PROGRAM “CUNGKIL BIJAK”
PEMULIHAN KENEGARAAN TINGKATAN ENAM ATAS
2009
ABSTRAK
Saya selaku guru mata pelajaran Pengajian Am bagi
kelas-kelas tingkatan enam menghadapi banyak masalah dengan pelajar berkaitan
dengan konsep dan bidang kuasa yang terdapat dalam Bahagian Kenegaraan . Untuk
menangani masalah ini, saya telah menjalankan satu Kajian Tindakan bagi tajuk
Kerajaan Persekutuan : Bidang Tugas Yang DiPertuan Agong (YDPA) sebagai kuasa
eksekutif dalam kerajaan. Niat untuk menjalankan kajian tindakan ini timbul
apabila keputusan Ujian Pra yang saya jalankan dalam kelas PAF tidak begitu
memuaskan saya. Malah mata pelajaran Pengajian Am merupakan satu mata pelajaran
yang penuh dengan pelbagai istilah dan fakta tetapi amat relevan dengan kehidupan
seharian pelajar sebagai seorang warganegara Malaysia. Kajian Tindakan ini
membantu saya dan pelajar untuk memahami amalan pengajaran guru, pembelajaran
pelajar, keadaan pelajar, suasana dalam bilik darjah dan sebagainya. Setelah
kajian ini dijalankan, saya berjaya menyelesaikan masalah profesional saya
tanpa merujuk arahan luar dan saya dapat membuat keputusan dalam bilik darjah
dengan sendiri. Pendekatan Kuiz Kenegaraan yang saya ambil dalam kajian
tindakan ini sememangnya satu pendekatan lama, tetapi guru-guru sekarang gagal
melaksanakannya di peringkat tingkatan enam atas. Persepsi rata-rata guru
tingkatan enam ialah pelajar tingkatan enam ini pandai dan mereka boleh
memahami apa jua yang diajar dalam sekelip mata. Kita harus ingat bahawa
walaupun mereka agak matang berbanding pelajar-pelajar lain tetapi mereka juga
meminati kaedah-kaedah yang pernah dilalui oleh mereka ketika mereka di bangku
sekolah rendah terutama kaedah kuiz kumpulan. Bagi saya pendekatan ini
meningkatkan kefahaman saya bahawa amalan saya dalam bilik darjah selama ini
perlu diubah. Saya harus keluar daripada kongkongan amalan rutin iaitu kaedah
‘chalk and talk’ dalam bilik darjah. Kaedah yang digunakan dalam Kajian
Tindakan ini bagaimanapun telah berjaya meningkatkan skor pelajar dalam Ujian
Pos yang telah diadakan. Program yang dinamakan “CUNGKIL BIJAK” ini menggunakan
Pendekatan Kuiz Kenegaraan. Kajian Tindakan saya ini diharapkan dapat membantu
para guru yang lain untuk meningkatkan motivasi dan minat pelajar terhadap
topik-topik yang dipelajari di sekolah tanpa rasa jemu dan bosan.
1.0 PENGENALAN
Kajian Tindakan dijalankan mengikut empat langkah iaitu
merancang, bertindak, memerhati dan merenung. Sebelum menjalankan kajian,
perancangan yang teliti perlulah dibuat terlebih dahulu supaya penyelidik dapat
memahami apa yang akan dilaksanakan. Melalui perancangan yang teliti dan dengan
langkah yang terancang, kajian dapat dijalankan dengan teratur dan tepat ke
arah mencapai matlamat kajian. Langkah-langkah tersebut disenarai mengikut urutan.
Perancangan kajian bermula dengan mencari atau mengenal
pasti masalah yang wujud dalam bilik darjah atau di sekolah yang berkaitan
dengan P&P. Sebarang isu yang berkaitan dengan pendidikan khususnya yang
melibatkan P&P di bilik darjah juga boleh dijadikan asas untuk memulakan
kajian. Selepas itu penyelidik memahami dengan lebih mendalam tentang masalah
itu. Dalam proses pembelajaran lazimnya kemahiran yang dipelajari adalah saling
berkait. Murid akan mengalami kesukaran untuk memahami dan menguasai kemahiran
yang lebih tinggi sekiranya kemahiran yang lebih rendah atau awal tidak
dikuasai dengan baik. Seseorang guru perlu memahami masalah yang dihadapi oleh
murid dengan terperinci sebelum merancang langkah-langkah pembaikan (Jeya
Velu,et.al. 2000).
