ABSTRAK
Kertas kerja
ini mengkaji persepsi kepimpinan sekolah khususnya guru besar sekolah terhadap
iklim akademik murid. Iklim akademik murid terdiri daripada lima dimensi yang
penting iaitu i) kesia-siaan akademik murid ii) penilaian dan jangkaan masa
depan murid iii) penilaian dan jangkaan ibubapa dan guru terhadap murid iv)
galakan dan norma guru dan v) norma akademik murid. Kesemua dimensi ini dikaji
dengan kaedah temubual separa berstruktur dengan guru-guru besar. Guru Besar
terdiri daripada 3 profil sekolah iaitu seorang guru besar sekolah bandar,
seorang guru besar sekolah pinggir bandar dan tiga orang guru besar sekolah
ladang. Kaedah temubual ini dipilih untuk menjawab soalan kajian iaitu “Apakah
input guru besar terhadap kelima-lima dimensi tersebut?” Pemimpin sekolah yang
dimaksudkan dalam kajian ini ialah guru besar iaitu seorang individu yang
paling penting dan berpengaruh di sesebuah sekolah. Kepimpinannya menentukan
nada sekolah, iklim pembelajaran dan darjat keprihatinan terhadap murid dan
sekolah. Guru besar juga bertindak sebagai pentadbir yang menyebabkan sekolah
itu berjaya, inovatif, fokus murid, terkenal dengan kecemerlangan dalam
pembelajaran dan cemerlang dalam melahirkan murid yang gigih dan berjaya. Iklim
akademik murid mencakupi persepsi guru-guru besar dari ketiga-tiga kawasan
sekolah terhadap kelima-lima dimensi yang dinyatakan. Soalan soalan temubual
dibina oleh penyelidik berdasarkan instrumen Iklim Akademik Murid yang diubah
suai daripada Model Brookover yang pernah digunakan di Michigan, Amerika
Syarikat. Antara kandungan temubual tersebut adalah mengenai jangkaan,
penilaian, tanggapan dan aspirasi mereka terhadap murid sekolah. Dapatan
menunjukkan bahawa iklim akademik murid di sekolah bandar adalah lebih positif
berbanding dengan sekolah di pinggir bandar dan ladang.
Keywords :
School Leadership, School Academic Climate, Student Academic Climate
1.0
Pengenalan
Swenny (1988)
berpendapat bahawa iklim akademik sekolah yang berjaya atau positif merupakan
asas yang kukuh untuk menjalankan sebarang program pendidikan. Iklim akademik
sekolah yang menggalakkan membolehkan murid, guru dan pemimpin sekolah
menjalankan fungsi dengan baik dan berkesan iaitu mendorong murid untuk belajar
dan berjaya mencapai hasil persekolahan mereka (Bulach dan Castleman,
1995).Kajian ini memfokuskan iklim akademik murid di sekolah-sekolah Tamil.
Iklim akademik murid di sekolah Tamil memainkan peranan yang amat penting dalam
meningkatkan pencapaian murid-murid sekolah Tamil dalam pendidikan. Hakikatnya
persekitaran masyarakat India tidak memberi banyak sumbangan kepada murid
sekolah Tamil untuk mencapai hasil persekolahan anak-anak mereka. Ibu bapa
murid India berasal daripada taraf sosio ekonomi yang rendah (Marimuthu, 1994).
Iklim SJK Tamil seperti persekitaran sekolah, kemudahan fizikal, guru dan
kepimpinanlah menjadi pendorong kepada kemajuan akademik murid-murid di SJK
Tamil.
Kajian ini
membuat tinjauan tentang persepsi guru-guru besar SJKT terhadap iklim akademik
murid di sekolah mereka. Iklim akademik ini dibataskan kepada 5 dimensi yang
diubahsuaikan daripada Model Iklim Akademik Brookover (1979) iaitu, a)
kesia-siaan akademik, b) penilaian dan jangkaan masa depan murid, c) penilaian
dan jangkaan ibu bapa dan guru terhadap murid, d) galakan dan norma guru dan e)
norma akademik murid.
2.0 Objektif Kajian
Kajian ini bertujuan
untuk:
-mengkaji input guru
besar terhadap iklim akademik murid.
3.0 Soalan
Kajian
Berdasarkan
objektif tersebut soalan berikut telah dikemukakan dalam kajian ini, iaitu:
Apakah input
guru besar terhadap kesia-siaan akademik, penilaian dan jangkaan masa depan,
penilaian dan jangkaan ibu bapa dan guru terhadap murid, galakan dan norma guru
dan norma akademik murid?
4.0 Sorotan
Literatur
4.1.
Kepimpinan Sekolah
Pemimpin
sekolah yang dimaksudkan dalam kajian ini ialah guru besar SJK Tamil. Guru
besar ialah individu yang paling penting dan berpengaruh di sesebuah sekolah.
