Tuesday, 16 May 2017

KALVI SATHANAI CENTRE


UJIAN PENGUKUHAN 1
BAHASA MELAYU SPM

Jawab tiga soalan dalam kertas ini. Bahagian A Karangan, Bahagian B Rumusan dan Bahagian C Tatabahasa

BAHAGIAN A

Pilih satu daripada soalan di bawah dan tulis sebuah karangan yang panjangnya lebih daripada 350 patah perkataan.

1. Remaja perlu melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran untuk mendepani pelbagai cabaran pada masa hadapan.  Huraikan kemahiran-kemahiran yang perlu dikuasai oleh remaja sebagai persediaan
untuk menghadapi cabaran era globalisasi.

2. Gaya hidup sihat mempengaruhi kejayaan seseorang dalam pelbagai aspek kehidupan.  Jelaskan peranan ibu bapa untuk memastikan ahli keluarga mereka mengamalkan gaya hidup sihat.

3. Untuk menjadi negara maju, rakyat negara kita perlu celik Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) namun, kemasukan TMK ke negara kita turut membawa pelbagai implikasi.Huraikan penyataan tersebut.

4.Kebanjiran pendatang asing di beberapa buah negara dunia, menimbulkan pelbagai masalah kepada negara penerima pendatang asing tersebut. Bincangkan.

5. Peribahasa “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”, “hidup sandar-menyandar, bagai aur dengan tebing”, dan “serumpun bak serai” merupakan antara peribahasa Melayu yang membuktikan bahawa perpaduan atau semangat kerjasama amat penting dalam budaya kita. Huraikan kepentingan perpaduan atau semangat kerjasama dalam kalangan rakyat di  negara kita.



BAHAGIAN B

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang langkah-langkah keselamatan penggunaan perbankan elektronik dan faedah-faedah penggunaan perbankan elektronikPanjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Kini urusan perbankan hanya di hujung jari. Cara penggunaannya cukup mudah; pengguna hanya perlu menatap skrin komputer, melayari laman sesawang perbankan yang dipilih, menaip kata laluan atau nombor pin kemudian memilih urusan transaksi yang diperlukan,dan dalam beberapa minit urusan tersebut dapat diselesaikan. Aplikasi perbankan elektronik mula dibangunkan di Malaysia setelah mendapat kelulusan daripada  Bank Negara Malaysia pada 1Jun2000 dan Maybank merupakan institusi kewangan pertama menjalankan perkhidmatan  perbankan dalam talian dengan portal perbankannya www.maybank2u.com.my.

Faktor keselamatan dan privasi merupakan dua perkara paling dominan yang mempengaruhi keputusan pengguna untuk menggunakan perkhidmatan perbankan elektronik. Aspek keselamatan dalam penggunaan aplikasi ini sebenarnya terletak di tangan pengguna sendiri dengan memastikan kata laluan ke akaun pengguna sukar diteka oleh orang lain. Oleh itu,pengguna wajar mengelakkan penggunaan nombor telefon, tarikh lahir ataupun maklumat yangsudah biasa digunakan sebagai kata laluan. Pengguna juga perlu kerap menukar kata laluan agar penceroboh di Internet gagal mencuri kata laluan. Setelah segala urusan ditamatkan, pengguna juga disarankan supaya memadamkan semua data berkenaan aktiviti Internet mengikut cara yangdipaparkan oleh pengendali perbankan elektronik. Sekiranya data ini tidak dipadamkan, data akan berada dalam memori komputer dan boleh dikesan oleh penggodam Internet.

Pengguna sering diingatkan supaya tidak melayani e-mel yang meminta mereka menukar nombor pin atau kata laluan perbankan. Banyak kes dilaporkan bahawa pengguna kehilangan wang dalam sekelip mata setelah terpedaya dengan e-mel yang kononnya dihantar oleh pihak bank meminta mereka mengemas kini maklumat pelanggan. Hyperlink pada e-mel atau paparanoleh apa-apa jua laman sesawang, berkemungkinan besar telah dihubungkan kepada portal rekaan para penggodam Internet justeru pengguna dinasihati agar tidak melayari atau mengakses laman sesawang perbankan elektronik dengan jalan pintas. Pelanggan yang bijak juga tidak akansewenang-wenangnya memberikan kata laluan perbankan elektronik kepada sesiapa sahaja. Bagimengelakkan sebarang masalah teknikal atau kesilapan, pengguna perIu memastikan resit transaksi disimpan untuk rujukan.