Tujuan diadakan Kajian Tindakan ini adalah untuk menangani
pelbagai masalah pembelajaran adalah lebih tepat. Jawapan kepada sebarang
soalan dalam penyelidikan adalah berasaskan data. Kajian Tindakan memerlukan
data daripada beberapa sumber untuk mengukuh dan memantapkan dapatan kajian.
Selain itu penggunaan data daripada pelbagai sumber atau pandangan turut
memantapkan kefahaman penyelidik tentang masalah atau isu yang ditangani.
Setelah dikutip, data tersebut hendaklah dianalisis dengan memberikan gambaran
yang jelas tentang perkara atau situasi yang dikaji. Analisis itu juga menjadi
asas kepada guru untuk merancang aktiviti P&P seterusnya atau mengubahsuai
aktiviti yang telah dijalankan. Apabila merancang aktiviti eloklah dilakukan
sumbang saran terhadap langkah-langkah yang akan dilaksanakan melalui
pertanyaan apa, mengapa dan bagaimana (Armstrong dll., 2004) .
Setelah aktiviti P&P dirancang dengan teliti, langkah
seterusnya ialah bertindak iaitu melaksanakan aktiviti di bilik darjah.
Walaupun aktiviti dirancang berdasarkan analisis data yang telah dikutip,
keberkesanan aktiviti belum dapat dipastikan. Aktiviti dijalankan melalui
proses ‘cuba-cuba’ (trial and error). Setelah itu langkah pemerhatian
dijalankan. Langkah pemerhatian haruslah diberi penelitian yang terperinci
supaya proses mengutip data berjalan dengan licin dan data yang dikutip
menepati keadaan yang sebenar. Di peringkat refleksi, penyelidik cuba
merumuskan apa yang telah difahami atau dipelajari tentang proses P&P
berkaitan dengan amalan mengajarnya. Semasa merenung, penyelidik cuba menilai,
menghurai dan memikirkan dengan menyeluruh segala aspek berkaitan dengan
permasalahan P&P serta reaksi penyelidik dan murid semasa kajian dilakukan
(Arhar dll., 2000).
2.0 REFLEKSI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN YANG LALU
Mata pelajaran Pengajian Am merupakan satu mata pelajaran
wajib lulus dalam STPM. Tanpa kelulusannya pelajar sukar untuk melanjutkan
pelajaran di IPTA tempatan. Di sekolah saya mata pelajaran ini adalah di bawah
kumpulan Kemanusiaan. Semua pelajar adalah diwajibkan mengambil kertas ini.
Jadi semua peringkat kebolehan pelajar didapati dalam semua kelas. Lagipun
tiada streaming untuk pelajar tingkatan enam. Hal ini menyebabkan guru mengajar
pelajar yang bertahap pencapaian akademik yang pandai, sederhana dan lemah.
Dalam P&P saya kerapkali menghadapi masalah pemahaman konsep dan bidang
tugas sesuatu pihak atau agensi. Pelajar sering keliru dengan bidang-bidang
tugas pelbagai hierarki dalam Kerajaan Persekutuan. Pelajar saya sering keliru
dan tidak dapat menghuraikan istilah dan bidang tugas yang dikehendaki,
walaupun jawapan yang diperlukan adalah jawapan yang pendek dan padat. Pelajar
kebiasaannya akan menjawab mengikut logik mereka sendiri dan tidak dapat
mengaitkan konsep dan fakta yang telah dipelajari. Saya telah mengenal pasti
beberapa sebab mengapa keadaan ini berlaku. Antaranya ialah pelajar saya tidak
faham dengan jelas topik yang dipelajari. Malah mereka kurang atau tidak
mengulangkaji langsung topik yang telah dipelajari di rumah. Mereka juga tidak
mahu bertanya topik yang tidak difahami kepada saya atau rakan yang tahu kerana
takut dilabel sebagai pelajar lemah. Selain itu mereka kurang atau tidak
membuat langsung latihan secara kendiri.
