Tuesday, 7 July 2015

Guru-Satu Pandangan (2)

Pelaksanaan kurikulum baru telah mendapati bahawa pendidik yang berkesan mengamalkan tiga gaya fasilitator perubahan iaitu pencetus, pengurus dan petindak balas (Haris Md.Jadi, 2002). Pelaksanaan kurikulum di negara kita adalah sama, namun dari segi kualiti dan kuantiti didapati bahawa guru-guru yang mengamalkan gaya perubahan pencetus adalah lebih berjaya berbanding guru-guru yang megamalkan gaya pengurus dan petindak balas. Gaya perubahan ini sebenarnya satu kombinasi tingkah laku, keprihatinan dan pengetahuan guru serta penegasan terhadap tindakan-tindakan yang diambil oleh guru tersebut. Sebagai pendidik mereka perlu mengamalakn ketiga-tiga gaya tersebut. Guru perlu mempunyai pandangan yang sangat tinggi terhadap P&P dalam bilik darjah. Guru harus mempunyai jangkaan tinggi terhadap pelajar dan jangkaan tersebut akan dijelaskan melalui pelbagai saluran. Sekiranya didapati topik yang diajar berfaedah kepada kepada pelajar, guru hendaklah membuat pengubahsuaian terhadap topik tersebut mengikut kesesuaian dan keperluan pelajar. Sebagai pemudah cara yang mengamalkan pencetus, guru sentiasa mendapatkan maklum balas daripada pelajar.

Faktor yang paling banyak menyumbang kepada kejayaan pelajar di sekolah ialah keupayaan dan kesungguhan guru merancang dan melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang berkesan dan memberangsangkan. Pendekatan pengajaran formal semata-mata tidak membawa kesan penghasilan atau pencapaian pelajar yang memuaskan. Kajian-kajian menunjukkan bahawa pendekatan pengajaran yang informal dan fleksibel iaitu pengajaran yang tidak dikongkong oleh skema dan jadual waktu umumnya lebih efektif. Kepelbagaian kaedah pengajaran yang berunsurkan minat, perasaan, harga diri, pengalaman dan cita rasa pelajar yang terlibat mampu menjana suasana P&P yang interaktif dan impilkasinya pula berpanjangan. Kaedah pengajaran yang tidak bersifat arahan sehala semata-mata tidak mencetuskan pengalaman ‘hands on’ kepada pelajar-pelajar berkenaan.

No comments:

Post a Comment