JIKA dahulu, kerisauan ibu bapa
tatkala anak ke luar negara berkisar mengenai makanan halal, kahwin orang
asing, lupa diri dan agama atau tidak mahu pulang, kini ibu bapa perlu
memastikan satu perkara lagi. Jangan sampai anak anda menjadi keldai dadah!
Keldai dadah ialah frasa yang
merujuk kepada seseorang yang secara rela atau diperdaya untuk menjadi kurier,
membawa dadah atau barang seludup ke negara lain. Taktik ini mengurangkan
risiko pengedar atau penyeludup dadah itu ditangkap. Kaedah penyeludupan
termasuk menyembunyikan barang dalam kenderaan, bagasi atau pakaian, mengikat
pada badan ataupun dengan menelannya. Amat merisaukan sekiranya rakyat Malaysia
terjebak di dalam keadaan ini ketika masuk ke negara orang dan antara negara
yang diketahui sedang menahan warga Malaysia di penjaranya ialah China.
Guangzhou di China, negeri yang
terkenal dengan peluang perniagaan dan permintaan pengedaran barangan seperti
elektronik, pakaian, ubat-ubatan, barangan kesihatan serta perabot.
Pendek kata, semuanya ada di
China dan ia menjadi tumpuan rakyat dunia membeli-belah untuk diri sendiri dan
untuk diniagakan. Barangan yang perlu dibeli secara borong akan menjanjikan
keuntungan maka banyak syarikat diwujudkan demi mengambil peluang ini.
Justeru, ramai yang tertipu dan
terpedaya apabila pihak tertentu menjadikan nama Guangzhou sebagai pancingan
ketika membuat tawaran kerja. Pelbagai jenis perniagaan direka dan diuar-uarkan
walhal sebaliknya, mereka berniaga najis dadah.
Perniagaan dadah memang
menguntungkan dan memerlukan kebijaksanaan. Tambah untung jika dapat
membesarkan 'perniagaan' keluar negara. Lagi banyak negara yang ditembusi lagi
hebat pulangannya.
Kreativiti juga perlu untuk
mengubah strategi mengikut peredaran masa supaya kelicikan tidak dihidu.
Internet wadah terkini yang memudahkan pergerakan. Mungkin semakin moden,
lelaki tampan, bergaya dan hebat berkata-kata sudah ketinggalan zaman ketika
ini untuk digunakan bagi merekrut keldai dadah walau ia masih taktik yang
paling mudah dan laku.
Begitu juga menggunakan ruang
bagasi, dikatakan kaedah lama untuk menyeludup dadah dan paling mudah dikesan
pihak berkuasa. Terkini, taktik menggunakan sabun mandi yang ditebuk untuk
dimasukkan dadah serta bingkai gambar, komputer riba dan kerusi roda juga sudah
dijadikan idea. Bermakna idea penyangak ini tidak pernah kering dalam
memastikan dadah perosak bangsa dapat memenuhi permintaan ejennya.
Konsul Jeneral di Konsulat
Jeneral Malaysia di Guangzhou, China, Francisco Munis menasihatkan warga
Malaysia yang keluar negara sama ada melancong atau bekerja supaya sentiasa
mengambil langkah berhati-hati. Jangan mudah mempercayai janji atau tawaran
yang disertakan pulangan lumayan sebagai ganjaran untuk ke luar negeri. Beliau
juga menasihatkan rakyat Malaysia mengambil langkah berhati-hati di negara
orang dan sentiasa mematuhi undang-undang negara yang dilawati.
Di samping itu rakyat Malaysia
dinasihatkan untuk mendaftar dengan perwakilan Malaysia di luar negeri sama ada
melalui e-mel atau datang sendiri ke pejabat perwakilan bagi membolehkan usaha
untuk membantu mereka dilakukan sekiranya berlaku apa-apa bencana seperti
malapetaka, kemalangan atau kematian. Ini juga bagi memudahkan keluarga mereka
dihubungi.
