Latarbelakang
Kabinet telah
bersetuju pada 25hb. Julai 1979 untuk mewujudkan rancangan Kerjasama Teknikal
Malaysia (MTCP). Rancangan ini ialah merupakan suatu manifestasi Malaysia dalam
konteks kerjasama di antara negara Selatan-Selatan (South-South) dan lain-lain
negara yang sedang membangun. Rancangan kerjasama ini diwujudkan di atas
andaian bahawa negara-negara yang sedang membangun boleh mempelajari pengalaman
dan kepakaran dalam pembangunan negara daripada negara-negara yang sedang
membangun sendiri. Di dalam rancangan ini, negara-negara ASEAN, negara-negara
Anggota Persidangan Islam dan juga negara-negara Kepulauan Pasifik, Asia serta
negara-negara yang mundur di Asia dan Afrika diberi keutamaan dalam menerima
bantuan. Untuk mengendalikan rancangan ini, suatu Jawantankuasa Utama yang
dipengerusikan oleh Y.B. Menteri di Jabatan Perdana Menteri ditubuhkan.
Ahli-ahli lain termasuk Y.B. Ketua Setiausaha Negara, Ketua Setiausaha
Perbendaharaan, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Ketua Setiausaha Kementerian
Luar Negeri dan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi. Dalam perkara ini, Unit
Perancang Ekonomi menjadi urusetia.
Rasional
Dalam meningkatkan
moral dan maruah Malaysia di kalangan antarabangsa, Malaysia haruslah
memperlihatkan satu sikap yang positif untuk membantu dan bekerjasama dengan
negara membangun yang lain untuk menyediakan dan menawarkan satu asas
pengalaman dan kepakaran dalam negeri kepada negara membangun yang lain.
Rancangan kerjasama teknikal Malaysia ini haruslah juga dilihat dari faedah
sampingan yang diperolehi seperti mempereratkan perhubungan Malaysia antara
negara-negara lain serta mempertingkatkan hubungan perdagangan dua hala
Malaysia dengan negara yang berkenaan.
Objektif
Tujuan Malaysia
mengadakan rancangan ini adalah seperti berikut:-
(i) untuk mengeratkan lagi perhubungan Malaysia
dengan negara-negara yang sedang membangun;
(ii) mempertingkatkan lagi perhubungan perdagangan
di antara Malaysia dengan negara-negara yang sedang membangun, seperti
perdagangan langsung dan pasaran untuk barangan Malaysia sendiri;
(iii) memberi peluang kepada pihak swasta Malaysia
untuk menceburkan diri dalam pelaburan di negara-negara tersebut; dan
(iv) untuk membantu negara-negara yang mundur dan
yang sedang membangun, diatas dasar perikemanusiaan tanpa mendapat apa-apa
balasan.
Adalah diharapkan
bahawa pada masa-masa yang akan datang, negara-negara yang menerima bantuan
akan menyokong Malaysia didalam forum-forum antarabangsa. Di samping itu,
persefahaman serta kerjasama di antara negara-negara yang sedang membangun
diharap dapat dipertingkatkan.
Strategi Pelaksanaan
Sehingga sekarang,
Malaysia telah melaksanakan rancangan ini melalui 4 cara yang berikut:-
(i) Malaysia menanggung semua kos bantuan
tersebut;
(ii) Malaysia dan negara penerima bersama-sama
menanggung kos bantuan tersebut;
(iii) Malaysia menyediakan segala kemudahan dan
negara penerima akan menanggung kos bantuan tersebut;
(iv) Malaysia menyediakan semua kemudahan dan
pihak-pihak tertentu seperti UNDP, CETC dan lain-lain lagi membiayai kos
penyertaannya.
Di bawah rancangan
ini, bantuan dan kemudahan yang diadakan adalah seperti berikut:-
(i) Biasiswa dan hadiah latihan untuk
peserta-peserta yang mengikuti
berbagai kursus di universiti-universiti dan
institusi-institusi latihan di Malaysia;
(ii) Kemudahan-kemudahan lain untuk berlatih di
berbagai institusi latihan di Malaysia;
(iii) Lawatan sambil belajar serta penempatan di
agensi-agensi
kerajaan. (Dalam program diatas, peserta-peserta
dibayar elaun sara hidup, lojing, tiket kapalterbang pergi-balik. Mereka juga
diberi kemudahan kesihatan dan pergigian dan tidak dikenakan yuran pengajian
semasa menjalani latihan atau berkursus).
(iv) Kepakaran serta khidmat nasihat dalam
bidang-bidang yang Malaysia mempunyai
kepakaran tertentu.
Selain daripada itu, rancangan kerjasama ini
juga boleh dipertimbangkan dalam bentuk kebendaan dan peralatan-peralatan
tertentu kepada negara-negara yang dikenalpasti memerlukannya.
Rumusan
Rancangan Kerjasama
Teknikal Malaysia ialah satu rancangan yang praktikal di mana
pengalaman-pengalaman dan idea dalam pembangunan negara dapat dikongsi bersama
oleh negara-negara yang sedang membangun. Dengan ini juga diharap negara-negara
berkenaan dapat meringankan beban dan masalah dalam pembangunan negara
masing-masing. Adalah juga diharapkan negara-negara sedang membangun yang lain
juga akan menurut jejak langkah Malaysia dalam memberi bantuan di dalam
bidang-bidang yang mereka mempunyai pengalaman dan kepakaran. Dengan ini kerjasama di antara
negara-negara sedang membangun akan lebih erat lagi.
Sumber: Portal Klik 1Malaysia
No comments:
Post a Comment