Showing posts with label PENYELIDIKAN. Show all posts
Showing posts with label PENYELIDIKAN. Show all posts

Tuesday, 16 May 2017

LAPORAN KAJIAN TINDAKAN


MENINGKATKAN KEMAHIRAN MENULIS ESEI PENGAJIAN AM DENGAN TEKNIK PDBM DALAM KALANGAN PELAJAR TINGKATAN ENAM ATAS SMK TINGGI BUKIT MERTAJAM
Dr.R.Dhanapal
Ketua Panitia/Guru Cemerlang Pengajian Am
SMK Tinggi Bukit Mertajam
14000 Bukit Mertajam

ABSTRAK

Kajian ini telah dilakukan kerana pelajar-pelajar enam atas sekolah ini belum ada kesedaran untuk mengarang esei dengan baik. Pelajar-pelajar sering menghadapi masalah dalam pembinaan ayat-ayat mudah yang gramatis. Malah pelajar-pelajar juga melakukan kesalahan dari segi kosa kata, imbuhan dan ejaan. Penandaan konvensional yang sering dilakukan oleh guru-guru Pengajian Am tingkatan enam diadapti tidak menampakkan sebarang pengukuhan mahupun pemulihan dalam penulisan esei. Hal ini terbukti apabila pelajar-pelajar masih mengulangi kesalahan yang sama. Malah pelajar-pelajar juga tidak memahami komen-komen yang ditulis oleh guru di bawah esei mereka. Oleh hal yang demikian penyelidik telah memikirkan satu teknik baru iaitu menanda esei pelajar dengan menatap muka mereka ataupun face to face. Penandaan Dengan Bersua Muka (PDBM) ini diperkenalkan kerana pelajar-pelajar dapat memahami kesalahan mereka dan dapat mengetahui kesalahan serta pembetulan tersebut dengan serta- merta apabila guru menanda sambil menegur pelajar. Dua kelas tingkatan enam atas telah dijadikan bahan eksperimen iaitu seramai 42 orang pelajar, masing-masing dari PAUTM dan PAUTP. Pra PDBM ialah penandaan konvensional. Penyelidik telah menganalisis jumlah kesalahan gramatis dan mekanis pada pra dan pasca penandaan. Penyelidik mendapati setelah PDBM dilakukan, jumlah kesalahan gramatis dalam penulisan semakin berkurangan.  

1.0    REFLEKSI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN LALU

Sebagai guru Pengajian Am saya masih tidak berpuas hati dengan prestasi penulisan esei pelajar di tingkatan enam. Mereka berada di sekolah sejak satu tahun setengah, tetapi masih melakukan kesalahan-kesalahan umum dari segi kosa kata, imbuhan, ejaan dan struktur ayat. Dalam Penggal 1 dan 3, pelajar diwajibkan menulis dua esei sementara dalam Penggal 2, mereka diwajibkan menulis satu esei. Setiap satu esei mendukung 25 markah. Hal ini bermaksud jika pelajar gagal menulis esei dengan baik, besar kemungkinan mereka akan gagal dalam subjek Pengajian Am. Walaupun pelbagai kaedah mengajar esei diamalkan dalam bilik darjah namun pelajar-pelajar masih mengulangi kesalahan yang sama seperti isi tidak cukup, isi tidak relevan dan terdapat banyak kesalahan gramatis dalam penulisan.

2.0    ISU KEPRIHATINAN

Kajian yang dijalankan ini adalah berfokuskan kemahiran menulis. Kajian ini adalah penting untuk semua guru dan pelajar Pengajian Am. Pelajar-pelajar perlu diyakinkan untuk menulis dengan efektif. Pelajar-pelajar harus memahami jenis-jenis kesalahan yang dilakukan oleh mereka dalam penulisan esei. Pembinaan ayat-ayat yang mudah dan gramatis adalah perlu untuk mengelakkan markah pelajar dipotong. Kesalahan fakta dan bahasa dalam esei menyukarkan mereka mengemukakan idea dengan tepat. Kesalahan ini juga boleh menyebabkan esei mereka menyeleweng atau terpesong daripada tajuk. Jika keadaan ini dibiarkan tanpa tindakan maka pelajar boleh hilang minat dalam penulisan esei dan sekali gus mereka akan gagal dalam subjek Pengajian Am ini.

3.0    OBJEKTIF KAJIAN
3.1. Objektif Am
Tujuan kajian ini adalah untuk meningkatakan kecekapan pelajar tingkatan enam dalam mengarang esei
3.2. Objektif Khusus
1.membantu pelajar mengetahui jenis-jenis kesalahan dalam penulisan esei
2.membantu pelajar untuk membetulkan kesalahan-kesalahan dalam penulisan esei.
3.membantu pelajar untuk menulis esei dengan efektif dan sempurna

4.0 KUMPULAN SASARAN
Kumpulan sasaran terdiri daripada 42 orang pelajar iaitu 31 orang dari kelas PAUTM dan 21orang dari PAUTP. Kesemua pelajar terlibat dalam pra dan pasca pelaksanaan teknik PDBM.

5.0 PELAKSANAAN KAJIAN
5.1 Pra Pelaksanaan Kajian
Dalam pra pelaksanaan ini kesemua 42 orang pelajar telah diminta menulis esei jenis fakta. Mereka telah diberikan dua waktu iaitu selama 80 minit untuk menghasilkan sebuah esei. Tempoh ini termasuklah perbincangan dan penjelasan guru mengenai kehendak soalan dan rangka jawapan. Setelah 80 minit, kesemua esei telah dikutip oleh guru. Selepas seminggu semua esei tersebut dipulangkan kepada pelajar. Pelajar diminta meneliti jenis-jenis kesalahan yang dilakukan oleh mereka. Guru juga telah menulis markah di bawah sebelah kanan esei tersebut. Kesemua esei tersebut ditandakan dengan jenis kesalahan sama ada dari segi kerelevanan isi dan kesalahan gramatis ayat. Hasil tinjauan penyelidik terhadap kesalahan tersebut adalah seperti berikut :

Jadual 1
Bilangan pelajar
42
Jumlah esei yang disemak
42
Jumlah perkataan sepatutnya
400 pp
Jumlah perkataan yang disemak (42x400 pp)
16800 pp
Jumlah kesalahan umum
15876 pp
Peratus kesalahan umum
94.5%
PERINCIAN ITEM

Pecahan kesalahan (%)
Drp.94.5%
Kesalahan istilah/kosa kata
15.7%
Kesalahan imbuhan
18.6%
Kesalahan ejaan
12.4%
Kesalahan struktur ayat
47.8%

5.2. Pelaksanaan Kajian

Guru telah mengambil tempoh masa dua minggu untuk menanda esei pelajar sambil bertemu bual. Sambil menyemak guru berbincang dengan pelajar tentang jenis kesalahan dan cara pembetulannya. Guru juga melihat reaksi atau bahasa tubuh (body language) pelajar sama ada pelajar boleh menerima atau memahami ulasan dan teguran guru. Pelajar mencatat kesemua kesalahan dan pembetulannya dalam sekeping kertas. Pelajar juga digalakkan bertanya jika mereka tidak memahami sesuatu elemen yang ditandakan. Didapati beberapa orang pelajar bertanya kepada guru dan selebihnya mengangguk kepala sebagai tanda faham. Guru menegur dua elemen penting iaiatu sama ada idea pelajar itu relevan atau tidak dan kesalahan umum bahasa dalam esei mereka. Guru menerangkan justifikasi beliau sebab-sebab sesuatu idea tidak diterima. Guru juga meminta pelajar untuk cuba memikirkan idea lain. Guru mengambil lebih kurang 5 hingga 7 minit untuk temu bual dengan pelajar. Dalam jangka masa dua minggu kesemua esei pelajar siap disemak/ditanda di hadapan pelajar. Guru memilih dua hari dalam seminggu. Setiap hari guru telah mengambil dua waktu iaitu 80 minit. Jadi ini bermaksud guru telah menggunakan 160 minit dalam seminggu bagi setiap kelas. Guru mendapati pelajar-pelajar menunjukkan minat apabila teknik PDBM ini digunakan.



5.3. Pasca Pelaksanaan Kajian

Setelah digunakan teknik PDBM, pelajar diwajibkan menulis semula esei mereka mengenai tajuk yang sama dengan pembetulan dalam masa 40 minit dalam kelas. Kali ini mereka menulis esei dengan lengkap dan diharapkan dengan menggunakan bahasa yang gramatis.Mereka hendaklah membetulkan semua kesalahan bahasa seperti kesalahan ejaan, imbuhan, kosa kata dan struktur ayat. Idea-idea yang pernah dibincangkan bersama guru sewaktu PDBM juga hendaklah digunakan. Kali ini diharapkan jumlah kesalahan bahasa dan idea akan menjadi minimum. Guru telah membawa pulang esei pelajar dan menyemaknya dalam masa dua hari. Setelah disemak, hasil tinjauan penyelidik terhadap esei yang telah dikemas dan diperbetul adalah seperti berikut :

Jadual 2
Bilangan pelajar
42
Jumlah esei yang disemak
42
Jumlah perkataan sepatutnya
400 pp
Jumlah perkataan yang disemak (42x400 pp)
16800 pp
Jumlah kesalahan umum
3948 pp
Peratus kesalahan umum
23.5%
PERINCIAN ITEM

Pecahan kesalahan (%)
Drp.23.5%
Kesalahan istilah/kosa kata
1.7%
Kesalahan imbuhan
4.8%
Kesalahan ejaan
6.4%
Kesalahan struktur ayat
10.6%

6.0 DAPATAN KAJIAN

Hasil tinjauan menunjukkan kesalahan pelajar telah berkurangan. Hal ini bermaksud teknik PDBM telah menampakkan hasil yang memuaskan namun ada beberapa kesalahan pelajar. Hal ini kerana pelajar tidak memberi tumpuan sewaktu guru menanda esei sambil berbincang dengan mereka. Ada pelajar memberitahu guru bahawa respons secara automatik setelah disemak akan memberikan mereka beberapa input tambahan mengenai esei.  Ada juga yang memberitahu bahawa mereka dapat berfokus dalam setiap aspek esei tersebut secara individu. Cara ini lebih berinformatif daripada menanda secara generik. Sesetengah pula berpendapat bahawa guru telah memberikan teguran dan ulasan yang membina dan mereka mempunyai keyakinan diri dalam penulisan esei pada masa akan datang. Bagaimanapun guru sebagai penyelidik mendapati teknik ini memerlukan banyak masa dan mungkin menjadi hambatan kepada guru yang mempunyai banyak kelas atau pelajar.

7.0 KESIMPULAN

Kajian ini telah mencapai objektif am dan khusus.  Pada akhir kajian didapati bahawa pelajar-pelajar tingkatan enam atas telah menunjukkan minat dalam penulisan esei. Pelajar-pelajar mudah menerima teguran dan ulasan jika guru berjumpa dengan mereka secara bersua muka. Pendek kata PDBM ini lebih sesuai dan signifikan berbanding penandaan konvensional iaitu penandaan generik. Jika guru-guru Pengajian Am melaksanakan kaedah ini sudah pasti pelajar-pelajar yang lemah khususnya dapat menguasai kemahiran menulis esei.
RUJUKAN
Good,H, 1978. Interview Marking of Examination Scripts, Assessment in Higher Education 3(2) 122-138.
Dowden T. Pittaway, 2011. Students’Perception of Written Feedback In Teacher Education, Assessment and Evaluation  in Higher Education 1-14.