Sekiranya perlu mencatat kata laluan atau nombor pin kerana bimbang terlupa, pengguna mencatatkannya di tempat yang selamat. Terdapat juga pengguna yang tertipu dengan penghantar sistem pesanan ringkas (SMS) yang mengaku ahli keluarga terdekat, lalu mendedahkan maklumat perbankan mereka. Oleh itu, jangan mudah percaya dengan SMS yang meminta kita menghantar maklumat rahsia. Pengguna harus menyiasat terlebih dahulu kesahihan SMS tersebut.

Walaupun perbankan elektronik berisiko, inisiatif pengguna penting untuk mendapatkanmaklumat terkini agar penggodam tidak berjaya menembusi tembok keselamatan yang dibina. Pihak bank pula seharusnya sentiasa menaik taraf sistem keselamatan mereka memandangkanpelbagai teknologi dan kaedah penipuan dicipta untuk menerobos sistem keselamatan aplikasi diInternet.

(Dipetik dan diubah suai daripada 'Urusan Perbankan di Hujung Jari' oleh Siti Zakiah MelatuSamsi, Dewan Masyarakat, April 2011)


Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

(i)         Apakah maksud rangkai kata dicipta untuk menerobos?
[2 markah]

(ii)        Pengarang menyatakan beberapa cara menggunakan khidmat perbankan elektronik.
Nyatakan cara-cara tersebut.
[3 markah]

(iii)       Pada pendapat anda, mengapakah khidmat perbankan elektronik kurang mendapat
sambutan daripada pengguna?
Jelaskan dua sebab.
[4 markah]

BAHAGIAN C
1. Tulis satuayat bagi tiap-tiap kata di bawah

(i)         reda                    -                       redah
(ii)        paras                  -                       parau
(iii)       kerat                   -                       kelat




2. Pisahkan ayat-ayat majmuk di bawah menjadi enam ayat tunggal tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.

Golongan remaja yang terlalu asyik melayari Internet seringkali menghabiskan masa berjam-jam di hadapan komputer. Keadaan ini mengakibatkan remaja tersebut mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga dan pelajaran. Mereka memberikan alasan hendak mencari maklumat tetapi sebenarnya melayari laman-laman yang tidak berfaedah.



3. Cari dan betulkan tiga kesalahan ejaan dan tiga kesalahan penggunaan imbuhan.

Dari jauh, di salah sebuah kafe popular di ibu kota, terlihat sekumpulan remaja begitu rancak bersembang, sambil menikmati anika makanan yang terhidang di atas meja. Keadaan di kafe "lima bintang" itu begitu sesak dengan kunjungan yang majoritinya remaja berbangsa Melayu. Persoalannya, adakah mereka tidak memperdulikan pengumuman Jabatan Kemajuan Islam Malaysia baru-baru ini bahawa kafe tersebut tidak disenaraikan dalam premis makanan halal.


4.Cari dan betulkan tiga kesalahan penggunaan kata atau istilah dan tiga kesalahan tatabahasa.

Media massa merupakan satu saluran komuniti yang berkesan untuk menyalurkan berbagai maklumat kepada masyarakat. Jika kita lihat pada hari ini, media massa telah digunakan secara menyeluruh. Ini kerana media massa berfungsi sebagai pelebar maklumat kepada masyarakat secara komprehensif. Selain itu, media massa berperanan mendidik masyarakat di dalam mempelajari sesuatu perkara dan membuka perasaan mereka untuk mengetahui sesuatu perkara dengan lebih mendalam.



5. Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian kemukakan tiga peribahasa berdasarkan situasi tersebut.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengingatkan orang ramai supaya tidak terlibat dalam rasuah kerana perbuatan itu menyalahi undang-undang dan hukum agama. Amalan rasuah dalam jangka panjang mampu memusnahkan sesebuah negara. Golongan yang terlibat dalam gejala rasuah selama ini, sekalipun mereka cuba menyembunyikan perbuatan jahat tersebut, suatu masa nanti mereka pasti akan diketahui oleh masyarakat. Kejahatan mereka tidak mampu disembunyikan daripada ketahui orang.

KERTAS SOALAN TAMAT



No comments:

Post a Comment