Perpaduan ialah satu proses yang menyatupadukan anggota
masyarakat dan negara keseluruhannya melalui ideologi negara supaya tiap-tiap
anggota masyarakat dapat membentuk satu identiti dan nilai bersama serta satu
perasaan kebangsaan bersama di kalangan mereka.
Perpaduan memainkan peranan penting dalam memacu kestabilan
& kemajuan negara. Sejak merdeka lagi, kerajaan telah memupuk semangat
perpaduan dalam memakmurkan negara kita. Pelbagai dasar telah dijalankan untuk
mencapai proses perpaduan ini. Tanpa perpaduan, kemajuan negara yang ingin
dicapai untuk Wawasan 2020 tidak mungkin akan menjadi kenyataan kerana
kerjasama diperlukan untuk menjana kemajuan.
DASAR PERPADUAN
Dalam membentuk perpaduan kaum, kerajaan perlu menjalankan
dasar perpaduan supaya rakyat Malaysia menjadikan dasar ini sebagai pegangan
mereka dalam mencapai perpaduan kaum yang harmoni. Dasar perpaduan boleh
dicapai melalui dua cara iaitu:
1) Integrasi
Integrasi merupakan satu proses bagi mewujudkan satu
identiti nasional di kalangan kumpulan-kumpulan yang terpisah dari segi
kebudayaan, sosial dan lokasi dalam sesebuah unit politik.
2) Asimilasi.
Manakala asimilasi pula ialah satu proses bagaimana
kumpulan-kumpulan minoriti diasimilasikan melalui perkahwinan campur dan
sebagainya ke dalam kumpulan etnik yang lebih besar.
DASAR-DASAR KERAJAAN DALAM MEMBENTUK PERPADUAN
1) DASAR PENDIDIKAN – FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN
2) AKTA BAHASA KEBANGSAAN- Perkara 152 Perlembagaan
Persekutuan Tanah Melayu.
3) DASAR KEBUDAYAAN KEBANGSAAN
4) SUKAN ALAT PERPADUAN
DASAR PENDIDIKAN: Sistem pendidikan yang berbeza.
-Punca masalah
perpaduan-
1) Jika kita lihat pada zaman British dahulu, sistem
pendidikan kita berpandukan dasar pendidikan British pada abad ke-19. Sistem
ini hanya dijalankan di Negeri-negeri Selat (Melaka, Pulau Pinang &
Singapura). Negara kita dahulu terikat dengan pendidikan yang dijalankan oleh
penjajah iaitu British yang mementingkan pendidikan untuk kepentingan mereka
sendiri.
2) Pada zaman itu, pihak British memberi keutamaan kepada pelajaran
Melayu dan Inggeris. Pendidikan untuk orang Melayu diberikan untuk diberi
jawatan rendah kerajaan sama ada sebagai kerani atau guru. Pendidikan Cina dan
Tamil dibiarkan berkembang secara sendirian. Pendidikan ini dikenali sebagai
pendidikan vernakular.
3) Pendidikan kaum Cina menggunakan bahasa Mandarin sebagai
bahasa pengantar, gurunya & buku teks didatangkan dari China. Mereka
mempunyai sistem pendidikan yang tersendiri.
4) Pendidikan kaum India menggunakan bahasa Tamil sebagai
bahasa pengantar di sekolah. Kebanyakan sekolah Tamil ini terletak di kawasan
ladang getah atau kopi.
5) Sekolah Inggeris pula dianggap sistem persekolahan yang
unggul pada zaman penjajahan British. Sekolah ini terdedah dengan budaya
pemikiran Barat. Tambahan pula, sukatan pembelajaran pelajaran juga tidak sama
dengan sistem pendidikan sekolah lain menyebabkan perpecahan perpaduan kaum
berlaku.
Jelas sekali bahawa British sengaja mengasingkan sistem
pendidikan antara semua kaum supaya perpaduan kaum tidak berlaku. Jika perpaduan
kaum berlaku, akan wujud kesedaran berpolitik antara kaum dan sekali gus
menggugat penjajahan British di Tanah Melayu. Pihak Inggeris tidak memberatkan
objektif perpaduan dalam sistem pelajarannya. Tidak ada satu dasar pendidikan
kebangsaan sepertimana yang kita lihat hari ini. Yang penting bagi mereka ialah
memberi pelajaran kepada segolongan rakyat untuk membolehkan sebahagian mereka
memenuhi keperluan tenaga dan ekonomi. Kesimpulannya, perbezaan sistem
pendidikan menyebabkan perpaduan kaum sukar wujud suatu ketika dahulu.
