Tuesday 16 May 2017

BM SPM Pelajaran 5-8 Usm Class

MODUL 5

 Pemahaman Komsas

Baca petikan cerpen dengan teliti. Kemudian jawab soalan pemahaman dengan menggunakan ayat anda sendiri.

       Azam dengan lidah yang fasih telah berhujah di mahkamah. “Yang Arif,apabila raja meminta bertukar ayam,adakah Pak Kaduk boleh membantah perintah raja? Dia akan dituduh sebagai penderhaka dan mungkin kepalanya akan dipancung. Ini bermakna Kaduk telah menyerahkan ayamnya Si Kunani kepada raja tanpa kerelaannya. Tidak wujud sebarang bukti, atau sebarang tandatangan, atau MoU yang mengesahkan pertukaran ayam itu. Jadi, apabila Si Kunani memang dalam persabungan,bererti Pak Kaduklah yang menang dan berhak menerima apa-apa hadiah yang telah ditawarkan dalam perjanjian persabungan mengikut terma dan syarat yang diperuntukkan, termasuklah mengekalkan hak milik tanah yang dituntut oleh anak guam saya.”

       Mahkamah mengumumkan keputusannya pada hari ini . Tidak payah aku ceritakan butiran hujah dan beberapa helaian muka surat yang dibaca oleh tuan hakim di kamar pengadilan. Yang pentingnya,tanah empat ekar di hujung kampung dan di tepi belukar itu kini sah menjadi milik Hakim bin Hassan bin Kaduk. Alhamdulillah. (Sumber :Cerpen Kaduk, Ayam dan Raja Antologi Jaket Kulit Kijang dari Istanbul)

1.Apakah tawaran yang diperolehi jika Pak Kaduk menang dalam persabungan ?(2m)
2.Pada pendapat anda,wajarkah Azzam bertindak sedemikian ketika berhujah di mahkamah?(3m)
3.Pada pendapat anda,apakah ciri-ciri yang perlu ada pada seorang peguam yang bertauliah?(4m)

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

                Cerita bonda suatu hari tatkala saya asyik membelek-belek kitab-kitab lama bertulisan Jawi di dalam almari yang memperincikan sejarah asal usul bumi mewah ini. Saya pandang mata bonda dalam-dalam mencari pengertian sebenar saya anak generasi baharu yang belum mengerti segala-galanya itu. Saya faham bonda hanya ingin menghidupkan roh patriotisme dan jati diri dalam diri saya. Semangat cinta akan bangsa sendiri kian terhakis dalam jiwa anak-anak generasi material ini. Harapan bonda moga-moga saya menjadi pejuang yang berani mempertahankan nilai dan kepentingan bangsa saya sendiri yang sedikit, demi sedikit mula terhakis di atas tanah sendiri.

           “Tapi, dunia ini sudah berubah, bonda. Kita bukan lagi hidup pada zaman perjuangan menentang musuh penjajah. Sekarang kita hidup dalam dunia yang mengejar harta, pangkat, dan kekayaan di bumi mewah ini. Tanah air ini bukan milik bangsa kita sahaja. Kita hidup dengan perkongsian hak dan identiti yang sama rata. Sejarah lama tidak perlu dibangkitkan lagi.” Bonda merenung mata saya dengan ekor pandangan yang penuh prejudis. Dihela nafas panjang-panjang menahan rasa, sebelum bersuara. “Mel, sejarah bukan buta. Sejarah ialah guru yang tidak pernah berdusta. Bangsa yang embaca dan mengkaji sejarah silam tidak akan melakukan kesilapan kali kedua. Lihat bangsa Yahudi yang terus mencipta kejayaan besar dari zaman ke zaman kerana mengkaji sejarah lampau. Mereka membina agenda besar untuk bangsa dan keturunannya. (sumber :Cerpen Munsyi Antologi Jaket Kulit Kijang dari Istanbul)

 i. Apakah harapan bonda terhadap Mel?(2m)
 ii.Pada pandangan anda, apakah perbezaan antara ketamadunan generasi sekarang dengan generasi dahulu?(4m)
 iii. Berdasarkan petikan, huraikan dua latar masyarakat yang boleh dicontohi.(4m)

