Friday 22 January 2016

Contoh Proposal Kerja Kursus

CADANGAN /PROPOSAL PENYELIDIKAN PRA UNIVERSITI
DR. R. DHANAPAL Ph.D
SMK TINGGI BUKIT MERTAJAM

TAJUK
TAHAP KEPUASAN PESAKIT LUAR DI KLINIK 1 MALAYSIA ALMA JAYA ,
BUKIT MERTAJAM

1.PENGENALAN
Klinik 1Malaysia merupakan sebuah projek klinik yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak di Flet Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur pada 7hb. Januari, 2010. Perasmian 50 klinik 1 Malaysia di seluruh Malaysia memberi makna besar dan menjadi tanggungjawab kerajaan kepada penduduk miskin di Malaysia. Klinik ini menyediakan perkhidmatan rawatan dan perubatan ringan kepada penduduk setempat. (http://pmr.penerangan.gov.my)
Kewujudan klinik ini bertepatan dengan gagasan 1Malaysia iaitu ‘Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan’. 50 buah klinik dibuka dengan peruntukan RM10 juta.( Bajet 2010, Kementerian Kewangan Malaysia, 2011). 48 daripada 50 klinik 1Malaysia telah beroperasi. Klinik ini dikendalikan oleh Penolong Pegawai Perubatan (PPP) yang dahulunya dikenali sebagai HA/MA. Kerajaan membenarkan PPP memberikan ubat bagi sakit yang ringan. Antaranya ialah demam, batuk dan menjalani pemeriksaan darah dan tahap kandungan gula.
Pengerusi lembaga pemegang amanah Yayasan 1Malaysia, Dr Chandra Muzaffar menyatakan rakyat semakin yakin terhadap Klinik 1Malaysia. Klinik  dibuka tujuh hari seminggu dari 10 pagi hingga 10 malam. Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Ismail Merican menyatakan penduduk bandar yang miskin berpuas hati dengan klinik ini .Penolong Pegawai Perubatan (PPP) dan jururawat menjalankan prosedur surgeri kecil dengan menggunakaan alat surgeri spesifik. (Akta Perubatan 1971 ) Pesakit kini boleh menukar kateter tiub pundi kencing atau membalut luka akibat kecederaan di rumah, di sekolah dan di tempat kerja.
Klinik 1Malaysia tidak bertujuan merampas fungsi klinik swasta. Hanya terdapat 3 hingga 4 buah klinik ini di setiap negeri. Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia Mohd Yusof Abdul Rahman berpendapat Klinik 1Malaysia amat wajar bagi tujuan penjagaan kesihatan golongan miskin bandar (www.moh.gov.my). Klinik 1Malaysia ditempatkan di kawasan perumahan dan penduduk tidak lagi perlu berkenderaan ke klinik-klinik kesihatan yang jauhnya sehingga 10 kilometer dari rumah. Klinik dibuka setiap hari termasuk cuti sekolah atau perayaan, Bayaran yang dikenakan bagi warganegara sebanyak RM1 dan bukan warganegara sebanyak  RM15 (http://pmr.penerangan.gov.my)
Klinik ini dipantau oleh Jabatan Kesihatan bagi memastikan segala kemudahan dan bekalan ubat sentiasa mencukupi. Kes-kes yang di luar bidang perkhidmatan penolong pegawai perubatan atau kes-kes yang perlu dilihat oleh pegawai perubatan akan dirujuk ke klinik kesihatan atau hospital kerajaan yang berdekatan. Klinik ini menawarkan perkhidmatan rawatan ringan seperti demam, batuk, selesema dan penyakit-penyakit ringan yang lain. Klinik ini menyediakan rawatan susulan kes pesakit kronik yang stabil dan terkawal seperti diabetes, darah tinggi dan asma. Di samping itu turut menyediakan prosedur rawatan ringan seperti mencuci luka dan membuka jahitan. Malah klinik ini membuat notifikasi bagi penyakit berjangkit seperti demam denggi dan khidmat nasihat/pendidikan kesihatan. (KKM, 2009)
Klinik 1 Malaysia amat penting dalam meningkatkan mutu kesihatan dan keceriaan hidup dalam kalangan masyarakat. Hal ini  kerana institusi itu berperanan menambah paradigma dan amalan hidup masyarakat terutama mereka yang tinggal di luar dan di pinggir bandar serta mempunyai latar belakang sosioekonomi rendah (Jabatan Perdana Menteri, 2010)
Klinik ini merupakan kemudahan paling asas dalam struktur pembangunan kesihatan di negara ini. Kemudahan ini menyediakan perkhidmatan penting dalam aspek pencegahan penyakit dan rawatan ringan khususnya kepada ibu dan kanak-kanak. (Buletin Kesihatan Malaysia, 2013)
Klinik ini juga menjaga kesihatan warga tua dan keperluan khas kanak-kanak istimewa selain program khas yang diperkenalkan bagi meningkatkan tahap kesihatan individu dan keluarga. Penubuhan klinik ini menggambarkan keprihatinan dan kepekaan Kementerian Kesihatan terhadap khidmat bakti dan keperluan sosial masa kini (Utusan Malaysia, Jun 2012)
Dalam kajian ini penyelidik telah memilih Klinik 1Malaysia Alma Jaya sebagai subjek kajian. Klinik ini terletak di  No 38, Tingkat Bawah, Lorong Alma Jaya 11, Taman Alma Jaya, Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Kajian mengenai Klinik 1 Malaysia belum pernah dilakukan secara tuntas. Klinik 1 Malaysia Alma terletak di persimpangan Jalan Rodzan dan Jalan Selamat. Penduduk di sekitar Alma Jaya kerap ke klinik ini untuk mendapatkan rawatan. Di sekitar klinik ini terdapat sepuluh buah taman perumahan (MPSP, 2013). Klinik ini mula ditubuhkan pada bulan 25 September 2013. Pada mulanya tidak ramai yang berkunjung kerana klinik ini tidak diketahui ramai. Setelah media massa menghebahkan Klinik 1 Malaysia maka pesakit luar mula mengunjungi klinik ini.