DASAR PENDIDIKAN:
PENENTU PERPADUAN KAUM.
Dasar pendidikan kerajaan yang mentadbir penting dalam
membentuk perpaduan kaum di negara kita. Bermula dengan Laporan Barnes ketika
zaman penjajahan British dahulu sehinggalah ke Falsafah Pendidikan Kebangsaan
yang dijalankan kini. Berikut telah saya sediakan kronologi dasar-dasar
pendidikan kerajaan sejak dahulu:
1) Pada peringkat permulaan, kerajaan British telah
memperkenalkan Laporan Barnes pada 1950 sebelum negara ini ingin mencapai kemerdekaan.
Tujuannya ialah supaya Tanah Melayu boleh berkerajaan sendiri dengan perpaduan
kaum yang berlaku. Tambahan pula, tentangan kuat komunis pada masa itu
menyebabkan British khuatir kaum-kaum di negara ini akan terpengaruh dengan
komunis sekali gus menyebabkan huru-hara. Laporan Barnes mencadangkan bahasa
Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar pada peringkat sekolah rendah serta
bahasa Inggeris pada peringkat sekolah menengah & peringkat yang lebih
tinggi. Cadangan ini diharapkan dapat merapatkan jurang komunikasi antara kaum
serta merapatkan hubungan mereka.
2) Masyarakat Cina menentang cadangan ini kerana dikatakan
menggugat bahasa ibunda mereka. Masyarakat Cina mencadangkan Laporan Fenn-Wu
supaya sekolah vernakular Cina dikekalkan walaupun mereka bersetuju dengan
sistem pendidikan kebangsaan.
3) Ordinan Pelajaran 1952 kemudiannya diperkenalkan dengan
mengambil kira kedua-dua laporan di atas. Walau bagaimanapun, ordinan ini tak
dapat dijalankan kerana tentangan masyarakat Cina & India, kekurangan kewangan
& ancaman komunis.
4) Selepas itu, kerajaan yang dipelopori penduduk Tanah
Melayu, Parti Perikatan telah memperkenalkan Penyata Razak 1956 dengan
mengemukakan sistem persekolahan yang sama & penyeragaman kurikulum yang
bercorak kebangsaan. Penyata ini bertujuan menyuburkan semangat perpaduan kaum.
5) Kemudian, Laporan Rahman Talib diperkenalkan yang
menekankan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan & ia menjadi
Akta Pelajaran 1961. Jawatankuasa Kabinet telah mengkaji keberkesanan sistem pendidikan
serta mempertingkatkan kualitinya dengan pelaksanaan Kurikulum Baru Sekolah
Rendah (KBSR) & Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM).
6) Jika kita lihat pada sistem pendidikan kini, kerajaan
telah melaksanakan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menjadi pelengkap kepada
Dasar Pendidikan Kebangsaan. Dasar ini penting dalam memupuk perpaduan kaum
& integrasi nasional.
Sebagai intiha, dasar pendidikan yang kerajaan jalankan
menitikberatkan dasar dalam membentuk perpaduan. Sebagaimana yang dinyatakan
sebelum ini & kajian sejarah yang diperoleh, DASAR PENDIDIKAN MEMBENTUK
PERPADUAN KAUM.
BAGAIMANA PENDIDIKAN
BOLEH MEMBENTUK PERPADUAN
Persoalan besar yang dihadapi para pemimpin dan pendidik
selepas Perang dunia Kedua ialah mencari formula untuk melahirkan satu
masyarakat Malaysia yang bersatu padu, yakni masyarakat majmuk yang mempunyai
keazaman, kesanggupan dan kesediaan untuk hidup bersama dengan rukun dan damai
serta mempunyai kesedaran, keperibadian dan nilai-nilai sebagai rakyat
Malaysia.
