi mengatasi masalah ketidakpuasan pelanggan seperti meningkatkan kemudahan asas di klinik  seperti tempat menunggu yang selesa, tandas serta menyediakan bahan bacaan yang berfaedah. Dalam aspek availabiliti, plhak klinik swasta perlu mempertingkatkan kemudahan klinik seperti pemeriksaan makmal yang mudah dan murah. Selain itu  klinik swasta boleh  meningkatkan kepuasan pelanggan. Penyelidik yakin  faktor ini dapat menarik kedatangan pesakit ke klinik tersebut. Bagi meningkatkan aspek penjagaan berterusan, dicadangkan agar doktor swasta yang sama merawat pesakit terutama bagi mereka yang mempunyai masalah penyakit  kronik dengan memberi temu janji yang sesuai dengan masa doktor klinik tersebut bertugas.

Adalah diharapkan dapatan kajian ini boleh digunakan sebagai pegangan atau panduan oleh penyelidik-penyelidik lain yang ingin mengkaji tajuk ini. Pelbagai masalah dan kaedah yang disajikan dapat dijadikan panduan oleh mereka nanti. Lantaran Kementerian Kesihatan Malaysia boleh menjadikan kajian ini sebagai panduan apabila  pihak berkuasa ingin membuat kajian terhadap tahap kepuasan pelanggan di klinik swasta khususnya dalam aspek jenis perkhidmatan yang disediakan, cara merawat pesakit dan bayaran yang dikenakan kepada pesakit. 

Contoh Abstrak

ABSTRAK

Satu kajian telah dijalankan untuk menentukan tahap kepuasan pelanggan dalam perkhidmatan pesakit luar klinik swasta iaitu ………… (nama klinik) di Bukit Mertajam dari Januari 2016 hingga Mac 2016. Objektif kajian adalah untuk mengenal pasti jenis-jenis kemudahan yang disediakan di klinik  dan mengkaji tahap kepuasan pelanggan yang sering berkunjung ke klinik. Kedua-dua objektif telah berjaya dicapai. Kaedah persampelan sistematik dilakukan terhadap pesakit yang mendapatkan rawatan di klinik swasta. Pengumpulan data dijalankan dengan menggunakan soal selidik skala likert dengan 3 skor, pemerhatian dan temu bual. Sebanyak 30 responden secara rawak telah dipilih. Mereka telah diedarkan satu set instrumen soal selidik dengan 20 item soalan. Sebanyak 5 soalan temu bual ditanya kepada 10 orang responden untuk mendaptkan maklumat dan fakta yang sahih. Hal ini adalah untuk mengelakkan pertindihan jawapan responden. Kadar kepuasan pelanggan keseluruhan adalah 89.4%. Secara purata, responden klinik swasta berpuas hati dengan faktor adab interpersonal, kualiti teknikal, asesibiliti dan efikasi/hasil rawatan. Responden tidak berpuas hati dengan faktor persekitaran fizikal, availabiliti, caj perkhidmatan dan penjagaan berterusan. Keputusan yang diperoleh berguna bagi doktor di klinik swasta meningkatkan kepuasan pelanggan serta kualiti perkhidmatan yang diberikan seperti meningkatkan kemudahan asas, pemeriksaan makmal dun melaksanakan sistem temujanji yang sesuai terutama kepada pesakit yang mempunyai masalah kronik agar dapat dirawat oleh doktor klinik tersebut.

