Tuesday, 26 January 2016

Minit Mesyuarat Panitia P.Am Kelima 2015

MINIT MESYUARAT KE-5 PANITIA PENGAJIAN AM
SMK TINGGI BUKIT MERTAJAM

Tarikh     :  18 November 2015 (Rabu)
Masa      :  8.45 pagi hingga 10.55 pagi
Tempat  :  Dewan  Pra-U

Kehadiran:
            1.         Pn.Hjh.Che Noora bt.Md.Said- PK Tingkatan Enam                         
            2.         Dr.R.Dhanapal -Ketua Panitia Pengajian Am                                             
            3.         Cik Gok Poh Suan – Guru Pengajian Am                                        
            4.         Pn.Shanthi K.Shanmugam-  Guru Pengajian Am                                
            5.         En.Chong Ken Tong  - Guru Pengajian Am                                    

BUTIRAN MESYUARAT

1.   Ucapan Pengerusi
1.1.Pengerusi mengucapkan terima kasih kepada semua guru PA yang hadir ke mesyuarat hari ini
1.2.Pengerusi memberitahu bahawa mesyuarat ini penting kerana panitia hendak membincangkan post mortem keputusan penggal  3 dan Penggal 1  serta beberapa agenda lain.

2    Pengesahan Minit Yang Lepas
2.1. Pn.Shanthi mencadangkan minit lepas diterima dan disokong oleh Cik Gok

3     Post-Mortem Keputusan Penggal 3  dan Penggal 1 Tahun 2015
3.1.Keputusan kali ini memang tidak memuaskan.
3.2.Peratus lulus P3 adalah 63.33% atau 95 orang lulus. GPK adalah 1.93 sahaja. Jumlah gagal adalah 55 orang iaitu C-10,  D+17, D 14 dan F 14.
Manakala Peratus lulus P1 adalah 69.85% atau 95 orang lulus .GPK adalah 2.04 sahaja. Jumlah gagal adalah 41 orang iaitu  C-10,  D+11, D 11 dan F 9.

3.3. Antara punca kelemahan calon yang telah dikenal pasti.
3.4.Pelajar melakukan kesalahan dalam tafsiran. salah faham arahan soalan.
3.5.Pelajar tiada pengetahuan asas dalam Matematik.
3.6.Pelajar tiada asas pembacaan seperti akhbar atau majalah.
3.7.Minat dan persepsi pelajar terhadap Pengajian Am terlalu negatif
3.8.Penguasaan bahasa pelajar amat lemah dalam penulisan karangan
3.9.Tahap soalan P3 kali ini 100 % mengikut kualiti STPM sebenar
3.10. Tahap karangan P1 memang sukar difahami dan sukar untuk mendapat idea.
3.11.  Hampir 85% pelajar menjawab salah soalan struktur  dan ada yang meninggalkannya kosong.

 4. Strategi Meningkatakan Prestasi Pelajar Tahun 2016 
4.1.Bengkel wajib bagi penulisan karangan. sekurang-kurang 3 jam di sekolah dengan bantuan seorang guru pakar Pengajian Am dari luar. Tumpuan diberikan kepada cara memilih idea yang relevan dan lojik serta elakkan daripada kesalahan bahasa yang umum dalam penulisan.
4.2.Sesi Percambahan Ilmu Guru Pengajian Am setiap Selasa jam 1.50 petang hingga 2.30 petang di Pusat Sumber Pra U
4.3.Sesi Tutorial Pengajian Am setiap Isnin jam 2.30 petang hingga 3.10 petang  di Pusat Sumber Pra U.
Tumpuan diberikan kepada penyediaan kerja kursus (PBS) Pengajian Am. pelajar mesti menyiapkannya sebelum bulan Mei 2016.

4.4.Bimbingan Mengikut Kelompok Pelajar setiap hari Khamis, jam 1.50 petang hingga 3.10 petang di bilik darjah yang akan ditetapkan kemudian. Panitia  akan mengagihkan pelajar kepada 3 kelompok iaitu cemerlang, baik dan sederhana. Mulai Januari 2016, dua kumpulan baik dan dua kumpulan sederhana akan dibentuk mengikut keputusan percubaan enam bawah. Setiap kumpulan akan mempunyai  36 orang pelajar. Semua guru Pengajian Am akan membimbing kelas-kelas bimbingan ini. Tahap atau kualiti latihan yang diberikan adalah mengikut kebolehan, kemampuan dan kemahiran pelajar.

4.5. Lawatan Penanda Aras ke sekolah nyang mempunyai keputusan Pengajian Am yang cemerlang. Lawatan ini bertujuan untuk berkongsi pengalaman dan kaedah yang digunakan oleh guru-guru di sekolah tersebut. Nama sekolah belum dikenal pasti lagi.

4.6 .Kajian Tindakan Pengajian Am. Kajian Tindakan akan dijalankan dengan menggunakan pelajar-pelajar dalam kelompok lemah sebagai responden. Pra Ujian dan Pasca Ujian akan dijalankan dan akan dibentangkan dalam LDP guru Pengajian Am  sekolah .Sesalinan akan dihantar kepada JPN. Jika sesuai, kajian ini akan dibentangkan dalam Seminar Percambahan Ilmu Guru Cemerlang JPN. 