Satu cara yang penting untuk mewujudkan perpaduan di dalam
sesebuah negara ialah menerusi pendidikan. Dalam konteks Malaysia, hakikat
bahawa pendidikan merupakan faktor unggul dalam membina kerakyatan yang tunggal
telah lama disedari. Berikut merupakan cara bagaimana sistem pendidikan boleh
membentuk perpaduan:
1) Sistem
persekolahan yang sama bagi semua
Pada asasnya Laporan Razak mencadangkan penubuhan
sekolah-sekolah umum yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa
penghantarnya dan sekolah-sekolah jenis umum menggunakan bahasa pengantar Cina,
Tamil dan Inggeris. Kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa untuk perpaduan
jelas dinyatakan. Laporan ini telah menjadi rujukan sebagai dasar pendidikan
kerajaan sehingga kini & bahasa Melayu telah menjadi bahasa pengantar di
semua peringkat sekolah.
2) Bahasa Kebangsaan
sebagai bahasa pengantar utama.
Cara paling penting untuk menyatupadukan masyarakat
berbilang kaum di Malaysia ialah melalui penggunaan bahasa kebangsaan.
Penggunaan satu bahasa perhubungan dan persefahaman di antara satu kaum dengan
yang lain dapat diwujudkan tanpa menimbulkan rasa curiga. Langkah ini
mempercepatkan lagi perpaduan dan rasa harmoni antara kaum di negara ini.
3) Kurikulum yang
sama
Kurikulum ialah satu rancangan pendidikan yang terkandung di
dalamnya segala ilmu pengetahuan serta kemahiran, nilai-nilai dan norma,
unsur-unsur kebudayaan dan kepercayaan yang telah menjadi pilihan masyarakat
untuk diperturunkan kepada ahli-ahlinya. Peranan kurikulum dalam pendidikan
adalah untuk membina perkembangan pelajar yang lengkap dari segi jasmani,
rohani, akal dan emosi. Dalam konteks negara Malaysia, kurikulum juga
berperanan untuk melahirkan rakyat yang mendukung cita-cita negara dalam
mewujudkan perpaduan yang berpandukan Rukun Negara di samping menghasilkan
tenaga rakyat yang terlatih untuk keperluan negara (modal insan).
4) Sukatan pelajaran
yang seragam
Sukatan pelajaran yang sama isi kandungannya yang disyorkan
oleh Penyata Razak adalah dianggap sebagai salah satu asas sistem pelajaran
kebangsaan bagi mewujudkan perpaduan negara.
Mata pelajaran Sejarah memainkan peranan penting ke arah
matlamat pembangunan. Melalui pelajaran Sejarah diharapkan dapat membina
semangat perpaduan dan perasaan hormat menghormati terutama dalam masyarakat
yang berbilang kaum, agama dan adat resam. Sukatan pelajaran yang seragam
membolehkan pandangan dunia (world view) setiap kaum di Malaysia hampir sama
& tidak mewujudkan perselisihan dalam persefahaman.
5) Peperiksaan yang
seragam
Rancangan kerajaan untuk menyeragamkan kurikulum di
sekolah-sekolah telah diperkukuhkan lagi dengan mewujudkan satu sistem
peperiksaan yang seragam. Dengan adanya sukatan pelajaran dan peperiksaan yang
seragam, pelajaran para pelajar tidaklah terganggu apabila terpaksa berpindah
sekolah. Langkah ini boleh menolong proses menyatupadukan pelajar berbilang
kaum di samping mewujudkan keperibadian yang sama.
Jika kita lihat sekarang, dasar pendidikan yang dijalankan
kerajaan kini menampakkan hasilnya. Oleh itu, ditekankan bahawa pendidikan
menjadi alat membentuk perpaduan kaum. Belajar & kajilah sejarah untuk
mendapatkan manfaat berguna & meningkatkan kualiti hidup kita. Kita
sepatutnya mencontohi Dr. Mahathir Mohamad yang rajin membaca & mengkaji
bahan sejarah serta berjaya menaikkan nama Malaysia di persada dunia dengan
kekuatan pembacaannya.
AKTA BAHASA
KEBANGSAAN- Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.
Akta ini diluluskan pada tahun 1967. Akta ini memartabatkan
bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam perlembagaan
& menjadi jaminan kepada perpaduan rakyat Malaysia. Pada tahun 1982, bahasa
Melayu menjadi bahasa pengantar di sekolah dan menjadi bahasa yang digunakan di
mahkamah pada 1990.
Akta ini mewujudkan penggunaan satu bahasa perhubungan dan
persefahaman di antara satu kaum dengan yang lain tanpa menimbulkan rasa
curiga.