84 Esei Pelajar Kelas PAUTM dan PAUTP SMK Tinggi Bukit Mertajam.

Thursday, 30 July 2015

INPUT GURU AKADEMIK TINGKATAN ENAM TERHADAP 5 DIMENSI IKLIM AKADEMIK PELAJAR



ABSTRAK
Setiap kali keputusan STPM diumumkan oleh KPM, keputusan sekolah-sekolah yang lebih pelajar(SLP) lebih memuaskan dan menggalakkan berbanding pelajar-pelajar dari sekolah kurang pelajar(SKP). Pada hal guru-guru di kedua-dua jenis sekolah ini menggunakan sukatan dan topik yang sama. Guru-guru juga mendapat latihan perguruan yang sama dan mempunyaia pengalaman yang mencukupi dalam mata pelajaran yang diajar. Namun begitu keputusan yang amat berbeza dicatatkan di kedua-dua jenis sekolah ini.  Kertas kerja ini mengkaji input guru-guru akademik tingkatan enam terhadap iklim akademik pelajar di sekolah mereka.  Iklim akademik pelajar tingkatan enam terdiri daripada lima dimensi yang penting iaitu i) sikap terhadap akademik ii) jangkaan masa depan pelajar iii) jangkaan ibu bapa dan guru terhadap pelajar tingkatan enam iv) galakan dan norma guru tingkatan enam dan v) norma akademik pelajar tingkatan enam. Kesemua dimensi ini dikaji dengan kaedah tinjauan iaitu pelajar diminta menjawab satu set soal selidik skala likert yang terdiri daripada 26 item soalan mengenai input guru mereka terhadap kelima-lima dimensi tersebut. Guru akademik tingkatan enam terdiri daripada 4 buah sekolah tingkatan enam yang terletak di kawasan Seberang Perai Tengah. Keempat-empat sekolah ini dibahagikan kepada dua profil iaitu sekolah lebih pelajar (SLP) dan sekolah kurang pelajar (SKP).Kaedah tinjauan ini dipilih untuk menjawab soalan kajian iaitu “Apakah input guru akademik tingkatan enam terhadap kelima-lima dimensi tersebut?”Iklim akademik pelajar tingkatan enam ini diuji melalui persepsi pelajar tentang diri mereka dan guru-guru mereka di dua profil sekolah tersebut.Kesemua item dalam soal selidik ini diubahsuai daripada Instrumen Haynes dan Comer, Yale University, CT, USA, 1993). Kajian telah menunjukkan bahawa iklim akademik pelajar tingkatan enam di SLP adalah lebih positif berbanding dengan pelajar di SKP. Hasil kajian ini diharap menjadi penduan kepada stakeholder sekolah SKP untuk meningkatkan pencapaian akademik pelajar di sekolah mereka.
1.0   Pengenalan
Iklim akademik sekolah yang berjaya atau positif merupakan asas yang kukuh untuk menjalankan sebarang program pendidikan (Swenny,1988). Iklim akademik sekolah yang menggalakkan akan membolehkan pelajar sekolah tinggi, guru dan pemimpin pengajaran menjalankan fungsi dengan baik dan berkesan iaitu mendorong pelajar sekolah tinggi untuk belajar di samping berjaya mencapai hasil persekolahan mereka (Bulach dan Castleman, 1995).Kajian ini memfokuskan iklim akademik pelajar tingkatan enam di sekolah SLP dan SKP. Iklim akademik pelajar tingkatan enam memainkan peranan yang amat penting dalam meningkatkan pencapaian mereka dalam akademik. Persekitaran masyarakat SLP atau di SKP tidak memberi banyak sumbangan kepada pelajar persekolhan tinggi. untuk mencapai hasil persekolahan mereka (Nguyen, T.S.T. 2004). Iklim sekolah tingkatan enam seperti persekitaran sekolah, kemudahan fizikal, guru dan kepimpinan sekolah menjadi pendorong kepada kemajuan akademik pelajar tingkatan enam di sesebuah sekolah (Abdull Sukor Shaari,2011).
 Kajian ini membuat tinjauan tentang persepsi pelajar tingkatan enam mengenai input guru akademik mereka terhadap 5 dimensi iklim akademik pelajar di sekolah SLP dan SKP. Iklim akademik ini dibataskan kepada 5 dimensi yang diubahsuaikan daripada Model Iklim Akademik Haynes dan Comer (1993) iaitu,
a) sikap terhadap akademik,
 b) jangkaan masa depan pelajar
c) jangkaan ibu bapa dan guru terhadap pelajar
d) galakan dan norma guru tingkatan enam dan
 e) norma akademik pelajar tingkatan enam.
2.0 Objektif Kajian
 Kajian ini bertujuan untuk mengkaji input guru akademik tingkatan enam terhadap iklim akademik pelajar tingkatan enam.
3.0 Soalan Kajian
 Berdasarkan objektif tersebut soalan berikut telah dikemukakan dalam kajian ini, iaitu:
“Apakah input guru akademik tingkatan enam terhadap sikap pelajar terhadap akademik, jangkaan masa depan, jangkaan ibu bapa dan guru terhadap pelajar tingkatan enam, galakan dan norma guru tingkatan enam dan norma akademik pelajar tingkatan enam”?
4.0 Sorotan Literatur
4.1. Guru akademik tingkatan enam
 Guru akademik tingkatan enam ialah individu yang paling penting dan berpengaruh di sesebuah sekolah.Mereka bertanggungjawab ke atas semua aktiviti yang berlaku di tingkatan enam di sekolah. Merekalah yang menentukan nada kelas, iklim pembelajaran, tahap profesionalisme dan moral guru serta darjat keprihatinan terhadap pelajar tingkatan enam, guru dan sekolah .Mereka bertindak sebagai penghubung utama antara komuniti dengan sekolah.Kepimpinan guru akademik menengah tinggi menyebabkan sekolah itu berjaya, inovatif, fokus pelajar, terkenal dengan kecemerlangan dalam pembelajaran dan cemerlang dalam melahirkan pelajar menengah tinggi yang gigih dan berjaya (House, 1971).
4.2.Iklim akademik pelajar tingkatan enam
 Iklim akademik pelajar tingkatan enam dalam kajian ini mencakupi lima dimensi seperti a) sikap pelajar terhadap akademik b) jangkaan masa hadapan pelajar tingkatan enam c) jangkaan ibu bapa dan guru terhadap pelajar tingkatan enam d) galakan guru dan norma guru dan e) norma akademik pelajar (Haynes dan Comer. 1993).
Pengajaran yang efektif dipimpin oleh guru akademik yang berkesan manakala pengajaran yang kurang efektif dipimpin oleh guru akademik yang kurang berkesan (Hussein Mahmood, 1993).Kesan tingkah laku guru akademik tingkatan enam terhadap pembelajaran pelajar tingkatan enam disalurkan melalui variabel perantaraan.Bagaimanapun ada juga kajian menunjukkan bahawa tingkah laku guru akademik tidak mempunyai kesan secara langsung terhadap pencapaian pelajar sekolah tinggi di sekolah (Fullan, 2001). Guru akademik menengah tinggi hanya menjalankan tugas dengan menterjemahkan jangkaan tinggi terhadap pelajar tingkatan yang lebih tinggi kepada dasar-dasar sekolah (Hussein Mahmood, 1993). Dasar-dasar ini dilakukan sebagai amalan di sekolah.Amalan-amalan inilah yang memajukan tingkah laku pelajar menengah tinggi ke arah pencapaian dan pembinaan konsep kendiri yang positif.
Di peringkat sekolah, dasar sekolah memberi kesan terhadap pembelajaran pelajar berkaitan dengan fungsi dan struktur sosialnya. Guru boleh memantau iklim akademik pelajar di sekolah. Hal ini dapat dilakukan dengan memantau kerja rumah pelajar, mengesan kemajuan pelajar, menggred, memulih dan melaporkan kemajuan pelajar kepada ibu bapa pelajar. Guru akademik dan iklim akademik sekolah saling mempengaruhi dan memberi kesan terhadap pencapaian pelajar tingkatan yang lebih tinggi di sesebuah sekolah (Gameron, 1992). Terdapat hubungan timbal balik antara tingkah laku guru akademik tingkatan yang lebih tinggi dengan pencapaian pelajar.
Tingkah laku rutin guru seperti menetapkan matlamat pengajaran, merancang, mengawal dan menilai prestasi pelajar dan guru secara langsung memberi kesan terhadap iklim akademik kelas-kelas lebih tinggi di sekolah.Model ini juga menunjukkan bahawa pencapaian pelajar adalah kesan langsung daripada tingkah laku guru akademik.
Kajian Fullan (2001) menunjukkan bahawa kesan tingkah laku guru akademik terhadap prestasi pelajar adalah sedikit tetapi signifikan.Oleh yang demikian amatlah jelas bahawa tingkah laku guru akademik memainkan peranan penting dalam mempengaruhi atau memberi kesan terhadap pencapaian pelajar di sekolah.Model ini amat penting dan efektif untuk mewujudkan sekolah berkesan dan melaksanakan sesuatu program akademik di sekolah.
5.0 Kaedah Kajian
 Pendekatan yang telah digunakan ialah kuantitatif iaitu satu set soal selidik yang terdiri daripada 26 item dijawab oleh pelajar mengikut skala likert. Item-item dalam soal selidik ini adalah mengenai input guru akademik tingkatan enam terhadap iklim akademik pelajar sebanyak 15 item. Hal ini termasuklah norma dan galakan guru, jangkaan guru terhadap pelajar dan pandangan guru terhadap akademik pelajar. Manakala 11 lagi item adalah mengenai persepsi pelajar tentang diri mereka. Hal ini termasuklah sikap mereka terhadap akademik, jangkaan masa depan dan jangkaan ibu bapa dan guru mereka. Kesemua item dianalisis menggunakan kaedah peratusan.
6.0 Dapatan Kajian
Sebanyak 75% pelajar tingkatan enam SLP dan di SKP menyatakan hasrat mereka untuk melanjutkan pengajian sehingga ke peringkat tinggi. Sebanyak 50% pelajar tingkatan enam ingin melanjutkan pengajian ke peringkat universiti dan 25% pelajar tingkatan enam yang lain ingin melanjutkan pengajian sehingga peringkat kolej sahaja. Sebanyak 77% ibu bapa dan guru mempunyai jangkaan yang positif terhadap pelajar mereka.Manakala sebanyak 23% ibu bapa dan guru langsung tidak mempedulikan akademik pelajar tingkatan enam. Dapatan soal selidik pelajar mengenai input guru akademik mereka tentang sikap terhadap akademik, jangkaan masa depan, jangkaan ibu bapa dan guru terhadap pelajar tingkatan enam, galakan dan norma guru tingkatan enam dan norma akademik pelajar tingkatan enam dibentangkan seperti berikut.
6.1.Sikap terhadap akademik
 Mengikut dapatan soal selidik, guru akademik tingkatan enam mentafsirkan sikap pelajar sebagai pelajar yang tidak mementingkan masa depan. Mereka berpendapat nasib pelajar di sekolah mereka hanya berubah jika mereka mengubah ‘mindset’ mereka. Rata-rata guru akademik tingkatan enam tidak bersetuju sama sekali bahawa punca utama sikap pelajar terhadap akademik adalah disebabkan oleh guru sekolah. Mereka berpendapat guru-guru tingkatan enam sama ada di SLP atau di SKP memang sedia membantu pelajar tingkatan enam.
Menurut guru-guru, pelajar tingkatan enam tidak berminat untuk belajar dan tidak banyak masa digunakan untuk aktiviti pembelajaran.Mereka berpendapat bahawa pelajar tingkatan enam yang bersikap negatif yakin bahawa mereka mudah mendapat pekerjaan di pasaran yang tidak memerlukan kelayakan akademik seperti bekerja sendiri dan bekerja di kilang.
Menurut guru-guru akademik tingkatan enam, terdapat juga satu lagi golongan pelajar yang tidak mempedulikan pelajaran iaitu pelajar ini datang ke sekolah dengan pakaian lengkap tetapi tidak mahu belajar.Mereka enggan membuat sebarang kerja sekolah dan tidak memberi perhatian ketika guru mengajar.Menurut guru SLP, pelajar tingkatan enam seumpama ini tidak begitu ramai.Pelajar ini berasal daripada keluarga berada atau kelas tinggi.Menurut guru, sikap negatif pelajar adalah disebabkan oleh ibu bapa mereka terlalu memberi kebebasan dan memberi wang yang lebih daripada cukup sebagai wang saku.
6.2.Jangkaan masa depan pelajar tingkatan enam
Menurut guru-guru akademik tingkatan enam sebanyak 75% pelajar tingkatan enam SLP dan di SKP menyatakan hasrat mereka melanjutkan pengajian tinggi sehingga ke peringkat tinggi. Sebanyak 50% pelajar tingkatan enam ingin melanjutkan pengajian ke peringkat universiti dan 25% pelajar tingkatan enam yang lain ingin melanjutkan pengajian sehingga peringkat kolej sahaja. Guru akademik tingkatan enam menyatakan bahawa tidak seorang pun pelajar tingkatan enam yang hendak menghabiskan pengajian sehingga ke peringkat menengah sahaja. Mereka berpendapat pelajar di SLP mempunyai aspirasi tinggi untuk melanjutkan pelajaran. Guru akademik di SKP pula optimis bahawa pelajar tingkatan enam mereka dapat melanjutkan pelajaran sekurang-kurangnya ke peringkat kolej. Menurut dapatan soal selidik pelajar di SLP, pelajar tingkatan enam sekolah mereka mempunyai tahap keyakinan tinggi. Dapatan juga menunjukkan perspektif yang sama. Cuma bezanya hanya tiga perempat daripada jumlah pelajar tingkatan enam sekolah mereka dapat melanjutkan pelajaran.Dapatan menunjukkan pelajar tingkatan enam sekolah ini tidak begitu mempunyai jangkaan tinggi.Terdapat pelajar mengakui kelemahan mereka. Pelajar seumpama ini menilai diri mereka sama ada boleh belajar terus atau tidak.
 Jangkaan masa depan banyak bergantung kepada guru. Kecuali guru mereka memberi keyakinan tentang masa depan, pelajar tingkatan enam tidak akan menyatakan hasrat mereka. Dapatan menunjukkan bahawa hampir semua pelajar tingkatan enam tidak berani menyatakan pendapat mereka tentang masa depan kepada guru mereka. Guru akademik tingkatan enam dapat mengetahui hasrat mereka melalui percakapan mereka dengan guru kelas mereka. Menurut guru pelajar amat malu bercakap tentang masa depan mereka. Hal ini demikian  kerana mereka menganggap kelemahan yang ada pada diri mereka menjadi halangan untuk mereka berjaya. Pelajar-pelajar ini tidak bersikap terus-terang dan hasrat masa depan mereka terpendam begitu sahaja.
 Menurut guru, pelajar di SKP menilai diri mereka sangat lemah, tidak begitu optimis dan bersikap pesimis terhadap diri dan masa depan mereka. Terdapat beberapa orang pelajar tingkatan enam yang pandai bertutur dan sering memberitahu rakan lain bahawa mereka akan melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti dan ada yang ingin menjadi doktor, peguam, jurutera dan sebagainya. Namun dari segi akademik, pelajar-pelajar ini amat lemah dan sudah pasti mereka tidak akan mencapai tahap itu.
Pelajar di sekolah SKP mempunyai jangkaan yang amat tipis.Ibu bapa pelajar di SLP meletakkan harapan mereka terlalu tinggi terhadap anak mereka. Dapatan menunjukkan hanya ibu bapalah yang boleh memberi kata-kata perangsang dan nasihat kepada mereka tentang masa depan pelajar. Kesedaran ibu bapa tentang masa depan anak adalah lebih penting daripada pembentukan sikap oleh guru di sekolah.
 6.3 Jangkaan ibu bapa terhadap pelajar tingkatan enam
Pelajar-pelajar mengakui bahawa guru akademik tingkatan enam selalu memberi sokongan kepada ibu bapa jika mereka mencadangkan sebarang aktiviti yang berfaedah kepada pelajar tingkatan enam.Menurut pelajar, guru sering menggunakan pelbagai kaedah untuk mempertemukan ibu bapa dan guru.Sebanyak 77% ibu bapa dan guru mempunyai jangkaan yang positif terhadap pelajar mereka.Hal ini dapat dilihat apabila kedua-dua pihak sering mengadakan perbincangan tentang cara-cara meningkatkan pencapaian akademik pelajar.Manakala sebanyak 23% ibu bapa dan guru langsung tidak mempedulikan akademik pelajar tingkatan enam.Mereka tidak begitu yakin dengan pelajar kerana pelajar ini amat lemah dan tidak percaya mereka boleh melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
Data menunjukkan bahawa guru-guru datang ke sekolah mengajar mengikut Huraian Sukatan Pelajaran dan tiada sebarang aktiviti tambahan seperti kelas tambahan atau pemulihan kepada pelajar tingkatan enam yang lemah.
Dari segi jangkaan ibu bapa terhadap pelajar tingkatan enam, memang positif di SLP. Mereka amat berpuas hati kerana sekolah menyediakan buku kerja, buku latihan dan alat bantu mengajar kepada pelajar. Guru akademik tingkatan enam sekolah SLP memuji ibu bapa pelajar kerana kerap datang melawat sekolah. Ibu bapa mempunyai jangkaan positif terhadap anak mereka dan menyatakan anak-anak mereka akan berjaya dalam akademik dan mereka berjanji akan membantu sekolah dalam apa jua cara sekalipun.