Guru besar bertanggung jawab ke atas semua aktiviti yang berlaku di sekolah.
Kepimpinan seseorang guru besar menentukan nada sekolah, iklim pembelajaran,
tahap profesionalisme dan moral guru serta darjat keprihatinan terhadap murid,
guru dan sekolah (Kamaruddin Hussein, 1994). Guru besar juga bertindak sebagai
penghubung utama antara komuniti dengan sekolah. Kepimpinan guru besar
menyebabkan sekolah itu berjaya, inovatif, fokus murid, terkenal dengan
kecemerlangan dalam pembelajaran dan cemerlang dalam melahirkan murid yang
gigih dan berjaya (House, 1971).
4.2.Iklim
Akademik Murid
Iklim
akademik murid dalam kajian ini mencakupi persepsi guru besar terhadap iklim
akademik murid-murid mereka. Untuk kajian ini persepsi tersebut dibahagikan kepada
lima faktor iaitu a) kesia-siaan akademik murid b) penilaian dan jangkaan masa
hadapan murid c) penilaian dan jangkaan ibu bapa dan guru terhadap murid d)
galakan guru dan norma guru dan e) norma akademik murid (Brookover, 1979).
4.3.
Kepimpinan Sekolah dan Iklim Akademik Sekolah
Kepimpinan
memainkan peranan dalam keberkesanan sekolah, budaya dan iklim akademik
sekolah. Fullan (1992) menyatakan bahawa peranan guru besar kini telah dibentuk
semula daripada pemimpin kepada pemimpin pengajaran. Ciri-ciri yang terdapat
dalam kalangan pemimpin sekolah untuk membentuk iklim akademik sekolah yang
positif adalah antaranya pemimpin mempunyai sikap berani menghadapi risiko,
tidak berpuas hati dengan status quo, dan tidak pula dihalang oleh
sekatan-sekatan organisasi (Hussein Mahmood, 1993). Selain itu pemimpin seperti
ini menjadi teladan kepada guru-gurunya dan berpegang kepada keyakinan bahawa
sekolah akan mencapai kejayaan. Dengan menggunakan pendekatan ’empowerment’
yang betul dalam membuat keputusan, pemimpin begini berjaya mempengaruhi “the
capacity to improve from within” dan keduanya, pemimpin yang berkesan mempunyai
satu komitmen yang amat kuat kepada pengupayaan guru-guru melalui permuafakatan
(Fullan, 1992).
Seseorang
pemimpin transformasional mempunyai matlamat yang jelas dalam mengurus dan
mentadbir iklim dan budaya akademik sekolah yang positif. Pemimpin perlu
mempunyai komitmen kepada nilai-nilai teras yang dipersetujui dan dilaksanakan
oleh semua staf. Beliau mengamalkan etika penyayang dan mewujudkan visi dan
hala tuju yang jelas dengan staf serta menggalakkan permuaafakatan apabila
membuat keputusan demi kemajuan murid di sekolah (Mortimore, 1988).
Kajian-kajian mendapati bahawa terdapatnya perkaitan yang amat rapat antara
iklim akademik sekolah yang positif dengan ciri-ciri pengukuran terhadap
kejayaan dan keberkesanan sesebuah sekolah itu seperti; pencapaian akademik,
disiplin yang tinggi, produktiviti staf dan pengurusan yang berkesan.
Pentingnya kepemimpinan yang berkesan tidak dapat dinafikan dalam mempengaruhi
kualiti dan iklim akademik sekolah secara positif dan secara keseluruhan.
Biasanya guru besarlah diletakkan segala harapan bagi menjadikan sesebuah
sekolah itu maju, berjaya, meningkat dan cemerlang dari semasa ke semasa.
“Bagaimana guru besar, begitulah sekolahnya” Kenyataan ini sedikit sebanyak
memberikan gambaran betapa besarnya tanggungjawab seseorang guru besar dalam
urusan untuk melahirkan “corak” sekolahnya itu, sama ada untuk kebaikan atau
pun sebaliknya (Omar Hashim, 1993).
Peranan
pemimpin sekolah tidak dapat diabaikan dalam pembentukan iklim akademik murid.
Pemimpin yang dilabelkan sebagai berkesan atau bagus membawa sekolah ke hala
tuju yang berkesan dan bagus. Kemajuan dan kejayaan sesebuah sekolah banyak
bergantung kepada kepimpinan sekolah. Pemimpin yang mengusahakan struktur baru
dalam interaksi antara sistem sosial sekolah akan membawa perubahan-perubahan
terhadap matlamat, prosedur, input, proses dan pencapaian akademik murid (Abdul
Shukor Abdullah, 1995). Terdapat pertalian yang signifikan antara tingkah laku
kepimpinan guru besar dengan iklim akademik murid.
Sekolah yang
efektif dipimpin oleh guru besar yang berkesan manakala sekolah yang kurang
efektif dipimpin oleh guru besar yang kurang berkesan (Hussein Mahmood, 1993).