DASAR KEBUDAYAAN
KEBANGSAAN
Dasar ini menjadi panduan pembentukan & pengekalan
identiti rakyat Malaysia.
Objektif dasar ini dijalankan adalah untuk mengukuhkan
perpaduan melalui kebudayaan. Sebagai contoh, kerajaan telah menjalankan
perarakan Citrawarna Malaysia pada tahun 2001 yang menyaksikan persembahan
pelbagai budaya kaum masing-masing. Selain itu, tujuannya juga ialah memelihara
keperibadian kebangsaan & meningkatkan kualiti kehidupan rakyat Malaysia.
SUKAN ALAT PERPADUAN
Dasar ini bertujuan untuk menyemarakkan semangat patriotik
rakyat. Majlis Sukan-Sukan Malaysia (MSSM) yang ditubuhkan pada peringkat
sekolah & Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) adalah contoh dasar ini. Ia
mengeratkan perpaduan kaum & hubungan antara negeri.
Jika kita lihat sekarang ini, Sukan Olimpik Beijing yang
berlangsung telah menyemarakkan semangat patriotik rakyat negara kita. Pelbagai
kaum bersatu padu memberi sokongan & dorongan untuk membolehkan Malaysia
mendapat pingat.
Terbaru ini, Lee Chong Wei telah mara ke suku akhir &
menjadi harapan rakyat untuk mendapatkan pingat emas pertama Malaysia.
TARGET NEGARA MAJU
2020
Idea wawasan ini digagaskan oleh Perdana Menteri kita yang
ke-4, Datuk Seri Mahathir Mohamad pada 28 Februari 1991. Idea ini dicelup
daripada sejarah kemajuan Jepun iaitu ketika zaman pemerintahan Mikado Meiji,
beliau telah menetapkan dalam masa 30 tahun pemerintahannya, Jepun menjadi
negara maju setanding dengan negara maju lain.
Kita lihat bagaimana seorang pemimpin kita seperti Tun Dr.
Mahathir Mohamad yang kuat membaca & mengkaji sejarah telah
mengaplikasikannya dalam memajukan negara kita. Beliau mempunyai pandangan yang
jauh & bijak mentadbir negara. Beliau menetapkan tahun 2020 negara Malaysia
akan menjadi negara industri yang maju di dunia.
Target:
Menjadikan Malaysia sebagai negara industri maju dengan
menggunakan acuan tersendiri setanding negara-negara maju dunia. Kemajuan yang
diharapkan bukan seperti di negara-negara maju di Barat yang menitikberatkan
kemajuan fizikal tetapi menekankan kemajuan bersepadu.
Kemajuan bersepadu yang dimaksudkan ialah perpaduan rakyat,
kestabilan politik, ketinggian taraf hidup, kekukuhan nilai moral & etika,
kekukuhan sistem kerajaan, ketinggian maruah bangsa serta semangat keyakinan
bangsa.
Sebagai rakyat jelata, kita perlulah mencapai target Wawasan
2020 ini dalam menjadikan Malaysia sebagai negara industri maju setanding
dengan negara-negara maju lain di dunia.
Oleh itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada zaman pemerintahannya
telah menetapkan 9 cabaran yang perlu ditempuhi negara dalam mencapai status
negara maju.
Dengan mengetahui kelemahan-kelemahan yang perlu kita atasi,
mudahlah bagi kita membuat ‘checklist’ bagi cabaran yang diatasi untuk
merealisasikan Wawasan 2020.
1. Membina bangsa Malaysia yang bersatu padu
2. Membina bangsa yang berjiwa bebas, tenteram &
berkeyakinan.
3. Memupuk & membina masyarakat demokratik yang matang.
4. Mewujudkan masyarakat yang bermoral & beretika.
5. Mewujudkan masyarakat yang matang, liberal &
bertoleransi.
6. Membina masyarakat yang maju & saintifik.
7. Masyarakat yang berbudaya penyayang.
8. Menjamin masyarakat yang adil & saksama ekonominya.
9. Memupuk & membina masyarakat makmur.
Bagi mencapai status negara maju, perpaduan menjadi
tunjangya & dingatkan bahawa PERPADUAN TERAS KEJAYAAN negara.
No comments:
Post a Comment