6.4.Galakan dan norma guru tingkatan enam
Dapatan soal selidik pelajar menyatakan kebanyakan guru mereka memperlihatkan perlakuan yang kurang mesra dengan pelajar tingkatan enam dan tumpuan utama hanya diberi kepada bahan pengajaran. Menurut dapatan, gaya pengajaran guru adalah semata-mata untuk menghabiskan sukatan pelajaran dan pengajaran disampaikan secara umum tanpa mengambil kira sama ada pelajar lemah atau pandai. Sesetengah guru masih mengajar menggunakan kaedah kapur dan cakap dan amat jarang menggunakan alat bantuan mengajar yang disediakan oleh Kementerian seperti laptop, LCD dan internet untuk mengajar subjek-subjek yang abstrak seperti sains dan matematik.Data soal selidik pelajar menunjukkan terdapat segelintir guru kurang berminat dan tidak serius dalam kerjayanya sebagai seorang guru.
Dapatan data juga menunjukkan bahawa rangsangan sikap dan pendekatan guru merupakan pengaruh utama terhadap corak respons pelajar tingkatan enam sekolah ini terhadap pengajaran dan galakan guru.Dapatan mengesahkan bahawa walaupun terdapat guru-guru yang kurang memiliki sahsiah yang positif, tetapi mereka boleh menimbulkan suasana pembelajaran yang memberangsangkan.
Dapatan kajian menunjukkan bahawa pelajar-pelajar mengakui guru mereka memberi galakan yang positif kepada pelajar dan mereka sendiri menjadi contoh yang terbaik kepada pelajar. Data menunjukkan guru-guru di sekolah tingkatan enam ini mengambil berat terhadap pencapaian akademik pelajar dan mereka percaya bahawa pelajar akan bekerja lebih gigih lagi dan tidak akan mensia-siakan masa depan mereka
6.5.Norma akademik pelajar tingkatan enam
 Guru akademik tingkatan enam di SKP berpendapat bahawa mereka menilai norma akademik pelajar tingkatan enam dengan menganalisis keputusan akademik pelajar. Menurut mereka, pelajar tingkatan enam amat cepat berpuas hati apabila mereka mendapati keputusan mereka bertambah baik.Mereka berasa bangga jika keputusan mereka meningkat. Guru-guru akademik tingkatan enam menyatakan bahawa norma akademik pelajar tingkatan enam banyak bergantung kepada inisiatif dan konsep kendiri mereka.
Data menunjukkan bahawa pelajar tingkatan enam di SLP menganggap sekolah mereka boleh dipercayai dan guru-guru telah menjalankan tugas mereka dengan baik jika pencapaian akademik mereka bertambah baik.Jika tidak, pelajar sering menyalahkan guru-guru tidak menjalankan tugas. Pelajar tingkatan enam di SLP yang terlalu mementingkan keptusan, cepat berasa hampa dan kecewa jika gagal dan pelajar tingkatan enam di SKP yang bukan mementingkan keptusan pula tidak menunjukkan sebarang reaksi jika keputusan mereka merosot.
Sebagai guru akademik tingkatan enam, mereka juga mempunyai persepsi sendiri terhadap pencapaian anak didik mereka.Kebanyakan guru bersetuju memberi pelbagai jenis ganjaran kepada pelajar yang menunjukkan minat dalam akademik. Antaranya memberi hadiah berbentuk buku, mengumumkan nama pelajar di perhimpunan dan menulis surat tahniah kepada pelajar.
Dari segi keupayaan akademik, kebanyakan guru di SKP menyatakan bahawa mereka berusaha mencungkil minat pelajar terhadap akademik dengan menyediakan latihan-latihan tambahan bagi pelajar yang lemah akademiknya.Mereka kerap meminta guru-guru mencadangkan idea untuk mengukuhkan kemahiran atau penguasaan pelajar dalam sesuatu mata pelajaran.
 Guru-guru di SLP mempunyai pandangan yang sama dalam hal ini. Mereka memberi ruang kepada pelajar untuk bertanya soalan kepada guru apabila guru selesai mengajar sesuatu topik.Dalam mesyuarat staf, guru-guru sering diperingatkan supaya menggalakkan pelajar banyak bertanya.Melalui pertanyaan, seseorang pelajar dapat meningkatkan keupayaan akademik mereka.
7.0 Perbincangan
 Guru di SKP berpendapat pelajar terlalu banyak membuang masa dan tidak menganggap akademik itu sebagai satu asas penting untuk masa depan. Terdapat beberapa orang guru tidak bersetuju dengan pandangan mereka.Hasil daripada pemerhatian penyelidik sendiri memang terdapat sikap negatif terhadap akademik dalam kalangan pelajar SKP. Hal ini demikian kerana seramai 90% pelajar adalah daripada keluarga miskin, kelas pekerja dan keluarga bermasalah.Ibu bapa mereka tidak dapat membantu dari segi akademik di rumah.Malah terdapat ibu bapa sendiri tidak begitu mementingkan akademik.Hal ini sedikit sebanyak memberi impak kepada pelajar tingkatan enam berkenaan.Sikap seumpama ini terdapat juga dalam kalangan pelajar tingkatan enam di SLP.Pelajar di SLP juga menunjukkan sikap negatif terhadap akademik.Lemahnya konsep kendiri dalam kalangan pelajar ini menyebabkan mereka tidak begitu mementingkan akademik.Malah sikap mengambil mudah dan suka meniru jawapan kawan serta tidak menyiapkan kerja sekolah di rumah juga antara punca mereka mensia-siakan akademik.
 Pelajar tingkatan enam di SKP mempunyai jangkaan masa depan. Guru-guru menyatakan keadaan ini berlaku kerana persepsi sesetengah guru terhadap pelajar mereka.Sesetengah guru menunjukkan persepsi yang positif terhadap pelajar. Walaupun tidak banyak pelajar tingkatan enam sekolah SKP akan melanjutkan pelajaran sehingga ke universiti tetapi mereka masih boleh menamatkan pengajian di peringkat kolej. Sementara pelajar di SLP pula didapati mempunyai jangkaan masa depan yang agak sama kerana mereka sentiasa diberi motivasi dan dorongan oleh ibu bapa mereka yang berpelajaran. Dorongan ibu bapa yang terdiri daripada kelas menengah dan tinggi menyebabkan pelajar di SLP membuat perancangan untuk menghadapi masa depan mereka.
Iklim akademik pelajar tingkatan enam di SKP banyak bergantung kepada sejauh mana jangkaan ibu bapa dan guru terhadap pelajar .Ibu bapa tidak menunjukkan minat terhadap pelajaran anak mereka dan begitu juga dengan sikap segelintir guru memandang enteng terhadap kemampuan dan kebolehan akademik pelajar.Seramai 85% ibu bapa menghantar anak ke sekolah tanpa mempunyai sebarang visi dan misi tentang akademik anak-anak mereka.Ibu bapa dan guru-guru di SLP mempunyai tanggapan yang positif tentang pelajar. Ibu bapa dan guru di sekolah-sekolah ini memberi dorongan sepanjang masa kepada pelajar dan berjaya mengadakan kelas pemulihan, kelas tambahan dan seminar kerjaya serta kem kecemerlangan akademik secara berusaha sama demi kecemerlangan akademik pelajar.
Pencapaian pelajar tingkatan enam dalam peperiksaan STPM sejak tiga tahun belakangan menyokong kepentingan persepsi, kesungguhan dan komitmen ibu bapa dan guru dalam usaha memperoleh kemajuan akademik pelajar tingkatan enam di SLP.Ibu bapa harus lebih proaktif dan konsisten terhadap perkembangan akademik anak-anak mereka.Mereka hendaklah kerap datang berjumpa dengan guru kelas anak mereka untuk mengetahui perkembangan akademik dan tingkah laku anak-anak mereka di sekolah.Ibu bapa yang mempunyai anak yang cemerlang kerap meminta bantuan guru kelas untuk menyemak latihan-latihan tambahan yang dibuat oleh pelajar di rumah.Mereka lebih banyak meluangkan masa dan wang untuk meningkatkan prestasi pelajaran anak-anak mereka.
 Galakan dan norma guru tingkatan enam merupakan faktor yang sangat penting mempengaruhi iklim akademik pelajar di SKP. Galakan guru yang konsisten dan berterusan dengan menasihati pelajar agar selalu memberi tumpuan terhadap akademik , berjaya menimbulkan kesedaran akademik dalam kalangan pelajar. Pengajaran yang stereotaip dapat diperhatikan di sekolah ini. Guru-guru tidak menggalakkan pelajar banyak bertanya dan sebaliknya masa ditumpukan untuk menghabiskan sukatan pelajaran sama ada pelajar yang lemah memahami sesuatu konsep atau tidak, jarang diberi perhatian oleh guru. Hal ini disebabkan guru-guru di sekolah SKP kekurangan prasarana pelajaran dan kekurangan pelajar untuk membentuk kumpulan pandai, sederhana dan lemah, melemahkan semangat guru memberi perhatian secara individu.
Bagaimanapun dapatan soal selidik menunjukkan guru-guru ini tidak patah semangat mengajar pelajar.Fenomena yang berlainan pula didapati berlaku di SLP.Di sini guru-guru mengamalkan suatu sistem kerja yang seragam dan konsisten dan mereka memastikan sistem ini dijalankan sepanjang masa.Penyemakan latihan kerja rumah, penyediaan bahan pengajaran dan pemantauan kemajuan akademik dilakukan sepanjang masa. Pemerhatian penyelidik dan hasil temu bual dengan guru di SKP mendapati galakan dan norma guru di sekolah ini adalah tidak konsisten dan mereka sentiasa mengubah-ubah norma mereka. Manakala galakan dan norma guru di SLP adalah lebih tegas dan tidak berkompromi dengan pelajar dengan norma-norma yang telah ditetapkan.
 Dimensi yang paling penting membantu pelajar tingkatan enam untuk mewujudkan iklim akademik ialah norma akademik pelajar. Norma akademik pelajar ialah hasrat, matlamat dan hala tuju pelajar untuk mencapai matlamat pembelajaran. Sikap pelajar SKP yang sering tidak menghabiskan kerja sekolah, tidak membawa peralatan pembelajaran ke sekolah dan selalu memesongkan tumpuan guru apabila guru sedang mengajar dalam kelas menunjukkan mereka memiliki norma akademik yang tidak menggalakkan. Hal ini disebabkan kelemahan dari segi kognitif dan intelek serta tiada bimbingan ibu bapa di rumah menyebabkan pelajar bersikap sedemikian.
Manakala pelajar di SLP walaupun bukan semuanya mempunyai norma akademik yang positif, tetapi ada di antara mereka memang konsisten dengan kerja-kerja sekolah dan yakin mereka boleh berjaya dalam akademik. Pemerhatian, rekod sekolah dan hasil temu bual dengan guru dan pelajar di SLP menunjukkan norma akademik pelajar tingkatan enam di sekolah ini adalah lebih tinggi. Perkara ini disokong oleh dapatan bahawa pelajar di sekolah ini sering menghabiskan kerja sekolah dengan cepat dan membuat kerja sendiri seperti membaca atau membuat latihan susulan apabila guru sedang melayani pelajar lain dalam kelas.
8.0 Kesimpulan
Tuntasnya, kajian telah menunjukkan bahawa iklim akademik pelajar tingkatan enam di SLP adalah lebih positif berbanding dengan pelajar di SKP.Sumbangan guru akademik tingkatan enam di SLP didapati lebih memuaskan jika dibandingkan dengan sumbangan guru akademik tingkatan enam di SKP.Di samping kepimpinan guru akademik tingkatan enam, terdapat banyak lagi pihak memberi sumbangan yang aktif ke arah peningkatan iklim akademik pelajar tingkatan enam di SLP. Sumbangan-sumbangan tersebut harus diteruskan demi kejayaan akademik yang cemerlang pada masa akan datang.
RUJUKAN
Abdul Shukor b. Abdullah. (1995). Membina sekolah yang berkesan : Aplikasi dasar. Kertas Seminar Sekolah Efektif. Genting Highlands : Institut Aminudin Baki
Abdull Sukor Shaari. (2011). Pedagogi Dari Sekolah Ke Institut Pendidikan Tinggi. Penerbit Universiti Utara Malaysia. Sintok
Bulach, C.R., Malone, B. dan Castleman, C. (1995). An investigation of variabels related to student achievement. Educational Reseracher, 8(2), 23-29.
 Fullan, M.G. (1992). Successful School Improvement. Buckingham: Open University Press.
 Fullan, M.G. (2001). The New Meaning of Educational Change (3rd Ed). New York: Teachers College   
 Press
Gameron, A. (1992). Social Factors. In Education Encyclopedia of Educational Research 6th ed. New York: Mc Millan.
Haynes, N. M., Emmons, C., & Comer, J. P. (1993).School climate survey. New Haven, CT. Yale University Child Study Center
 House, R.J. (1971). A path goal theory of leader effectiveness. Administrative Science Quarterly, 16, 321-338
Hussein b. Mahmood.(1993). Kepimpinan dan Keberkesanan Sekolah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Nguyen, T.S.T. (March 2004). Study of High School Restructuring. High schools: Size does matter.Volume 1, Issue 1 - See more at: http://www.communityworksinstitute.org/cwjonline/essays/a_essaystext/grauer_smallsch1.html#sthash.nwumVhcY.dpuf
 Swenny, J. (1988). Tips for improving school climate. Education Leadership, 46, 200-220


