Saturday, 4 July 2015

Karangan-Masalah Banjir

Setiap kali banjir berlaku, pihak-pihak tertentu gagal memantau kawasan persekitaran sungai. Kawasan persekitaran sungai sangat penting untuk dijaga. Huraikan kepentingan kawasan persekitaran sungai.
Belakangan ini, bencana banjir sering terpapar di dada akhbar. Walaupun pelbagai langkah pembendungan diambil, namun kawasan persekitaran sungai yang menjadi punca berlakunya banjir ini gagal dipantau oleh pihak berkuasa. Memang tidak dapat dinafikan bahawa kawasan persekitaran sungai banyak kepentingan jika dijaga dan dipantau.
Kawasan persekitaran sungai dapat melindungi sungai daripada tercemar. Persekitaran sungai menjaga sungai dari segi ekosistemnya. Hal ini bermakna sungai tidak akan tercemar dengan pembuangan bahan toksik dan sampah sarap. Malah keadaan ini menjamin aktiviti manusia di sepanjang sungai. Air yang tidak tercemar dapat dimanfaatkan untuk keperluan domestic.
Kawasan persekitaran sungai dapat mengawal banjir. Hujan lebat yang mengakibatkan banjir tidak dapat ditampung sepenuhnya oleh sungai. Limpahan air sungai akan mendorong kejadian banjir kilat. Namun begitu tumbuh-tumbuhan di sekitar sungai dapat menyerap air yang berlebihan dan keadaan ini akan mengelakkan banjir daripada terus berlaku
Selain itu, kawasan persekitaran sungai memainkan peranan sebagai pengawal hakisan tanah. Akar pokok-pokok sekitar sungai dapat mencengkam tanah di sekitarnya dan seterusnya mengelakkan hakisan tanah daripada berlaku. Apabila hakisan tanah dikawal, kadar pemendapan sungai akan berkurang dan keadaan ini menyebabkan sungai menjadi lebih dalam.
Di samping itu, kawasan persekitaran sungai merupakan habitat hidupan liar dan serangga. Akuatik dalam sungai dan tumbuh-tumbuhan di sekitar sungai menjadi sumber makanan kepada hidupan liar dan serangga ini. Keadaan ini akan memastikan rantai makanan diteruskan dan menyelamatkan hidupan liar daripada pupus.

Tuntasnya, kawasan persekitaran sungai adalah sangat penting kepada kehidupan biologi termasuk flora dan fauna. Oleh itu langkah-langkah drastik dan efektif harus diambil supaya ekosistem di kawasan persekitaran sungai tidak terancam.

No comments:

Post a Comment