4.7. Modul Karangan Berdasarkan Dasar Kerajaan-Panitia bersetuju untuk menyediakan modul  tajuk  dan skema karangan mengikut dasar-dasar kerajaan. Semua guru akan diberikan beberapa dasar kerajaan untuk menggubal soalan dan skemanya. Mereka mesti menyiapkannya dalam cuti sekolah ini.
P dan P dalam kelas akan menggunakan modul ini sepenuhnya

5. Wang PCG Pengajian Am
5.1 En.Chong telah menempah buku-buku ulangkaji PA  bagi Penggal 2 iaitu Pelangi Skor A sebanyak 31 naskhah dan Ilmu Bakti sebanyak 30 naskhah. Kesemua berharga RM490.00

6. Head Count Pengajian Am
6.1 Head Count Pengajian Am didapati kurang membantu panitia meningkatkan prestasi kerana terdapat 3 kali peperiksaan bagi subjek Pengajian Am dalam setahun.  Bagaimanapun Ketua Panitia akan mengisi headcount tersebut sebelum cuti sekolah bermula.

7. Hal-Hal Lain
7.1. Panitia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada En.Hamidon Abu Bakar kerana sumbangan beliau sebagai guru Pengajian Am selama ini.
7.2. Mulai bulan Julai 2016, panitia kekurangan seorang lagi guru kerana beliau akan bersara wajib. Jadi panitia mencadangkan P dan P  dapat dijalankan dengan kaedah kuliah untuk mengatasi kekurangan guru Pengajian Am

Mesyuarat ditangguhkan pada pukul 10.55 pagi.

Disediakan oleh   
                                                                                                                                                 (
(Dr. DHANAPAL A/L RENGASAMY)              

Ketua Unit Pengajian Am                              

Sunday, 24 January 2016

Ulasan Ulangan Penggal 2 Tahun 2015.

Ulasan Ulangan Penggal 2 Tahun 2015.

Kali ini kita lihat bagaimanakah pelajar-pelajar yang saya bimbing menjawab soalan-soalan dalam peperiksaan Ulangan Penggal 2. Sebanyak 4 soalan struktur perlu dijawab. Bagaimanapun seperti biasa pelajar-pelajar tidak dapat menjawab dengan tepat kesemua soalan. Pelajar-pelajar ini nampaknya “teka” jawapan. Tetapi pelajar harus ingat walaupun “teka” , tetapi jawapan mestilah merujuk kepada dasar-dasar yang telah dipelajari mereka di sekolah. Sebanyak 75% pelajar yang menjawab soalan pertama, jawab dengan betul walaupun jawapan mereka tidak pasti akur dengan skema. Tidak sesiapun tahu akan skema termasuk saya. Bagaimanapun berdasarkan pengalaman, dapat dikatakan bahawa soalan 1 memang mudah kerana kepentingan politik stabil kepada negara. Jika pelajar menjawab dari segi “ekonomi” saya rasa mereka betul. Pada tahun 2015 negara telah mengalami pelbagai cabaran yang getir dari segi politik, ekonomi dan sosial. Pelajar saya menjawab berdasarkan isu-isu semasa. Contohnya ada pelajar memberitahu saya bahawa pelabur dan pelancong akan meninggalkan Malaysia dan rakyat tempatan tidak dapat hidup dengan sejahtera dan aman jika politik tidak stabil. Saya nampak jawapan mereka macam betul.

Saya rasa was-was dengan jawapan pelajar bagi soalan2. Hal ini kerana kebanyakan pelajar saya yang mengulang memberitahu bahawa mereka mentafsirkan kesopanan pada ruang pertama dan mentafsirkan kesusilaan pada ruang kedua. Saya menegur pelajar kerana prinsip Rukun Negara yang kelima ini mesti dilihat sebagai satu entiti. Pelajar tidak boleh pecahkan atau asingkan. Saya rasa jika pelajar menulis “mewujudkan masyarakat yang bersopan santun dan bertatasusila “ iaitu olah kembali soalan pun boleh mendapat 1 markah. Saya tidak pasti pelajar-pelajar boleh memikirkan prinsip RN sebagai holistik/menyeluruh atau memikirkannya secara spesifik. 60% pelajar mengatakan mereka menulis idea yang paling asas seperti “mengelakkan jenayah” “menghormati orang tua” dan mewujudkan integrasi nasional”. Saya memberitahu mereka terpulang kepada MPM untuk menerima jawapan mereka atau tidak.