Thursday, 16 July 2015

Penglibatan Ibu Bapa dan Pencapaian Murid


Blueprint Pembangunan Pendidikan Negara menekankan peri mustahaknya perana ibu bapa dalam pembelajaran anak-anak mereka di sekolah. Kajian sosiologi pendidikan era 60-an dan 70-an banyak membuktikan sumbangan ibu bapa dan komuniti terhadap kemajuan pendidikan anak-anak.
Pencapaian murid di sekolah bergantung kepada sejauh mana ibu bapa terlibat dalam aktiviti sekolah dan hubungan mereka dengan sekolah. Hubungan personal antara ibu bapa dengan guru ada kaitan dengan pencapaian akademik murid di sekolah .Ibu bapa biasanya meletakkan harapan dan jangkaan tinggi terhadap pencapaian anak mereka di sekolah. Akan tetapi ibu bapa yang bekerja biasanya tidak dapat membantu anak mereka di rumah. Terdapat kajian yang menunjukkan ibu bapa boleh memainkan peranan penting dalam membantu  pendidikan anak mereka dengan melibatkan diri mereka dalam pembelajaran anak-anak dan membantu usaha-usaha guru dan sekolah. Ibu bapa boleh menggalakkan anak mereka memperoleh kerja kursus yang lebih terkini, memperuntukkan masa untuk kerja rumah anak dan menghabiskan banyak masa untuk membaca berbanding menonton televisyen.