2.OBJEKTIF KAJIAN

Penyelidik berharap kajian ini dapat:
i.                    mengenal pasti jenis-jenis kemudahan yang disediakan oleh Klinik 1 Malaysia Alma Jaya.
ii.                  mengkaji tahap kepuasan pesakit luar di Klinik 1 Malaysia Alma Jaya

  
3.METODOLOGI KAJIAN
3.1 Reka Bentuk Kajian

Kajian tinjauan (survey) ini merupakan kajian inferensi dengan menggunakan data-data kuantitatif dan kualitatif yang dipungut melalui soal selidik dan temu bual. Data-data yang diperoleh daripada sampel rawak ini kemudiannya dianalisis dan dipersembahkan dengan statistik (Sabitha, 2006). Keputusan ujian-ujian statistik seterusnya akan memberi kesimpulan terhadap ciri-ciri populasi yang dikaji.

3.2 Responden Kajian

Sampel kajian ini terdiri daripada pesakit-pesakit luar Klinik 1 Malaysia Alma Jaya. Sampel rawak telah diambil dengan bilangan responden lelaki dan perempuan yang masing-masing terdiri daripada 15 orang. Persampelan secara rawak digunakan untuk membolehkan setiap orang mempunyai peluang yang sama untuk dipilih. Target responden kajian ini ialah pengunjung atau pesakit luar Klinik 1 Malaysia Alma Jaya.
3.3 Lokasi Kajian
Kerja persampelan kajian ini dijalankan di sebuah klinik iaitu Klinik 1 Malaysia yang terletak di Alma Jaya, Bukit Mertajam. Klinik 1 Malaysia dijadikan sebagai tempat persampelan kerana hanya terdapat sebuah klinik sahaja di sini. Dengan mengambil sampel di klinik ini sampel kajian menjadi lebih menyeluruh. Secara purata, di klinik ini penyelidik akan  memilih 15 orang responden lelaki dan 15 responden perempuan.  
3.4 Kaedah Kajian
Bahagian ini membincangkan sebab-sebab kaedah soal selidik dan temu bual dipilih untuk melakukan kajian ini. Reka bentuk kedua-dua kaedah kajian ini turut dihuraikan.