Kebanyakanya hanya membuat latihan yang saya beri sebagai
kerja rumah sahaja. Apabila disuruh menjawab dalam kelas, mereka teragak-agak
untuk menjawabnya. Ada antaranya mengabaikan kerja rumah yang diberi. Perasaan
kecewa mendapat murid-murid seperti ini kekadang wujud dalam diri dan jiwa
saya. Tetapi itu tidak bermakna tiada tindakan yang drastik saya ambil.
Pelbagai cara atau kaedah yang telah saya gunakan untuk menarik minat pelajar
terhadap mata pelajaran Pengajian Am ini. Walaupun disedari bahawa untuk
mencapai kejayaan yang cemerlang dalam subjek ini adalah sesuatu yang mustahil
bagi pelajar-pelajar ini, tetapi usaha tetap dijalankan sekurang-kurangnya
keputusan peperiksaan STPM kelak akan bertambah baik.
Bagaimanapun pelajar-pelajar yang mengambil subjek ini
mempunyai akhlak yang baik kecuali hanya beberapa orang sahaja yang bermasalah.
Hal ini dapat membantu saya melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran
dengan baik dan lancar. Majoriti mereka membawa modul yang telah saya sediakan
dan memberikan kerjasama ketika proses pengajaran dan pembelajaran sedang
berlangsung.
Saya telah melaksanakan beberapa kaedah pedagogi seperti
teka silang kata, kuiz, menjawab soalan secara tarik dan lepas (drag &
drop),kotak ajaib,jumble trouble dan sebagainya. Hasil daripada pemerhatian
didapati bahawa pelajar yang berpencapaian sederhana dan lemah ini lebih suka
mengikuti pelajaran dalam suasana ceria dan seronok.jika saya menggunakan
kaedah kuiz. Hal ini kerana mereka masing-masing inginkan kumpulan mereka
berjaya mengumpul skor yang tinggi dalam bilik darjah mereka.
3.0 ISU KEPRIHATINAN
Kajian yang dijalankan adalah berfokus kepada kuiz yang
dijangka dapat memotivasikan pelajar. Daripada pemerhatian saya,
pelajar-pelajar yang mengambil subjek ini sering menganggapnya sebagai satu
mata pelajaran yang sukar. Mereka didapati belajar dalam keadaan tekanan dan
saya sentiasa mengingatkan bahawa subjek ini perlu dilihat dari aspek yang
positif. Hal ini kerana kandungan subjek Pengajian Am adalah berkaitan dengan
kehidupan mereka seharian. Oleh itu wujud idea untuk memasukkan kuiz dalam
pengajaran Pengajian Am STPM. Kebiasaannya soalan-soalan kenegaraan adalah
sebanyak 50. Tetapi soalan yang melibatkan Kerajaan Persekutuan adalah antara
10 hingga 12 soalan. Jika pelajar tidak dapat menguasai sepenuhnya sesuatu
tajuk dalam subjek ini mereka akan kehilangan markah secara keseluruhannya
dengan banyak. Tujuan kuiz ini dilaksanakan dalam kajian ini juga adalah
sebagai salah satu galakan agar pelajar-pelajar berminat dan menambah keyakinan
kepada mereka bahawa subjek ini tidak terlalu sukar seperti mana disangkakan
oleh mereka.
4.0 OBJEKTIF KAJIAN
Selepas kajian ini dijalankan,pelajar-pelajar diharapkan
akan mencapai objektif seperti berikut.:
4.1 Objektif Umum
Meningkatkan pemahaman pelajar terhadap tajuk Bidang kuasa
YDPA dan jenis bidang kuasanya. Mereka diharapkan dapat menjawab soalan aneka
pilhan berkaitan tajuk ini.
4.2 Objektif Khusus
• Membantu guru mengenal pasti kaedah atau pendekatan
mengajar dan amalan mengajar yang lebih berkesan
• Membantu pelajar supaya dapat memahami konsep, fakta dan
istilah Kenegaraan yang berkaitan dengan Bidang kusa YDPA.
• Meningkatkan pemahaman pelajar terhadap mata pelajaran ini
• Membantu pelajar meningkatkan pencapaian dalam mata
pelajaran ini.