Ibu bapa boleh menggalakkan anak mereka belajar jika mereka membaca kuat untuk anak mereka di rumah, mengadakan diskusi di rumah tentang bahan bacaan, kerja sekolah dan isu semasa dan boleh membawa anak mereka ke perpustakaan lebih kerap dan boleh mencari dan mengumpul pelbagai maklumat tentang topik-topik yang menarik. Penglibatan ibu bapa sangat diperlukan demi masa depan murid. Oleh itu program yang melibatkan ibu bapa di sekolah hendaklah dirancang, dilaksanakan dan dikawal selia dengan berhati-hati agar matlamat pendidikan anak-anak mereka dapat tercapai. Penglibatan ibu bapa secara positif terhadap perkembangan murid menyebabkan murid menunjukkan hasil persekolahan yang lebih positif. Di samping itu penglibatan ibu bapa juga mendorong murid untuk meningkatkan keupayaan intelek mereka dan dengan ini mereka berupaya memikirkan dan menyelesaikan sesuatu masalah pembelajaran dengan sendiri. Ibu bapa yang berasal daripada kelas tinggi dan sederhana lebih menekankan akademik dengan memberi ganjaran positif dan ada sense of community terhadap mereka. Jadi jangkaan positif terhadap murid membantu murid memupuk konsep kendiri dan pencapaian akademik murid.

PENGARUH GURU TERHADAP PELAJAR




Kajian menunjukkan bahawa pelajar-pelajar yang suka akan sekolah memperoleh pencapaian akademik yang tinggi dan kurang berlakunya insiden seperti masalah disiplin, ponteng atau ketidakhadiran ke sekolah atau keciciran. Untuk meningkatkan prestasi pencapaian pelajar di sekolah, maka pihak sekolah hendaklah menarik minat pelajar untuk datang ke sekolah. Para penyelidik atau guru perlu membuat kajian bagaimana hendak menggalakkan pelajar atau menimbulkan keadaan atau perasaan ingin datang ke sekolah. Dalam konteks ini peranan dan kreativiti guru untuk mempengaruhi pelajar agar kerap datang ke sekolah adalah sangat mustahak. Oleh sebab guru memainkan peranan utama dalam memastikan kehadiran pelajar ke sekolah, maka Kementerian Pelajaran hendaklah menetapkan perwatakan atau ciri guru yang mempunyai bakat dalam menarik minat pelajar ke sekolah, sebagai satu prasyarat dalam pemilihan bakal guru. Kementerian hendaklah memilih bakal guru yang mempunyai persepsi positif terhadap perasaan pelajar terhadap sekolah. Kajian mengenai pengaruh guru terhadap perasaan pelajar mengenai sekolah didapati kurang ditekankan dalam sistem pendidikan kita. Kajian Maureen T. Hallinan (2012) mendapati pelajar-pelajar yang menanggapi guru mereka yang prihatin atau cakna terhadap mereka, menghormati mereka dan memuji mereka serta mengambil peduli tentang diri mereka, rela datang ke sekolah. Guru-guru ini juga mempunyai harapan dan jangkaan tinggi terhadap pencapaian pelajar.

Hipotesis Kesalahan Bahasa Dalam Penulisan Esei


Terdapat dua jenis esei dalam kertas dua Pengajian Am, iaitu esei sastera dan esei sains. Kedua-dua esei ini menguji pemahaman pelajar dalam mengupas sesuatu isu yang dikemukakan. Pelajar diharapkan dapat menggunakan bahasa yang sesuai mengikut laras karangan. Pemikiran seseorang pelajar hanya dapat diketahui dan diikuti oleh pemeriksa ataupun guru melalui bahasa yang digunakan oleh pelajar tersebut. Dalam esei-esei ini bukanlah diharapkan pelajar harus menggunakan laras ilmiah atau akademik sains dan sastera. Apa yang diharapkan ialah pelajar harus mencuba menggunakan istilah yang sesuai dengan kehendak esei tersebut seperti istilah teknikal, kosa kata berunsur sains, penyakit dan sebagainya.
Makalah kecil ini mengupas 4 hipotesis kesalahan utama yang sering dilakukan oleh pelajar. Saya namakannya hipotesis kerana kesalahan ini dilakukan oleh hampir semua pelajar STPM.
Hipotesis pertama ialah : kata kerja tak transitif yang tidak berawalan ‘ber’ atau ‘me’ yang sering dianggap sebagai ayat salah. Bagi pelajar-pelajar, semua kata kerja transitif mesti berawalan ‘me’. Bagi mereka ayat yang kata kerjanya tidak berawalan ‘me’ adalah ayat yang salah. Pelajar-pelajar ini suka membawa masuk pengaruh bahasa lisan dalam bahasa penulisan. Contohnya ‘Malaysia berduduk tempat pertama dalam bidang pertanian” dan “Malaysia harus mempelajari dari negara dunia pertama”
Hipotesis kedua ialah : Bahasa yang digunakan dalam media massa dan buku teks akademik semestinya betul. Hal ini banyak didapati dalam esei-esei pelajar aliran kemanusiaan kerana merekalah yang menggunakan buku teks dalam bahasa Malaysia seperti buku Ekonomi, Sejarah, Kesusasteraan, Pengajian Perniagaan dan sebagainya. Pelajar bersifat simplistik, iaitu asalkan digunakan dalam buku, maka bahasa dalam buku itu mesti betul. Pelajar mudah terperangkap oleh jalan fikiran mereka sendiri yang tidak jelas dan tidak tekal (konsisten). Ada pelajar yang mempertikaikan mengapa mereka tidak boleh menggunakan jalan bahasa yang digunakan dalam surat khabar umpamanya. Contohnya pelajar menulis begini, “Remaja tidak harus tiru dari negara barat” Ayat seumpama ini sering terpampang sebagai tajuk utama berita.
Hipotesis ketiga ialah : Pelajar-pelajar sering menggugurkan imbuhan ‘kan’ jika ayat mereka mempunyai dua kata kerja berawalan ‘kan’ secara serentak. Hal ini merupakan ragam lisan biasa. Walaupun ragam lisan biasa tidak boleh dijadikan asas dalam pembinaan ayat yang gramatis, tetapi pelajar kita tidak mengendahkannya. Dalam rumus tranformasi gabungan, unsur yang sama boleh dihilangkan seperti subjek, predikat, keterangan atau objek yang sama, jika diulang dalam ayat. Pelajar kita salah menanggapi rumus ini. Mereka menulis begini, “Sektor swasta di negara ini memberikan bantuan modal dan meluas peluang perniagaan” Bagi pelajar akhiran ‘kan’ tidak boleh diulang selepas ditandai dengan kata hubung ‘dan’.
Hipotesis keempat ialah : Pelajar sering terkeliru dengan penggunaan kopula ‘ialah’ dan’ adalah’. Kekeliruan ini disebabkan pengaruh bahasa Inggeris, iaitu bahasa Inggeris mengharuskan penggunaan ‘verb’ seperti ‘am’, ‘is’, ‘was’. ‘were’ dan sebagainya. Kata pemeri ‘ialah’ digunakan di hadapan frasa nama manakala ‘adalah’ digunakan di hadapan frasa sendi, frasa adjektif dan frasa kerja. Kadang-kala tanpa penggunaannya pun ayat mereka betul. Akan tetapi pelajar memaksa diri mereka dengan mencari kopula untuk diletakkan atau disisipkan di antara frasa. Pelajar menulis begini,” Salah satu cara meningkatkan ekonomi ialah dengan melaksanakan pelbagai projek mega” “Malaysia adalah negara yang menuju ke era industri”

Untuk menangani kemelut bahasa ini, pelajar-pelajar wajib diajari penggunaan bahasa yang betul supaya makna yang ingin diungkapkan dalam esei memang terserlah. Pelajar perlu diajari untuk menganalisis kesalahan ayat dalam bilik darjah. Dengan yang demikian kesilapan bahasa dapat diperbaiki dan dapat dipulihkan. Pendek kata, pelajar dan guru perlu sedar bahawa penyimpangan yang disengajakan adalah satu kesalahan bahasa. Kesalahan bahasa ini akan mendorong kepada pemahaman yang sukar bagi pembaca.

KEPIMPINAN SEKOLAH DAN IKLIM AKADEMIK MURID : SATU PERSPEKTIF SOSIOLOGI


ABSTRAK
Kertas kerja ini mengkaji persepsi kepimpinan sekolah khususnya guru besar sekolah terhadap iklim akademik murid. Iklim akademik murid terdiri daripada lima dimensi yang penting iaitu i) kesia-siaan akademik murid ii) penilaian dan jangkaan masa depan murid iii) penilaian dan jangkaan ibubapa dan guru terhadap murid iv) galakan dan norma guru dan v) norma akademik murid. Kesemua dimensi ini dikaji dengan kaedah temubual separa berstruktur dengan guru-guru besar. Guru Besar terdiri daripada 3 profil sekolah iaitu seorang guru besar sekolah bandar, seorang guru besar sekolah pinggir bandar dan tiga orang guru besar sekolah ladang. Kaedah temubual ini dipilih untuk menjawab soalan kajian iaitu “Apakah input guru besar terhadap kelima-lima dimensi tersebut?” Pemimpin sekolah yang dimaksudkan dalam kajian ini ialah guru besar iaitu seorang individu yang paling penting dan berpengaruh di sesebuah sekolah. Kepimpinannya menentukan nada sekolah, iklim pembelajaran dan darjat keprihatinan terhadap murid dan sekolah. Guru besar juga bertindak sebagai pentadbir yang menyebabkan sekolah itu berjaya, inovatif, fokus murid, terkenal dengan kecemerlangan dalam pembelajaran dan cemerlang dalam melahirkan murid yang gigih dan berjaya. Iklim akademik murid mencakupi persepsi guru-guru besar dari ketiga-tiga kawasan sekolah terhadap kelima-lima dimensi yang dinyatakan. Soalan soalan temubual dibina oleh penyelidik berdasarkan instrumen Iklim Akademik Murid yang diubah suai daripada Model Brookover yang pernah digunakan di Michigan, Amerika Syarikat. Antara kandungan temubual tersebut adalah mengenai jangkaan, penilaian, tanggapan dan aspirasi mereka terhadap murid sekolah. Dapatan menunjukkan bahawa iklim akademik murid di sekolah bandar adalah lebih positif berbanding dengan sekolah di pinggir bandar dan ladang.
Keywords : School Leadership, School Academic Climate, Student Academic Climate

1.0 Pengenalan
Swenny (1988) berpendapat bahawa iklim akademik sekolah yang berjaya atau positif merupakan asas yang kukuh untuk menjalankan sebarang program pendidikan. Iklim akademik sekolah yang menggalakkan membolehkan murid, guru dan pemimpin sekolah menjalankan fungsi dengan baik dan berkesan iaitu mendorong murid untuk belajar dan berjaya mencapai hasil persekolahan mereka (Bulach dan Castleman, 1995).Kajian ini memfokuskan iklim akademik murid di sekolah-sekolah Tamil. Iklim akademik murid di sekolah Tamil memainkan peranan yang amat penting dalam meningkatkan pencapaian murid-murid sekolah Tamil dalam pendidikan. Hakikatnya persekitaran masyarakat India tidak memberi banyak sumbangan kepada murid sekolah Tamil untuk mencapai hasil persekolahan anak-anak mereka. Ibu bapa murid India berasal daripada taraf sosio ekonomi yang rendah (Marimuthu, 1994). Iklim SJK Tamil seperti persekitaran sekolah, kemudahan fizikal, guru dan kepimpinanlah menjadi pendorong kepada kemajuan akademik murid-murid di SJK Tamil.
Kajian ini membuat tinjauan tentang persepsi guru-guru besar SJKT terhadap iklim akademik murid di sekolah mereka. Iklim akademik ini dibataskan kepada 5 dimensi yang diubahsuaikan daripada Model Iklim Akademik Brookover (1979) iaitu, a) kesia-siaan akademik, b) penilaian dan jangkaan masa depan murid, c) penilaian dan jangkaan ibu bapa dan guru terhadap murid, d) galakan dan norma guru dan e) norma akademik murid.
2.0 Objektif Kajian
Kajian ini bertujuan untuk:

-mengkaji input guru besar terhadap iklim akademik murid.