Rumusan
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang peranan remaja sebagai pengguna dan cara-cara memupuk kesedaran kepenggunaan dalam kalangan remaja. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Dewasa ini, isu kepenggunaan dalam kalangan remaja menjadi perhatian masyarakat lantaran peningkatan taraf hidup. Tanpa kita sedari, pengguna remaja lebih banyak menjadi mangsa penipuan berbanding dengan pengguna lain. Hal ini terjadi kerana remaja sendiri kurang ambil peduli tentang hak dan tanggungjawab sebagai pengguna. Isu remaja dan pengguna berlaku sepanjang masa, namun yang menjadi persoalannya ialah tidak banyak remaja yang mengetahui hak dan tanggungjawab mereka sebagai pengguna. Oleh sebab itu, setiap remaja perlu peka akan peranan mereka sebagai pengguna yang bijak. Mereka perlu melibatkan diri dalam hal-hal kepenggunaan kerana melalui cara ini mereka akan memahami definisi, hak dan tanggungjawab sebagai pengguna. Terdapat pelbagai cara yang boleh dilakukan oleh remaja untuk mendapatkan maklumat tentang semua perkara berkaitan isu epenggunaan. Antaranya ialah menjadi ahli persatuan pengguna di tempat masing-masing. Selain itu, remaja perlu berkongsi pengetahuan sebagai pengguna dengan masyarakat. Remaja tidak seharusnya bersikap mementingkan diri sendiri semata-mata.
Remaja boleh menjalankan tanggungjawab sosial ini dengan menggunakan laman sosial yang mudah dan popular dalam kalangan mereka. Oleh itu, remaja boleh menggunakan perkhidmatan laman sosial ini sebagai wadah komunikasi untuk menubuhkan kelab pengguna.Pada masa yang sama, remaja juga boleh mengetahui sebarang produk dan perkhidmatan daripada pelbagai sumber. Hal ini amat penting kerana tanpa disedari, remaja sering menjadi mangsa apabila jurujual menggunakan permainan psikologi. Justeru, remaja bertanggungjawab mengambil tindakan yang sewajarnya andai mereka menjadi mangsa dalam hal-hal kepenggunaan. Selain memahami hak dan tanggungjawab sebagai pengguna, remaja juga harus mengambil sedikit masa untuk melihat isu-isu penting tentang kepenggunaan. Isu ini boleh dicari dengan mudah melalui media cetak dan elektronik. Antara isu yang mendapat perhatian media ialah isu pengguna remaja yang menjadi mangsa produk tiruan. Hal ini berlaku kerana faktor usia dan pemikiran remaja itu sendiri yang tidak matang.


Petikan Umum
 (i) Berikan maksud rangkai kata produk tiruan. [2 markah]
(ii) Mengapakah remaja sering menjadi mangsa dalam isu kepenggunaan? [3 markah]
(iii) Sebagai pengguna, apakah tindakan anda apabila menyedari bahawa anda telah tertipu  setelah membeli sesuatu barangan? Berikan tiga tindakan anda. [4 markah]
Latihan Bahasa
(a) Tulis satu ayat bagi setiap perkataan di bawah 


(i) menghadiahkan
(ii) menghadiahi
(iii) menganugerahkan
(iv) menganugerahi
(v) menghutangkan
(vi) menghutangi 
(i) berketerampilan
(ii) bertepatan
(iii) membolosi
(iv) mengimbangi
(v) dihuru-harakan
(vi) diputarbelitkan


 (b) tentukan jenis-jenis ayat majmuk yang digunakan bagi setiap ayat berikut.
(i) Ali telah belajar bersungguh-sungguh tetapi dia masih tidak berpuas hati dengan keputusan peperiksaannya.
(ii) Orang yang gopoh tidak dapat menghasilkan sesuatu dengan baik.
(iii)Ketua Pengarah menghadiahi Cikgu Surati seutas jam tangan kerana berkhidmat dengan cemerlang.
(iv)Mereka melompat-lompat sambil menjerit dengan kuat
(v) Penduduk kampung itu menyedari bahawa nasib mereka terancam
(vi)Rakyat Malaysia memang terkenal di seluruh dunia dengan sifat lemah lembut dan bertatatertib yang tinggi nilainya