Kesan tingkah laku guru besar terhadap pembelajaran murid disalurkan melalui
variabel perantaraan. Bagaimanapun ada juga kajian menunjukkan bahawa tingkah
laku guru besar tidak mempunyai kesan secara langsung terhadap pencapaian murid
di sekolah (Fullan, 2001). Guru besar hanya menjalankan tugas dengan
menterjemahkan jangkaan tinggi terhadap murid kepada dasar-dasar sekolah
(Hussein Mahmood, 1993). Dasar-dasar ini dilakukan sebagai amalan di sekolah.
Amalan-amalan inilah yang memajukan tingkah laku murid ke arah pencapaian dan
pembinaan konsep kendiri yang positif.
Di peringkat
sekolah, dasar sekolah yang boleh memberi kesan terhadap pembelajaran murid
adalah berkaitan dengan fungsi dan struktur sosialnya. Pemimpin sekolah boleh
memantau iklim akademik murid di sekolah. Hal ini dapat dilakukan dengan
memantau kerja rumah murid, mengesan kemajuan murid, menggred, memulih dan
melaporkan kemajuan murid kepada ibu bapa murid. Kepimpinan dan iklim akademik
sekolah saling mempengaruhi dan memberi kesan terhadap pencapaian murid di
sekolah (Gameron, 1992). Terdapat hubungan timbal balik antara tingkah laku
guru besar dengan pencapaian murid.
Tingkah laku
rutin pemimpin seperti menetapkan matlamat sekolah, merancang, mengawal dan
menilai prestasi murid dan guru secara langsung memberi kesan terhadap iklim
akademik murid. Model ini juga menunjukkan pencapaian murid adalah kesan
langsung daripada tingkah laku guru besar. Peranan guru besar lebih terserlah
di dalam sekolah seperti iklim akademik sekolah dan kepimpinan sekolah daripada
di luar sekolah.
Iklim
akademik sekolah merangkumi varibel “apa yang dirasai dan dinikmati” oleh
seseorang murid di sekolah itu. (Hussein, 1993). Hal ini merangkumi keadaan
fizikal sekolah, susun atur dan lanskap sekolah, perhubungan sosial antara guru
dengan murid, murid dengan murid, guru besar dengan guru dan murid dan
lain-lain. Faktor iklim akademik sekolah ini termasuk juga aspek budaya sekolah
iaitu apa yang dilakukan di sekolah seperti cara sekolah diurus dan
ditadbirkan, upacara, lambang, sistem penghargaan, nilai dan kepercayaan guru,
moral dan tingkah laku manusia lain di sekolah. Kesan tingkah laku pemimpin
sekolah terhadap pencapaian murid berlaku secara tidak langsung. Walau
bagaimanapun kajian Fullan (2001) menunjukkan bahawa kesan tingkah laku guru
besar terhadap prestasi murid adalah sedikit tetapi signifikan. Oleh yang
demikian amatlah jelas bahawa tingkah laku guru besar memainkan peranan penting
dalam mempengaruhi atau memberi kesan terhadap pencapaian murid di sekolah.
Model ini amat penting dan efektif untuk mewujudkan sekolah berkesan dan
melaksanakan sesuatu program akademik di sekolah.
5.0 Kaedah
Kajian
Pendekatan
yang telah digunakan ialah kualitatif iaitu kaedah temubual separa berstruktur
dan analisis dokumen sekolah untuk menjawab soalan kajian yang bersifat
kualitatif iaitu:
Apakah input
guru besar terhadap kesia-siaan akademik, penilaian dan jangkaan masa depan,
penilaian dan jangkaan ibu bapa dan guru terhadap murid, galakan dan norma guru
dan norma akademik murid?
Beberapa
soalan separa berstruktur telah ditanya kepada guru-guru besar. Seramai tiga
orang guru besar di SJKT ladang, seorang guru besar di SJKT pinggir bandar dan
seorang guru besar di SJKT bandar telah ditemubual. Berdasarkan jawapan mereka,
soalan-soalan mencungkil soalan tambahan juga telah ditanya. Kesemua soalan
yang dikemukakan akan menjawab soalan kualitatif.
5.1.Temubual
dengan Guru Besar
Dalam kajian
ini temubual diadakan dengan guru-guru besar sekolah yang terpilih. Guru besar
sebagai pengurus, pentadbir dan pemimpin lebih memahami budaya, iklim dan
persekitaran sekolah berbanding pihak lain (Sufean Hussien, 2002).
Soalan-soalan temubual dibina oleh penyelidik berdasarkan item dalam instrumen
soal selidik murid. Sebanyak 27 soalan temubual separa berstruktur yang terdiri
daripada kelima-lima dimensi iklim akademik murid telah dikemukakan. Temubual
ini telah memberi kefahaman yang mendalam kepada penyelidik tentang subjek
kajian. Antara soalannya ialah:
1. Sejauh manakah
guru-guru di sekolah ini menekankan kepentingan akademik dalam kalangan murid?
