Hikayat Amir Hamzah bertemakan peperangan yang dikaitkan
dengan perkembangan syiar Islam. Hikayat ini disadurkan dari sumber Parsi
kemudian wujud pula dalam pelbagai versi yang lain. Seorang orientalis Belanda
yang bernama Dr. Van Ronkel memberi judul De Roman Van Amir Hamza. Hikayat Amir
Hamzah dalam versi Melayu kebanyakannya mempunyai pengolahan dan teknik cerita
yang bermirip dengan sastera. Parsi (Munir Ali;1989 :112). Epik ini bukan sahaja
terkenal di Tanah Melayu tetapi juga di merata tempat d dunia Islam amnya.
Hikayat ini tergolong dalam kisah-kisah legenda Islam bukan sahaja di dalamnya
terdapat perkembangan agama Islam tetapi juga sebagai sumber untuk menaikkan
semangat kepahlawanan dalam kalangan orang-orang Islam. Satu peirstiwa pada
malam menjelang perlanggaran angkatan Feringgi di Melaka ada tercatat di dalam
buku Sulalatus Salatin, karya Tun Sri Lanang, misalnya betapa
perajurit-perajurit Melaka menyebutkan kitab ini untuk dijadikan sebagai
pemupuk keberanian mereka untuk menentang Feringgi.
“Maka kata segala anak tuan-tuan itu, apa kita buat duduk
saja ini? Baik kita membaca hikayat perang, supaya kita beroleh faedah
daripadanya.... . Maka Tun Indera Segara pun masuklah menghadap Sultan Ahmad,
segala sembah orang itu semuanya dipersembahkan ke bawah duli baginda. Maka
oleh Sultan Ahmad dianugerahi baginda Hikayat Amir Hamzah,’’ Katakan pada
segala anak tuan-tuan itu, hendakpun kita anugerahkan Hikayat Muhammad
Hanafiah, Muhammad Hanafiah; hanya jikalau seperti Amir Hamzah adalah gerangan
beraninya, sebab itulah maka kita beri Hikayat Amir Hamzah’’(A.Samad Ahmad,
1979:268-269)
Menurut penyelenggara Hikayat Amir Hamzah , iaitu A.Samad
Ahmad berpendapat bahawa:
Sultan Ahmad menganugerahkan Hikayat Amir Hamzah dan
bukannya Hikayat Muhammad Hanafiah kerana baginda sedia mengetahui bahawa dalam
Hikayat Amir Hamzah ada suatu kisah yang menceterakan Amir Hamzah dengan
puteranya Rastam, berperang melawan Peringgi. Kisah ini bermula dengan Raja
Peringgi dan bala tenteranya menyerang negeri Khursand, iaitu negeri Raja
Fatkhus, mentua Amir Hamzah dan nenda kepada Rastam. (A.Samad Ahmad, 1987:ix)
Ceritanya berkisar kepada penggambaran tentang peperangan
Amir Hamzah dengan musuh-musuh Islam. Sebelum lahirnya, beliau telah diramalkan
menjadi seorang tokoh Islam yang agung. Kerana ramalan inilah Raja Makkah
memerintahkan membunuh semua ibu yang sedang hamil. Namun kekuasaan Allah
melebihi kekuasaan manusia. Amir Hamzah lahir dalam keadaan yang selamat.
Sebenarnya Amir Hamzah merupakan bapa saudara Nabi Muhammad (s.a.w) yang
terkenal sebagai pahlawan Islam yang gagah berani dalam menentang
musuh-musuhnya sehingga beliau digelar singa Islam. Hikayat ini menonjolkan
ketokohan Hamzah sebagai seorang pahlawan yang telah menakluki raja-raja besar
serta menyebarkan syiar Islam di serata pelosok dunia. Hamzah adalah daripada
golongan orang biasa yang meningkat kedudukannya kerana kepahlawanannya dan
bertindak mengikut ajaran-ajaran Islam. Di banyak tempat dalam hikayat ini kita
dapat melihat the legistemacy of missionnya. Beliau berjaya meninggikan
martabat Islam sebagai satu agama yang universal. Beliau banyak dibantu oleh
Umar Umayya yang mengikutinya dalam hampir semua pengembaraan Amir Hamzah.
Antara raja besar yang ditundukkan oleh Amir Hamzah ialah Raja Nusyirwan, Raja
Parsi yang terkenal itu. Amir Hamzah juga turut terlibat dalam Peperangan Badar
yang sangat bererti dalam perkembangan Islam. Selain itu, Amir Hamzah juga
terlibat dalam Peperangan Uhud dan telah tewas dalam peperangan itu. Oleh sebab
terdapat unsur-unsur keperwiraan yang bersifat Islamic maka sudah tentu Hikayat
Amir Hamzah sangat diminati oleh orang-orang Melayu sebagai sebuah epik
kepahlawanan Islam.
No comments:
Post a Comment