Sesebuah karya boleh dibaca dengan dua pendekatan. Pertama
secara ekstensif. Maksudnya ada sesetengah pembaca membaca semua bahan yang
terdapat di sekeliling mereka. Mereka tidak peduli sama ada bahan yang dibaca
itu memenuhi cita rasa atau tidak. Bagi mereka, aktiviti pembacaan itu mesti
memenuhi masa senggang mereka. Mereka jenis ini boleh berbangga mengatakan
mereka mempunyai pengalaman banyak
membaca. Mereka seolah-olah tiada satu pilihan genre yang khusus perlu dibaca
oleh mereka. Pembacaaan seumpama ini amat jarang sekali melekat dalam otak
mereka. Apabila seseorang mengajak mereka untuk berdebat, sudah pasti mereka
tidak dapat melakukannya kerana mereka tidak mempunyai pengetahuan atau idea
yang khusus atau jelas.
Lain pula keadaan dengan pembaca sastera secara intensif.
Pembaca intensif ini walaupun membaca pelbagai karya, tetapi mereka hanya
membaca secara intensif dan membacanya berulang-ulang. Kita tidak tahu entah
berapa kali mereka membaca sesuatu karya. Mereka membacanya berulang-ulang
kali. Mereka tidak bosan atau pun jemu membaca karya yang sama. George Bernard
Shaw (1865-1950) suka membaca. Walaupun beliau membaca pelbagai judul karya
atau genre, hanya dua teks sahaja, tidak dapat dilupakannya dan tidak berasa
jemu untuk membacanya berulang kali. Bible dan Kesusasteraan Shakespeare.
Menurut beliau, tiada satu bahagian pun dalam kedua-dua teks tersebut boleh
dilupakannya.
Mengapakah keadaan ini berlaku? Karya yang bermutu dan
sempurna boleh dibaca berulang kali. Setiap kali kita membaca, kita akan
memperoleh semangat dan pengalaman
baharu daripada teks tersebut. Setiap kali kita membaca, teks tersebut
hendaklah memberikan makna dan relevansi yang baharu kepada kita. Sebagai
contoh jika membaca Sejarah Melayu, teks itu perlu dikaitkan dengan kehidupan
masa kini. Peristiwa yang diceritakan dalam karya tersebut perlu memberi
pengajaran yang baharu kepada kita mengikut keadaan semasa. Misalnya Sejarah
Melayu mengajar kita supaya kita jangan leka atau taksub dengan material atau
mendewa-dewakan kuasa asing atau
pengaruh asing. Sejarah Melayu telah membuktikan empayar Kesultanan Melayu
Melaka yang dibina runtuh begitu sahaja di tangan Feringgi. Tuntasnya karya
yang berkualiti bukan sahaja menjadikan
kita manusia yang sempurna malah karya tersebut juga hendaklah memberi makna
yang baharu kepada kita.
John Keats (1795-1821) merupakan seorang penyair Inggeris.
Beliau pernah menyatakan bahawa apabila
beliau berasa kesunyian dan mahukan ketenangan, maka beliau akan membaca buku-buku Shakespeare. Katanya ,
“I felt rather lonely this morning breakfast, so I went and
unboxed a Shakespeare. There is my comfort”.
Buku yang sama, walaupun dibaca banyak kali, buku tersebut
mesti memberikan satu kepuasan dan ketenangan kepada kita. Kata beliau,
“whenever you write say a word or two on some passage in
Shakespeare that may have come rather new to you, which must be continually
happening, not withstanding, the we read the same play for forty times”.
Beliau tidak pernah hilang keyakinan atau lemah semangat.
Baginya karya Shakespeare sudah cukup untuk dirinya. George Bernard Shaw pernah
berpendapat mengenai karya Shakespeare,
“He was not of an age, but for all time”
Keats menyimpulkan ,
“ I never quite
despair, and I readSkaespeare-indeed I shall, I Think never read any other book
much… I am very near agreeing with Hazlitt that Shakespeare is enough to us”.
William Hazlitt (1778-1830) merupakan seorang pengarang
Inggeris.
Dalam konteks sastera Melayu kita, Hikayat Hang Tuah,
Sulatul Salatin, Hikayat Raja Pasai dan banyak prosa dan puisi kita sentiasa
memberikan pemaknaan dan relevansi baharu kepada kita sebagai pembaca.
Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh pernah berkata bahawa , beliau suka membaca Sejarah Melayu kerana tertarik
dengan gaya kepengarangan dan persolaan yang digarapkan di dalamnya.
Persoalan-persoalan itulah kemudian diolah dan diintertekskannya menjadi
Sajak-Sajak Sejarah Melayu.
Tuntasnya banyak lagi khazanah sastera kita perlu dihidupkan
semula supaya masyarakat kini mendapat makna baharu daripada karya silam. Oleh
itu pembacaan secara ekstensif sahaja tidak memadai bagi seseorang pembaca
untuk dilabelkannya sebagai pembaca malah mereka juga hendaklah membaca secara
intensif untuk menghayati keindahan dan
menimba pengalaman baharu daripada karya yang dibacanya.
No comments:
Post a Comment