Banyak pelajar menjawab soalan 3 salah. Hal ini berlaku kerana mereka telah menghafal 9 cabaran Wawasan 2020 dan menulis kembali cabaran-cabaran tersebut tanpa mengolah mengikut kebaikan. Boleh dikatakan 70% pelajar menjawab cabaran W2020. Ada pelajar menjawab jawapan yang dimulakan dengan negara, masyarakat dan bangsa. Ada yang mula dengan “kita”. Soalan dengan jelas menanyakan …….rakyat Malaysia….. Jadi saya rasa pelajar juga mesti mulakan jawapan dengan “Rakyat Malaysia…..” Soalan 4 boleh dijawab dengan mudah jika pelajar mengingati strategi Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Ada pelajar menulis ciri penting Dasar Kebudayaan Kebangsaan seperti “ Islam menjadi paksi” dan “kebudayaan lain boleh diamalkan” Ramai yang menulis kempen dan program. Saya rasa jawapan ini mungkin tidak diterima kerana soalan mahukan cara bukan contoh cara tersebut.

Pelajar-pelajar telah diingatkan sewaktu Penggal 2  tahun 2015 iaitu graf yang sesuai untuk menunjukkan kadar mestilah garis atau bar kompaun. Bagi soalan 5,pelajar gagal mengelompokkan 3 set tahun iaitu 2010-2011 dan 2011-2012 serta 2102-2013 (Ramalan). Pelajar juga melukis graf berasingan bagi setiap tahun tanpa menolak nilai. Ada yang melukis bar cermin dan garis imbang tanpa kelompok tahun. Perkataan “ramalan” dengan jelas dinyatakan dalam soalan. Ada pelajar cuai apabila melabelnya di paksi tahun dan di tajuk. Kedua-dua kesalahan ini akan dipotong markah isi. Antara kelemahan yang ketara dalam soalan ini ialah
1.       Calon menjumlahkan sektor bagi setiap tahun
2.       Bahagian petunjuk diisi tahun dan di paksi tahun ditulis pula sektor
3.       Terlupa perkataan ramalan
4.       Tiada jarak antara kelompok tahun/kumpulan tahun.
5.       Pelajar menulis nilai RM Juta di paksi kadar perubahan tahunan KDNK. Kadar sepatutnya %

Bagi soalan 6, soalan sangat jelas minta dua kehendak iaitu majikan berdaftar dan penerima faedah PERKESO serta satu lagi graf ialah kemalangan perusahaan. Pelajar yang tidak faham soalan ini melukis 8 bar dan ada yang melukis 8 garis. Yang peliknya ada yang melukis  4 bar bagi setiap tahun.  Majikan dan penerima faedah tidak sepatutnya dicampur. Jadi bar komponen adalah sama sekali salah. Data majikan tidak boleh dicampur dengan data penerima faedah (pekerja). Pernah diberitahu kepada pelajar sebelum ini bahawa perkataan aliran biasanya minta graf garis. Mungkin pelajar saya terlupa. Antara kesalahan yang ketara ialah:
1.       Pelajar menggunakan skal a yang sama untuk kedua-dua graf
2.       Pelajar menulis yunit “orang” untuk kedua-dua pemboleh ubah.
3.       Ada yang melukis 3 bar keseluruhan. Mereka masukkan kes kemalangan dalam kategori orang
4.       Tanpa sebarang rasional ada pelajar yang campur mengikut tahun. Pada hal soalan bukan komponen
5.       Ada yang menulis tajuk tidak mengikut susunan dalam soalan

Biasanya soalan karangan dalam penggal 2 ataupun ulangan penggal 2 tidak habis dijawab oleh pelajar. Hal ini berlaku kerana kebanyakan pelajar saya menghabiskan masa yang banyak untuk pengiraan maklumat dan melukis graf. Mereka tidak cukup masa apabila sampai ke bahagian karangan. Soalan 7 sebenarnya 5+0. Tetapi ada pelajar saya menjawab 2+3 atau 3+2 kerana mereka salah faham perkataan “cara” dalam soalan tersebut. Mereka menulis 3 cara menjadikan Malaysia menjadi negara maju dan 2 persediaan. Apabila saya bertanya kepada mereka, maka alasan mereka ialah terdapat perkataan “bincangkan” .Saya berpendapat jika pelajar mengolah atau mengubah suai 9 cabaran, maka boleh dapat mencari ideanya. Maksud saya bukan menyalin kesemua 9 cabaran tetapi ambil kata kunci dalam cabaran dan ubah suaikannya.

Soalan 8 menjadi pilihan kebanyakan pelajar saya yang mengulang. Apabila saya bertanya mengapa mereka memilih soalan berkenaan. Alasan mereka ialah
1.       Mereka arif tentang pengangkutan moden
2.       Terdapat istilah namun begitu, maka mereka sudah pasti ada dua kehendak soalan.
Tepat sekali jangkaan mereka. Ramai yang memberitahu saya bahawa kita dapat mengurangkan pencemaran, memudahkan urusan perjalanan dari satu destinasi ke satu destinasi, mengurangkan kesesakan dan memacu ekonomi negara. Masalah yang dikaitkan  juga saya rasa betul. Antaranya mereka menjawab jadual perjalanan tidak ikut jadual, kerosakan atau keuzuran pengangkutan awam, tambang dan sebagainya. Saya rasa semua idea ini betul. Terpulang kepada pemeriksa.


Saya berharap pelajar-pelajar Penggal 2 tahun 2016, jadikanlah kelemahan –kelemahan tersebut sebagai iktibar. Selamat menjawab setelah memahami kehendak soalan.

