Latarbelakang
Semasa pelancaran Majlis Perdagangan Malaysia pada 28
Februari 1991, Y.A.B. Perdana Menteri telah membentangkan satu kertas kerja
bertajuk "Malaysia-Melangkah ke Hadapan" yang mengandungi satu
pemikiran dan rangka kerja mengenai matlamat Malaysia menjadi sebuah negara
maju pada tahun 2020. Ianya dikenali sebagai "Wawasan 2020".
Wawasan 2020 bukanlah merupakan satu dasar khas tetapi
merupakan tindak balas kepada perkembangan ekonomi, sosial dan politik yang
berlaku di peringkat nasional dan antarabangsa yang telah memberi cabaran hebat
kepada negara. Wawasan ini telah diketengahkan sebagai satu garis panduan dan
rangka kerja mengenai pendekatan yang harus diambil dalam memulakan langkah
bagi perjalanan jauh yang akan ditempuh oleh negara.
Matlamat terakhir yang dicita-citakan ialah pembentukan
sebuah negara Malaysia yang benar-benar maju menjelang tahun 2020. Kemajuan
yang dimaksudkan bukan terhad kepada bidang ekonomi sahaja malah ia akan
merangkumi segala aspek kehidupan: ekonomi, politik, sosial, kerohanian,
kejiwaan dan kebudayaan.
Menjelang tahun 2020, Malaysia sebagai sebuah negara merdeka
akan menjadi negara yang benar-benar maju, bersatu, mampu berdikari, progresif
dan makmur. Rakyat akan menikmati kehidupan yang sempurna dalam satu masyarakat
yang demokratik, bertoleransi, bermoral, adil, mampu bersaing, dinamik dan
mempunyai daya ketahanan yang tinggi.
Ini bermakna Wawasan 2020 bertujuan mewujudkan negara
bermatlamat iaitu Malaysia akan menjadi negara maju dengan caranya tersendiri
tanpa terikut kepada cara dan corak negara maju yang ada sekarang. Kemajuan
yang dicita-citakan ialah kemajuan yang sempurna yang tidak semata-mata diukur
dari segi pencapaian lahiriah atau fizikal semata-mata malah ia akan meliputi pewujudan
satu masyarakat yang sempurna dengan nilai moral dan etika yang tinggi dan
boleh dicontohi oleh negara-negara lain.
Objektif
Objektif di atas hanya boleh dicapai jika rakyat Malaysia
dapat menghadapi dan mengatasi pelbagai halangan/rintangan yang dianggap
sebagai cabaran. Di bawah ini diperturunkan sembilan cabaran yang telah dikenal
pasti iaitu:
(i) Mewujudkan negara
Malaysia bersatu yang mempunyai matlamat yang serupa dan dikongsi bersama. Ia
mesti menjadi negara yang aman, berintegrasi di peringkat wilayah dan kaum,
hidup dalam harmoni, berkerjasama sepenuhnya, secara adil dan didokong oleh
satu bangsa Malaysia yang mempunyai kesetiaan politik dan dedikasi kepada
negara;
(ii) Mewujudkan
masyarakat yang berjiwa bebas, tenteram dan maju dengan keyakinan terhadap diri
sendiri, bangga dengan apa yang dicapai serta gagah menghadapi pelbagai
masalah. Masyarakat Malaysia ini mesti dapat dikenali melalui usaha mencapai
kecemerlangan, sedar semua kemampuannya, tidak mengalah kepada sesiapa, dan dihormati
oleh rakyat negara lain;
(iii) Mewujud dan
membangunkan masyarakat demokratik yang matang, mengamalkan satu bentuk
persefahaman yang matang, demokrasi Malaysia berasaskan masyarakat yang boleh
menjadi contoh kepada banyak negara membangun;
(iv) Mewujudkan
masyarakat yang sepenuhnya bermoral dan beretika, yang mana warganegaranya
kukuh dalam nilai agama, dan kejiwaan dan didorong oleh tahap etika paling
tinggi;
(v) Mewujudkan
masyarakat liberal dan bertolak ansur, rakyat pelbagai kaum bebas mengamalkan
adat, kebudayaan dan kepercayaan agama masing-masing dan pada masa yang sama,
