Thursday, 16 July 2015

KAJIAN COLEMAN-IKLIM AKADEMIK SEKOLAH



 Kajian Coleman mendapati tahap pencapaian sesebuah sekolah disebabkan oleh faktor-faktor bukan sekolah seperti taraf sosio ekonomi ibu bapa. Bagaimanapun sejak 1970-an kajian pencapaian seseorang murid lebih menjurus kepada keberkesanan sekolah. Kajian Kementerian Pelajaran Malaysia tentang keberkesanan sekolah, menyatakan bahawa sekolah mempunyai pengaruh terhadap perkembangan pencapaian seseorang murid. Malah pengaruh sekolah-sekolah yang berlainan juga menyebabkan hasil persekolahan seseorang murid yang berlainan (Brookover et al. (1978), Lezotte et al. (1980) dan Nooman, (1976).Selain Coleman, kajian Metz (1986) dan Chubb dan Moe (1990) juga mendapati bahawa taraf sosio ekonomi ibu bapa adalah penting dalam hasil persekolahan murid. Kajian-kajian Matluck (1987), Cruickshank (1990) dan Bliss et al. (1991) mendapati bahawa keberkesanan sekolah merupakan variabel yang relevan dalam pencapaian murid di sekolah. Hal ini termasuklah iklim akademik sekolah yang teratur, kepimpinan, jangkaan guru, kekerapan memantau murid dan penilaian yang berterusan. Selain itu variabel lain yang menjadi unsur iklim akademik sekolah ialah pengurusan sekolah, kestabilan staf, perkembangan staf, kerjasama staf dan sebagainya (Bulach et al. 1995)Bulach dan Malone (2005) berpendapat bahawa walaupun istilah yang digunakan adalah sama tetapi secara metodologinya apa yang dikaji dalam hasil pembelajaran murid ialah variabel iklim akademik sekolah, kepimpinan sekolah dan jangkaan guru yang tinggi terhadap murid. Peranan iklim akademik sekolah untuk meningkatkan penghasilan murid di sekolah telah mendapat sokongan daripada pelbagai sarjana. Iklim akademik sekolah mempengaruhi peluang-peluang murid untuk meningkatkan kesediaan intelek, konsep kendiri dan relians kendiri dan seterusnya berjaya dalam akademik. Variabel iklim akademik sekolah menyebabkan berlakunya perubahan variabel hasil persekolahan seseorang murid (Brookover, (1979) dan Rutter, (1981). Hal ini kerana iklim akademik sekolah merupakan elemen yang penting dalam menjayakan program-program pengajaran di sekolah. Iklim akademik sekolah mengharmoniskan suasana di sekolah dan menyebabkan sesebuah sekolah itu berfungsi dengan berkesan. Tanpa iklim akademik sekolah, amat sukar untuk seseorang murid mencapai kejayaan di sekolah sama ada dari segi kognitif, imej-diri dan sikap bergantung kepada diri sendiri (Howard, 1987).Swenny (1988) berpendapat bahawa iklim akademik sekolah yang berjaya atau positif merupakan asas yang kukuh untuk menjalankan sebarang program pendidikan. Iklim akademik sekolah yang menggalakkan membolehkan murid, guru dan pemimpin sekolah menjalankan fungsi dengan baik dan berkesan iaitu mendorong murid untuk belajar dan berjaya mencapai hasil persekolahan mereka (Bulach dan Castleman, 1995).

No comments:

Post a Comment