3.4.1 Soal Selidik

Kajian tinjauan ini dilakukan untuk mengenal pasti sejauh manakah Klinik 1 Malaysia Alma Jaya  menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada komuniti tempatan. Penyelidik memerlukan satu saiz sampel yang besar dan berkesan untuk menghasilkan keputusan yang mewakili kesemua pesakit lelaki dan perempuan. Bagi tujuan memperoleh sampel yang bersaiz 30 dalam kajian ini, soal selidik dijadikan instrumen kajian yang utama kerana instrumen  merupakan cara persampelan yang praktikal untuk mendapatkan sampel yang ramai jika dibandingkan dengan pemerhatian dan temu bual. Malah soal selidik juga selalu dijadikan sebagai instrumen penting dalam kajian-kajian lepas.

3.4.2 Temu Bual

Temu bual bersemuka digunakan dalam kajian ini untuk memahami secara mendalam mengenai sebab-sebab responden memilih dan menggunakan kemudahan Klinik 1 Malaysia Alma Jaya. Kebanyakan data yang dipungut melalui soal selidik memaparkan tahap kepuasan pesakit terhadap klinik ini. Tambahan pula, bukan semua data yang diingini dapat diperoleh secara berkesan melalui soal selidik, Data mengenai sebab-sebab responden memilih Klinik 1 Malaysia Alma Jaya juga dikumpul melalui temu bual. Temu bual boleh memantapkan data-data yang dipungut daripada soal selidik.

Kaedah temu bual yang digunakan dalam kajian ini ialah jenis temu bual semi struktur. Tiada sebarang soalan dibina sebelum sesi temu bual, sebaliknya pengkaji hanya menyediakan satu rangka ringkas mengenai maklumat yang ingin dipungut daripada responden. Dalam kata lain, semua soalan yang ditanya dalam sesi temu bual dibina secara spontan dengan berdasarkan jawapan yang diberi oleh responden dalam borang soal selidik. Sebagai contohnya, jika  klinik ini lebih baik daripada klinik swasta  maka soalan spontan yang mungkin menanyakan responden tersebut ialah klinik ini menambahkan taraf kesihatan pesakit.

Temu bual dengan setiap responden dijalankan secara berasingan oleh pengkaji sendiri selepas responden tersebut menyiapkan borang soal selidik. Hanya 4 atau 5 soalan disoal dalam setiap temu bual. Jika responden tidak berminat untuk ditemu bual, pengkaji tidak memaksa mereka. Semua maklum balas responden dicatatkan untuk memudahkan kerja analisis.

3.5 Instrumen Kajian

Instrumen utama yang digunakan dalam kajian ialah borang soal selidik. Instrumen ini digunakan untuk memperoleh data kuantitatif. Soal selidik kajian ini dibina dengan merujuk kepada tinjauan bacaan yang telah dibincangkan dalam bahagian pengenalan. Seterusnya, soal selidik ini diubah suai berdasarkan keperluan objektif kajian. Pengkaji juga mengadakan satu perbincangan yang tidak formal dengan tiga pesakit luar untuk mengetahui kepuasan mereka terhadap perkhidmatan yang disediakan oleh klinik. Maklumat yang diperoleh melalui perbincangan tersebut dijadikan sebagai satu rujukan bagi menentukan item-item yang perlu disoal dalam soal selidik. Instrumen ini akan mempunyai sebanyak 20 soalan yang berkaitan dengan kemudahan yang diterima oleh pesakit luar. Soalan-soalan ini dibentuk mengikut skala likert dengan menandakan 1. Amat Bersetuju. 2.Bersetuju dan 3. Tidak Bersetuju. Soalan-soalan yang dikemukakan dalam instrumen adalah seperti berikut:

1.Klinik ini mengenakan bayaran yang berpatutan
2.Klinik ini telah merawat penyakit pesakit
3.Klinik ini berdekatan dengan rumah pesakit
4.Klinik ini menyediakan ubat yang mencukupi
5.Klinik ini lebih baik daripada klinik swasta
6.Klinik ini menambahkan taraf kesihatan pesakit
7.Klinik ini mempunyai petugas yang mesra dengan pesakit
8.Klinik ini melayan warga tua terlebih dahulu
9.Klinik ini memberi keutamaan kepada kes kritikal
10.Klinik ini menyebabkan pesakit menunggu begitu lama
11.Klinik ini menyebarkan maklumat berguna kepada pesakit
12.Klinik ini menghantar kes-kes kecemasan ke hospital kerajaan yang berdekatan.
13.Klinik ini menghantar kes kes-kes yang dirujuk kepada pakar dengan segera
14.Klinik ini hanya melayan kes-kes temujanji sahaja
15.Klinik ini mengadakan ceramah kesihatan kepada komuniti tempatan
16.Klinik ini sentiasa menekankan kesihatan dan gaya hidup sihat pesakit
17.Klinik ini menyediakan kuarantin kes-kes penyakit berjangkit
18.Klinik ini mempunyai kemudahan farmasi
19.Klinik ini mengambil masa yang agak singkat untuk merawat
20. Klinik ini patut menajadi pilihan semua penghuni di kawasan ini.

