Sebelum
Penyata Razak 1956 diperkenalkan negara kita tidak mempunyai satu asas atau
satu sistem pendidikan kebangsaan. Senario yang wujud pada ketika itu ialah
terdapat empat aliran pendidikan yang berlainan iaitu aliran Inggeris, Melayu,
Cina dan India. Golongan India telah menggunakan sukatan pelajaran dari negara
asal mereka untuk diajar kepada anak-anak mereka di sekolah-sekolah Tamil
(Santhiram, 1999). Begitu juga dengan kaum Cina dan Melayu. Hal ini telah
menyebabkan wujudnya ketidakseragaman dari segi jati diri Malaysia dan fahaman
Kemalaysiaan. Sebagai contohnya negara China mengamalkan fahaman komunisme dan
sukatan pelajaran mereka terbawa-bawa ke negara kita. Malah terdapat juga
penggunaan bahasa penghantar yang tidak seragam. Hal ini telah menyebabkan
setiap kaum hanya tahu bercakap dalam bahasa ibunda masing-masing sahaja.
Keadaan ini mendorong kepada segregasi dan polarisasi dalam kalangan pelbagai
kaum. Kekangan dan rintangan ini telah memberikan satu impak buruk dalam
pembentukan perpaduan kaum di Malaysia.Oleh hal yang demikian, langkah-langkah
yang lebih proaktif perlu diambil memandangkan perpaduan di negara kita ialah
satu keunikan untuk mengecapi pembangunan negara. Antara langkah yang saya
syorkan sebagai seorang pendidik ialah saya akan mengembalikan kegemilangan
bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan. Sebagai seorang pendidik
saya mencadangkan supaya penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di
semua sekolah hendaklah ditekankan. Bahasa Melayu yang mula diperkenalkan di
semua sekolah rendah pada tahun 1970 mula kehilangan taringnya. Sebagai seorang
pendidik di sekolah menengah saya akan menekankan penggunaan bahasa Melayu
dalam semua urusan pengajaran dan pembelajaran, pentadbiran dan komunikasi
dengan pelajar. Subjek Pengajian Am yang saya ajar di sekolah amat memerlukan
pelajar-pelajar saya mengemukakan pandangan yang konstruktif dan berhujah
tentang isu-isu semasa dalam bahasa Melayu. Saya amat percaya hanya melalui
bahasa tersebutlah perpaduan dalam kelas dapat diwujudkan. Saya mendapati
apabila pelajar menggunakan bahasa Melayu, mereka dapat merasakan semangat kekitaan.
Kelebihan ini tidak dapat dilihat apabila mereka menggunakan bahasa ibunda
ataupun bahasa Inggeris. Bahasa Melayu amat memudahkan mereka berkomunikasi
antara kaum dan memudahkan saya menyampaikan ilmu kepada pelajar. Penggunaan
bahasa Melayu memberikan kefahaman dan rasa saling memahami sambil dapat
menghindarkan rasa curiga antara satu sama lain kerana mereka dapat
berinteraksi dengan menggunakan satu bahasa tunggal iaitu Bahasa Melayu.Saya
juga menekankan perpaduan melalui aktiviti kokurikulum. Saya amat percaya
bahawa aktiviti kokurikulum akan dapat melahirkan insan generasi yang dapat
menghargai perpaduan dan bermoral tinggi agar tidak berulang lagi peristiwa 13
Mei 1969. Baru-baru ini saya telah menganjurkan Perkhemahan Perdana untuk 45
orang pelajar yang terdiri daripada peibagai kaum. Setiap khemah terdiri
daripada lima orang peserta berbilang kaum. Saya mencuba menyemai bibit-bibit
toleransi, saling memahami, saling menghormati budaya, agama dan taboo dalam
masyarakat berbilang kaum. Saya mendapati pelajar tidak menghadapi sebarang
masalah sama ada sewaktu berada dalam khemah ataupun sewaktu mengadakan
aktiviti lain seperti meredah hutan, persembahan budaya, permainan dan
pertandingan. Saya mendapati aktiviti kokurikulum ini berjaya merapatkan
hubungan pelbagai kaum. Impak program ini memang positif apabila saya mendapati
tidak ada kejadian-kejadian menghina, mengejek, menyindir sesuatu bangsa dalam
kalangan pelajar.Saya akan memastikan bahawa objektif utama sistem pelajaran
kebangsaan adalah untuk memenuhi keperluan negara dan menggalakkan perkembangan
kebudayaan, sosial, ekonomi dan politiknya. Sebagai pendidik saya akan
memastikan pelajar-pelajar saya bersatu padu, berdisiplin dan terlatih. Saya
akan melatih pelajar saya memiliki kemahiran supaya mereka dapat menceburi
pelbagai bidang termasuk dalam bidang sains dan teknologi tanpa mengira kaum.