MODUL 6
Latihan Bahasa
(a) satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan penggunaan imbuhan.
(i) Pihak RISDA akan mempertingkat usaha untuk membantu pekebun kecil kerana harga getah dijangkakan lebeh menarik pada tahun depan
(ii) Sistem pendidikan maya memberi peluang kepada pelajar untuk mengulangkaji berbagai-bagai mata pelajaran dengan mudah dari mana-mana lokasi.
(iii) Beberapa pengembangan yang menarik dapat kita saksikan dalam teknoloji komputer apabila pelbagai ciptaan baharu akan muncul
(i) Pihak sekolah mengundang ibu bapa untuk datang ke sekolah bagi menandatangankan rekod kemajuan pelajar sambil berbincang dengan guru-guru tentang prestasi akademi anak masing-masing.
(ii) Beberapa orang pekerja Majlis Perbandaran telah menemui seorang bayi di stesyen bas dan mempercayai bahawa bayi itu telah ditinggalkan sejurus ia dilahirkan.
(iii)Pengambaran filem dokumanteri tentang perjuangan tokoh-tokoh kemerdekaan sedang dilakukan dengan giatnya oleh Kementerian Penerangan Malaysia untuk ditayangkan sepanjang Bulan Kemerdekaan nanti.
(b) satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa.
(i) Walaupun sambutan hari lembaran telah masuk hari yang keempat, kemeriahannya masih lagi terasa.
(ii) Pusat membeli-belah itu dijangka menjadi pusat tumpuan dan mercu tanda baharu warga kota apabila dilancarkan secara resmi pada Ogos ini.
(iii) Penumbuhan pemberian pinjaman bank dijangka kekal berdasarkan kepada ekonomi Malaysia yang dijangka positif.
(i) Sebelum pembedahan dilakukan, pihak hospital hendaklah mematuhi estetika yang telah ditetapkan dalam mendapat pengesahan doktor pakar terlebih dahulu.
(ii) Mahkamah Perlembagaan yang wujud di sesebuah negara mempunyai kuasa membuat keputusan sama ada sesuatu tindakan itu bertentangan dengan perlembagaan dan sebaliknya.
(iii) Jika kita terlebih bayar kerana menyambut perayaan maka kita perlu mengurangkan perbelanjaan justeru kedudukan kewangan dapat diimbangi.

