Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) bagi kelas-kelas STPM
sedang giat dijalankan. Bagi beberapa mata kursus, penilaiannya telahpun dijalankan mulai
Penggal Satu Tahun 2012. Bagi mata-mata kursus yang lain telahpun dimulakan
mulai Penggal Dua Tahun 2013. PBS merupakan satu instrumen menggantikan
sebahagian daripada peperiksaan bertulis. KPM mendapati sistem konvensional
yang menguji dan mengukur kebolehan pelajar mendorong kepada daya penghafalan
dalam kalangan pelajar. Bukan semua pelajar dilahirkan dengan daya keupayaan
berfikir yang sama. Pelajar-pelajar yang pintar cerdas sering mendahului
pelajar-pelajar yang kurang pintar atau yang memerlukan pemulihan. Jadi bagi
membantu semua lapisan pelajar mendapat manfaat daripada sistem peperiksaan,
maka PBS diperkenalkan. PBS bagi STPM khususnya mata kursus Pengajian Am amat
memerlukan bimbingan guru. Tanpa bimbingan guru sudah pasti pelajar tidak dapat
menghasilkan kerja kursus PBS pada Penggal Dua nanti. Tetapi KPM mahupun pihak
sekolah gagal melihat kekangan yang dihadapi oleh pelajar. Masih terdapat
pelajar-pelajar yang terawang-awang dengan tajuk, kaedah kajian dan kemudahan
kajian. Pelajar-pelajar yang tinggal di kawasan pedalaman menghadapi masalah
perkakasan komputer, pencetak dan kemudahan wifi. Pelajar-pelajar ini sering
memberikan alasan bahawa di rumah mereka
tiada kemudahan untuk menghasilkan kerja kursus. Malah kemudahan di sekolah
juga terhad. Sekolah sudah tentu tidak dapat menyediakan kemudahan kepada pelajar
jika enrolmen pelajar tingkatan enam di sekolah itu terlalu ramai.
Keduanya kekangan waktu untuk PBS. Guru-guru juga terpaksa
menghabiskan sukatan pelajaran dan menyediakan pelajar untuk menghadapi
peperiksaan STPM Penggal Dua. Persediaan ini seperti biasa memerlukan banyak
bahan dan masa. Masalah guru ialah mereka terpaksa membantu pelajar membaca dan
menyunting kerja kursus yang disediakan oleh pelajar. Contoh PBS Pengajian Am,
panjangnya tidak kurang 5000 patah perkataan. Saya tidak nampak guru-guru kita
mempunyai begitu banyak masa untuk membaca setiap perkataan ditulis pelajar.
Bayangkan jika kelas itu mempunyai 30 orang pelajar. Pada masa yang sama guru
berkenaan terpaksa menjalankan arahan-arahan sama ada dari segi kurikulum,
kokurikulum, kebajikan pelajar dan sebagainya daripada KPM, JPN, PPD dan
sekolah. Pada masa yang sama
pelajar-pelajar juga tidak mempunyai banyak masa. Di samping bersedia
menghadapi peperiksaan bertulis , mereka juga menyiapkan kerja kursus bagi
mata-mata kursus yang lain. Malah mereka juga mengambil bahagian dalam aktiviti
kokurikulum dan datang ke sekolah pada sebelah petang untuk latihan rumah
sukan. Jadi saya bimbang kekangan-kekangan ini membantutkan usaha mereka untuk
memperoleh keputusan cemerlang berbanding rakan mereka di Matrikulasi, A level
dan program-program asasi yang lain.
No comments:
Post a Comment