Saya sedar bahawa salah satu punca perpecahan kaum ialah agihan sumber manusia
yang tidak seimbang. Sebagai seorang pendidik ketika mengajar dalam kelas, saya
menggalakkan pelajar yang berbilang bangsa mengenali, memahami dan menghormati
kebudayaan, sosial dan world view sesuatu kaum. Saya akan sentiasa memastikan
tiada sebarang pembaziran tenaga kerja akibat terlalu ramai murid yang cicir
daripada alam persekolahan pada usia yang muda sehingga mengurangkan potensi
kerja negara. Saya pernah ke rumah murid di ladang dan di kampung untuk mencari
murid yang enggan datang ke sekolah. Saya berbuat demikian kerana saya tidak
mahu melihat ketidakseragaman kaum dalam agihan tenaga kerja.Sebagai pendidik
saya telah dan akan memberi perhatian khas kepada pelajar-pelajar yang kurang
bernasib baik khususnya pelajar kawasan luar bandar. Saya faham bahawa pelajar
kawasan luar bandar dan pinggir bandar amat lemah konsep kendiri dan relians
kendiri mereka. Kelemahan inilah yang menjadi punca wujudnya perbezaan dalam
kesediaan intelek pelajar. Sebagai seorang pendidik saya akan memudahkan proses
pengajaran mengikut kemahiran dan pengetahuan murid yang lemah supaya mereka dapat
menguasai kemahiran asas yang digariskan dalam KBSR dan KBSM. Saya akan
memberikan peluang yang secukupnya kepada murid-murid yang memerlukan
pemulihan. Sebagai pendidik saya harus ingat bahawa murid datang ke sekolah
bukan untuk mendapatkan bilangan A yang boleh dibanggakan, tetapi penguasaan
kemahiran asas pembelajaran dan pembinaan keyakinan diri, konsep kendiri dan
relians kendiri dalam diri mereka agar murid dapat menghadapi cabaran dan
persaingan dengan kaum-kaum lain apabila meninggalkan bangku sekolah
nanti.Perpaduan dalam kalangan pelajar dapat diwujudkan dengan pelaksanaan
kurikulum dan peperiksaan yang seragam di semua sekolah tanpa mengira sama ada
sekolan kerajaan ataupun sekolah swasta (Abdul Rahim b. Abdul Rashid, 2002).
Sebagai bekas guru di sekolah rendah saya pernah mendapati kebanyakan guru
tidak melaksanakan KBSR. Alasan mereka ialah penyediaan pelbagai bahan
pengajaran mengikut tahap kebolehan pelajar mengambil masa dan membebankan.
Bagi saya jika pelajar-pelajar tidak dapat mengikuti kemahiran berkomunikasi
seperti bertutur dan menulis, maka sudah pasti mereka tidak dapat berhubung
dengan kaum-kaum lain. Hal ini mengekang perpaduan dalam kalangan pelajar.
Sayugia diingatkan setiap guru termasuk saya hendaklah melaksanakan KBSR yang menekankan
3M iaitu membaca, menulis dan mengira serta melaksanakan juga KBSM.
Kemahiran-kemahiran bersepadu yang ditekankan dalam KBSM perlu dikuasai oleh
setiap pelajar agar mereka dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah
dengan bangsa-bangsa lain di negara ini. Salah satu asas dalam perpaduan ialah
perkongsian maklumat. Pelajar yang gagal dalam sistem KBSM, sudah pasti tidak
dapat berhujah, berkongsi pendapat dengan rakan mereka daripada bangsa
lain.Perpaduan yang sedia terjalin antara kaum pada hari ini adalah hasil
daripada kemerdekaan negara daripada penjajahan. Sebagai pendidik saya wajib
memainkan peranan saya untuk memastikan kesinambungan kemerdekaan melalui
pemupukan semangat juang serta jati diri tinggi dan mengamalkan cara hidup
berlandaskan prinsip Rukun Negara. Rukunegara menjelaskan komitmen asas bagi
setiap rakyat Malaysia untuk mengekalkan perpaduan nasional dengan tujuan
memastikan kemajuan pada masa hadapan. Dengan menerima semangat kewujudan
bersama, pelbagai komuniti etnik dapat disatukan oleh perlembagaan.