(c) Nyatakan peribahasa yang sesuai dengan situasi dalam ayat-ayat berikut
(i) Semenjak membeli motosikal yang baharu, Zaman membiarkan sahaja motosikal lamanya di bawah rumah. Motosikal itu dibiarkan kotor dan kempis tayarnya. Mak Senah telah menegur sikap Zaman yang membiarkan saja motosikal yang masih boleh digunakan itu. Zaman tetap membiarkan motosikal lamanya kerana dia berasa seronok menunggang motosikal baharunya.
(ii) Cikgu Zarul berasa puas kerana telah berjaya mendapat segulung ijazah. Bertahun-tahun lamanya dia melanjutkan pelajaran. Kalau dulu dia hanya lulusan maktab, kini dia berkelulusan universiti. Dia berasa puas kerana titik peluhnya selama ini telah menyebabkan kehidupannya lebih selesa sekarang.
(iii) Beberapa bulan selepas Haji Tamrin meninggal dunia, kehidupan tiga orang anak mereka mula berubah. Masing-masing telah membeli kereta baharu. Haji Tamrin telah banyak meninggalkan harta pusaka kepada anak-anaknya itu. Oleh sebab itulah ketiga-tiga orang anak lelakinya telah mewarisi harta yang banyak daripada ayah mereka.
(iv) Apabila tidak tahu melakukan sesuatu kita tidak wajar berasa malu untuk meminta pendapat dan tunjuk ajar daripada orang yang arif tentang perkara itu.
(v) Mereka sangat berhati-hati apabila memperkatakan sesuatu hal rahsia agar perkara itu tidak diketahui oleh orang lain.
(vi)Sesuatu yang susah itu sekiranya selalu dilakukan akhirnya menjadi mudah sahaja.
Novel Songket Bebenang Emas
(a) Berdasarkan sebuah novel yang anda kaji, dua peristiwa teknik saspens yang terdapat dalam novel tersebut. [7]
(b) Berdasarkan dua buah novel yang anda pelajari, huraikan satu latar masyarakat dalam setiap novel.[8] (a) Berdasarkan sebuah novel yang anda pelajari, jelaskan dua peristiwa dikaitkan dengan persoalan maruah.[7]
(c) Berdasarkan dua novel yang anda pelajari, huraikan pengajaran dalam setiap novel tersebut.[8]
MODUL 7
Karangan Rangsangan
Huraikan pendapat anda tentang tindakan yang dilakukan untuk mewujudkan perpaduan kaum dalam kalangan rakyat Malaysia. Panjangnya huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.
-Mengadakan Gotong-royong +Mengadakan Rumah Terbuka+Menyertai Program Khidmat Negara+Menyambut hari patriotic
Karangan Respons Terbuka
Pilih satu daripada soalan di bawah dan tulis sebuah karangan yang panjangnya lebih  daripada 350 patah perkataan.
1. Sejak belakangan ini, penggunaan telefon bimbit semakin berleluasa. Penggunaan telefon bimbit telah mendatangkan pelbagai kesan kepada pengguna.Pada pendapat anda, jelaskan kesan-kesan negatif penggunaan telefon bimbit dalam kalangan pelajar sekolah
2. Industri pelancongan merupakan antara penyumbang terbesar ekonomi negara. Anda ingin menulis rencana berkaitan dengan peranan pelbagai pihak untuk memajukan industri pelancongan.Tulis rencana itu selengkapnya
3. Sikap prihatin dan saling membantu sesama manusia dapat mengeratkan hubungan masyarakat dunia serta menjamin kesejahteraan sejagat. Bincangkan pernyataan di atas.
4. Puisi Melayu lama banyak mengetengahkan nilai dan pengajaran yang boleh dijadikan panduan hidup.
Jelaskan penyataan di atas dengan berpandukan contoh-contoh yang sesuai.
5.Amalan kejiranan semakin terpinggir dalam masyarakat pada masa ini. Masyarakat semakin melupakan amalan bergotong royong, Dalam hal ini, keluarga berperanan penting untuk menghidupkan amalan kejiranan ini agar menjadi ikutan anak-anak.Ulaskan penyataan ini.
6. Anda seorang warganegara yang mempunyai semangat patriotik yang tinggi. Jelaskan cara-cara anda menunjukkan semangat patriotik anda.
7.Amalan membaca perlu dipupuk dalam diri anak-anak sejak kecil lagi. Huraikan usaha-usaha yang boleh dilakukan oleh ibu bapa bagi menggalakkan amalan membaca dalam kalangan anak-anak.
8.Anda mempunyai pelbagai idea untuk meningkatkan kualiti pengangkutan awam di negara kita. Tulis sepucuk surat kepada pihak yang berkenaan bagi menjelaskan idea-idea anda tersebut.
9.Kerjasama negara-negara ASEAN dalam sektor pelancongan mampu memberikan kesan positif dari sudut ekonomi, politik, dan sosial.  Berikan pendapat anda tentang penyataan  ini.
10.Sebagai menghormati hak asasi manusia sejagat dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Malaysia telah menyumbangkan pelbagai bantuan kepada negara-negara dunia ketiga. Jelaskan penyataan ini.
Latihan Bahasa
Tukarkan ayat bersusunan songsang di bawah ini kepada ayat bersusunan biasa tanpa mengubah maksud asalnya.
(i) Kerana kecekapannya menjalankan tugas beliau disegani.
(ii) Dapat menghalang pelajar ponteng kelas pengajaran yang berkesan.
(iii) Bergantung pada kegigihannya kejayaan seseorang itu
MODUL 8
Kesalahan serius yang kerap dilakukan murid semasa menulis karangan adalah seperti berikut :
 1. Penggunaan kata hubung pada awal ayat sebagai penanda wacana :
Namun, Tetapi, Malah, Manakala
Sepatutnya : Akan tetapi, Namun begitu, (Penanda wacana)
…..manakala……, ……malah…. (ditulis untuk menghubungkan dua ayat)
 2. Ayat tergantung. ( Bak kata pepatah…..) ditulis pada awal ayat. Sepatutnya …..bak kata pepatah….(ditulis di dalam ayat)
 3. Kesalahan ejaan…bah kata peribahasa….sepatutnya …bak kata peribahasa. ‘bah’ membawa maksud ‘banjir’.
 4. memberi kasih sayang …… sepatutnya memberikan kasih sayang. Umumnya, kata kerja ‘memberikan’ perlu diikuti oleh objek tidak bernyawa manakala ‘memberi’ diikuti objek bernyawa.
 5. Ayat tergantung kerana tiada subjek. Ini menunjukkan….. sepatutnya Hal/ Perkara ini menunjukkan……
 6. Ini kerana …… sepatutnya Hal ini demikian kerana…
 7. Justeru itu, …digunakan sebagai penanda wacana. ‘justeru’ ialah kata hubung yang membawa maksud ‘malahan’ atau ‘bahkan’.
8. Tidak menyelitkan objek selepas kata kerja transitif. …mempunyai banyak pilihan….. ‘banyak’ bukannya objek. ‘banyak’ ialah kata bilangan tidak tentu. Objek mesti kata nama. Pembetulan : ….. mempunyai pilihan yang banyak…
 9. Kata pemeri ‘ialah’ dan ‘adalah’ digunakan sesuka hati. ‘ialah’ perlu diikuti kata nama nama. ‘adalah’ perlu diikuti kata adjektif atau kata sendi nama.
 10. Kata kerja tidak menerima kata pemeri. Anda perlu tambah kata sendi nama pada kata pemeri ‘adalah’. Sebagai contoh: Langkah-langkah yang perlu diambil adalah menguatkuasakan undang-undang……sepatutnya ….adalah dengan menguatkuasakan………/ adalah untuk meningkatkan mutu perkhidmatan… antara kata sendiri nama yang dapat digunakan ( adalah untuk/adalah dengan/adalah melalui, adalah seperti)
11. Bentuk lewah. Sebagai contoh : Antara faktor-faktor …… sepatutnya Antara faktor. Pelbagai langkah-langkah ….. sepatutnya …. Pelbagai langkah…
 12. Bentuk lewah bagi pengimbuhan kata adjektif. Hanya dua imbuhan sahaja digunakan. Sebagai contoh: memperbaiki…..sepatutnya …membaiki atau memperbaik.
 13. Kesalahan Hukum D-M. Sebagai contoh: …dan lain-lain lagi. Sepatutnya…. aktiviti-aktiviti lain. (berdasarkan perkara yang dibincangkan).
14. Penggunaan kata ganti nama diri ketiga ‘ia’ untuk benda atau perkara. Sebagai contoh: Salah satu langkah untuk mengatasi masalah kemusnahan alam sekitar adalah dengan menjalankan kempen. Ia perlu diadakan secara besar-besaran. ‘ia’ sepatutnya digantikan dengan subjek perbincangan iaitu, kempen. Pembetulan: Kempen ini perlu diadakan ……
 15. Masih terdapat murid yang masih menulis …di kalangan…..sepatutnya ‘dalam kalangan’. Kata sendi ‘di’ berfungsi untuk menyatakan arah.
 16. Pada masa kini….sepatutnya Pada masa ini, atau Kini,.
17. Kesalahan penanda wacana. Sebagai contoh : Selain daripada itu/ Selain dari itu , sepatutnya …
 Selain itu,… Sehubungan itu sepatutnya…. Sehubungan dengan itu,…
 18. oleh kerana.. sepatutnya oleh sebab…
19. Penggunaan kata tanya dalam ayat penyata. Sebagai contoh : …di mana, yang mana, bagaimana, siapa, apa ….. sepatutnya kata-kata tersebut digantikan dengan kata-kata lain yang sesuai. Sebagai contoh : apa – (perkara/hal), bagaimana – (cara/langkah), siapa – (orang/individu).di mana (tempat) /yang mana perlu digantikan dengan kata hubung yang sesuai.
Jika anda menulis ayat tanya, pastikan anda meletakkan tanda soal (?).
 20. Kesalahan pengejaan kata majmuk. Ibubapa sepatutnya ibu bapa, semulajadi sepatutnya semula jadi.
 21. Penggunaan kata hubung ”tambahan pula” pada pangkal perenggan. “tambahan pula” tidak digunakan untuk isi baharu.