2. Bagaimanakah cikgu
mencungkil minat murid terhadap pelajaran?
3. Pada pendapat cikgu,
sehingga peringkat manakah murid sekolah ini dapat mencapai akademiknya?
Antara kandungan temubual tersebut
adalah mengenai jangkaan, penilaian, tanggapan dan aspirasi mereka terhadap
murid sekolah mereka. Sejauh mana guru-guru dan ibu bapa membantu murid-murid
sekolah dari segi pembelajaran dan komitmen mereka di sekolah juga telah
dijadikan soalan dalam temubual.
6.0 Dapatan
Kajian
Dapatan temubual guru besar SJK Tamil
mengenai iklim akademik murid dari
segi kesia-siaan akademik murid,
penilaian dan jangkaan masa depan, penilaian dan
jangkaan ibu bapa dan guru terhadap
murid, galakan dan norma guru dan norma
akademik murid turut dikaji.
6.1.Kesia-siaan
Akademik Murid
Guru besar
sebagai pemimpin sekolah mentafsirkan kesia-siaan terhadap pelajaran sebagai
sikap murid yang tidak mementingkan masa depan. Mereka berpendapat nasib murid
SJK Tamil di negara ini hanya berubah jika mereka mengubah ‘mindset’ mereka.
Rata-rata guru besar tidak bersetuju sama sekali bahawa punca utama kesia-siaan
akademik adalah disebabkan oleh guru sekolah. Mereka berpendapat guru-guru SJK
Tamil di ladang, pinggir bandar ataupun bandar memang sedia membantu murid.
Guru besar di
bandar dan pinggir bandar mempunyai pendapat yang hampir sama terhadap
kesia-siaan murid ini. Walaupun tidak banyak murid sekolah pinggir bandar dan
bandar yang mempunyai sikap ini, namun masalah ini perlu ditangani. Menurut
mereka murid-murid ini tidak berminat untuk belajar dan tidak banyak masa
digunakan untuk aktiviti pembelajaran. Mereka berpendapat bahawa murid tidak
mementingkan pelajaran kerana terdapat pekerjaan di pasaran yang tidak
memerlukan kelayakan akademik seperti bekerja sendiri dan bekerja di kilang.
Menurut
guru-guru besar, terdapat juga satu lagi golongan murid yang tidak mempedulikan
pelajaran iaitu murid ini datang ke sekolah dengan pakaian lengkap tetapi tidak
mahu belajar. Mereka enggan membuat sebarang kerja sekolah dan tidak memberi
perhatian ketika guru mengajar. Menurut guru besar bandar murid seumpama ini
tidak begitu ramai. Murid-murid ini berasal daripada keluarga berada atau kelas
tinggi. Menurut guru besar, kesia-siaan murid disebabkan oleh ibu bapa mereka
terlalu memberi kebebasan dan memberi wang yang lebih daripada cukup sebagai
wang saku.
6.2.Penilaian
dan Jangkaan Masa Depan Murid
Menurut
guru-guru besar sebanyak 75% atau 375 orang murid sekolah bandar, pinggir
bandar mahupun ladang menyatakan hasrat mereka melanjutkan pengajian tinggi
sehingga ke peringkat tinggi. Sebanyak 50% atau 250 orang murid ingin
melanjutkan pengajian ke peringkat universiti dan 25% atau 125 orang murid yang
lain ingin melanjutkan pengajian sehingga peringkat kolej sahaja. Hasil tinjauan
guru-guru mereka menunjukkan tidak seorang pun murid yang hendak menghabiskan
pengajian sehingga ke peringkat menengah sahaja. Guru besar berpendapat
murid-murid SJK Tamil mempunyai aspirasi tinggi untuk melanjutkan pelajaran.
Guru besar sekolah ladang amat optimis murid mereka dapat melanjutkan pelajaran
sekurang-kurangnya ke peringkat kolej. Menurut dapatan guru besar bandar, murid
sekolah bandar mempunyai tahap keyakinan tinggi.
Dapatan temu
bual dengan guru besar sekolah pinggir bandar juga menunjukkan perspektif yang
sama. Cuma bezanya hanya tiga perempat daripada jumlah murid sekolah mereka
dapat melanjutkan pelajaran. Dapatan menunjukkan murid sekolah ini tidak begitu
mempunyai jangkaan tinggi. Terdapat murid-murid mengakui kelemahan mereka. Murid
seumpama ini menilai diri mereka sama ada boleh belajar terus atau tidak. Guru
besar pinggir bandar menyatakan bahawa murid-murid yang pandai dan sederhana di
sekolahnya menyatakan keyakinan bahawa mereka akan berjaya dalam hidup. Menurut
guru besar ini, murid-murid lemah yang ditemuinya, tidak begitu optimis dengan
masa depan mereka. Walaupun usia mereka hanya 10 tahun, tetapi mereka memberi
alasan nasib tidak akan menyebelahi mereka apabila mereka dewasa nanti.