Prinsip-prinsip Rukunegara membawa daya perubahan bersama, untuk membina
masyarakat Malaysia sebagaimana yang didapati pada hari ini.Ketua Pengarah
Pelajaran, Datuk Dr Ahamad Sipon, pernah berkata bahawa perpaduan perlu terus diberi
keutamaan bagi memastikan rakyat hidup harmoni kerana semangat bersatu padu dan
saling menghormati adalah asas kemajuan negara ini. Sekolah adalah antara
institusi penting menyemai serta menanam semangat integrasi. Dalam konteks ini
Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) yang diperkenalkan oleh
Kementerian Pelajaran akan saya tekankan untuk merealisasikan hasrat perpaduan
negara. Saya akan memupuk semangat mencintai tanah air dalam diri guru dan
pelajar. Antara langkah yang boleh saya lakukan ialah mengadakan perarakan
membawa bendera Malaysia mengelilingi kawasan persekitaran sekolah. Dengan
berbuat demikian, pelajar-pelajar dapat menghayati pengorbanan pemimpin kita
untuk mendapatkan kemerdekaan dan memupuk perpaduan walaupun pada ketika itu
rakyat kita dibelenggu dan dicengkam oleh penjajah. Tanpa penglibatan total
para pemimpin dan kerjasama yang ditunjukkan oleh pemimpin yang berbilang
bangsa maka kesejahteraan dan keharmonian yang kita nikmati sekarang tidak
dapat dipertahankan.Kita dapat merealisasikan hasrat perpaduan di sekolah
dengan cara menilai dan memantau bagaimana seseorang warga sekolah dapat
berkomunikasi dengan seseorang. Komunikasi merupakan asas pembinaan segala
aktiviti dalam sesebuah bilik darjah. Komunikasi menghidupkan bilik darjah dan
sekolah (Epstein, 1993). Saya sebagai pendidik sentiasa mengawasi bahasa
percakapan pelajar supaya tidak menyinggung hati sesuatu kaum. Saya lebih
berwaspada terhadap kemungkinan berlakunya salah tafsir isyarat atau mesej
kerana ini akan menyebabkan prejudis dalam kalangan pelajar. Perasaan
curiga-mencurigai dansyak wasangka yang wujud akibat penyalahgunaan bahasa akan
menjadi satu kekangan dalam proses perpaduan. Sebenarnya perpaduan nasional
merupakan matlamat utama negara sejak kemerdekaan. Setiap kaum mempunyai
ideologi, kebudayaan, agama, bahasa, cara pendidikan, gaya berfikir, corak
pekerjaan tersendiri dan tempat tinggal berasingan. Kesemua perbezaan ini
merumitkan proses perpaduan (Ibrahim Saad, 1980). Untuk menjamin perpaduan
terus wujud, saya sebagai pendidik akan merancang pengajaran di bilik darjah
yang mampu mewujudkan persefahaman antara kaum etnik, penghayatan kebudayaan
dan nilai sosial serta aktiviti yang melibatkan interaksi antara kaum. Apabila
saya membentuk kumpulan diskusi dalam bilik darjah, saya akan memastikan
kumpulan tersebut terdiri daripada pelajar berbilang bangsa. Melalui diskusi
mereka dapat memberi dan menerima pendapat, menghormati idea seseorang dan
berkongsi pendapat dengan rakan dalam kumpulan. Pembentukan kumpulan seumpama
ini mendekatkan diri sesuatu kaum dengan kaum yang lain.Saya akan menerapkan
nilai-nilai kesederhanaan, rasional, toleransi dan bertanggung jawab dalam
kalangan anak didik saya. Nilai-nilai ini sangat penting agar pendapat yang
berbeza dalam kalangan mereka tidak sampai menjerumuskan mereka dalam
pergaduhan dan seterusnya kepada perpecahan kaum di sekolah. Saya sentiasa akan
memastikan pelajar saya tidak meninggikan suara apabila bercakap dengan kaum
lain. Saya akan menasihati mereka supaya menerima rakan-rakan tanpa mengira
kaum dalam pergaulan mereka. Saya sering menyeru pelajar saya supaya berfikir
secara rasional sebelum mereka mengambil sebarang tindakan khususnya tindakan
yang melibatkan kaum-kaum lain. Setelah sesuatu keputusan atau tindakan
diambil, saya akan meminta pelajar supaya bertanggung jawab terhadap apa yang
dilakukan oleh mereka. Dengan ini saya melatih pelajar supaya lebih
berhati-hati apabila berada dalam kumpulan berbilang kaum.Saya sebagai pendidik
perlu mendidik anak murid saya menjadi lebih unggul. Hal ini kerana zaman akan