5.0 KUMPULAN SASARAN
Terdapat sejumlah 30 orang pelajar dalam kelas PAF. Kumpulan
sasaran dalam kajian ini ialah pelajar yang berprestasi sederhana dan rendah
berjumlah 15 orang. Pada kebiasaannya dalam setiap ujian atau peperiksaan,
kadang-kadang mereka lulus atau kadang-kadang mereka gagal. Dalam kalangan
pelajar ini minat terhadap mata pelajaran Pengajian Am adalah sederhana kerana
menurut mereka subjek ini adalah susah dan mereka boleh memahaminya pada
peringkat awal iaitu ketika mereka di tingkatan enam bawah tetapi apabila
hendak menjawab soalan kenegaraan secara aneka pilihan, mereka berasa agak
susah dan mudah keliru dengan cadangan jawapan yang diberikan untuk menjawab
dengan tepat.
6.0 PERANCANGAN DAN PELAKSANAAN AKTIVITI
6.1 Tinjauan Awal
Saya mendapati markah ujian bulan Februari yang diperoleh
oleh pelajar-pelajar kelas PAF (Prauniversiti Fikrah) ini rata-rata pencapaian
mereka amat sederhana dan ada yang gagal. Sedangkan tajuk ini tidak terlalu
banyak menggunakan konsep atau istileh kenegaraan yang harus diketengahkan oleh
pelajar dalam jawapan mereka. Oleh itu saya terdorong untuk membuat satu kajian
berkenaan pencapaian mereka.
6.2 Analisis Tinjauan Masalah
Hasil daripada temubual saya dengan pelajar-pelajar secara
rawak bermula selepas markah ujian diperoleh. Saya dapat merumuskan bahawa
pelajar-pelajar saya mendapati soalan-soalan yang dikemukakan tersebut amat
sukar bagi mereka. Ada antara mereka tidak memahami kehendak soalan. Yang aneh
ialah pelajar tidak memahami istilah kuasa budi bicara dan kuasa mendengar
nasihat PM Pelajar juga tidak dapat membezakan antara YDPA dengan Majlis
Raja-Raja dan tidak dapat membezakan antara Bidangkuasa Sultan dengan Bidang
kuasa YDPA. Pelajar-pelajar sering keliru dengan beberapa konsep dan istilah
kuasa eksekutif, penurunan kuasa, ketua agam Islam bagi Wilayah Persekutuan dan
Ketua Agama bagi negeri baginda sendiri. Soalan Ujian Pra yang telah diadakan
ialah pelajar dikehendaki menjawab sebanyak 25 soalan aneka pilihan yang
merangkumi tajuk “Bidangkuasa YDPA Sebagai Ketua Kerjaaan Persekutuan”. Satu
soalan yang betul akan diberi sebanyak 4 markah. Jadu jumlahnya 100 markah
6.3 Tindakan Yang Dijalankan
Daripada tinjauan masalah yang telah dibuat, saya
berpendapat bahawa amat penting bagi saya untuk mewujudkan satu teknik atau
kaedah pengajaran yang dapat membantu pelajar memahami tajuk “Bidangkuasa
YDPA”. Hal ini akan dapat membantu mereka menjawab soalan aneka pilihan dengan
tepat dan efisien.
Fokus Kaedah Kuiz ini adalah untuk mendapatkan seberapa
banyak markah yang boleh untuk kumpulan mereka. Kemenangan bergantung kepada
kebijaksanaan dan daya ingatan pelajar yang diuji dalam kuiz ini. Setiap soalan
kuiz yang dijawab ditetapkan markahnya satu. Jika mana-mana kumpulan dapat
menjawab semua soalan dengan betul maka mereka akan mendapat 45 markah. Saya
mengingatkan pelajar-pelajar agar berhati-hati semasa menjawab soalan kuiz
tersebut. Di peringkat awal pengajaran saya pernah menggunakan kaedah
penerangan dan latih tubi. Saya juga pernah menggunakan persembahan power point
dan juga internet sebagai bahan sokongan semasa sesi pengajaran dan
pembelajaran diadakan. Tujuannya adalah untuk mengukuhkan ingatan pelajar.
