Wednesday, 8 July 2015

Guru-Satu Pandangan (4)

Setiap guru hendaklah memastikan P&P dalam bilik darjah lebih  efektif, menarik dan seronok. Guru hendaklah memberi peluang kepada pelajar untuk melaksanakan aktiviti kumpulan yang berstruktur dan bersistem, bukannya secara ‘ad hoc’ dan mengelirukan. Supaya kelas lebih dinamik, guru henadklah mewujudkan interaksi dua hala sama ada antara guru dengan pelajar atau pelajar dengan pelajar. Dengan ini tidaklah berlaku pendominasian oleh sesuatu kumpulan atau individu dalam P&P. Setiap kumpulan yang dibentuk hendaklah bersifat hetrogen (Berryman, 2002). Kumpulan hetrogen ini merujuk kepada aspek jantina, ras, latar belakang dan tahap kebolehan individu. Pembentukan kumpulan ini memudahkan aktiviti yang akan dijalankan. Untuk menjadikan P&P yang lebih menarik dan efektif, guru hendaklah membina persekitaran pembelajaran yang positif.
Guru hendaklah melayan semua pelajar sama rata. Apabila seseorang guru bersikap adil dalam melayan pelajar maka pelajar itu faham bahawa guru mengambil berat tentang kejayaan individu. Misalnya kekerapan pelajar perempuan atau lelaki untuk menjawab soalan dan kekerapan kumpulan etnik yang majoriti atau minoriti untuk terlibat dalam aktiviti bilik darjah perlulah sama. Jika pelajar menjawab soalan yang diajukan dengan betul, maka guru harus memberi ganjaran supaya pelajar itu berbangga dengan jawapannya di hadapan rakan-rakan mereka.

Yang lebih penting ialah setiap pelajar dalam kelas boleh belajar. Guru hendaklah menjelaskan kepada pelajar bahawa jangkaan atau ekspektasi guru adalah tinggi terhadap mereka. Oleh itu mereka hendaklah memfokuskan perhatian terhadap pembelajaran. Guru sentiasa beredar dalam kelas sambil memantau kerja-kerja pelajar dan memberi sokongan dan galakan apabila mereka menghadapi sesuatu masalah. Pelajar akan belajar dengan baik apabila pembelajaran dalam kelas dinamik dan aktif, dilaksanakan mengikut konteks dan dalam keadan yang stabil. Tugas penting guru ialah menjelaskan dan mendemonstrasikan tingkah laku yang diharapkan kepada pelajar. Apabila  guru tersebut yakin dan cekap dalam penyampaian pengajaran, ini bermaksud beliau telah melahirkan asas pembelajaran yang efektif. Dalam hal ini guru hendaklah menyediakan bahan dan meneliti pelajaran lebih awal supaya guru dapat menguasai maklumat mengenai pelajaran dan kemahiran penyampaian pelajaran sebelum memulakan pengajarannya.

No comments:

Post a Comment