Penilaian dan
jangkaan masa depan murid sekolah ladang banyak bergantung kepada guru. Kecuali
guru mereka memberi keyakinan tentang masa depan, murid sekolah ladang tidak
akan menyatakan hasrat mereka. Dapatan menunjukkan bahawa hampir semua murid
tidak berani menyatakan pendapat mereka tentang masa depan kepada guru besar
mereka. Guru besar dapat mengetahui hasrat mereka melalui percakapan mereka
dengan guru kelas mereka. Menurut guru besar sekolah ladang, murid-muridnya
amat malu bercakap tentang masa depan mereka. Hal ini kerana mereka menganggap
kelemahan yang ada pada mereka menjadi halangan untuk mereka berjaya.
Murid-murid ini tidak bersikap terus-terang dan hasrat masa depan mereka
terpendam begitu sahaja.
Menurut guru
besar sekolah ladang, murid-murid ladang menilai diri mereka sangat lemah,
tidak begitu optimis dan bersikap pesimis terhadap diri dan masa depan mereka.
Sesetengah guru besar memberitahu penyelidik bahawa terdapat beberapa orang
murid yang pandai bercakap dan sering memberitahu rakan lain bahawa mereka akan
melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti dan ada yang ingin menjadi
doktor, peguam, jurutera dan sebagainya. Namun dari segi akademik, murid ini
amat lemah dan sudah pasti mereka tidak akan mencapai tahap itu.
Murid-murid
sekolah ladang mempunyai penilaian dan jangkaan yang amat tipis. Menurut guru
besar, ibu bapa tidak boleh meletakkan harapan mereka terlalu tinggi terhadap
anak mereka. Sebagai pendidik tidak banyak dapat disumbangkan oleh mereka
kepada pembentukan sikap positif murid tentang masa depan murid. Dapatan
menunjukkan hanya ibu bapalah yang boleh memberi kata-kata perangsang dan
nasihat kepada mereka tentang masa depan murid. Kesedaran ibu bapa tentang masa
depan anak adalah lebih penting daripada pembentukan sikap oleh guru di sekolah
ladang.
6.3.Penilaian
dan Jangkaan Ibu Bapa terhadap Murid
Kesemua guru
besar menyatakan bahawa mereka selalu memberi sokongan kepada ibu bapa dan guru
jika mereka mencadangkan sebarang aktiviti yang berfaedah kepada murid. Seorang
guru besar di ladang memberitahu bahawa beliau sering menggunakan pelbagai
kaedah untuk mempertemukan ibu bapa dan guru. Seorang guru besar sekolah ladang
memberitahu penyelidik bahawa sebanyak 77% atau 193 orang ibu bapa dan guru
mempunyai penilaian dan jangkaan yang positif terhadap murid. Hal ini dapat
dilihat apabila kedua-dua pihak sering mengadakan perbincangan dengan guru
besar sekolah ladang tentang cara-cara meningkatkan pencapaian akademik murid
sekolah ladang. Manakala sebanyak 23% atau 57 orang ibu bapa dan guru langsung
tidak mempedulikan akademik murid. Mereka tidak begitu yakin dengan murid
kerana murid amat lemah dan tidak percaya mereka boleh melanjutkan pengajian
sekolah menengah.
Data
menunjukkan bahawa guru-guru datang ke sekolah mengajar mengikut Huraian
Sukatan Pelajaran dan tiada sebarang aktiviti tambahan seperti kelas tambahan
atau pemulihan kepada murid yang lemah.
Dari segi
penilaian ibu bapa terhadap murid, memang positif di sekolah pinggir bandar.
Mereka menyokong sekolah dengan menyediakan buku kerja, buku latihan dan alat
bantu mengajar kepada sekolah. Guru besar sekolah bandar pula memuji ibu bapa
muridnya kerana kerap datang melawat sekolah. Mereka mempunyai jangkaan positif
terhadap anak mereka dan menyatakan anak-anak mereka akan berjaya dalam
akademik kerana mereka sanggup membantu sekolah dalam apa jua cara sekalipun.
6.4.Galakan
dan Norma Guru
Guru-guru
besar sekolah ladang yang ditemubual berkata kebanyakan guru mereka
memperlihatkan perlakuan yang kurang mesra dengan murid sebaliknya tumpuan
utama diberi kepada bahan pengajaran. Menurut dapatan gaya pengajaran guru
sekolah ladang ialah menghabiskan sukatan pelajaran dan pengajaran disampaikan
secara umum tanpa mengambil kira sama ada murid-muridnya lemah atau pandai.
