Bahawasanya
Negara Kita Malaysia mendukung cita-cita hendak:
mencapai
perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakatnya;
memelihara
satu cara hidup demokratik;
mencipta
satu masyarakat adil di mana kemakmuran Negara akan dapat dinikmati bersama
secara adil dan saksama;
menjamin
satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai
corak; dan
membina satu
masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.
Maka Kami,
rakyat Malaysia, berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk
mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip berikut:
Kepercayaan
Kepada Tuhan
Kesetiaan
Kepada Raja dan Negara
Keluhuran
Perlembagaan
Kedaulatan
Undang-undang
Kesopanan
dan Kesusilaan
Bilakah
Rukun Negara mula digunapakai
Prinsip
Rukun Negara telah diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan AgongSeri Paduka Baginda
Tuanku Ismail Nasiruddin Shah ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin pada 31 Ogos
1970, iaitu sempena ulang tahun ke-13 kemerdekaan Malaysia.
Kenapa Rukun
Negara dibentuk
Selepas
Malaysia Merdeka dan negara mula dibangunkan, sedikit demi sedikit terdapat
jurang antara kemewahan bandar dan kemiskinan desa, kemewahan orang bukan
Melayu dengan kesempitan hidup orang Melayu yang menyebabkan rasa tidak
puashati di antara rakyat. Ini menyebabkan beberapa kekacauan serta perbalahan
yang melibatkan kaum berlainan berlaku di beberapa kawasan di Tanah Melayu.
Apabila berlakunya peristiwa berdarah 13 Mei 1969, kerajaan melihat perlunya
satu formula untuk mengatasi masalah ini.
Di antara
Objektif Rukun Negara adalah untuk mencapai perpaduan yang lebih erat di
kalangan seluruh masyarakat, mencipta satu masyarakat yang adil supaya
kemakmuran negara dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama.
Majlis
Perundangan Negara yang dipengerusikan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak bin
Hussein (merangkap Pengarah MAGERAN) telah ditubuhkan di bawah Undang-undang
Darurat yang diwartakan pada 29 Januari 1970, hasil daripada mesyuarat MAGERAN
yang mentadbir negara ketika itu. Ianya di anggotai oleh Pengerusi, tiga orang
menteri (Allahyarham Tun Dr. Ismail bin Dato' Abdul Rahman, mendiang Tun Tan
Siew Sin dan mendiang Tun V.T Sambanthan ), wakil-wakil kerajaan negeri dan
wakil-wakil daripada parti politik.
Majlis Perundingan
Negara bertanggungjawab menjadi pemikir dalam merangka perpaduan negara dan
mencari satu cara yang mampu untuk mengatasi garis pemisah antara kaum. Dengan
itu, maka lahirnya satu ideologi kebangsaan yang baru iaitu Rukun Negara yang
digubal sebagai falsafah negara dan pendekatan baru ke arah mewujudkan sebuah
negara bangsa yang stabil. Selain itu, Majlis Perundangan Negara juga mula
menggunakan tema untuk menyambut kemerdekaan pada setiap tahun sebagai langkah
mengekalkan semangat cintakan negara dan memupuk keharmonian kaum.
Penjelasan
Maksud 5 Prinsip Rukun Negara
a)
Kepercayaan kepada Tuhan
Bangsa dan
Negara ini telah diwujudkan atas kepercayaan yang kukuh kepada Tuhan. Melalui
kepercayaan beragama inilah akan menjadikan bangsa dan negara ini sebagai satu
bangsa dan negara yang berdaulat.
Perlembagaan
Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam ialah agama rasmi Persekutuan, tetapi
agama dan kepercayaan-kepercayaan lain boleh diamalkan dengan aman dan tenteram
di mana-mana bahagian di dalam Persekutuan dan tindakan membeza-bezakan
terhadap seseorang warganegara atas alasan agama adalah dilarang sama sekali.
Jawatankuasa
penggubal Rukun Negara menyedari akan pentingnya agama dan kepercayaan kepada
Tuhan dalam kehidupan manusia. Ketiadaan agama boleh meruntuhkan keperibadian
seseorang dan juga sesuatu bangsa dan negara. Menyedari betapa pentingnya
keteguhan pegangan anggota masyarakat terhadap ajaran agama masing-masing,
prinsip ini telah dipilih sebagai prinsip pertama dalam Rukun Negara.
b) Kesetiaan
Kepada Raja dan Negara
Malaysia
mengamalkan Sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berpelembagaan dengan Seri
Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. Selaras dengan
kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai Raja mengikut Perlembagaan, sistem
beraja juga diamalkan di setiap negeri, dan Yang Di-Pertua Negeri bagi
negeri-negeri yang tidak beraja. Seri Paduka Baginda, Raja-Raja dan Yang
Di-Pertua Negeri adalah merupakan lambang perpaduan rakyat.