3.0 Soalan Kajian
Berdasarkan objektif tersebut soalan berikut telah dikemukakan dalam kajian ini, iaitu:
Apakah input guru besar terhadap kesia-siaan akademik, penilaian dan jangkaan masa depan, penilaian dan jangkaan ibu bapa dan guru terhadap murid, galakan dan norma guru dan norma akademik murid?
4.0 Sorotan Literatur
4.1. Kepimpinan Sekolah
Pemimpin sekolah yang dimaksudkan dalam kajian ini ialah guru besar SJK Tamil. Guru besar ialah individu yang paling penting dan berpengaruh di sesebuah sekolah. Guru besar bertanggung jawab ke atas semua aktiviti yang berlaku di sekolah. Kepimpinan seseorang guru besar menentukan nada sekolah, iklim pembelajaran, tahap profesionalisme dan moral guru serta darjat keprihatinan terhadap murid, guru dan sekolah (Kamaruddin Hussein, 1994). Guru besar juga bertindak sebagai penghubung utama antara komuniti dengan sekolah. Kepimpinan guru besar menyebabkan sekolah itu berjaya, inovatif, fokus murid, terkenal dengan kecemerlangan dalam pembelajaran dan cemerlang dalam melahirkan murid yang gigih dan berjaya (House, 1971).
4.2.Iklim Akademik Murid
Iklim akademik murid dalam kajian ini mencakupi persepsi guru besar terhadap iklim akademik murid-murid mereka. Untuk kajian ini persepsi tersebut dibahagikan kepada lima faktor iaitu a) kesia-siaan akademik murid b) penilaian dan jangkaan masa hadapan murid c) penilaian dan jangkaan ibu bapa dan guru terhadap murid d) galakan guru dan norma guru dan e) norma akademik murid (Brookover, 1979).
4.3. Kepimpinan Sekolah dan Iklim Akademik Sekolah
Kepimpinan memainkan peranan dalam keberkesanan sekolah, budaya dan iklim akademik sekolah. Fullan (1992) menyatakan bahawa peranan guru besar kini telah dibentuk semula daripada pemimpin kepada pemimpin pengajaran. Ciri-ciri yang terdapat dalam kalangan pemimpin sekolah untuk membentuk iklim akademik sekolah yang positif adalah antaranya pemimpin mempunyai sikap berani menghadapi risiko, tidak berpuas hati dengan status quo, dan tidak pula dihalang oleh sekatan-sekatan organisasi (Hussein Mahmood, 1993). Selain itu pemimpin seperti ini menjadi teladan kepada guru-gurunya dan berpegang kepada keyakinan bahawa sekolah akan mencapai kejayaan. Dengan menggunakan pendekatan ’empowerment’ yang betul dalam membuat keputusan, pemimpin begini berjaya mempengaruhi “the capacity to improve from within” dan keduanya, pemimpin yang berkesan mempunyai satu komitmen yang amat kuat kepada pengupayaan guru-guru melalui permuafakatan (Fullan, 1992).
Seseorang pemimpin transformasional mempunyai matlamat yang jelas dalam mengurus dan mentadbir iklim dan budaya akademik sekolah yang positif. Pemimpin perlu mempunyai komitmen kepada nilai-nilai teras yang dipersetujui dan dilaksanakan oleh semua staf. Beliau mengamalkan etika penyayang dan mewujudkan visi dan hala tuju yang jelas dengan staf serta menggalakkan permuaafakatan apabila membuat keputusan demi kemajuan murid di sekolah (Mortimore, 1988). Kajian-kajian mendapati bahawa terdapatnya perkaitan yang amat rapat antara iklim akademik sekolah yang positif dengan ciri-ciri pengukuran terhadap kejayaan dan keberkesanan sesebuah sekolah itu seperti; pencapaian akademik, disiplin yang tinggi, produktiviti staf dan pengurusan yang berkesan. Pentingnya kepemimpinan yang berkesan tidak dapat dinafikan dalam mempengaruhi kualiti dan iklim akademik sekolah secara positif dan secara keseluruhan. Biasanya guru besarlah diletakkan segala harapan bagi menjadikan sesebuah sekolah itu maju, berjaya, meningkat dan cemerlang dari semasa ke semasa. “Bagaimana guru besar, begitulah sekolahnya” Kenyataan ini sedikit sebanyak memberikan gambaran betapa besarnya tanggungjawab seseorang guru besar dalam urusan untuk melahirkan “corak” sekolahnya itu, sama ada untuk kebaikan atau pun sebaliknya (Omar Hashim, 1993).
Peranan pemimpin sekolah tidak dapat diabaikan dalam pembentukan iklim akademik murid. Pemimpin yang dilabelkan sebagai berkesan atau bagus membawa sekolah ke hala tuju yang berkesan dan bagus. Kemajuan dan kejayaan sesebuah sekolah banyak bergantung kepada kepimpinan sekolah. Pemimpin yang mengusahakan struktur baru dalam interaksi antara sistem sosial sekolah akan membawa perubahan-perubahan terhadap matlamat, prosedur, input, proses dan pencapaian akademik murid (Abdul Shukor Abdullah, 1995). Terdapat pertalian yang signifikan antara tingkah laku kepimpinan guru besar dengan iklim akademik murid.
Sekolah yang efektif dipimpin oleh guru besar yang berkesan manakala sekolah yang kurang efektif dipimpin oleh guru besar yang kurang berkesan (Hussein Mahmood, 1993). Kesan tingkah laku guru besar terhadap pembelajaran murid disalurkan melalui variabel perantaraan. Bagaimanapun ada juga kajian menunjukkan bahawa tingkah laku guru besar tidak mempunyai kesan secara langsung terhadap pencapaian murid di sekolah (Fullan, 2001). Guru besar hanya menjalankan tugas dengan menterjemahkan jangkaan tinggi terhadap murid kepada dasar-dasar sekolah (Hussein Mahmood, 1993). Dasar-dasar ini dilakukan sebagai amalan di sekolah. Amalan-amalan inilah yang memajukan tingkah laku murid ke arah pencapaian dan pembinaan konsep kendiri yang positif.
Di peringkat sekolah, dasar sekolah yang boleh memberi kesan terhadap pembelajaran murid adalah berkaitan dengan fungsi dan struktur sosialnya. Pemimpin sekolah boleh memantau iklim akademik murid di sekolah. Hal ini dapat dilakukan dengan memantau kerja rumah murid, mengesan kemajuan murid, menggred, memulih dan melaporkan kemajuan murid kepada ibu bapa murid. Kepimpinan dan iklim akademik sekolah saling mempengaruhi dan memberi kesan terhadap pencapaian murid di sekolah (Gameron, 1992). Terdapat hubungan timbal balik antara tingkah laku guru besar dengan pencapaian murid.
Tingkah laku rutin pemimpin seperti menetapkan matlamat sekolah, merancang, mengawal dan menilai prestasi murid dan guru secara langsung memberi kesan terhadap iklim akademik murid. Model ini juga menunjukkan pencapaian murid adalah kesan langsung daripada tingkah laku guru besar. Peranan guru besar lebih terserlah di dalam sekolah seperti iklim akademik sekolah dan kepimpinan sekolah daripada di luar sekolah.

Iklim akademik sekolah merangkumi varibel “apa yang dirasai dan dinikmati” oleh seseorang murid di sekolah itu. (Hussein, 1993). Hal ini merangkumi keadaan fizikal sekolah, susun atur dan lanskap sekolah, perhubungan sosial antara guru dengan murid, murid dengan murid, guru besar dengan guru dan murid dan lain-lain. Faktor iklim akademik sekolah ini termasuk juga aspek budaya sekolah iaitu apa yang dilakukan di sekolah seperti cara sekolah diurus dan ditadbirkan, upacara, lambang, sistem penghargaan, nilai dan kepercayaan guru, moral dan tingkah laku manusia lain di sekolah. Kesan tingkah laku pemimpin sekolah terhadap pencapaian murid berlaku secara tidak langsung. Walau bagaimanapun kajian Fullan (2001) menunjukkan bahawa kesan tingkah laku guru besar terhadap prestasi murid adalah sedikit tetapi signifikan. Oleh yang demikian amatlah jelas bahawa tingkah laku guru besar memainkan peranan penting dalam mempengaruhi atau memberi kesan terhadap pencapaian murid di sekolah. Model ini amat penting dan efektif untuk mewujudkan sekolah berkesan dan melaksanakan sesuatu program akademik di sekolah.
5.0 Kaedah Kajian
Pendekatan yang telah digunakan ialah kualitatif iaitu kaedah temubual separa berstruktur dan analisis dokumen sekolah untuk menjawab soalan kajian yang bersifat kualitatif iaitu:
Apakah input guru besar terhadap kesia-siaan akademik, penilaian dan jangkaan masa depan, penilaian dan jangkaan ibu bapa dan guru terhadap murid, galakan dan norma guru dan norma akademik murid?
Beberapa soalan separa berstruktur telah ditanya kepada guru-guru besar. Seramai tiga orang guru besar di SJKT ladang, seorang guru besar di SJKT pinggir bandar dan seorang guru besar di SJKT bandar telah ditemubual. Berdasarkan jawapan mereka, soalan-soalan mencungkil soalan tambahan juga telah ditanya. Kesemua soalan yang dikemukakan akan menjawab soalan kualitatif.
5.1.Temubual dengan Guru Besar
Dalam kajian ini temubual diadakan dengan guru-guru besar sekolah yang terpilih. Guru besar sebagai pengurus, pentadbir dan pemimpin lebih memahami budaya, iklim dan persekitaran sekolah berbanding pihak lain (Sufean Hussien, 2002). Soalan-soalan temubual dibina oleh penyelidik berdasarkan item dalam instrumen soal selidik murid. Sebanyak 27 soalan temubual separa berstruktur yang terdiri daripada kelima-lima dimensi iklim akademik murid telah dikemukakan. Temubual ini telah memberi kefahaman yang mendalam kepada penyelidik tentang subjek kajian. Antara soalannya ialah:
1. Sejauh manakah guru-guru di sekolah ini menekankan kepentingan akademik dalam kalangan murid?
2. Bagaimanakah cikgu mencungkil minat murid terhadap pelajaran?
3. Pada pendapat cikgu, sehingga peringkat manakah murid sekolah ini dapat mencapai akademiknya?

Antara kandungan temubual tersebut adalah mengenai jangkaan, penilaian, tanggapan dan aspirasi mereka terhadap murid sekolah mereka. Sejauh mana guru-guru dan ibu bapa membantu murid-murid sekolah dari segi pembelajaran dan komitmen mereka di sekolah juga telah dijadikan soalan dalam temubual.