Menurut guru-guru besar di sesetengah sekolah, sistem KBSR sudah tidak
dilaksanakan sepenuhnya. Sesetengah guru masih mengajar menggunakan kaedah
kapur dan cakap dan amat jarang mereka menggunakan alat bantuan mengajar yang
disediakan oleh Kementerian untuk mengajar subjek-subjek yang abstrak seperti
sains dan matematik. Data temubual guru-guru besar menunjukkan terdapat
segelintir guru kurang berminat dan tidak serius dalam kerjayanya sebagai
seorang guru.
Dapatan data
tentang galakan dan norma guru daripada guru besar di sekolah pinggir bandar
menunjukkan bahawa rangsangan sikap dan pendekatan guru merupakan pengaruh
utama terhadap corak respons murid sekolah ini terhadap pengajaran dan galakan
guru. Dapatan mengesahkan bahawa walaupun terdapat guru-guru yang kurang
memiliki sahsiah yang positif, tetapi mereka boleh menimbulkan suasana
pembelajaran yang memberangsangkan.
Guru besar
sekolah bandar yang ditemubual mengakui guru-gurunya memberi galakan yang
positif kepada murid dan mereka sendiri menjadi contoh yang terbaik kepada
murid. Data menunjukkan guru-guru di sekolah bandar mengambil berat terhadap
pencapaian akademik murid dan mereka percaya bahawa murid akan bekerja lebih
gigih lagi dan tidak akan mensia-siakan masa depan mereka
6.5.Norma
Akademik Murid
Dua orang
guru besar sekolah ladang yang ditemubual mengatakan bahawa mereka menilai
norma akademik murid dengan menganalisis keputusan akademik murid. Guru besar
juga ditemubual untuk mendapatkan persepsi dan reaksi mereka terhadap norma
akademik murid. Mengikut temubual, murid-murid sekolah ladang amat cepat
berpuas hati apabila mereka mendapati keputusan mereka bertambah baik. Mereka
berasa bangga jika keputusan mereka meningkat. Guru-guru besar melaporkan
bahawa norma akademik murid banyak bergantung kepada inisiatif dan konsep
kendiri mereka.
Data
menunjukkan bahawa murid menganggap sekolah ini boleh dipercayai dan guru-guru
telah menjalankan tugas mereka dengan baik jika pencapaian akademik mereka
bertambah baik. Jika tidak, murid ini sering menyalahkan guru-guru tidak
menjalankan tugas. Murid yang terlalu results oriented cepat bermasam muka jika
gagal dan murid yang bukan result oriented pula bersikap selamba sahaja.
Sebagai guru
besar, mereka juga mempunyai persepsi sendiri terhadap pencapaian anak
didiknya. Kebanyakan guru besar bersetuju memberi pelbagai jenis ganjaran
kepada murid yang menunjukkan minat dalam akademik. Antaranya memberi hadiah
berbentuk buku, mengumumkan nama murid di perhimpunan dan menulis surat tahniah
kepada murid dan waris.
Dari segi
keupayaan akademik murid, kebanyakan guru besar menyatakan bahawa mereka
berusaha mencungkil minat murid terhadap akademik dengan menyediakan
latihan-latihan tambahan bagi murid yang lemah akademiknya. Mereka kerap
meminta guru-guru mencadangkan idea untuk mengukuhkan kemahiran atau penguasaan
murid dalam sesuatu mata pelajaran.
Guru-guru
besar di ladang dan di bandar mempunyai pandangan yang sama dalam hal ini.
Mereka memberi ruang kepada murid supaya lebih bertanya soalan kepada guru
apabila guru selesai mengajar sesuatu topik. Dalam mesyuarat staf, guru-guru
sering diperingatkan supaya menggalakkan murid bertanya. Melalui pertanyaan
seseorang murid dapat meningkatkan keupayaan akademik mereka.
7.0
Perbincangan
Input-input
guru-guru besar SJK Tamil dibahagi kepada lima dimensi iaitu i) kesia-siaan
akademik murid, ii) penilaian dan jangkaan masa depan, iii) penilaian dan
jangkaan ibu bapa dan guru terhadap murid, iv) galakan dan norma guru dan v)
norma akademik murid.
Guru Besar
SJKT ladang menyatakan murid SJK Tamil ladang terlalu banyak membuang masa dan
tidak menganggap akademik itu sebagai satu asas penting untuk masa depan.
Walaupun seorang guru besar tidak bersetuju dengan pandangan mereka. Hasil
daripada pemerhatian penyelidik memang terdapat sikap kesia-siaan akademik
dalam kalangan murid sekolah ladang. Hal ini kerana seramai 90% atau 225 orang
murid datang ke sekolah ladang adalah daripada keluarga miskin dan kelas
pekerja. Ibu bapa murid tidak dapat membantu murid dari segi akademik di rumah.