4.ANALISIS DATA

Biasanya alat kajian kuantitatif akan menghasilkan data yang besar saiznya. Pengkaji, bertanggung jawab untuk mengolah data itu kepada format yang sesuai dengan kaedah analisis data dan boleh ditafsir kemudiannya. Penyelidik akan memproses data daripada borang soal selidik. Data mentah ditukar kepada bentuk yang lebih mudah difahami dan dijelaskan, iaitu peratusan. Data peratusan kemudiannya dipersembahkan dalam bentuk jadual, carta, taburan kekerapan, atau histogram.

Data akan dikutip dan dikemaskan melalui prosedur berikut:

(a) Selepas mendapat kebenaran daripada  pengetua, satu temu janji akan dibuat dengan guru kelas untuk membincangkan jadual waktu bagi pengkaji melakukan kajian.Maklumat latar belakang responden  juga perlu diketahui sebelum memulakan kajian.
(b) Apabila sampel telah dikenal pasti, borang soal selidik akan diedarkan dan meminta mereka yang berkenaan mengisikannya.
(c) Sebelum analisis dibuat, data mentah yang diperoleh itu hendaklah diproses terlebih dahulu untuk mendapatkan latar belakang subjek kajian, misalnya, peratus pesakit mengikut jantina, tahap sosioekonomi, jumlah gaji dan lokasi kajian.
(d) Selepas semua maklumat tentang latar belakang subjek kajian dan semua skor variabel kajian diperoleh, pengkaji boleh menganalisis data kajian untuk menjawab soalan-soalan kajian.

5.DAPATAN KAJIAN

Data yang telah diperoleh melalui soal selidik dan temu bual akan dibincangkan dalam bahagian ini. Dapatan kajian akan dihuraikan mengikut urutan soalan dalam soal selidik. Kesemua 20 item dalam soal selidik akan dibincangkan satu persatu. Bilangan dan peratus  responden yang menjawab juga akan diselitkan. Sebagai contohnya …bagi item pertama  bilangan yang menjawab Amat Bersetuju adalah 15 orang atau 50% dan begitulah seterusnya sehingga 20 item.

6.PERBINCANGAN

Setiap dapatan kajian akan diolah dengan tinjauan bacaan penyelidik. Adakah dapatan kajian disokong oleh tinjauan bacaan atau tidak. Jika tidak penyelidik hendaklah memberikan sebab-sebabnya. Huraian hendaklah dibuat berdasarkan dapatan daripada teks temu bual dan pemerhatian penyelidik.

7.KESIMPULAN

Penyelidik akan merumuskan seluruh kajian dalam bahagian ini. Adakah kajian penyelidik mencapai objektif yang ditetapkan. Jika tidak nyatakan sebab-sebab. Adakah kajian ini boleh dijadikan rujukan oleh mana-mana pihak yang berkepentingan. Sejauh manakah kajian ini memberi input kepada masyarakat dan negara. Sepanjang kajian, penyelidik tentu menghadapi pelabagi cabaran dan rintangan. Penyelidik hendaklah menyatakan langkah-langkah untuk mengatasi  cabaran atau rintangan tersebut. Cadangan penyelidik dapat dijadikan panduan oleh penyelidik-penyelidik akan datang.

8.SENARAI RUJUKAN

Senaraikan semua bahan yang dibaca atau dirujuk dalam bahagian ini mengikut pecahan jenis sumber seperti buku, majalah, internet dan sebagainya

9. LAMPIRAN


Dalam bahagian ini penyelidik akan melampirkan kesemua teks temu bual, catatan pemerhatian dan satu set soal selidik untuk rujukan pembaca atau pemeriksa.

No comments:

Post a Comment