Friday, 22 January 2016

Contoh Proposal Kerja Kursus

CADANGAN /PROPOSAL PENYELIDIKAN PRA UNIVERSITI
DR. R. DHANAPAL Ph.D
SMK TINGGI BUKIT MERTAJAM

TAJUK
TAHAP KEPUASAN PESAKIT LUAR DI KLINIK 1 MALAYSIA ALMA JAYA ,
BUKIT MERTAJAM

1.PENGENALAN
Klinik 1Malaysia merupakan sebuah projek klinik yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak di Flet Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur pada 7hb. Januari, 2010. Perasmian 50 klinik 1 Malaysia di seluruh Malaysia memberi makna besar dan menjadi tanggungjawab kerajaan kepada penduduk miskin di Malaysia. Klinik ini menyediakan perkhidmatan rawatan dan perubatan ringan kepada penduduk setempat. (http://pmr.penerangan.gov.my)
Kewujudan klinik ini bertepatan dengan gagasan 1Malaysia iaitu ‘Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan’. 50 buah klinik dibuka dengan peruntukan RM10 juta.( Bajet 2010, Kementerian Kewangan Malaysia, 2011). 48 daripada 50 klinik 1Malaysia telah beroperasi. Klinik ini dikendalikan oleh Penolong Pegawai Perubatan (PPP) yang dahulunya dikenali sebagai HA/MA. Kerajaan membenarkan PPP memberikan ubat bagi sakit yang ringan. Antaranya ialah demam, batuk dan menjalani pemeriksaan darah dan tahap kandungan gula.
Pengerusi lembaga pemegang amanah Yayasan 1Malaysia, Dr Chandra Muzaffar menyatakan rakyat semakin yakin terhadap Klinik 1Malaysia. Klinik  dibuka tujuh hari seminggu dari 10 pagi hingga 10 malam. Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Ismail Merican menyatakan penduduk bandar yang miskin berpuas hati dengan klinik ini .Penolong Pegawai Perubatan (PPP) dan jururawat menjalankan prosedur surgeri kecil dengan menggunakaan alat surgeri spesifik. (Akta Perubatan 1971 ) Pesakit kini boleh menukar kateter tiub pundi kencing atau membalut luka akibat kecederaan di rumah, di sekolah dan di tempat kerja.
Klinik 1Malaysia tidak bertujuan merampas fungsi klinik swasta. Hanya terdapat 3 hingga 4 buah klinik ini di setiap negeri. Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia Mohd Yusof Abdul Rahman berpendapat Klinik 1Malaysia amat wajar bagi tujuan penjagaan kesihatan golongan miskin bandar (www.moh.gov.my). Klinik 1Malaysia ditempatkan di kawasan perumahan dan penduduk tidak lagi perlu berkenderaan ke klinik-klinik kesihatan yang jauhnya sehingga 10 kilometer dari rumah. Klinik dibuka setiap hari termasuk cuti sekolah atau perayaan, Bayaran yang dikenakan bagi warganegara sebanyak RM1 dan bukan warganegara sebanyak  RM15 (http://pmr.penerangan.gov.my)
Klinik ini dipantau oleh Jabatan Kesihatan bagi memastikan segala kemudahan dan bekalan ubat sentiasa mencukupi. Kes-kes yang di luar bidang perkhidmatan penolong pegawai perubatan atau kes-kes yang perlu dilihat oleh pegawai perubatan akan dirujuk ke klinik kesihatan atau hospital kerajaan yang berdekatan. Klinik ini menawarkan perkhidmatan rawatan ringan seperti demam, batuk, selesema dan penyakit-penyakit ringan yang lain. Klinik ini menyediakan rawatan susulan kes pesakit kronik yang stabil dan terkawal seperti diabetes, darah tinggi dan asma. Di samping itu turut menyediakan prosedur rawatan ringan seperti mencuci luka dan membuka jahitan. Malah klinik ini membuat notifikasi bagi penyakit berjangkit seperti demam denggi dan khidmat nasihat/pendidikan kesihatan. (KKM, 2009)
Klinik 1 Malaysia amat penting dalam meningkatkan mutu kesihatan dan keceriaan hidup dalam kalangan masyarakat. Hal ini  kerana institusi itu berperanan menambah paradigma dan amalan hidup masyarakat terutama mereka yang tinggal di luar dan di pinggir bandar serta mempunyai latar belakang sosioekonomi rendah (Jabatan Perdana Menteri, 2010)
Klinik ini merupakan kemudahan paling asas dalam struktur pembangunan kesihatan di negara ini. Kemudahan ini menyediakan perkhidmatan penting dalam aspek pencegahan penyakit dan rawatan ringan khususnya kepada ibu dan kanak-kanak. (Buletin Kesihatan Malaysia, 2013)
Klinik ini juga menjaga kesihatan warga tua dan keperluan khas kanak-kanak istimewa selain program khas yang diperkenalkan bagi meningkatkan tahap kesihatan individu dan keluarga. Penubuhan klinik ini menggambarkan keprihatinan dan kepekaan Kementerian Kesihatan terhadap khidmat bakti dan keperluan sosial masa kini (Utusan Malaysia, Jun 2012)
Dalam kajian ini penyelidik telah memilih Klinik 1Malaysia Alma Jaya sebagai subjek kajian. Klinik ini terletak di  No 38, Tingkat Bawah, Lorong Alma Jaya 11, Taman Alma Jaya, Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Kajian mengenai Klinik 1 Malaysia belum pernah dilakukan secara tuntas. Klinik 1 Malaysia Alma terletak di persimpangan Jalan Rodzan dan Jalan Selamat. Penduduk di sekitar Alma Jaya kerap ke klinik ini untuk mendapatkan rawatan. Di sekitar klinik ini terdapat sepuluh buah taman perumahan (MPSP, 2013). Klinik ini mula ditubuhkan pada bulan 25 September 2013. Pada mulanya tidak ramai yang berkunjung kerana klinik ini tidak diketahui ramai. Setelah media massa menghebahkan Klinik 1 Malaysia maka pesakit luar mula mengunjungi klinik ini.

