Pada 7
Jun 2013, sewaktu cuti sekolah dua minggu. Cuti ini memang menyenorokkan kerana
saya berpeluang membaca dua buah novel Tamil tulisan Na. Parthasarathi (nama
penanya) Nama asalnya Manivannan, sebuah novel Melayu “Adik Datang” oleh A.
Samad Said dan Memoir Tun Mahathir “Doktor Umum”. Buku Tun Mahathir boleh
mengimbau masa silam beliau daripada seorang Ahli Parlimen kepada seorang
Perdana Menteri yang memahat dan mereka bentuk Malaysia moden. Karya A. Samad
Said masih dalam proses pembacaan.
Novel
yang agak kelainan yang dapat mengguris perasaan dan gerak jiwa saya ialah
karya Na. Parthasarathi. Karyanya Kurinji Malar. Saya tidak tahu menahu
terjemahannya dalam bahasa Melayu. Tetapi ia sejenis bunga yang hanya mekar
sekali dalam puluhan tahun.
Penulis
setakat ini telah menukil 16 buah novel dan pernah dianugerahi Akademi Sahitya
(satu anugerah yang paling tinggi yang diberikan kepada seniman dan pengarang
yang ulung di India oleh Kerajaan India). Mendiang yang lahir pada 18 Disember
1932 dan meninggal dunia pada 13 Disember 1987) sering dikenali sebagai Theebam
Parthasarathi kerana kerjayanya sebagai penulis bermula dengan menulis dalam
majalah yang bertajuk Theebam. Pernah menjadi wartawan dalam beberapa majalah
seperti Kalki, Dina Mani dan Kadhir. Sering menggunakan nama penanya seperti
Theeran, Aravindan, Ponmudi, Valavan, Kadalazhagan, Ilampooranan dan
sebagainya.
Novel
Kurinji Malar ini bertepatan dengan judulnya kerana pengarang berjaya
menghidupkan seorang watak protoganis wanita yang bernama Poorni yang hidupnya
dipenuhi pelbagai pancaroba dan menghabiskan sisa-sisa hidupnya tanpa
berkahwin. Sewaktu novel ditamatkan, usia watak ini 50-an. Hanya kerana cinta
sejati terhadap sesorang jejaka yang bernama Aravindan, beliau sanggup hidup
berseorangan. Namun beliau juga mempunyai adik-adik untuk dijaganya. Poorni
bermaksud lengkap. Wanita ini digambarkan sebagai seorang anak perempuan yang
memang serba lengkap budi pekertinya dan pengetahuannya. Walaupun tidak
berpendidikan tinggi, namun pengetahuan yang cukup mendalam dalam bahasa dan sastera Tamil serta falsafah hidup
orang-orang India zaman silam menyebabkan dia disegani dan diundang dalam
banyak majlis untuk menyampaikan syarahan. Kemahiran ini sebenarnya diwarisi
daripada ayahnya seorang professor bahasa Tamil.
Sejak
kematian ayah dan ibunya, di pundaknya menggalas beban keluarga untuk
membesarkan adik-adiknya. Yang lebih menonjol dalam novel ini ialah bagaimana
seseorang gadis Timur perlu menjaga tertib dan budaya yang diwarisinya. Watak
protoganis Aravindan cuma membantu wanita ini menjadi popular dan dialah
menyebabkannya menang dalam satu pilihanraya kawasan mereka tinggal. Tetapi
malangnya pada saat-saat manusia meraikan kemenangannya, pada tika itulah
kekasihnya Aravindan meninggal dunia akibat suatu penyakit berjangkit.
Kekasihnya Aravindan seorang lelaki yang sopan, tertib dan menjadi idola kepada
para lelaki yang lain. Dia suka berkhidmat kepada masyarakat. Ketika membantu
sekumpulan komuniti daripada dijangkiti penyakit itulah malangya dia dijangkiti
penyakit tersebut.
Kedua-dua
watak tersebut memberikan banyak pengajaran secara tersirat kepada kaum
pembaca. Bagaimana seharusnya pemuda dan pemudi Timur harus bertingkah laku
dalam masyarakat? Duo ini menjadi teladan dan idola. Tanpa sentuhan fizikal
mereka membalas cinta sejati mereka hanya melalui kata-kata dan bahasa badan
sahaja. Wacana berunsur falsafah yang diselit dalam dialog antara kedua-dua
mereka merapatkan lagi hubungan mereka dan mereka mengenali diri masing-masing
dengan lebih dekat. Pengajaran juga disampaikan oleh ayah Poorni seorang
professor. Walaupun gambaran watak ayah dalam imbas kembali, tetapi pengarang
berjaya menghidupkan watak ini seolah-olah watak tersebut hidup di hadapan mata
kita. Asuhan dan ajaran bahasa dan budaya kepada anak sulungnya menyebabkan
anak sulungnya iaitu Poorni hidup berdikari,
sentiasa berinisiatif dan lebih optimis terhadap apa-apa yang dilakukan
olehnya dan terhadap apa-apa yang berlaku dalam hidupnya.Wanita seumpama ini
amat jarang dapat kita lihat dalam masyarakat samalah seperti bunga Kurinji
yang amat jarang dapat kita lihat di alam ini.
(Saya petik semula tulisan saya in daripada
blog saya pawanghana. Blog ini sudah tidak berfungsi lagi)
No comments:
Post a Comment