Sunday 6 March 2016

Langkah Berjimat Putrajaya

Kerajaan telah mengambil langkah-langkah khusus untuk mengurangkan perbelanjaan kerajaan melalui pekeliling yang dikeluarkan oleh perbendaharaan ekoran hasil negara merosot kerana kejatuhan harga minyak.
·         Perkembangan semasa ekonomi serantau dan global memberi kesan kepada kedudukan kewangan kerajaan persekutuan berikutan kutipan hasil kerajaan yang terjejas.
·         Bagi memastikan sasaran fiskal yang ditetapkan dapat dicapai, maka langkah mengoptimumkan perbelanjaan kerajaan dilaksanakan secara menyeluruh agar sumber dapat diurus dengan lebih cekap dan berkesan.
1.       Antara langkahnya termasuk memansuhkan jawatan kosong yang tidak diisi melebihi dua tahun.
2.       Perbelanjaan bagi kerja lebih masa dikawal dan arahan kerja hendaklah dikeluarkan secara bertulis sebelum ia dimulakan.
3.       Melarang jawatan baru diwujudkan kecuali melalui kaedah tukar ganti dan pindah butiran serta tiada implikasi kewangan tambahan.
4.        Ia membenarkan pewujudan jawatan yang kritikal dalam bidang pendidikan, kesihatan, keselamatan, penguatkuasaan dan kutipan hasil negara tetapi perlu dilaksanakan dengan kawalan ketat.
5.       Kerajaan Pusat menawarkan insentif kepada jabatan kerajaan yang berjaya melaksanakan langkah-langkah tersebut bagi meningkat penjimatan hasil atau simpanan kerajaan.
6.       Kementerian, jabatan, agensi yang berjaya meningkatkan hasil kerajaan atau mengurangkan kos operasi dengan signifikan akan dipertimbangkan insentif yang bersesuaian melalui bajet tahunan. 
7.       Langkah-langkah lain termasuk:
8.       Potongan 10 peratus elaun keraian menteri dan timbalan menteri.
9.       Perjalanan domestik hendaklah dihadkan kepada yang benar-benar perlu sahaja dengan bilangan pegawai yang minimum.
10.    Perbelanjaan bertugas di luar negara hanya dibenarkan jika telah diluluskan dalam bajet atau telah diluluskan oleh jemaah menteri.
-       Pegawai Pengawal digalakkan untuk mewakilkan kehadiran ke mesyuarat atau persidangan tertentu kepada Duta/Ketua Perwakilan Malaysia di negara berkenaan atau negara yang berhampiran, tanpa penyertaan pegawai dari Malaysia.
a.       Bilangan pegawai yang mengiring menteri, timbalan menteri, ketua setiausaha, ketua jabatan yang dibenarkan adalah seorang sahaja pegawai bagi negara yang mempunyai pejabat perwakilan Malaysia; dan tidak melebihi dua orang bagi negara yang tidak mempunyai pejabat perwakilan Malaysia.
b.       Kekerapan perjalanan maksimum atas tugas rasmi ke luar negara yang dibenarkan dalam tempoh setahun adalah tiga kali bagi ketua setiausaha/ketua jabatan/ketua agensi dan dua kali bagi lain-lain pegawai.
c.        Kursus dan latihan di luar negara adalah tidak dibenarkan kecuali keperluan kursus yang bersifat teknikal dan tiada kepakaran di dalam negara atau ditanggung oleh pihak lain seperti kerajaan asing
d.       Penerbangan: Kelas ekonomi bagi yang tidak melebihi lima jam dan kelas perniagaan untuk penerbangan lebih daripada lima jam.
e.        Jabatan kerajaan mesti mengurangkan perbelanjaan utiliti seperti telekomunikasi, elektrik dan air.
f.        Sewaan, pengubahsuaian pejabat baru dan tambahan tidak dibenarkan kecuali melibatkan kos yang lebih rendah daripada penyewaan sedia ada.
g.        Penganjuran acara kerajaan hendaklah dihadkan. dan sekiranya perlu diadakan, hendaklah secara sederhana.
h.       Pemberian cenderamata tidak dibenarkan tetapi sekiranya perlu, hendaklah dihadkan kepada buku, kraf tangan tempatan, produk makanan tempatan atau produk agensi.
i.         Penganjuran karnival, ekspo dan pameran di luar negara hendaklah ditangguhkan kecuali yang telah mendapat kelulusan Jemaah Menteri.
j.         Penajaan dan pengiklanan di media hendaklah dikurangkan.
k.       Projek-projek yang mempunyai komponen import yang tinggi hendaklah ditangguh atau dijadual semula.
l.         Pemberian geran kerajaan kepada industri perlu diperhalusi.
Sumber : Pekeliling Putrajaya  yang berkuat kuasa pada 1 Mac.


Karangan : Kebaikan & Keburukan Laman Sosial


Pendahuluan

       Pada masa ini, penggunaan laman sosial melalui internet amat popular di Malaysia. Laman sosial seperti “Facebook”, “My Space”, “Frienster”, “Twitter” dan sebagainya mendapat perhatian masyarakat di negara ini terutamanya golongan remaja. Laman sesawang rangkaian sosial tersebut telah menjadi satu trend dalam kehidupan masyarakat masa kini. Remaja kini telah menjadikan penggunaan laman sosial di internet ini sebagai medium untuk mengisi kekosongan waktu mereka. Hal ini disebabkan oleh aplikasi yang terdapat di laman sosial yang canggih dapat menarik perhatian masyarakat di Malaysia. Secara tidak langsung, penggunaan laman sosial ini telah memberikan kesan positif dan negatif terhadap gaya hidup para remaja. 

Kebaikan
Isi Pertama :

       Sebagaimana yang kita ketahui,penggunaan laman sosial dapat menambah kenalan yang baru di samping hubungan yang telah lama terputus dapat dieratkan semula. Apabila seseorang itu telah menamatkan sesuatu pengajian di sekolah menyebabkan mereka telah terputus hubungan antara satu sama lain. Laman sosial ini digunakan sebagai suatu medium utama untuk mencari kenalan lama yang telah terputus. Mereka dapat mengetahui kerjaya yang telah diceburi oleh rakan dan dapat berinterasi antara satu sama lain. Gambar yang telah diletakkan di dalam profil juga boleh dilihat dan dikomen oleh semua rakan. Mereka juga dapat menyampaikan maklumat seperti mengadakan satu perjumpaan di sesuatu tempat dengan mengumpulkan guru-guru dan rakan-rakan. Perkara ini menjadi mudah kerana dapat menjimatkan masa dan tenaga dengan cara menggunakan kemudahan yang sedia ada. Jadi jelaslah bahawa penggunaan laman sesawang sosial boleh menambahkan kenalan yang baru.