 Latihan bahasa

Dalam ayat-ayat di bawah terdapat dua penggunaan ejaan dan imbuhan yang salah. Tulis semula ayat-ayat di bawah dengan menggantikan ejaan dan imbuhan yang betul.
 (i)Para pelancung yang datang ke negara ini tidak wajar memakai pakaian yang mencolok mata.
 (ii)Pereka hiasan dalaman itu hanya menggunakan perabut tempatan semasa menghiasi pejabat syarikat ternama itu.
 (iii)Suri rumah sering ditipu oleh juru jual yang datang menjual beranika barangan dari rumah ke rumah.
(iv)Kebenaran menggunakan talifon bimbit di sekolah yang berkuatkuasa baru-baru ini kurang disenangi oleh sesetengah ibu bapa.
 (v)Para pelajar tidak digalakan menyertai rancangan kuiz yang disiarkan pada tengah malam dan menyediakan hadiah cepu mas.
 (vi)Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi akan menerbit monogeraf yang menghimpunkan kajian ilmiah tentang bahasa, sastera dan kebudayaan.
 (vii)Kebolehan Adiputera menyelesaikan masaalah Matematik dalam usia yang begitu muda amat mengkagumkan.
 (viii)Penduduk Kampung Selamat sedang menghadapi satu mala petaka besar akibat buangan sisa toksik di kampung tersebut.
 (viv)Mengumpul stem menjadi hobi bapa Khairil sejak beliau masih di bangku sekolah lagi.