Katanya, kerajaan memang selalu
mengingatkan masyarakat akibat tidak berhati-hati yang membawa padah ini
melalui saluran media, tetapi kesedaran masih kurang serta tidak dihiraukan
kebanyakan orang.
"Kementerian Luar Negeri
bekerjasama dengan Kementerian Penerangan dan Pertubuhan Anti Dadah untuk
mengingatkan masyarakat supaya sedar keadaan ini di mana ramai sudah dijadikan
'keldai dadah'. Menurut statistik, orang yang terkena ini muda-muda belaka dan
amat menyedihkan apabila mereka menyatakan tidak peka dengan apa yang sedang
berlaku," katanya.
Kata Munis, bagi yang mahu keluar
negara atas tujuan yang membabitkan pihak ketiga yang baru dikenali dan atas
tawaran lumayan, mereka perlu sentiasa mengikuti perkembangan semasa kerana
modus operandi pihak yang merekrut keldai dadah sentiasa berubah-ubah.
"Asalnya dahulu melalui
kiriman dengan berlagak sebagai kawan baru, kemudian tawaran bercuti ke luar
negara yang semuanya ditanggung termasuk duit belanja serta beg baru. Di dalam
beg itulah selalunya diletakkan dadah. "Mereka sangka mendapat percutian
percuma, tetapi rupa-rupanya ada udang di sebalik batu. Sebagai contoh, tawaran
yang membabitkan kerja dan si pekerja kononnya dihantar menjaga cawangan luar
negara. Kadang-kadang ia berlaku selepas setahun bekerja supaya tidak
menimbulkan syak," katanya.
Tawaran kerja melalui Internet
dengan gaji yang lumayan juga perlu disiasat dengan mendalam kesahihannya.
Munis menegaskan, jangan mudah menerima kiriman orang tanpa memeriksa isi
kandungan kiriman. "Selagi tidak mengetahui, melihat dan memeriksa
kandungan yang dikirim itu jangan mudah memberi kesanggupan. Sekarang pelbagai
cara orang menyorokkan dadah sama ada di dalam bingkai gambar, kerusi roda dan
macam-macam lagi idea kreatif. Jangan risau dikata penyibuk kerana ini untuk
keselamatan diri kita. "Begitu juga ketika berada di lapangan terbang,
jangan meninggalkan beg merata-rata dan pastikan ia berkunci," katanya.
Apabila ditahan pihak berkuasa negara
yang kita kunjungi atas apa kesalahan pun, rakyat Malaysia boleh mendapatkan
bimbingan nasihat daripada Pegawai Konsular Malaysia di negara itu.
"Apabila menjadi mangsa,
keluarga mangsa harus memahami skop atau bidang tugas pihak Pegawai Konsular
Malaysia yang hanya boleh memberi bantuan seperti nasihat dan bimbingan tetapi
tidak boleh mencampuri atau mengubah undang-undang negara mangsa ditahan. Pihak
Pegawai Konsular akan berusaha menghulurkan bantuan namun ramai yang salah
faham mengenai jenis bantuan yang boleh diberikan itu.
"Memang tugas Pegawai
Konsular Malaysia membantu mangsa sedaya upaya. Membantu dengan memberitahu
mangsa mengenai hak membela diri, menghubungi keluarga, membantu menguruskan
khidmat guaman melalui bantuan Wisma Putra dan kemudian mengadakan lawatan
konsular." Mentaliti sebilangan rakyat Malaysia menyangka pihak Pegawai
Konsulat boleh melepaskan mereka daripada tahanan adalah tidak benar.
"Orang yang ditahan tetap ditahan dan sekiranya terbukti sesiapa pun tidak
boleh melepaskan diri.
Pihak Pegawai Konsular tidak
boleh campur tangan dalam urusan perundangan di negara lain. Sebab itu kita
jangan melakukan kesalahan atau jenayah di mana sahaja, di dalam negara ataupun
luar negara. Tambahan berada di negara orang, kena ikut undang-undang yang
ditetapkan," katanya.
Sumber: Portal Klik 1 Malaysia
No comments:
Post a Comment