meletakkan kesetiaan mereka kepada satu negara;
(vi) Mewujudkan
masyarakat saintifik dan progresif, mempunyai daya perubahan tinggi dan
memandang ke depan, yang bukan sahaja menjadi pengguna teknologi tetapi juga
menyumbang kepada tamadun saintifik dan teknologi masa depan;
(vii) Mewujudkan
masyarakat penyayang dan budaya menyayangi, iaitu sistem sosial yang mana
kepentingan masyarakat lebih utama daripada diri sendiri dan kebajikan insan
tidak berkisar kepada negara atau individu tetapi di sekeliling sistem
kekeluargaan yang kukuh;
(viii) Memastikan
masyarakat yang adil dalam bidang ekonomi. Iaitu masyarakat yang melaksanakan
pengagihan kekayaan negara secara adil dan saksama di mana wujud perkongsian
sepenuhnya bagi setiap rakyat dalam perkembangan ekonomi. Masyarakat sedemikian
tidak akan wujud jika masih ada pengenalan kaum berdasarkan fungsi ekonomi, dan
kesemua kemunduran ekonomi berdasarkan kaum; dan
(ix) Mewujudkan masyarakat
makmur yang mempunyai ekonomi bersaing,
dinamik, giat dan
kental.
Perspektif
Cabaran-cabaran di atas sebenarnya telah membangkitkan
beberapa isu utama yang harus dihadapi bagi membolehkan Malaysia mencapai taraf
negara maju. Isu-isu ini ialah:-
(i) Pembentukan Satu
Negara Bangsa Malaysia
Konsep satu negara bangsa mempunyai makna yang dalam kerana
ia bermaksud sebuah negara berdaulat yang rakyatnya tidak dapat
diidentifikasikan melalui kaum, keturunan atau warna kulit. Pembentukan satu
negara bangsa adalah menjadi pra-syarat kepada kemajuan kerana tanpa rakyatnya
mempunyai satu pemikiran terhadap satu negara dan bangsa, sebarang bentuk
kerjasama untuk maju tidak akan terjalin. Bagi mengisi konsep ini istilah
seperti perpaduan negara, kesetiaan kepada negara, keharmonian dan toleransi
perlulah difahami dan diamalkan.
(ii) Negara
Perindustrian
Negara yang telah berjaya mengubah corak ekonomi dan
kehidupannya daripada pertanian kepada perindustrian adalah mempunyai status
negara maju. Wawasan 2020 berkehendakkan rakyat Malaysia meneruskan proses
transformasi ini yang telah dimulakan sejak merdeka lagi kerana pencapaian
sekarang masih lagi di pertengahan jalan. Ini adalah kerana proses ini bukan
sahaja melibatkan transformasi daripada kehidupan bertani kepada perindustrian
malah ia juga melibatkan perubahan teknologi, ekonomi, sosial dan
kebudayaan.
Masyarakat negara maju adalah masyarakat yang didokong oleh
kemahiran dan kepakaran sains dan teknologi yang tinggi yang bukan setakat
boleh mencedok atau mengubahsuai sahaja tetapi ia mestilah boleh mencipta,
menambah dan memperbaharui. Bagi mencapai taraf negara perindustrian
pertumbuhan ekonomi yang amat pesat amatlah penting. Ia sudah tentunya berkait
dengan sumbangan sektor perdagangan dan komersial yang secara langsung
melibatkan soal modal, pelaburan, daya saing, kualiti tenaga kerja, berdikari
dan kekentalan menghadapi cabaran-cabaran. Di peringkat ini peranan sektor
swasta amatlah besar kerana ia akan menjadi jentera Pertumbuhan.
(iii) Keadilan
Ekonomi dan Sosial
Penwujudan satu masyarakat yang adil dalam bidang ekonomi
dan sosial memang tidak dapat disangkal sebagai satu cabaran besar yang perlu
dihadapi bagi penwujudan satu negara maju dan bersatu. Ini ialah kerana dalam
sebuah negara maju tidak patut wujud keadaan di mana satu golongan rakyat
mempunyai segala-galanya sedangkan satu golongan lagi tercicir.