Malah terdapat ibu bapa sendiri tidak begitu mementingkan kepentingan akademik.
Hal ini sedikit sebanyak memberi impak kepada murid berkenaan. Sikap seumpama
ini terdapat juga dalam kalangan murid sekolah pinggir bandar. Murid SJK Tamil
bandar juga menunjukkan sikap kesia-siaan terhadap akademik. Lemahnya konsep
kendiri dalam kalangan murid SJK Tamil menyebabkan mereka tidak begitu
mementingkan akademik. Malah sikap mengambil mudah dan suka meniru jawapan
kawan dan tidak menyiapkan kerja sekolah di rumah juga antara punca mereka
mensia-siakan akademik.
Penilaian dan
jangkaan masa depan dalam kalangan murid sekolah ladang amat banyak didapati.
Guru-guru besar SJKT lading melaporkan keadaan ini berlaku kerana persepsi
sesetengah guru terhadap murid mereka. Terdapat sesetengah guru menunjukkan
persepsi yang positif terhadap murid mereka. Walaupun tidak banyak murid sekolah
ladang akan melanjutkan pelajaran sehingga ke universiti tetapi mereka masih
boleh menamatkan pengajian di peringkat kolej. Hal ini sedikit sebanyak
mempengaruhi penilaian murid juga. Sementara murid-murid sekolah bandar dan
pinggir bandar didapati mempunyai penilaian dan jangkaan masa depan yang agak
sama kerana mereka sentiasa diberi motivasi dan dorongan oleh ibu bapa mereka
yang berpelajaran. Dorongan ibu bapa yang terdiri daripada kelas menengah dan
tinggi menyebabkan murid di sekolah bandar membuat perancangan untuk menghadapi
masa depan mereka.
Iklim
akademik murid SJK Tamil juga banyak bergantung kepada sejauh mana penilaian
dan jangkaan ibu bapa dan guru terhadap murid. Di sekolah ladang ibu bapa tidak
menunjukkan minat terhadap pelajaran anak mereka dan begitu juga dengan sikap
segelintir guru memandang enteng terhadap kemampuan dan kebolehan akademik
murid. Seramai 85% atau 212 orang ibu bapa menghantar anak ke sekolah ladang
tanpa mempunyai sebarang visi dan misi tentang akademik anak-anak mereka. Ibu
bapa dan guru-guru di SJK Tamil pinggir bandar dan bandar mempunyai tanggapan
yang positif tentang murid sekolah-sekolah ini. Ibu bapa dan guru di
sekolah-sekolah ini memberi dorongan sepanjang masa kepada murid dan berjaya
mengadakan kelas pemulihan, kelas tambahan dan seminar kerjaya serta kem
kecemerlangan akademik secara berusaha sama demi kecemerlangan akademik
murid-murid.
Pencapaian
murid dalam peperiksaan UPSR sejak tiga tahun kebelakangan menyokong
kepentingan persepsi, kesungguhan dan komitmen ibu bapa dan guru dalam usaha
memperoleh kemajuan akademik murid di sekolah pinggir bandar dan bandar. Ibu
bapa harus lebih proaktif dan konsisten terhadap perkembangan akademik
anak-anak mereka. Mereka hendaklah kerap datang berjumpa dengan guru kelas anak
mereka untuk mengetahui perkembangan akademik dan tingkah laku anak-anak mereka
di sekolah. Ibu bapa yang mempunyai anak yang cemerlang kerap meminta bantuan
guru kelas untuk menyemak latihan-latihan tambahan yang dibuat oleh murid di
rumah. Mereka lebih banyak meluangkan masa dan wang untuk meningkatkan prestasi
pelajaran anak-anak mereka.
Galakan dan
norma guru merupakan faktor yang sangat penting mempengaruhi iklim akademik
murid SJK Tamil. Galakan guru yang konsisten dan berterusan dengan menasihati
murid agar selalu memberi tumpuan terhadap akademik berjaya menimbulkan
kesedaran akademik dalam kalangan murid SJK Tamil. Pengajaran yang stereotaip
dapat diperhatikan di sekolah ladang. Guru-guru tidak menggalakkan murid banyak
bertanya dan sebaliknya masa ditumpukan untuk menghabiskan sukatan pelajaran.
Sama ada murid yang lemah memahami sesuatu konsep atau tidak, jarang diberi perhatian
oleh guru. Hal ini disebabkan guru-guru di sekolah ladang kekurangan prasarana
pelajaran dan kekurangan murid untuk membentuk kumpulan pandai, sederhana dan
lemah melemahkan semangat guru memberi perhatian secara individu.
Bagaimanapun
dapatan temubual menunjukkan guru-guru ini tidak patah semangat mengajar
murid-murid. Fenomena yang berlainan pula didapati berlaku di SJK Tamil bandar.