6.0 Dapatan Kajian
Dapatan temubual guru besar SJK Tamil mengenai iklim akademik murid dari
segi kesia-siaan akademik murid, penilaian dan jangkaan masa depan, penilaian dan
jangkaan ibu bapa dan guru terhadap murid, galakan dan norma guru dan norma
akademik murid turut dikaji.

6.1.Kesia-siaan Akademik Murid
Guru besar sebagai pemimpin sekolah mentafsirkan kesia-siaan terhadap pelajaran sebagai sikap murid yang tidak mementingkan masa depan. Mereka berpendapat nasib murid SJK Tamil di negara ini hanya berubah jika mereka mengubah ‘mindset’ mereka. Rata-rata guru besar tidak bersetuju sama sekali bahawa punca utama kesia-siaan akademik adalah disebabkan oleh guru sekolah. Mereka berpendapat guru-guru SJK Tamil di ladang, pinggir bandar ataupun bandar memang sedia membantu murid.
Guru besar di bandar dan pinggir bandar mempunyai pendapat yang hampir sama terhadap kesia-siaan murid ini. Walaupun tidak banyak murid sekolah pinggir bandar dan bandar yang mempunyai sikap ini, namun masalah ini perlu ditangani. Menurut mereka murid-murid ini tidak berminat untuk belajar dan tidak banyak masa digunakan untuk aktiviti pembelajaran. Mereka berpendapat bahawa murid tidak mementingkan pelajaran kerana terdapat pekerjaan di pasaran yang tidak memerlukan kelayakan akademik seperti bekerja sendiri dan bekerja di kilang.
Menurut guru-guru besar, terdapat juga satu lagi golongan murid yang tidak mempedulikan pelajaran iaitu murid ini datang ke sekolah dengan pakaian lengkap tetapi tidak mahu belajar. Mereka enggan membuat sebarang kerja sekolah dan tidak memberi perhatian ketika guru mengajar. Menurut guru besar bandar murid seumpama ini tidak begitu ramai. Murid-murid ini berasal daripada keluarga berada atau kelas tinggi. Menurut guru besar, kesia-siaan murid disebabkan oleh ibu bapa mereka terlalu memberi kebebasan dan memberi wang yang lebih daripada cukup sebagai wang saku.
6.2.Penilaian dan Jangkaan Masa Depan Murid
Menurut guru-guru besar sebanyak 75% atau 375 orang murid sekolah bandar, pinggir bandar mahupun ladang menyatakan hasrat mereka melanjutkan pengajian tinggi sehingga ke peringkat tinggi. Sebanyak 50% atau 250 orang murid ingin melanjutkan pengajian ke peringkat universiti dan 25% atau 125 orang murid yang lain ingin melanjutkan pengajian sehingga peringkat kolej sahaja. Hasil tinjauan guru-guru mereka menunjukkan tidak seorang pun murid yang hendak menghabiskan pengajian sehingga ke peringkat menengah sahaja. Guru besar berpendapat murid-murid SJK Tamil mempunyai aspirasi tinggi untuk melanjutkan pelajaran. Guru besar sekolah ladang amat optimis murid mereka dapat melanjutkan pelajaran sekurang-kurangnya ke peringkat kolej. Menurut dapatan guru besar bandar, murid sekolah bandar mempunyai tahap keyakinan tinggi.

Dapatan temu bual dengan guru besar sekolah pinggir bandar juga menunjukkan perspektif yang sama. Cuma bezanya hanya tiga perempat daripada jumlah murid sekolah mereka dapat melanjutkan pelajaran. Dapatan menunjukkan murid sekolah ini tidak begitu mempunyai jangkaan tinggi. Terdapat murid-murid mengakui kelemahan mereka. Murid seumpama ini menilai diri mereka sama ada boleh belajar terus atau tidak. Guru besar pinggir bandar menyatakan bahawa murid-murid yang pandai dan sederhana di sekolahnya menyatakan keyakinan bahawa mereka akan berjaya dalam hidup. Menurut guru besar ini, murid-murid lemah yang ditemuinya, tidak begitu optimis dengan masa depan mereka. Walaupun usia mereka hanya 10 tahun, tetapi mereka memberi alasan nasib tidak akan menyebelahi mereka apabila mereka dewasa nanti.
Penilaian dan jangkaan masa depan murid sekolah ladang banyak bergantung kepada guru. Kecuali guru mereka memberi keyakinan tentang masa depan, murid sekolah ladang tidak akan menyatakan hasrat mereka. Dapatan menunjukkan bahawa hampir semua murid tidak berani menyatakan pendapat mereka tentang masa depan kepada guru besar mereka. Guru besar dapat mengetahui hasrat mereka melalui percakapan mereka dengan guru kelas mereka. Menurut guru besar sekolah ladang, murid-muridnya amat malu bercakap tentang masa depan mereka. Hal ini kerana mereka menganggap kelemahan yang ada pada mereka menjadi halangan untuk mereka berjaya. Murid-murid ini tidak bersikap terus-terang dan hasrat masa depan mereka terpendam begitu sahaja.
Menurut guru besar sekolah ladang, murid-murid ladang menilai diri mereka sangat lemah, tidak begitu optimis dan bersikap pesimis terhadap diri dan masa depan mereka. Sesetengah guru besar memberitahu penyelidik bahawa terdapat beberapa orang murid yang pandai bercakap dan sering memberitahu rakan lain bahawa mereka akan melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti dan ada yang ingin menjadi doktor, peguam, jurutera dan sebagainya. Namun dari segi akademik, murid ini amat lemah dan sudah pasti mereka tidak akan mencapai tahap itu.
Murid-murid sekolah ladang mempunyai penilaian dan jangkaan yang amat tipis. Menurut guru besar, ibu bapa tidak boleh meletakkan harapan mereka terlalu tinggi terhadap anak mereka. Sebagai pendidik tidak banyak dapat disumbangkan oleh mereka kepada pembentukan sikap positif murid tentang masa depan murid. Dapatan menunjukkan hanya ibu bapalah yang boleh memberi kata-kata perangsang dan nasihat kepada mereka tentang masa depan murid. Kesedaran ibu bapa tentang masa depan anak adalah lebih penting daripada pembentukan sikap oleh guru di sekolah ladang.
6.3.Penilaian dan Jangkaan Ibu Bapa terhadap Murid
Kesemua guru besar menyatakan bahawa mereka selalu memberi sokongan kepada ibu bapa dan guru jika mereka mencadangkan sebarang aktiviti yang berfaedah kepada murid. Seorang guru besar di ladang memberitahu bahawa beliau sering menggunakan pelbagai kaedah untuk mempertemukan ibu bapa dan guru. Seorang guru besar sekolah ladang memberitahu penyelidik bahawa sebanyak 77% atau 193 orang ibu bapa dan guru mempunyai penilaian dan jangkaan yang positif terhadap murid. Hal ini dapat dilihat apabila kedua-dua pihak sering mengadakan perbincangan dengan guru besar sekolah ladang tentang cara-cara meningkatkan pencapaian akademik murid sekolah ladang. Manakala sebanyak 23% atau 57 orang ibu bapa dan guru langsung tidak mempedulikan akademik murid. Mereka tidak begitu yakin dengan murid kerana murid amat lemah dan tidak percaya mereka boleh melanjutkan pengajian sekolah menengah.
Data menunjukkan bahawa guru-guru datang ke sekolah mengajar mengikut Huraian Sukatan Pelajaran dan tiada sebarang aktiviti tambahan seperti kelas tambahan atau pemulihan kepada murid yang lemah.
Dari segi penilaian ibu bapa terhadap murid, memang positif di sekolah pinggir bandar. Mereka menyokong sekolah dengan menyediakan buku kerja, buku latihan dan alat bantu mengajar kepada sekolah. Guru besar sekolah bandar pula memuji ibu bapa muridnya kerana kerap datang melawat sekolah. Mereka mempunyai jangkaan positif terhadap anak mereka dan menyatakan anak-anak mereka akan berjaya dalam akademik kerana mereka sanggup membantu sekolah dalam apa jua cara sekalipun.
6.4.Galakan dan Norma Guru
Guru-guru besar sekolah ladang yang ditemubual berkata kebanyakan guru mereka memperlihatkan perlakuan yang kurang mesra dengan murid sebaliknya tumpuan utama diberi kepada bahan pengajaran. Menurut dapatan gaya pengajaran guru sekolah ladang ialah menghabiskan sukatan pelajaran dan pengajaran disampaikan secara umum tanpa mengambil kira sama ada murid-muridnya lemah atau pandai. Menurut guru-guru besar di sesetengah sekolah, sistem KBSR sudah tidak dilaksanakan sepenuhnya. Sesetengah guru masih mengajar menggunakan kaedah kapur dan cakap dan amat jarang mereka menggunakan alat bantuan mengajar yang disediakan oleh Kementerian untuk mengajar subjek-subjek yang abstrak seperti sains dan matematik. Data temubual guru-guru besar menunjukkan terdapat segelintir guru kurang berminat dan tidak serius dalam kerjayanya sebagai seorang guru.
Dapatan data tentang galakan dan norma guru daripada guru besar di sekolah pinggir bandar menunjukkan bahawa rangsangan sikap dan pendekatan guru merupakan pengaruh utama terhadap corak respons murid sekolah ini terhadap pengajaran dan galakan guru. Dapatan mengesahkan bahawa walaupun terdapat guru-guru yang kurang memiliki sahsiah yang positif, tetapi mereka boleh menimbulkan suasana pembelajaran yang memberangsangkan.
Guru besar sekolah bandar yang ditemubual mengakui guru-gurunya memberi galakan yang positif kepada murid dan mereka sendiri menjadi contoh yang terbaik kepada murid. Data menunjukkan guru-guru di sekolah bandar mengambil berat terhadap pencapaian akademik murid dan mereka percaya bahawa murid akan bekerja lebih gigih lagi dan tidak akan mensia-siakan masa depan mereka
6.5.Norma Akademik Murid
Dua orang guru besar sekolah ladang yang ditemubual mengatakan bahawa mereka menilai norma akademik murid dengan menganalisis keputusan akademik murid. Guru besar juga ditemubual untuk mendapatkan persepsi dan reaksi mereka terhadap norma akademik murid. Mengikut temubual, murid-murid sekolah ladang amat cepat berpuas hati apabila mereka mendapati keputusan mereka bertambah baik. Mereka berasa bangga jika keputusan mereka meningkat. Guru-guru besar melaporkan bahawa norma akademik murid banyak bergantung kepada inisiatif dan konsep kendiri mereka.
Data menunjukkan bahawa murid menganggap sekolah ini boleh dipercayai dan guru-guru telah menjalankan tugas mereka dengan baik jika pencapaian akademik mereka bertambah baik. Jika tidak, murid ini sering menyalahkan guru-guru tidak menjalankan tugas. Murid yang terlalu results oriented cepat bermasam muka jika gagal dan murid yang bukan result oriented pula bersikap selamba sahaja.
Sebagai guru besar, mereka juga mempunyai persepsi sendiri terhadap pencapaian anak didiknya. Kebanyakan guru besar bersetuju memberi pelbagai jenis ganjaran kepada murid yang menunjukkan minat dalam akademik. Antaranya memberi hadiah berbentuk buku, mengumumkan nama murid di perhimpunan dan menulis surat tahniah kepada murid dan waris.
Dari segi keupayaan akademik murid, kebanyakan guru besar menyatakan bahawa mereka berusaha mencungkil minat murid terhadap akademik dengan menyediakan latihan-latihan tambahan bagi murid yang lemah akademiknya. Mereka kerap meminta guru-guru mencadangkan idea untuk mengukuhkan kemahiran atau penguasaan murid dalam sesuatu mata pelajaran.
Guru-guru besar di ladang dan di bandar mempunyai pandangan yang sama dalam hal ini. Mereka memberi ruang kepada murid supaya lebih bertanya soalan kepada guru apabila guru selesai mengajar sesuatu topik. Dalam mesyuarat staf, guru-guru sering diperingatkan supaya menggalakkan murid bertanya. Melalui pertanyaan seseorang murid dapat meningkatkan keupayaan akademik mereka.
7.0 Perbincangan
Input-input guru-guru besar SJK Tamil dibahagi kepada lima dimensi iaitu i) kesia-siaan akademik murid, ii) penilaian dan jangkaan masa depan, iii) penilaian dan jangkaan ibu bapa dan guru terhadap murid, iv) galakan dan norma guru dan v) norma akademik murid.
Guru Besar SJKT ladang menyatakan murid SJK Tamil ladang terlalu banyak membuang masa dan tidak menganggap akademik itu sebagai satu asas penting untuk masa depan. Walaupun seorang guru besar tidak bersetuju dengan pandangan mereka. Hasil daripada pemerhatian penyelidik memang terdapat sikap kesia-siaan akademik dalam kalangan murid sekolah ladang. Hal ini kerana seramai 90% atau 225 orang murid datang ke sekolah ladang adalah daripada keluarga miskin dan kelas pekerja. Ibu bapa murid tidak dapat membantu murid dari segi akademik di rumah. Malah terdapat ibu bapa sendiri tidak begitu mementingkan kepentingan akademik. Hal ini sedikit sebanyak memberi impak kepada murid berkenaan. Sikap seumpama ini terdapat juga dalam kalangan murid sekolah pinggir bandar. Murid SJK Tamil bandar juga menunjukkan sikap kesia-siaan terhadap akademik. Lemahnya konsep kendiri dalam kalangan murid SJK Tamil menyebabkan mereka tidak begitu mementingkan akademik. Malah sikap mengambil mudah dan suka meniru jawapan kawan dan tidak menyiapkan kerja sekolah di rumah juga antara punca mereka mensia-siakan akademik.