Pernyataan Wawasan ini adalah mempakan penegasan semula
keatas isu yang sentiasa diberi dan meminta perhatian utama iaitu pembasmian
kemiskinan, keseimbangan sosioekonomi di antara kaum, di antara wilayah, di
antara negeri dan diantara bandar dan luar bandar. Dalam konteks ini Wawasan
2020 sebenarnya telah meminta semua rakyat Malaysia tidak salah tafsir terhadap
bantuan yang diberikan kepada sesuatu kaum golongan sebagai tidak adil,
sebaliknya hendaklah menganggapnya sebagai satu usaha bagi memperbaiki
ketidak-adilan. Kesungguhan bagi mencapai tahap keseimbangan ini seterusnya
telah diterjemahkan ke dalam objektif Dasar Pembangunan Nasional dan
dilaksanakan melalui program dan projek Rancangan Malaysia Keenam.
(iv) Moral dan Etika
Berlainan dengan konsep negara maju yang ada sekarang yang
lebih bercirikan kebendaan, negara maju ala-Malaysia yang dicita-citakan
seharusnyalah berpegang kepada falsafah moral dan etika yang tinggi berasaskan
kepercayaan agama. Penganutan falsafah ini adalah penting kerana kemajuan
kebendaan tanpa nilai-nilai moral dan etika tidak akan mewujudkan kesejahteraan
dan keharmonian yang berkekalan sebaliknya banyak membawa keburukan. Pengamalan
nilai-nilai murni (seperti di dalam Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam) akan
menjadi faktor penghalang dalaman untuk tidak menyalahgunakan kemahiran atau
kekayaan yang dimiliki.
(v) Pembangunan
Masyarakat Berdasarkan Sistem Kekeluargaan
Wawasan ini telah mengetengahkan perkara pokok sistem sosial
iaitu pembangunan keluarga berdasarkan hakikat bahawa keluarga menjadi asas
pembentukan masyarakat dan masyarakat pula menjadi asas pembinaan negara. Ini
membawa maksud bahawa kekuatan dan kemajuan sesebuah negara itu bermula dan
terletak pada keluarga dan masyarakat. Penegasan ini amatlah benar kerana
keluarga (rumah tangga) dan masyarakatlah yang mencorakkan kualiti individu
yang menjadi rakyat dan pemimpin sesebuah negara. Budaya bangsa yang merangkumi
sistem nilai dan cara hidup (termasuk masyarakat penyayang dan budaya
menyayangi) sebagaimana yang dicita-citakan dalam Wawasan ini hendaklah
digerakkan dari awal lagi dan ini memerlukan rakyat menyedari kepentingan
institusi keluarga dalam memajukan negara dan mengambil langkah-langkah perlu
bagi mewujudkan keluarga dan masyarakat yang sempurna .
Penutup
Sekali imbas Wawasan 2020 seolah-olah merupakan wawasan
ekonomi semata-mata kerana ia mementingkan persoalan pembangunan ekonomi untuk
Malaysia menjadi negara perindustrian, tetapi jika dihalusi ia sebenarnya lebih
daripada itu oleh kerana ia juga menyentuh perkara-perkara berkaitan dengan
aspek sosial dan cara hidup seperti pembentukan dan keperibadian bangsa, moral
dan etika, kebudayaan kebangsaan, pembangunan sumber manusia dan lain-lain.
Wawasan 2020 bukanlah slogan untuk dilaung-laungkan, tetapi
ia lebih merupakan rangka kerja tindakan framework of action bagi setiap rakyat
untuk mengambil langkah-langkah tertentu bagi memastikan Malaysia menjadi
negara yang benar-benar maju dan makmur. Dalam konteks ini Wawasan tersebut
memerlukan beberapa perisian penting, di antaranya ialah kualiti tenaga kerja
yang dihasilkan oleh sistem pendidikan, perubahan sikap dan nilai, penekanan
keada sains dan teknologi, perancangan, dan peranan sektor swasta yang lebih
dinamik.
No comments:
Post a Comment