datang adalah zaman persaingan yang amat hebat. Saya perlu membuat revolusi
pemikiran dan transformasi budaya terhadap mereka. Perubahan ini perlu bagi
melahirkan generasi yang cukup kompeten dan berdaya saing. Dengan adanya
persaingan yang sihat sesama kaum, maka setiap kaum di negara ini akan
memperoleh hak mereka secara saksama (Ibrahim Saad, 1986). Jurang pendapatan
dan pemilikan ekuiti dalam kalangan masyarakat pernah menjadi punca perbalahan
kaum. Saya berfikir saya tidak akan membenarkan keadaan ini berulang. Sifat
monopoli tanpa berkongsi kekayaan atau peluang akan saya ranapkan sama sekali
dari sanubari pelajar saya. Dalam konteks negara yang berbilang bangsa, setiap
sekolah hendaklah menekankan kepentingan ilmu pengetahuan dan informasi kepada
setiap murid. Pembangunan sesebuah negara yang mapan menuntut rakyatnya supaya
lebih berpengetahuan, berinformasi dan berintelek tinggi (Sufean Hussein,
2002). Dengan cara ini, negara memerlukan setiap rakyat memiliki ilmu tinggi
bagi mencapai kemajuan. Justeru, sebagai pendidik saya akan memastikan setiap
kaum akan berusaha dengan bersungguh-sungguh menimba ilmu untuk mencapai
kejayaan, seterusnya menyumbang kepakaran membangunkan negara tercinta. Dengan berbuat
demikian kelompangan yang wujud dalam pengagihan peluang pekerjaan seperti
profesional tidak akan wujud. Era 1960-an dan 1970-an dijangka tidak akan
berulang. Pada era tersebut kedudukan bukan bumiputera menduduki tangga teratas
dalam bidang ikhtisas seperti perubatan, guaman dan kejuruteraan. Bagaimanapun
berkat usaha pemimpin kita, kini keadaan tersebut sudahpun diimbangkan tanpa
merampas hak mana-mana kaum.Di samping itu, guru juga dituntut berkualiti
tinggi bukan saja memiliki ilmu pengetahuan terkini, tetapi mampu
menyampaikannya kepada pelajar dengan baik dan berkesan. Pemikiran dan hala
tuju saya akan mencorakkan persiapan pelajar untuk menyesuaikan diri dalam
kehidupan masa depan lebih mencabar. Inilah antara pengisian yang perlu saya
penuhi bagi mencapai kemajuan pascamerdeka yang bermatlamat untuk melahirkan
generasi yang berilmu pengetahuan, memiliki jiwa dan peribadi unggul,
bersemangat muhibah serta mampu menghadapi cabaran-cabaran semasa secara
kolektif dan bersepadu.Oleh itu, semangat dan budaya perpaduan dalam kalangan
guru serta pelajar hendaklah sentiasa saya tekankan dalam segala bentuk
interaksi di sekolah.Salah satu punca berlakunya ketidakadilan sosial di negara
ini ialah kurangnya kemudahan persekolahan. Jurang ilmu antara masyarakat
bandar dan luar bandar amat ketara. Oleh itu sebagai pendidik saya mengesyorkan
supaya mewujudkan pendidikan pra sekolah di setiap sekolah. Walaupun ini
menelan belanja yang agak besar, tetapi jika mengambil kira pelaburan masa
depan, cadangan ini akan membuahkan hasil yang positif pada masa depan. Dengan
berbuat demikian masalah buta huruf dalam kalangan pelajar darjah satu di
kawasan luar bandar dapat dibendung. Sebagai pendidik saya berpendapat
pembasmian buta huruf dalam kalangan pelajar akan membantu negara mempercepat
proses integrasi sama ada integrasi penduduk mahupun integrasi wilayah. Pada
tahun 2006, Kementerian Pelajaran telah membuka sebanyak 700 kelas prasekolah
bagi mengurangkan jurang pendidikan di antara bandar dan luar bandar. Dengan ini
aspek sosio emosi dan intelek pelajar di luar bandar dapat diperkembang sejak
di peringkat awal lagi. Dalam RMK9 usaha merapatkan jurang tersebut akan
digiatkan dengan tumpuan di negeri-negeri yang kurang maju seperti di
Terengganu, Sabah dan Sarawak (EPRD, 2006)Usaha mewujudkan perpaduan tidak akan
berhasil jika pelajar kita tidak menghayati kemerdekaan yang dicapai pada Ogos
1957. Saya sebagai pendidik ingin membebaskan anak didik saya daripada
kongkongan dan eksploitasi penjajah. Saya akan mengingatkan para pelajar saya
betapa pemberontakan subversif yang dilakukan oleh pengganas komunis mengancam