Permainan ini dijalankan mengikut giliran. Saya menyediakan soalan-soalan
mengikut kemampuan dan keupayaan pelajar. Jika pelajar dapat menjawab soalan
yang dikemukakan kepada mereka denagn betul maka mereka akan memperoleh skor
mengikut bilangan soalan yang dijawab dengan betul.
Setiap pelajar akan menjawab soalan kuiz sebanyak tiga
pusingan. Teknik ‘bayangan minda’ juga di laksanakan dalam kuiz ini.
Pelajar-pelajar diberi‘clue’ untuk menjawab soalan. Oleh sebab tajuk ini
berkaitan dengan “Bidangkuasa YDPA”, maka sepanjang proses pengajaran ini
berlangsung mereka diingatkan bahawa kepentingan pelajar mengetahui bidangkuasa
YDPA dan istilah-istilah kenegaraan dengan betul supaya mereka dapat
menggunakan pengetahuan ini apabila mereka menjadi dewasa dan menjadi seorang
rakyat yang berkesedaran sivik. Pelajar harus tahu membezakan bidangkuasa
sultan dan Yang Dipertua Negeri sebagai ketua-ketua negeri dan bidangkuasa
mereka amat berbeza dengan YDPA sebab baginda adalah ketua negara. Pelajar juga
harus mengetahui sistem YDPA sebagai ketua negara amat berbeza dengan Presiden
sebagai ketua negara republik. Soalan yang dikemukakan kadang-kadang berulang-ulang
kerana saya percaya bahawa perulangan ini akan membina dan meningkatkan daya
ingatan pelajar berkenaan tajuk ini secara tidak langsung.
6.4 Pemerhatian
Ujian pra yang diambil untuk kajian ini adalah daripada
ujian bulan Februari. Sebelum ujian pra dijalankan tajuk Bidangkuasa YDPA telah
dipelajari sepenuhnya oleh pelajar. Ujian ini mengandungi satu set ujian aneka
pilihan. Saya menjalankan kajian dengan menggunakan kaedah kuiz selama dua
minggu. Aktiviti dijalankan sebanyak dua kali seminggu dan masa yang diambil
untuk setiap sesi adalah 35 minit. Sepanjang kajian dilaksanakan perubahan
tingkah laku pelajar dapat diperhatikan. Mereka berasa seronok dan aktif semasa
sesi ini berjalan.
Pelajar yang pada peringkat permulaanya berasa malu dan
tidak aktif telah menunjukkan perubahan sikap yang lebih baik. Walaupun ada
kumpulan yang tidak memperolehi skor yang banyak tetapi mereka tetap berasa
gembira kerana tiada pelajar yang tidak memperoleh kosong markah. Semuanya
berlumba-lumba untuk mengangkat tangan untuk menjawab kerana ternyata jelas
semangat pasukan pada wajah mereka. Soalan serta jawapan yang berulang-ulang
telah membantu pelajar-pelajar yang lemah untuk mengingat fakta mengenai
kuasa-kuasa YDPA. Kesilapan jawapan rakan mereka telah menyebabkan mereka lebih
berhati-hati untuk menjawab soalan dan mereka mencuba sedaya upaya untuk
menjawab soalan dengan betul. Cara ini sedikit demi sedikit memberikan
keyakinan kepada mereka bahawa mereka boleh belajar Pengajian Am melalui
multikaedah bukan satu kaedah sahaja.
6.5 Analisis Ujian
Jadual 1 menunjukkan markah pencapaian pelajar dalam ujian
pra dan ujian pos. Markah ini direkod untuk melihat prestasi pelajar dalam
menjawab soalan. Semua skor yang diperoleh ditukarkan kepada Gred untuk tujuan
kajian.
Jadual 1. Pencapaian pelajar dalam Ujian Pra dan Ujian Pos
Indeks Pelajar Gred Ujian Pra Gred Ujian Pos
1 C- C
2 C- C
3 C C+
4 C C+
5 C C+
6 C+ C
7 B- B
8 C+ B
9 C- C
10 C+ C
11 B B
12 C- C
13 C- C
14 C C+
15 C C+
Ujian Pra menunjukkan 5 orang pelajar memperolehi gred
C-(33.3%), 5 orang pelajar juga memperolehi gred C (33.3%), 3 orang pelajar
memperolehi gred C+ (20%) dan hanya 2 orang sahaja memperolehi gred kepujian B-
dan B (13.3%). Ujian Pos pula menunjukkan peningkatan yang menggalakkan iaitu
kesemua 15 (100%) orang pelajar tersebut telah lulus. 3 orang pelajar telah
memperolehi B (20%), 5 orang mendapat C+(20%), 7 orang memperolehi C (33%).