Kesetiaan
kepada Raja dan Negara bermaksud, bahawa setiap warganegara hendaklah
menumpukan sepenuh taat setia, jujur dan ikhlas kepada Seri Paduka Baginda Yang
di-Pertuan Agong. Di peringkat negeri pula, rakyat dikehendaki menumpukan taat
setia kepada raja yang memerintah negeri tempat mereka bermastautin tanpa
mengurangkan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong.
c) Keluhuran
Perlembagaan
Prinsip ini
menekan perlunya rakyat menerima, mematuhi dan mempertahankankeluhuran atau
kemuliaan Perlembagaan Negara. Perlembagaan Negara adalah sumber perundangan
yang tertinggi. Fungsinya untuk memberi perlindungan kepada setiap rakyat
negara ini akan hak dan keistimewaan mereka sebagai warganegara. Setiap warga
negara Malaysia dikehendaki menghormati, menghargai, serta memahami maksud dan
kandungan serta latar belakang sejarah pembentukan Perlembagaan Negara.
Perlembagaan
Negara telah digubal berasaskan kesepakatan semua kaum dan semua pihak di
negara ini. Dengan demikian ia merupakan satu kontrak sosial rakyat yang tidak
boleh dipersoalkan dan diganggu gugat oleh mana-mana individu atau mana-mana
pihak. Perlembagaan Malaysia menentukan pola politik dan kedudukan
sosio-ekonomi rakyat di negara ini. Ia adalah sumber rujukan bagi segala hal
yang berkaitan denga sistem pemerintahan, perundangan, kedudukan dan hak
sosio-ekonomi rakyat.
d)
Kedaulatan Undang-Undang
Keadilan
diasaskan atas kedaulatan undang-undang di mana setiap rakyat sama tarafnya di
sisi undang-undang negara. Kebebasan asasi terjamin bagi semua warganegara
Malaysia. Undang-undang negara berasaskan kepada Perlembagaan. Oleh itu
kedaulatannya perlu diterima dan dipertahankan. Tanpa undang-undang, hidup
bermasyarakat dan bernegara tidak aman dan stabil. Oleh itu undang-undang
negara dijamin pula oleh institusi kehakiman yang bebas dan berwibawa. Setiap
negara memerlukan undang-undang untuk mengawal dan mewujudkan satu masyarakat
yang aman, stabil dan makmur. Kewujudan undang-undang akan menjamin kehidupan
anggota masyarakat dapa bergerak dengan licin dan teratur tanpa sebarang
kekacauan, di mana semua anggota masyarakat akan merasas selamat. Hak-hak semua
rakyat boleh diamalkan dengan bebas asalkan tidak melanggar undang-undang serta
perkara-perkara sebagaimana yang dijamin oleh Perlembagaan Negara. Hak-hak dari
kebebasan yang ijamin oleh Perlembagaan itu tidaklah termasuk hak menggulingkan
kerajaan sama ada dengan kekerasan atau dengan cara-cara yang tidak menurut
Perlembagaan.
e) Kesopanan
dan Kesusilaan
Prinsip ke
lima ini menekankan perkembangan personaliti dan tingkah laku seseorang rakyat.
Tujuannya ialah untuk membentuk warga negara yang bersopan santun dan bersusila
selaras dengan kempen Budi Bahasa dan Nilai Murni yang dijalankan sekarang.
Sifat individu yang bersopan santun dan bersusila adalah paling bermakna dan
amat penting dalam konteks perhubungan antara satu sama lain dalam masyarakat
pelbagai kaum di negara ini.
Sikap
bersopan santun dan bersusila patut diamalkan bagi membentuk seseorang individu
dan masyarakat yang berdisiplin serta bermoral tinggi yang akan membantu
mewujudkan sebuah masyarakat yang harmoni. Tatasusila ini membenci dan mengutuk
tingkah laku atau perbuatan yang angkuh atau menyinggung perasaan seseorang
atau sesuatu golongan. Tingkah laku sopan juga mengandungi suatu darjah
kesusilaan yang tinggi dalam kedua-dua kehidupan persendirian dan kehidupan
bernegara. Prinsip ini menjadi panduan supaya perilaku masyarakat sentiasa
terpelihara dan berkembang sesuai dengan keperibadian bangsa dan nilai-nilai
murni.
No comments:
Post a Comment