Latihan Rumusan
Baca petikan di bawah kemudian buat satu rumusan tentang gejala-gejala sosial dalam kalangan remaja dan langkah untuk mengatasinya. Panjang rumusan anda hendaklah tidak lebih daripada 120 patah perkataan.
Pada abad ke-21, masalah yang kian meruncing dan sukar dibendung kewujudannya ialah masalah sosial dalam kalangan remaja. Hal ini kerap disuarakan oleh orang ramai malah turut disiarkan berulang kali di media-media masa tempatan. keadaan ini amat membimbangkan kita kerana golongan remaja merupakan pemimpin pelapis yang bakal mentadbir dan memimpin negara pada masa depan. Dalam laporan terbaru yang disiarkan di televisyen, gejala sosial paling membimbangkan dalam kalangan mereka ialah pertambahan jumlah remaja yang terjebak dalam najis dadah. Hal ini perlu ditekankan kerana Malaysia memandang bahawa dadah adalah musuh nombor satu negara pada masa ini.
Penglibatan remaja dalam kancah penyalahgunaan dadah ini kerap kali menimbulkan masalah berterusan. Kini, timbul pula golongan Mat Rempit dalam kalangan remaja yang tidak segan silu menunjukkan kehebatan bermotosikal tanpa mengikut undang-undang yang ditetapkan. persoalannya ialah mereka bukan sahaja membahayakan nyawa mereka sendiri tetapi turut membahayakan keselamatan pengguna jalan raya yang lain. Semasa isu mat Rempit ini sedang heboh diperkatakan, lahir pula gejala yang tidak sehat dalam kalangan remaja apabila sebahagian besar daripada mereka terlibat dengan jenayah ragut sehingga menyebabkan kematian. Hal ini bukan sahaja memeranjatkan kita tetapi kita dapat merasakan bahawa keruntuhan nilai moral serta nilai-nilai kemanusiaan yang dianggap murni semakin menipis dalam jiwa remaja kita.
Selain itu, mengikut laporan yang diberi oleh pihak polis, pada masa ini semakin ramai remaja khususnya remaja perempuan yang terlibat dengan masalah lari dari rumah ekoran berlaku masalah dalaman di antara keluarga mereka. Golongan ini mudah terdedah dengan gejala yang tidak sihat termasuklah melibatkan diri dalam sek bebas ataupun melacurkan diri demi mendapatkan kepuasan diri mahupun untuk mendapatkan wang bagi menyara kehidupan mereka setelah terpisah daripada keluarga. Kesannya bukan sahaja dirasai dalam jangka masa pendek tetapi lebih parah dalam jangka masa panjang.
Sementara itu, beberapa buah akhbar tempatan turut melaporkan bahawa ramai remaja terutamanya remaja di bawah umur gemar menghabiskan masa melepak di pusat-pusat membeli belah mahupun di kafe siber. Golongan remaja seperti ini akan lebih mudah melakukan kesalahan disiplin sekolah kerana terlibat dengan gejala ponteng sekolah dan ada pula yang terjebak dalam kegiatan gangsterisme. Justeru, tindakan seperti ini akan lebih menyukarkan hasrat kerajaan dalam usaha untuk melahirkan rakyat minda kelas pertama pada masa depan. Apatah lagi dengan sikap golongan remaja yang terlalu terikut-ikut dengan budaya barat yang dianggap tidak sopan dari pandangan masyarakat timur. Natijahnya, kita sedang berhadapan dengan satu masalah yang bukan sahaja perlu diatasi tetapi memerlukan kerjasama semua pihak bagi membawa remaja kita kembali semula ke pangkal jalan.
Soalan pemahaman petikan rumusan
1.Apakah yang dimaksudkan dengan , masalah yang kian meruncing?
2.Apakah isu-isu yang dipersoalkan oleh penulis dalam petikan tersebut?
3.Pada pendapat anda selain remaja bagaimanakah masalah remaja dapat ditangani dengan wajar?


No comments:

Post a Comment