kedaulatan negara kita. Saya akan menyeru mereka supaya membaktikan diri untuk
memenuhi harapan rakyat kita bagi mencapai pembangunan sosial dan ekonomi mengikut
acuan kita sendiri.Sebagai pendidik kita tidak sepatutnya menyentuh isu-isu
yang boleh menyinggung perasaan warga sekolah kita yang terdiri daripada
pelbagai kaum. Saya meminta anak didik saya mengelakkan kegiatan yang boleh
mengancam keamanan negara. Saya perlu menyokong dan melibatkan pelajar dalam
sebarang aktiviti yang boleh memupuk perpaduan. Sebagai contohnya aktiviti
bergotong royong, sukan sekolah, hari penyampaian hadiah, hari kokurikulum dan
sebagainya. Sebagai pendidik dan guru penasihat saya sepatutnya mengagihkan
pelajar yang berbilang kaum mengikut beberapa kumpulan untuk melaksanakan
sesuatu tugas. Dengan berbuat demikian pelajar dapat memupuk sikap saling
membantu, bertolak ansur dan menyelesaikan sesuatu masalah secara bermuafakat.
Jadi jelaslah bahawa saya memupuk permuafakatan yang menjadi asas perpaduan
sejak pelajar di bangku sekolah lagi.Kita sedar bahawa huru hara dan kekacauan
yang berlaku antara kaum atau adanya sektor yang mempunyai kepentingan sendiri
akan memusnahkan sikap kenegaraan kita. Sebagai pendidik saya perlu
mengembalikan keadaan harmoni dan persefahaman sesama pelajar berbilang bangsa.
Saya perlu menyatukan kepentingan dan aspirasi kumpulan berbilang kaum untuk
memupuk komuniti kebangsaan yang sedang berkembang. Saya perlu menanam sikap
mementingkan masyarakat atau semangat kekitaan daripada mementingkan diri
sendiri atau individualistik. Saya perlu mengikis sikap pelajar bak kata
pepatah Melayu “bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing”. Yang
menjadi tonggak perpaduan ialah Perlembagaan. Perlembagaan melindungi hak asasi
setiap bangsa agar mereka dapat mengamalkan kebebasan tanpa mengganggu keamanan
masayarakat lain. Sebagai pendidik adalah menjadi tanggung jawab saya untuk
menasihati pelajar saya supaya mendaulatkan perlembagaan. Dalam apa jua keadaan
saya tidak mahu anak didik saya membelakangkan perlembagaan. Bangsa yang
membelakangkan perlembagaan merupakan satu bangsa yang menafikan hak-hak
sesuatu bangsa yang lain. Jika ini dibiarkan berlaku, maka perpaduan tidak akan
tercapai. Susah payah para pemimpin berbilang bangsa yang duduk semeja bersama
Lord Reid untuk merangka perlembagaan persekutuan tidak akan bermakna. Saya
akan menggesa warga sekolah agar menerima maksud yang tersirat di sebalik perkataan-perkataan
yang tertera dalam perlembagaan agar pelajar tidak salah tanggap.Semangat
patriotik ini mesti ditanam dan dikekalkan oleh semua orang di Malaysia tanpa
mengira asal keturunan etnik, warisan budaya dan kepercayaan agama mereka. Hal
ini kerana tanpa semangat patriotik, perpaduan sukar untuk dicapai. “
Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan
lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan
yang harmonis dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani
berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi
melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia,
bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi
sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara” (Falsafah
Pendidikan Negara dalam Wan Mohd. Zaid b. Wan Mohd. Nordin, 1993).Jika diteliti
falsafah pendidikan negara di atas nyata bahawa dasar pendidikan negara adalah
satu dasar yang diwujudkan untuk menyemai rasa cinta kepada negara yang secara
simboliknya menuntut usaha ke arah mempererat perpaduan antara satu sama lain
agar peristiwa 13 Mei 1969 tidak akan berulang. Patriotik terhadap ibu pertiwi
memerlukan pengorbanan mental dan fizikal. Sumbangan mental dan fizikal ini
tidak hanya diperoleh daripada satu bangsa sahaja. Semua penduduk termasuk
golongan pelajar sekolah harus menunjukkan semangat ini kepada negara mereka.