Jadual jelas menunjukkan bahawa terdapat peningkatan dalam markah ujian pos,
setelah pelajar-pelajar tersebut didedahkan dengan kaedah kuiz ekonomi.
6.6 Analisis Pemerhatian
Penggunaan kuiz Pengajian Am telah dapat menarik minat
pelajar dalam tajuk ini. Mereka tidak berasa bosan dan sentiasa menunggu
giliran mereka untuk mengangkat tangan secara spontan untuk menjawab soalan
kuiz. Mereka berlumba-lumba untuk memperolehi seberapa banyak skor yang boleh
untuk memenangkan kumpulan mereka. Hal ini bermakna pelajar-pelajar berusaha
untuk mengingat dan memberikan jawapan yang tepat. Setelah soalan kuiz ditanya,
saya akan berhenti sekejap untuk pelajar mencari jawapan. Jika jawapan yang
diterima itu betul, saya akan menandakan skor bagi kumpulan tersebut pada papan
hitam. Begitulah suasananya sehingga kesemua 45 soalan kuiz ditanya. Keadaan
kelas agak bising tetapi terkawal dan tergambar kegembiraan mereka sewaktu sesi
ini berjalan. Suasana pembelajaran yang menyeronokkan dapat dilihat dan
perasaaan malu untuk berdiri di hadapan kelas dapat diatasi sedikit demi
sedikit. Perasaan rendah diri dan malu pelajar-pelajar ini memang ketara
apabila diminta berdiri untuk menjawab soalan. Tetapi apabila pertandingan kuiz
dimulakan, pelajar-pelajar yang berkeupayaan sederhana dan lemah ini bertambah
yakin.
Jadual 2: Jumlah pungutan skor pelajar mengikut kumpulan
Kumpulan A 25 markah
Kumpulan B 20 markah
6.7 Refleksi Kajian
Penggunaan kuiz merupakan salah satu bahan sokongan dalam
proses pengajaran dan pembelajaran. Kuiz merupakan satu kaedah yang boleh
digunakan untuk mewujudkan suasana pembelajaran yang seronok dan menarik.
Daripada pemerhatian saya, pelajar yang terdiri daripada kategori lemah dan
sederhana tidak boleh menerima pembelajaran saya yang terlalu serius dan penuh
dengan fakta. Saya mendapati mereka akan berasa cepat bosan dan akan
mengalihkan fokus mereka kepada perkara lain yang lebih menarik minat. Apabila
pertandingan kuiz ini dijadikan salah satu daripada bahan sokongan pengajaran,
maka minat pelajar terhadap topik ini berubah. Pelajar berasa mereka terlibat
secara langsung dan komunikasi tidak berlaku sehala sahaja.
Daripada tinjauan secara lisan pelajar-pelajar ini mengakui
bahawa mereka tidak pernah mengulangkaji pelajaran di rumah. Semua mata
pelajaran yang diajar oleh guru akan tamat hanya di dalam kelas sahaja. Mereka
akan membuka buku jika ada kerja sekolah yang dibekalkan untuk mereka. Tetapi
bukan semua pelajar ini akan membuat kerja rumah tersebut. Pelajar-pelajar yang
berprestasi lemah dan sederhana ini hanya mengharapkan sepenuhnya daripada saya
dan kurang berusaha untuk mendapat markah yang lebih tinggi dalam ujian. Markah
ujian yang diperoleh jarang dijadikan sebagai panduan atau kayu ukur untuk
mendapat markah yang lebih baik untuk ujian yang seterusnya.