Isi Kedua :

Selain itu,ramai remaja juga menghabiskan masa mereka dengan laman sosial. Dengan adanya laman sesawang sosial, mereka dapat mengisi masa lapang mereka dengan melayari facebook. Bagi mereka yang bijak, di samping mengisi masa lapang ada antara mereka membuat bisnes dan membuat promosi melalui laman sesawang sosial seperti Facebook dan Twitter. Mereka juga dapat menjadikan laman sesawang sosial tersebut sebagai alternatif untuk menambahkan pendapatan bulanan mereka. Orang ramai boleh membeli dengan mengklik di laman sesawang dan barangan tersebut akan dihantar melalui pos laju. Siapa sahaja yang berminat untuk membeli barangan tersebut hanya membayar dengan memasukan wang ke dalam bank yang telah ditetapkan oleh penjual. Oleh itu, medium ini dapat menjimatkan masa dan tidak perlu bersesak-sesak di pusat membeli belah untuk membeli sesuatu barangan.


Keburukan
Isi Pertama :

Penggunaan laman sosial bukan sahaja mendatangkan kesan yang positif malah mendatangkan kesan negatif iaitu penggunaan laman sosial melalui internet menyebabkan berlakunya banyak penipuan atau pemalsuan. Hal ini demikian kerana, terdapat banyak kes penipuan yang berlaku terutamanya dalam kalangan remaja perempuan. Perkara ini disebabkan oleh mereka yang baru dikenalinya melalui laman sosial. Mereka biasanya akan mengikut semua kemahuan yang diminta oleh rakan dalam laman sosial tersebut. Sebagai contohnya, perkara ini berlaku apabila pasangan dalam laman sosial menghantar sistem pesanan ringkas(sms) untuk membuat temu janji dengan menyatakan tempat dan masanya. Seterusnya, remaja perempuan tersebut akan pergi ke tempat yang telah dinyatakan tanpa berfikir panjang. Namun demikian, setibanya di tempat yang dinyatakan oleh kenalan laman sosial itu, mereka mungkin ditipu dan ada juga yang telah menjadi mangsa rogol.

Isi Kedua :

Selain itu,penggunaan laman sosial menyebabkan golongan remaja menjadi lalai dalam melakukan sesuatu tugasan. Kepelbagaian aplikasi yang menarik seperti permainan yang terdapat dalam laman sosial mampu menarik minat pengguna laman sosial tersebut. Hal ini menyebabkan pengguna akan berasa seronok sehingga leka dan lalai untuk menyempurnakan urusan mereka. Tambahan pula, penggunaan laman sosial juga memberikan kesan kepada prestasi pelajaran dalam kalangan remaja. Hal ini akan menyebabkan mereka mengabaikan pelajaran kerana tiada masa yang diperuntuk untuk mengulang kaji pelajaran.Apabila berlangsungnya sesuatu peperiksaan markah yang diperolehi merosot dari peperiksaan sebelum ini menyebabkan mereka tercari-cari kesilapan yang telah dilakukan untuk diperbetulkan. Golongan pelajar yang menjadi tunjang kecemerlangan negara tidak dapat dilahirkan ekoran penggunaannya yang melalaikan masyarakat. Oleh itu, penggunaan laman menyebabkan seseorang itu membazir masa.     

Penutup

Kesimpulannya, penggunaan laman sosial ini mendatangkan pelbagai kebaikan dan keburukan kepada golongan remaja. Namun impak negatif yang wujud harus diberi perhatian yang serius oleh pihak berkuasa untuk mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap laman sesawang sosial yang tidak bertanggungjawab. Sebagai manusia yang berakal pastinya kita perlu menangkis setiap perkara yang buruk. Pepatah ada mengatakan bahawa “mencegah itu lebih baik daripada mengubati".

Dari blog: http://cikgukarizam.blogspot.my/


Thursday 3 March 2016

Perjumpaan Guru-Guru PhD Kali Kedua

Satu perjumpaan antara KSPA dengan guru-guru PhD telah diadakan pada 3 Mac 2016, jam 2.00 petang di JPNPP Bukit Gambir. Mesyuarat dipengerusikan oleh En.Dzolkopli Hj Haron selaku KPP Bahasa Inggeris. Pn Parimala Devi Indran SISC dari PPD Timur Laut telah memberi kursus penataran Kajian Tindakan. Beliau menekankan format penulisan serta kandungan kajian. Mesyuarat kali ini diadakan bersama guru-guru cemerlang Pulau Pinang. Guru-guru Cemerlang dengan bantuan guru-guru PhD boleh mengadakan bengkel atau kolokium Kajian Tindakan di PPD masing-masing. Surat mengenainya akan dikeluarkan  oleh JPN dalam tempoh terdekat. Diberitahu juga bahawa kesemua pembentangan Kajian Tindakan perlu diadakan sebelum bulan Mei. Beberapa kajian tindakan yang terpilih akan dijilid jika sumber kewangan mengizinkan.