Sebagai pendidik pelbagai mata pelajaran yang menjurus ke arah ini seperti
Pendidikan Sivik dan Kenegaraan, Pendidikan Moral, Sejarah, Pendidikan Islam
dan Kajian Tempatan perlu saya tekankan dalam bilik darjah. Saya akan merujuk
kepada beberapa peristiwa contoh patriotik pemimpin dulu dan sekarang dalam
mengharungi cabaran semasa negara sebagai teladan dan motivasi kepda
pelajar..Menerusi Majlis Perpaduan Negara yang diterajui oleh Mendiang Tun
Sambanthan, “Persefahaman, Muhibah dan Tolak Ansur” menjadi moto yang membawa
makna kepada Perpaduan Nasional. Setiap pendidik di Malaysia mesti sentiasa
bertangung jawab menentukan dan mendefinisikan semula makna ciri-ciri
kebangsaan bagi diri mereka dan juga bagi masyarakat secara keseluruhan. Dengan
ini perpaduan memberi pengertian kepada cara hidup orang Malaysia. Pada waktu
dahulu terdapat beberapa slogan seperti “Bersatu dalam Pelbagaian”, “Semua
bangsa berkongsi matlamat yang sama”, “Integrasi Nasional” dan sebagainya.
Slogan-slogan ini akan saya hidupkan di peringkat sekolah bagi menggalakkan
semua warga sekolah hidup dan bekerja sama. Dengan menghidupkan slogan-slogan
ini saya mahu pelajar-pelajar saya menganggap “Kita adalah Satu Keluarga”.
Apabila pelajar berasa mereka sebagai satu keluarga, maka mustahillah
berlakunya pergeseran kaum. Sekolah dan institusi pengajian merupakan medan
untuk generasi muda kita memupuk perpaduan sebelum mereka menceburi dunia
pekerjaan untuk memakmurkan negara ini. Sebagai pendidik, saya berpendapat
bahawa kita perlu berfikir secara rasional dan membuat penilaian semula tentang
hubungan antara kaum serta mengetepikan sebarang sentimen dan emosional yang
melulu. Sikap seumpama ini banyak berlaku di sekolah-sekolah menengah yang
dihadiri oleh remaja yang berbilang kaum. Saya sebagai pendidik akan
membangkitkan kesedaran dalam kalangan pelajar ini dan menyeru mereka supaya
mengamalkan hidup secara harmoni, sejahtera dan aman damai. Saya akan meminta
pelajar saya supaya melupakan sebarang peristiwa yang pernah menyinggung hati
mereka dengan kata-kata yang berunsur perkauman. Saya akan mencuba menerapkan nilai
sedia memaafkan kesalahan orang dan mengikis sikap berdendam terhadap sesuatu
bangsa. Untuk mengekalkan perpaduan yang kita nikmati selama ini, pandangan
jauh pelajar berbilang bangsa adalah perlu.Di sekolah-sekolah kebangsaan dan di
sekolah menengah, pelajar yang menghadiri kedua-dua jenis sekolah ini adalah
daripada pelbagai latar belakang hidup. Saya sebagai pendidik akan mewujudkan
satu persekitaran untuk pelajar-pelajar saya menghormati dan menjalin
persaudaraan dengan bangsa-bangsa lain. Saya harus bersikap lebih sensitif
terhadap keperluan pelajar yang berlainan latar belakang. Tetapi apa yang
menjadi kekurangan atau kelemahan pendidik masa kini ialah mereka termasuk saya
tidak diberi pendedahan di maktab perguruan tentang cara-cara menangani pelajar
berbilang bangsa di sekolah. Boleh dikatakan kefahaman pendidik tentang
cara-cara memupuk hubungan harmoni antara kaum amatlah dangkal. Oleh itu saya
sebagai pendidik hendaklah menekankan kursus hubungan kaum seperti yang
dilaksanakan di institusi pengajian tinggi. Bagi saya setiap pendidik perlu
mempunyai latihan dan pendedahan awal sebelum mengendalikan sekolah yang
terdiri daripada pelajar berbilang kaum.Sekolah-sekolah hanya boleh mengawal
satu komuniti kecil manakala masyarakat yang lebih besar hendaklah memainkan
peranan yang lebih penting untuk menyatupadukan masyarakat berbilang kaum.