Penggunaan kaedah kuiz ini sedikit sebanyak telah membuka
minda mereka bahawa untuk belajar bukan hanya mendengar dan menulis sahaja
tetapi mereka mesti melibatkan semua pancaindera mereka. Pergerakan tubuh badan
dan pancaindera akan membantu mereka untuk menghayati dan meningkatkan
kemampuan mereka yang selama ini dipendam dan seakan-akan beku dan tepu dalam hati,
jiwa dan pemikiran mereka. Walau bagaimanapun dalam kajian ini terdapat dua
orang pelajar yang hanya menunjukkan prestasi yang tidak jauh berbeza semasa
ujian pra dan ujian pos kerana mereka sering ponteng sekolah dan tidak dapat
menyertai kajian ini sepenuhnya. Oleh sebab kerap tidak hadir ke sekolah agak
sukar bagi saya untuk membantu mereka menguasai dan memantapkan pemahaman
mereka terhadap tajuk ini.
Saya berpendapat bahawa sebagai seorang guru, sokongan
kepada pelajar amat penting. Sebagai guru, kaedah atau teknik pengajaran perlu
dipelbagaikan untuk menarik minat pelajar terhadap topik yang diajar. Setiap
pelajar mempunyai kecerdasan yang pelbagai. Oleh itu kreativiti seseorang guru
amat penting untuk menghasilkan satu sesi pengajaran yang menarik. Sebagai guru
kita pasti akan berasa bersemangat dan teruja apabila pelajar berkata ‘kami
sentiasa menunggu-nunggu kedatangan cikgu’ untuk mengajar kami. Walaupun
kadang-kadang terdapat keputusan ujian mereka tidak mencapai target, tetapi
keinginan dan minat mereka terhadap mata pelajaran tersebut adalah penting.
Pelajar adalah golongan yang sedang belajar, kesilapan dan kegagalan adalah
satu proses yang perlu dilalui oleh mereka. Justeru itu sebagai golongan
pendidik yang dedikasi dan prihatin sokongan dan kesabaran terhadap mereka
hendaklah diberikan 100% tanpa rasa berbelah bahagi.
7.0 KESIMPULAN
Penggunaan Kaedah Kuiz merupakan satu kaedah yang sering
digunakan untuk murid-murid peringkat tadika atau sekolah rendah. Walau
bagaimanapun atas kesedaran bahawa terdapat pelajar yang masih lemah dalam
pelajaran walaupun mereka sudah memasuki sekolah menengah atas maka
pertandingan kuiz seumpama ini telah saya cuba dalam usaha menarik minat mereka
dalam pelajaran. Pelajar yang berprestasi rendah dan sederhana perlu diberi
perhatian yang lebih kerana mereka juga berpotensi untuk mendapat kejayaan yang
lebih baik. Kemungkinan mereka tidak diberi peluang dan bakat serta potensi
mereka tidak dapat digilap sepanjang tempoh pembelajaran mereka dari sekolah
rendah sehingga sekolah menengah atas. Kekangan dan batasan masa seseorang guru
semasa mendidik anak-anak didik ini juga merapakan salah satu faktor yang
menyebabkan potensi kesemua pelajar tidak dapat dikesan dan digilap.
Saya tidak berhenti setakat kaedah kuiz ini sahaja. Pada
masa akan datang permainan komputer secara interaktif juga akan diperkenalkan
dalam pembelajaran Pengajian Am tingkatan enam. Saya berpendapat ini
bersesuaian dengan perkembangan ICT yang terkini dan penggunaannya yang begitu
meluas. Belajar melalui interaktif komputer akan memberi kebebasan, ruang dan
peluang kepada semua pelajar untuk belajar secara akses kendiri tanpa bantuan
guru di sekolah dan mereka boleh menggunakannya pada bila-bila masa dan di
mana-mana sahaja mereka berada.
SENARAI RUJUKAN
Arhar, Joanne; Holly, Mary Louise; and Kasten, Wendy C.
(2000) Action research for teachers : traveling the yellow brick road. Upper
Saddle River, NJ.: Prentice-Hall.
Armstrong, Felicity, and Moore, Michele, eds. (2004) Action
research for inclusive education: changing places, changing practices, changing
minds. London: RoutledgeFalmer.
Jeya Velu,et.al.(2000) Pembangunan Profesional Guru : Kursus
Kajian Tindakan Berasaskan Sekolah. Kota Kinabalu: Maktab Perguruan Gaya
No comments:
Post a Comment