Di kedua-dua profil sekolah bandar dan pinggir bandar ini, guru-guru
mengamalkan suatu sistem kerja yang seragam dan konsisten dan mereka memastikan
sistem itu dijalankan sepanjang masa. Hal ini termasuklah penyemakan latihan
kerja rumah, penyediaan bahan pengajaran dan pemantauan kemajuan akademik
dilakukan sepanjang masa. Pemerhatian penyelidik dan hasil temubual dengan
guru-guru besar di SJKT ladang mencadangkan galakan dan norma guru di sekolah
ladang adalah tidak konsisten dan mereka sentiasa mengubah-ubah norma mereka.
Manakala galakan dan norma guru di sekolah pinggir bandar dan bandar adalah
lebih tegas dan tidak berkompromi dengan murid dengan norma-norma yang telah
ditetapkan.
Dimensi yang paling penting membantu murid SJK Tamil
untuk mewujudkan iklim akademik ialah norma akademik murid. Norma akademik
murid ialah hasrat, matlamat dan hala tuju murid untuk mencapai matlamat
pembelajaran. Sikap murid sekolah ladang yang sering tidak menghabiskan kerja
sekolah, tidak membawa peralatan pembelajaran ke sekolah dan selalu memesongkan
tumpuan guru apabila guru sedang mengajar dalam kelas menunjukkan murid sekolah
ladang memiliki norma akademik yang tidak menggalakkan. Hal ini disebabkan
kelemahan dari segi kognitif dan intelek dan tiada bimbingan ibu bapa di rumah
menyebabkan murid sekolah ladang bersikap sedemikian.
Manakala
murid sekolah pinggir bandar walaupun bukan semuanya mempunyai norma akademik
yang positif, tetapi ada di antara mereka memang konsisten dengan kerja-kerja
sekolah dan yakin mereka boleh berjaya dalam akademik. Pemerhatian, rekod
sekolah dan hasil temu bual dengan guru besar SJKT bandar menunjukkan norma
akademik murid sekolah bandar adalah lebih tinggi. Perkara ini disokong oleh
dapatan bahawa murid-murid di sekolah ini sering menghabiskan kerja sekolah
dengan cepat dan membuat kerja sendiri seperti membaca atau membuat latihan
susulan apabila guru sedang melayani murid-murid lain dalam kelas.
8.0
Kesimpulan
Tuntasnya,
kajian telah menunjukkan bahawa iklim akademik murid di sekolah bandar adalah
lebih positif berbanding dengan sekolah di pinggir bandar dan ladang. Sumbangan
guru besar di bandar didapati lebih memuaskan jika dibandingkan dengan
sumbangan guru besar di sekolah-sekolah pinggir bandar dan ladang. Di samping
kepimpinan guru besar, terdapat banyak lagi pihak memberi sumbangan yang aktif
ke arah meningkatkan iklim akademik murid SJK Tamil. Sumbangan-sumbangan
tersebut harus diteruskan untuk membantu murid SJK Tamil agar peningkatan
kejayaan akademik yang cemerlang pada masa akan datang dapat dicapai oleh
mereka.
RUJUKAN
Abdul Shukor b.
Abdullah. (1995). Membina sekolah yang berkesan : Aplikasi dasar. Kertas
Seminar Sekolah Efektif. Genting Highlands : Institut Aminudin Baki
Brookover, W. (1979).
School Social Systems and Student Achievement. New York: Bergin Publisher Inc.
Bulach, C.R., Malone, B.
dan Castleman, C. (1995). An investigation of variabels related to student
achievement. Educational Reseracher, 8(2), 23-29.
Fullan, M.G. (1992).
Successful School Improvement. Buckingham: Open University Press.
Fullan, M.G. (2001). The
New Meaning of Educational Change (3rd Ed). New York: Teachers College Press
Gameron, A. (1992).
Social Factors. In Education Encyclopedia of Educational Research 6th ed. New
York: Mc Millan.
House, R.J. (1971). A
path goal theory of leader effectiveness. Administrative Science Quarterly, 16,
321-338
Hussein b. Mahmood.
(1993). Kepimpinan dan Keberkesanan Sekolah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Kamarudin Hussein.
(1994). Dinamika Sekolah dan Bilik Darjah. Kuala Lumpur: Utusan Publications
& Distributors Ltd.
Marimuthu, T. (1994).
Pengenalan Sosiologi Pendidikan. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti.
Mortimore, P., Sammons,
P., Stoll, L., Lewis, D. dan Ecob, R. (1988). School Matters. Baltimore: John
Hopkins University Press.
Omar Hashim. (1993).
Pendidikan, Persoalan, Penyelesaian Dan Harapan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Sufean Hussein. (2002).
Dasar Pembangunan Pendidikan Di Malaysia: Teori dan Analisis. Kuala Lumpur:
Penerbit Universiti Malaya.
Swenny, J. (1988). Tips
for improving school climate. Education Leadership, 46, 200-220
No comments:
Post a Comment