Bagaimanapun sekolah sebagai sebuah agen masih boleh memainkan peranan dengan
menyuntik nilai dan sikap dalam diri seseorang pelajar. Pemupukan hubungan
antara kaum merupakan satu perjalanan yang agak jauh untuk mencapai integrasi
nasional. Bagaimanapun para pendidik hendaklah melaksanakan model yang telah
digubal oleh kerajaan tanpa memberi banyak alasan.Pelajar-pelajar dari sekolah
vernakular menghadapi kejutan budaya apabila mereka berhadapan dengan
pelajar-pelajar Melayu. Ada sesetengah pelajar khususnya bukan Melayu
menghadapi pelajar Melayu buat pertama kalinya di tingkatan satu di sekolah
menengah. Jika para pendidik tidak mengambil sebarang inisiatif, sudah pasti
pergaulan mereka terbatas dan polarisasi mula wujud (Hazri Jamil dll, 2004).
Sebagai pendidik saya akan mewujudkan ruang dan peluang untuk pelajar-pelajar
ini berinteraksi dan mengenali antara satu sama lain. Dalam aktiviti pengajaran
dan pembelajaran dalam bilik darjah, pendidik hendaklah melibatkan semua kaum.
Pendidik memperkenalkan rakan-rakan baru di hadapan kelas dan menggalakkan
pelajar lain bersalam dengannya dan bertanya tentang latar belakangnya. Pelajar
dari kawasan ladang yang rata-ratanya daripada kumpulan sosioekonomi yang
rendah menghadapi masalah merendah diri apabila berhadapan dengan pelajar
daripada kumpulan sosioekonomi yang sederhana dan tinggi. Sebagai pendidik saya
akan menyuruh pelajar-pelajar ini menjadi ahli kumpulan dan bantu membantu
antara satu sama lain dalam pelajaran. Lambat laun saya percaya pelajar-pelajar
ini akan bergaul bebas dan berinteraksi tanpa mengira kedudukan dan darjat.
Sudah semestinya masih banyak lagi masalah yang lebih kompleks akan kita
tempuhi. Pada tahun 1950-an, 1960-an dan mungkin juga 1970-an, tidak ada
seorang pun yang dapat menjangkakan revolusi global besar-besaran yang dibawa
oleh cip silikon serta teknologi maklumat dan rangkaian jaringan cyberspace.
Sebagai pendidik kita harus berbangga dengan kenyataan bahawa sistem pendidikan
kita telah menyebabkan kita berjaya mengembangkan semua perkhidmatan yang
diperlukan untuk memerintah sebuah negara moden. Melalui pengalaman yang
diperoleh dalam sistem pendidikan kita, kita telah berjaya menjana semula serta
menghidupkan semula keadaan masyarakat kita. Kita dapat belajar di samping
mengajar diri sendiri dalam kita membentuk diri kita sebagai rakyat Malaysia.
Sebagai pendidik saya akan menggalakkan anak didik saya menggunakan kemudahan
teknologi ini untuk berkomunikasi.Sebagai pendidik saya berpendapat, saya perlu
mewujudkan sudut pidato (Speaking Corner) bagi pelajar-pelajar membahaskan hak
dan tugas mereka sebagai rakyat Malaysia sepertimana termaktubnya dalam
Perlembagaan Persekutuan. Kepelbagaian penduduk kita yang terdiri daripada
pelbagai kaum, kebudayaan, bahasa dan warisan agama boleh dijadikan bahan
perdebatan. Dengan cara ini para pelajar dapat meningkatkan kefahaman mereka
tentang sesuatu kaum dari segi sosial, ekonomi, politik dan pegangan hidup masyarakat.Satu
demi satu, kita berjaya mengatasi masalah yang berbagai-bagai dalam isu
perpaduan. Pertumbuhan berterusan populasi dan bertambahnya kerumitan yang
dihadapi menyukarkan proses integrasi pelajar. Boleh dikatakan kemudahan untuk
semua pelajar bersatu padu di bawah bumbung sebuah sekolah belum mencukupi.