2.OBJEKTIF KAJIAN

Penyelidik berharap kajian ini dapat:
i.                    mengenal pasti jenis-jenis kemudahan yang disediakan oleh Klinik 1 Malaysia Alma Jaya.
ii.                  mengkaji tahap kepuasan pesakit luar di Klinik 1 Malaysia Alma Jaya

  
3.METODOLOGI KAJIAN
3.1 Reka Bentuk Kajian

Kajian tinjauan (survey) ini merupakan kajian inferensi dengan menggunakan data-data kuantitatif dan kualitatif yang dipungut melalui soal selidik dan temu bual. Data-data yang diperoleh daripada sampel rawak ini kemudiannya dianalisis dan dipersembahkan dengan statistik (Sabitha, 2006). Keputusan ujian-ujian statistik seterusnya akan memberi kesimpulan terhadap ciri-ciri populasi yang dikaji.

3.2 Responden Kajian

Sampel kajian ini terdiri daripada pesakit-pesakit luar Klinik 1 Malaysia Alma Jaya. Sampel rawak telah diambil dengan bilangan responden lelaki dan perempuan yang masing-masing terdiri daripada 15 orang. Persampelan secara rawak digunakan untuk membolehkan setiap orang mempunyai peluang yang sama untuk dipilih. Target responden kajian ini ialah pengunjung atau pesakit luar Klinik 1 Malaysia Alma Jaya.
3.3 Lokasi Kajian
Kerja persampelan kajian ini dijalankan di sebuah klinik iaitu Klinik 1 Malaysia yang terletak di Alma Jaya, Bukit Mertajam. Klinik 1 Malaysia dijadikan sebagai tempat persampelan kerana hanya terdapat sebuah klinik sahaja di sini. Dengan mengambil sampel di klinik ini sampel kajian menjadi lebih menyeluruh. Secara purata, di klinik ini penyelidik akan  memilih 15 orang responden lelaki dan 15 responden perempuan.  
3.4 Kaedah Kajian
Bahagian ini membincangkan sebab-sebab kaedah soal selidik dan temu bual dipilih untuk melakukan kajian ini. Reka bentuk kedua-dua kaedah kajian ini turut dihuraikan.

3.4.1 Soal Selidik

Kajian tinjauan ini dilakukan untuk mengenal pasti sejauh manakah Klinik 1 Malaysia Alma Jaya  menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada komuniti tempatan. Penyelidik memerlukan satu saiz sampel yang besar dan berkesan untuk menghasilkan keputusan yang mewakili kesemua pesakit lelaki dan perempuan. Bagi tujuan memperoleh sampel yang bersaiz 30 dalam kajian ini, soal selidik dijadikan instrumen kajian yang utama kerana instrumen  merupakan cara persampelan yang praktikal untuk mendapatkan sampel yang ramai jika dibandingkan dengan pemerhatian dan temu bual. Malah soal selidik juga selalu dijadikan sebagai instrumen penting dalam kajian-kajian lepas.

3.4.2 Temu Bual

Temu bual bersemuka digunakan dalam kajian ini untuk memahami secara mendalam mengenai sebab-sebab responden memilih dan menggunakan kemudahan Klinik 1 Malaysia Alma Jaya. Kebanyakan data yang dipungut melalui soal selidik memaparkan tahap kepuasan pesakit terhadap klinik ini. Tambahan pula, bukan semua data yang diingini dapat diperoleh secara berkesan melalui soal selidik, Data mengenai sebab-sebab responden memilih Klinik 1 Malaysia Alma Jaya juga dikumpul melalui temu bual. Temu bual boleh memantapkan data-data yang dipungut daripada soal selidik.

Kaedah temu bual yang digunakan dalam kajian ini ialah jenis temu bual semi struktur. Tiada sebarang soalan dibina sebelum sesi temu bual, sebaliknya pengkaji hanya menyediakan satu rangka ringkas mengenai maklumat yang ingin dipungut daripada responden. Dalam kata lain, semua soalan yang ditanya dalam sesi temu bual dibina secara spontan dengan berdasarkan jawapan yang diberi oleh responden dalam borang soal selidik. Sebagai contohnya, jika  klinik ini lebih baik daripada klinik swasta  maka soalan spontan yang mungkin menanyakan responden tersebut ialah klinik ini menambahkan taraf kesihatan pesakit.

