Tuesday, 7 July 2015

Guru-Satu Pandangan (1)

Pandangan konvensional mengatakan tugas guru adalah mengajar dan mendidik. Akan tetapi pelbagai teori dan dapatan kajian terbaharu menunjukkan bahawa ruang lingkup tugas guru adalah lebih meluas dan tidak terhad di sekolah atau di dalam bilik darjah sahaja. Guru pada masa ini berfungsi sebagai pemudah cara. Dalam konteks ini guru perlu merungkaikan segala kesulitan yang dihadapi oleh pelajar bukan sahaja dalam pelajaran malah dalam hidup bersosial juga. Guru perlu memahami sosio emosi dan latar belakang pelajar sebelum mereka memulakan setiap sesi pengajaran. Pengajaran seumpama ini akan terus sebati dalam jiwa pelajar berbanding kaedah konvensional yang menuntut guru perlu menghabiskan sukatan pelajaran dalam jangka waktu yang ditetapkan.

Guru yang berkesan akan membentuk kumpulan yang lebih kecil supaya setiap pelajar dalam kelas tersebut boleh belajar. Guru-guru tidak mahu seorang pelajar pun boleh terlepas daripada proses pembelajaran. Dalam hal ini mereka sentiasa memikirkan kaedah yang kreatif dan inovatif untuk menghidupkan suasana pengajaran dan pembelajaran dalam kelas. Pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang efektif, menarik dan seronok mendorong pelajar untuk datang ke sekolah dan belajar. Pendidik perlu menunjukkan komitmen yang tinggi dalam bilik darjah. Mereka perlu turut serta dalam pembelajaran kerana pelajar dapat merasai bahawa guru adalah sebahagian daripada mereka. Maka dengan ini minat untuk belajar akan menjadi lebih berkobar-kobar.Guru bukan sahaja ingin menjadi sumber inspirasi kepada pelajar mereka untuk belajar malah mereka perlu menjadi agen perubahan. Guru perlu membawa perubahan dalam bilik darjah. Dan perubahan-perubahan ini diharapkan dapat dialami oleh pelajar sehingga menjadi pelajar yang cemerlang dalam akademik dan juga bukan akademik.

No comments:

Post a Comment