Kementerian Pelajaran hendaklah meningkatkan mutu dan kemudahan yang terdapat
di sekolah rendah dan menengah agama. Sebagai pendidik saya boleh menganjurkan
beberapa majlis perbincangan dan perundingan dengan golongan pendidikan yang
profesional dan wakil-wakil daripada semua golongan serta sektor dalam
masyarakat. Matlamat saya adalah untuk mengimbangkan kecemerlangan fisikal
untuk memupuk persefahaman dan perpaduan kaum serta negara.Selain pihak
berkuasa saya boleh menggemblengkan tenaga badan-badan bukan kerajaan dan
korporat serta swasta menganjurkan aktiviti atau membiayai perbelanjaan sesuatu
aktiviti perpaduan di sekolah. Perkara yang perlu disedari oleh setiap pendidik
ialah matlamat untuk memupuk perpaduan dalam kalangan pelajar perlulah menjadi
satu perjuangan yang berterusan. Dalam apa jua keadaan para pendidik tidak
harus membiarkan cara kita menangani isu perpaduan, menghancurkan masyarakat
kita.Bagi saya, pencapaian matlamat perpaduan ialah meneliti sejauh mana
kejayaan setiap generasi rakyat Malaysia dalam mengamalkan nilai-nilai moral,
keagamaan dan kebudayaan. Para pendidik seharusnya mencari sebab-sebab mengapa
sikap rakyat Malaysia berbeza-beza apabila mengamalkan nilai-nilai moral,
keagamaan dan kebudayaan ini. Pendidik harus mengkaji kualiti pelbagai etnik
pelajar serta latar belakang kebudayaan dan agama mereka. Namun begitu, saya
berpendapat bahawa untuk mengekalkan dan membina nilai-nilai moral seseorang
individu dan hubungan seseorang individu dengan keluarganya dan hubungannya
dengan masyarakat dan komuniti negara secara amnya, merupakan satu cabaran yang
hebat. Saya sebagai pendidik harus melibatkan kehidupan sosial generasi muda
rakyat Malaysia secara langsung. Para pendidik seharusnya meminta pelajar
mencari punca masalah perilaku sosial seperti “lepak” dan “bohsia” dalam
kalangan pelajar. Dengan berbuat demikian kesedaran dalam kalangan pelajar akan
wujud. Hal ini juga dapat mengelakkan sesuatu kaum menjadi mangsa pembangunan
dan golongan tersebut sepatutnya tahu bahawa masalah-masalah sosial hanya
menjadi penghalang kepada proses perpaduan. Pendidik harus memikul tanggung
jawab memerangi tingkah laku pelajar yang terjerumus dalam kancah
sosial.Natijahnya, sebagai seorang pendidik saya boleh mewujudkan perpaduan
antara kaum di sekolah khususnya dan dalam masyarakat amnya. Adalah menjadi
tanggung jawab saya sebagai pendidik mencari punca keretakan dalam hubungan dan
perpaduan kaum. Selain dasar-dasar utama negara, usaha memupuk perpaduan
sepatutnya bermula di sekolah. Hal ini kerana di sekolahlah, pelajar berjumpa
dengan rakan yang bukan sebangsa dengannya. Apabila langkah-langkah yang
disyorkan dalam rencana ini direalisasikan, maka secara langsung kita dapat
memperkasakan sekolah-sekolah kita. Pemerkasaan sesebuah sekolah tidak hanya
terletak pada aspek kemudahan fizikal, malah sejauh mana sekolah tersebut dapat
menjalin hubungan persaudaraan warga sekolah tanpa mengira kaum juga menjadi
salah satu aspek utama.SENARAI RUJUKANAbdul Rahim b. Abdul Rashid (2002).
Education and Nation Formation in Malaysia: A Structural Analysis. Kuala
Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.Epstein, D. (2001). School, Family and
Community Partnership. Colo: Westview PressHazri Ismail, Molly N.N. Lee dll.(2004).
Ethnic Interaction Among Students in Secondary Schools in Malaysia. Penang :
University of Science MalaysiaIbrahim Saad. (1980). Competing Identities In A
Plural Society: The Case of Peninsular Malaysia. Institute of SEA
Studies.Ibrahim Saad. (1986). Pendidikan dan Politik Di Malaysia. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.Kementerian Pendidikan Malaysia. (2000). Education In
Malaysia. Kuala Lumpur : EPRD.Santhiram, R. (1999). Education of Minorities:
The Case of Indians In Malaysia. Petaling Jaya: CHILD.Sufean Hussein. (2002).
Dasar Pembangunan Pendidikan Di Malaysia: Teori dan Analisis. Kuala Lumpur:
Penerbit Universiti Malaya.Wan Mohd. Zaid b. Wan Mohd. Nordin. (1993). Wawasan
Pendidikan Agenda Pengisian. Kuala Lumpur: Nurin Enterprise.
No comments:
Post a Comment