Temu bual dengan setiap responden dijalankan secara berasingan oleh pengkaji sendiri selepas responden tersebut menyiapkan borang soal selidik. Hanya 4 atau 5 soalan disoal dalam setiap temu bual. Jika responden tidak berminat untuk ditemu bual, pengkaji tidak memaksa mereka. Semua maklum balas responden dicatatkan untuk memudahkan kerja analisis.

3.5 Instrumen Kajian

Instrumen utama yang digunakan dalam kajian ialah borang soal selidik. Instrumen ini digunakan untuk memperoleh data kuantitatif. Soal selidik kajian ini dibina dengan merujuk kepada tinjauan bacaan yang telah dibincangkan dalam bahagian pengenalan. Seterusnya, soal selidik ini diubah suai berdasarkan keperluan objektif kajian. Pengkaji juga mengadakan satu perbincangan yang tidak formal dengan tiga pesakit luar untuk mengetahui kepuasan mereka terhadap perkhidmatan yang disediakan oleh klinik. Maklumat yang diperoleh melalui perbincangan tersebut dijadikan sebagai satu rujukan bagi menentukan item-item yang perlu disoal dalam soal selidik. Instrumen ini akan mempunyai sebanyak 20 soalan yang berkaitan dengan kemudahan yang diterima oleh pesakit luar. Soalan-soalan ini dibentuk mengikut skala likert dengan menandakan 1. Amat Bersetuju. 2.Bersetuju dan 3. Tidak Bersetuju. Soalan-soalan yang dikemukakan dalam instrumen adalah seperti berikut:

1.Klinik ini mengenakan bayaran yang berpatutan
2.Klinik ini telah merawat penyakit pesakit
3.Klinik ini berdekatan dengan rumah pesakit
4.Klinik ini menyediakan ubat yang mencukupi
5.Klinik ini lebih baik daripada klinik swasta
6.Klinik ini menambahkan taraf kesihatan pesakit
7.Klinik ini mempunyai petugas yang mesra dengan pesakit
8.Klinik ini melayan warga tua terlebih dahulu
9.Klinik ini memberi keutamaan kepada kes kritikal
10.Klinik ini menyebabkan pesakit menunggu begitu lama
11.Klinik ini menyebarkan maklumat berguna kepada pesakit
12.Klinik ini menghantar kes-kes kecemasan ke hospital kerajaan yang berdekatan.
13.Klinik ini menghantar kes kes-kes yang dirujuk kepada pakar dengan segera
14.Klinik ini hanya melayan kes-kes temujanji sahaja
15.Klinik ini mengadakan ceramah kesihatan kepada komuniti tempatan
16.Klinik ini sentiasa menekankan kesihatan dan gaya hidup sihat pesakit
17.Klinik ini menyediakan kuarantin kes-kes penyakit berjangkit
18.Klinik ini mempunyai kemudahan farmasi
19.Klinik ini mengambil masa yang agak singkat untuk merawat
20. Klinik ini patut menajadi pilihan semua penghuni di kawasan ini.

4.ANALISIS DATA

Biasanya alat kajian kuantitatif akan menghasilkan data yang besar saiznya. Pengkaji, bertanggung jawab untuk mengolah data itu kepada format yang sesuai dengan kaedah analisis data dan boleh ditafsir kemudiannya. Penyelidik akan memproses data daripada borang soal selidik. Data mentah ditukar kepada bentuk yang lebih mudah difahami dan dijelaskan, iaitu peratusan. Data peratusan kemudiannya dipersembahkan dalam bentuk jadual, carta, taburan kekerapan, atau histogram.

Data akan dikutip dan dikemaskan melalui prosedur berikut:

(a) Selepas mendapat kebenaran daripada  pengetua, satu temu janji akan dibuat dengan guru kelas untuk membincangkan jadual waktu bagi pengkaji melakukan kajian.Maklumat latar belakang responden  juga perlu diketahui sebelum memulakan kajian.
(b) Apabila sampel telah dikenal pasti, borang soal selidik akan diedarkan dan meminta mereka yang berkenaan mengisikannya.
(c) Sebelum analisis dibuat, data mentah yang diperoleh itu hendaklah diproses terlebih dahulu untuk mendapatkan latar belakang subjek kajian, misalnya, peratus pesakit mengikut jantina, tahap sosioekonomi, jumlah gaji dan lokasi kajian.
(d) Selepas semua maklumat tentang latar belakang subjek kajian dan semua skor variabel kajian diperoleh, pengkaji boleh menganalisis data kajian untuk menjawab soalan-soalan kajian.

5.DAPATAN KAJIAN

Data yang telah diperoleh melalui soal selidik dan temu bual akan dibincangkan dalam bahagian ini. Dapatan kajian akan dihuraikan mengikut urutan soalan dalam soal selidik. Kesemua 20 item dalam soal selidik akan dibincangkan satu persatu. Bilangan dan peratus  responden yang menjawab juga akan diselitkan. Sebagai contohnya …bagi item pertama  bilangan yang menjawab Amat Bersetuju adalah 15 orang atau 50% dan begitulah seterusnya sehingga 20 item.