Penilaian dan jangkaan masa depan dalam kalangan murid sekolah ladang amat banyak didapati. Guru-guru besar SJKT lading melaporkan keadaan ini berlaku kerana persepsi sesetengah guru terhadap murid mereka. Terdapat sesetengah guru menunjukkan persepsi yang positif terhadap murid mereka. Walaupun tidak banyak murid sekolah ladang akan melanjutkan pelajaran sehingga ke universiti tetapi mereka masih boleh menamatkan pengajian di peringkat kolej. Hal ini sedikit sebanyak mempengaruhi penilaian murid juga. Sementara murid-murid sekolah bandar dan pinggir bandar didapati mempunyai penilaian dan jangkaan masa depan yang agak sama kerana mereka sentiasa diberi motivasi dan dorongan oleh ibu bapa mereka yang berpelajaran. Dorongan ibu bapa yang terdiri daripada kelas menengah dan tinggi menyebabkan murid di sekolah bandar membuat perancangan untuk menghadapi masa depan mereka.
Iklim akademik murid SJK Tamil juga banyak bergantung kepada sejauh mana penilaian dan jangkaan ibu bapa dan guru terhadap murid. Di sekolah ladang ibu bapa tidak menunjukkan minat terhadap pelajaran anak mereka dan begitu juga dengan sikap segelintir guru memandang enteng terhadap kemampuan dan kebolehan akademik murid. Seramai 85% atau 212 orang ibu bapa menghantar anak ke sekolah ladang tanpa mempunyai sebarang visi dan misi tentang akademik anak-anak mereka. Ibu bapa dan guru-guru di SJK Tamil pinggir bandar dan bandar mempunyai tanggapan yang positif tentang murid sekolah-sekolah ini. Ibu bapa dan guru di sekolah-sekolah ini memberi dorongan sepanjang masa kepada murid dan berjaya mengadakan kelas pemulihan, kelas tambahan dan seminar kerjaya serta kem kecemerlangan akademik secara berusaha sama demi kecemerlangan akademik murid-murid.
Pencapaian murid dalam peperiksaan UPSR sejak tiga tahun kebelakangan menyokong kepentingan persepsi, kesungguhan dan komitmen ibu bapa dan guru dalam usaha memperoleh kemajuan akademik murid di sekolah pinggir bandar dan bandar. Ibu bapa harus lebih proaktif dan konsisten terhadap perkembangan akademik anak-anak mereka. Mereka hendaklah kerap datang berjumpa dengan guru kelas anak mereka untuk mengetahui perkembangan akademik dan tingkah laku anak-anak mereka di sekolah. Ibu bapa yang mempunyai anak yang cemerlang kerap meminta bantuan guru kelas untuk menyemak latihan-latihan tambahan yang dibuat oleh murid di rumah. Mereka lebih banyak meluangkan masa dan wang untuk meningkatkan prestasi pelajaran anak-anak mereka.
Galakan dan norma guru merupakan faktor yang sangat penting mempengaruhi iklim akademik murid SJK Tamil. Galakan guru yang konsisten dan berterusan dengan menasihati murid agar selalu memberi tumpuan terhadap akademik berjaya menimbulkan kesedaran akademik dalam kalangan murid SJK Tamil. Pengajaran yang stereotaip dapat diperhatikan di sekolah ladang. Guru-guru tidak menggalakkan murid banyak bertanya dan sebaliknya masa ditumpukan untuk menghabiskan sukatan pelajaran. Sama ada murid yang lemah memahami sesuatu konsep atau tidak, jarang diberi perhatian oleh guru. Hal ini disebabkan guru-guru di sekolah ladang kekurangan prasarana pelajaran dan kekurangan murid untuk membentuk kumpulan pandai, sederhana dan lemah melemahkan semangat guru memberi perhatian secara individu.

Bagaimanapun dapatan temubual menunjukkan guru-guru ini tidak patah semangat mengajar murid-murid. Fenomena yang berlainan pula didapati berlaku di SJK Tamil bandar. Di kedua-dua profil sekolah bandar dan pinggir bandar ini, guru-guru mengamalkan suatu sistem kerja yang seragam dan konsisten dan mereka memastikan sistem itu dijalankan sepanjang masa. Hal ini termasuklah penyemakan latihan kerja rumah, penyediaan bahan pengajaran dan pemantauan kemajuan akademik dilakukan sepanjang masa. Pemerhatian penyelidik dan hasil temubual dengan guru-guru besar di SJKT ladang mencadangkan galakan dan norma guru di sekolah ladang adalah tidak konsisten dan mereka sentiasa mengubah-ubah norma mereka. Manakala galakan dan norma guru di sekolah pinggir bandar dan bandar adalah lebih tegas dan tidak berkompromi dengan murid dengan norma-norma yang telah ditetapkan.
Dimensi yang paling penting membantu murid SJK Tamil untuk mewujudkan iklim akademik ialah norma akademik murid. Norma akademik murid ialah hasrat, matlamat dan hala tuju murid untuk mencapai matlamat pembelajaran. Sikap murid sekolah ladang yang sering tidak menghabiskan kerja sekolah, tidak membawa peralatan pembelajaran ke sekolah dan selalu memesongkan tumpuan guru apabila guru sedang mengajar dalam kelas menunjukkan murid sekolah ladang memiliki norma akademik yang tidak menggalakkan. Hal ini disebabkan kelemahan dari segi kognitif dan intelek dan tiada bimbingan ibu bapa di rumah menyebabkan murid sekolah ladang bersikap sedemikian.
Manakala murid sekolah pinggir bandar walaupun bukan semuanya mempunyai norma akademik yang positif, tetapi ada di antara mereka memang konsisten dengan kerja-kerja sekolah dan yakin mereka boleh berjaya dalam akademik. Pemerhatian, rekod sekolah dan hasil temu bual dengan guru besar SJKT bandar menunjukkan norma akademik murid sekolah bandar adalah lebih tinggi. Perkara ini disokong oleh dapatan bahawa murid-murid di sekolah ini sering menghabiskan kerja sekolah dengan cepat dan membuat kerja sendiri seperti membaca atau membuat latihan susulan apabila guru sedang melayani murid-murid lain dalam kelas.
8.0 Kesimpulan
Tuntasnya, kajian telah menunjukkan bahawa iklim akademik murid di sekolah bandar adalah lebih positif berbanding dengan sekolah di pinggir bandar dan ladang. Sumbangan guru besar di bandar didapati lebih memuaskan jika dibandingkan dengan sumbangan guru besar di sekolah-sekolah pinggir bandar dan ladang. Di samping kepimpinan guru besar, terdapat banyak lagi pihak memberi sumbangan yang aktif ke arah meningkatkan iklim akademik murid SJK Tamil. Sumbangan-sumbangan tersebut harus diteruskan untuk membantu murid SJK Tamil agar peningkatan kejayaan akademik yang cemerlang pada masa akan datang dapat dicapai oleh mereka.
RUJUKAN
Abdul Shukor b. Abdullah. (1995). Membina sekolah yang berkesan : Aplikasi dasar. Kertas Seminar Sekolah Efektif. Genting Highlands : Institut Aminudin Baki
Brookover, W. (1979). School Social Systems and Student Achievement. New York: Bergin Publisher Inc.
Bulach, C.R., Malone, B. dan Castleman, C. (1995). An investigation of variabels related to student achievement. Educational Reseracher, 8(2), 23-29.
Fullan, M.G. (1992). Successful School Improvement. Buckingham: Open University Press.
Fullan, M.G. (2001). The New Meaning of Educational Change (3rd Ed). New York: Teachers College Press
Gameron, A. (1992). Social Factors. In Education Encyclopedia of Educational Research 6th ed. New York: Mc Millan.
House, R.J. (1971). A path goal theory of leader effectiveness. Administrative Science Quarterly, 16, 321-338
Hussein b. Mahmood. (1993). Kepimpinan dan Keberkesanan Sekolah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kamarudin Hussein. (1994). Dinamika Sekolah dan Bilik Darjah. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Ltd.
Marimuthu, T. (1994). Pengenalan Sosiologi Pendidikan. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti.
Mortimore, P., Sammons, P., Stoll, L., Lewis, D. dan Ecob, R. (1988). School Matters. Baltimore: John Hopkins University Press.
Omar Hashim. (1993). Pendidikan, Persoalan, Penyelesaian Dan Harapan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Sufean Hussein. (2002). Dasar Pembangunan Pendidikan Di Malaysia: Teori dan Analisis. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.
Swenny, J. (1988). Tips for improving school climate. Education Leadership, 46, 200-220