6.PERBINCANGAN

Setiap dapatan kajian akan diolah dengan tinjauan bacaan penyelidik. Adakah dapatan kajian disokong oleh tinjauan bacaan atau tidak. Jika tidak penyelidik hendaklah memberikan sebab-sebabnya. Huraian hendaklah dibuat berdasarkan dapatan daripada teks temu bual dan pemerhatian penyelidik.

7.KESIMPULAN

Penyelidik akan merumuskan seluruh kajian dalam bahagian ini. Adakah kajian penyelidik mencapai objektif yang ditetapkan. Jika tidak nyatakan sebab-sebab. Adakah kajian ini boleh dijadikan rujukan oleh mana-mana pihak yang berkepentingan. Sejauh manakah kajian ini memberi input kepada masyarakat dan negara. Sepanjang kajian, penyelidik tentu menghadapi pelabagi cabaran dan rintangan. Penyelidik hendaklah menyatakan langkah-langkah untuk mengatasi  cabaran atau rintangan tersebut. Cadangan penyelidik dapat dijadikan panduan oleh penyelidik-penyelidik akan datang.

8.SENARAI RUJUKAN

Senaraikan semua bahan yang dibaca atau dirujuk dalam bahagian ini mengikut pecahan jenis sumber seperti buku, majalah, internet dan sebagainya

9. LAMPIRAN


Dalam bahagian ini penyelidik akan melampirkan kesemua teks temu bual, catatan pemerhatian dan satu set soal selidik untuk rujukan pembaca atau pemeriksa.

Saturday, 16 January 2016

Petua Kerja Kursus

Petua untuk guru dan pelajar tentang kajian kerja kursus.
·        Kerja kursus PA membantu pelajar melakukan kajian lanjutan ketika berada di universiti kelak.
·        Kajian yang dilakukan oleh pelajar hendaklah meyakinkan guru dan pemeriksa.
·        Kajian yang mencurigakan seperti menciplak hasil orang lain atau memplagiat kajian pelajar lain tidak akan diterima dan pelajar dikehendaki membuat kajian semula.
·        Guru yang memeriksa kerja kursus boleh mempertikaikan kesahihan fakta dan data kajian tersebut.
·        Pelajar hendaklah menjustifikasikan dapatan mereka.
·        Guru-guru sepatutnya mempersoalkan metodologi, bentuk dan jenis soalan yang digunakan semasa kajian.
·        Jika instrumen atau soal selidik sekadar memerlukan jawapan ya atau tidak, dapatan tersebut tidak boleh dijadikan sebagai rumusan yang tepat.
·        Kita tidak mahu laporan atau hasil kajian pelajar menyimpang daripada objektif kajian yang  sebenar.
·        Oleh itu objektif kajian hendaklah jelas dan tajuk kajian biarlah sesuatu yang researchable.
·        Jika  kajian itu langsung tidak mempunyai kebolehpercayaan atau reliabiliti, maka kajian tersebut boleh ditolak.  
·        Oleh itu guru-guru hendaklah tampil menjelaskan kaedah kajian kepada pelajar untuk mengelakkan  salah faham pelajar.

·        Pelajar harus bertanggungjawab terhadap kajian yang dijalankan.

Friday, 1 January 2016

Ulasan Jawapan PA Penggal 3 Tahun 2015

Berikut  adalah ulasan mengenai jawapan yang telah dijawab oleh pelajar-pelajar saya dalam peperiksaan Pengajian Am Penggal 3 Tahun 2015.Maklumat ini saya peroleh daripada temu bual dengan pelajar saya seramai 45 orang enam atas. Dan maklum balas daripada guru-guru dan pelajar-pelajar dari sekolah-sekolah yang saya kendalikan teknik menjawab.  Mereka memberitahu saya setakat yang mereka mengingati sahaja melalui whatsapp, telefon, telegram dan bersemuka. Walaupun kebanyakan mereka terlupa apa yang ditulis dalam peperiksaan, namun saya dapat mengagak jawapan mereka.

Sebelum anda membaca ulasan dan komen ini, anda perlu mempunyai kertas soalan PA3 2015. Ulasan ini dibuat berdasarkan persepsi dan tanggapan saya sebagai seorang guru yang berpengalaman mengajar Pengajian Am .

#Sebelum peperiksaan saya telahpun memberikan taklimat kepada kesemua pelajar saya bahawa jika soalan bertanya pola  seperti huraikan perubahan pola, pelajar mesti menjawab pola juga, walaupun tahun atau elemen dua sahaja. Seperti dua tahun atau dua elemen seperti eksport dan import. Pelajar juga boleh rujuk dalam blog saya di bawah label Penggal 3.

#Saya juga telah memberitahu pelajar jika data diberi dalam peratus , pelajar mesti menukarkannya dalam nilai sebenar sebelum ulaskannnya.

#Juga diberitahu jika soalan minta pola, jangan guna istilah sedikit atau banyak. Pelajar mesti menggunakan istilah me…… seperti meningkat dan menurun.

#juga diberitahu jika terdapat dua elemen untuk diulaskan atau ditafsirkan seperti  eksport /import atau jantina. Maka dalam satu perenggan kena sebut kedua-duanya sekali. Maksudnya kena tulis eksport dan import atau lelaki dan perempuan

#walaupun ada terdapat istilah tersebut di belakang soalan, tidak semestinya pelajar mesti menggabungkan data dan sebab/faktor. Saya telah minta mereka menjawab mengikut arah soalan ke mana arahnya atau apakah fokusnya?

#dalam soalan tafsiran yunit sangat penting untuk ditulis seperti orang/tan metrik/peratus/ribu orang   dan sebagainya

Soalan 16- Sebanyak 75% pelajar memberitahu bahawa mereka mengasingkan lelaki dan perempuan dalam dua perenggan yang berasingan. Manakala 25% pelajar diharap dapat menjawab dengan betul. Namun saya tidak pasti faktor yang dinyatakan. Kehendak soalan ialah faktor perlu diasingkan. Kalau boleh, faktor hendaklah lebih umum . Tidak semestinya merujuk kepada perempuan ataupun lelaki.

Soalan 17- Boleh dikatakan 55% pelajar saya  tidak menukarkan bilangan pengguna  internet bagi setiap seratus orang penduduk kepada nilai sebenar. Ramai yang menjawab bilnangan pengguna yang paling tinggi dan sedikit dan satu lagi perenggan ialah jumlah penduduk yang paling tinggi dan sedikit. Kedua-dua idea ini tidak masuk akal.  Pelajar harus berfikir apakah rasional jika ditulis jumlah penduduk dalam ulasan/tafsiran ini. Saya fikirkan begini. Pelajar diminta menukarkan pengguna Malaysia 65.8 bagi setiap seratus itu kepada bilangan sebenar. Contohnya Malaysia  2923900/100 X 65.8, maka bilangan pengguna internet adalah sebanyak 19239854 orang. Selepas kira untuk semua negara, barulah pelajar perlu fikirkan negara mana paling banyak atau sedikit pengguna internet. Bagaimanapun saya percaya, pelajar yang tidak dapat mengira dengan baik, masih lulus juga jika mereka dapat menghuraikan masalah yang dihadapi oleh Malaysia dengan tepat. Bagaimanapun siapa saya untuk menentukannya? Semuanya di tangan pemeriksa.

Soalan 18- Boleh dikatakan 85% pelajar saya telah menjawab soalan ini. Kesemua pelajar yang ditemu bual mengatakan bahawa mereka telah mengaitkan sekor pendidikan, kesihatan, sukan, ekonomi dan sumber tenaga. Saya berpendapat idea-idea mereka boleh diterima pemeriksa. Cuma saya tidak pasti bagaimana pelajar saya menghuraikannya dan ada tak skema menerimanya.

Soalan 19-Sebanyak 65% pelajar saya salah faham soalan ini bahawa transnasional ialah dalam nasional atau dalam negara. Jadi idea mereka mungkin tidak dapat diterima oleh pemeriksa. Ini pendapat saya. Pelajar harus faham bahawa transnasional bermaksud antara negara.  Kehendak soalan ini ialah 2+3 atau 3+2. Tetapi mereka menjawab 5 idea tindakan. Satu lagi kesilapan mereka .Jadi saya berfikir karangan mereka separuh menyeleweng.  Pelbagai idea telah dinyatakan oleh pelajar kepada saya. Namun saya memberitahu mereka, terpulang kepada pemeriksa sama ada menerima atau tidak. Yang saya tekankan kepada pelajar ialah kehendak soalan.

Soalan 20-Terdapat ramai pelajar yang menjawab soalan ini. Namun idea mereka saya tidak pasti. Ada yang menulis 2+3 atau 3+2. Saya berpendapat soalan ini adalah 5+0. Pelajar menulis mengapakah Malaysia perlu berbaik-baik dengan negara luar dan apakah manfaatnya. Ada pula yang keliru menjawab bahawa Malaysia perlu berbaik-baik dalam semua bidang tak termasuk ekonomi dan selebih ideanya apakah manfaat eknomi yang akan diperoleh Malaysia. Soalan ini minta calon menulis 5 idea manfaat dari segi eknonomi sahaja seperti bahan makanan, teknologi, pelaburan asing, berkongsi kepakaran asing dan sebagainya.


Semoga semua pelajar yang saya ajar dan bimbing berjaya dengan cemerlang.

Saturday, 26 December 2015

Ulasan Jawapan PA Penggal 1 Tahun 2016



Berikut  adalah ulasan mengenai jawapan yang telah dijawab oleh pelajar-pelajar saya dalam peperiksaan Pengajian Am Penggal 1 Tahun 2016 iaitu peperiksaan pada tahun 2015. Maklumat ini saya peroleh daripada temu bual dengan pelajar saya seramai 30 orang. Mereka memberitahu saya setakat yang mereka mengingati sahaja. Ramai yang terlupa apa yang ditulis dalam peperiksaan.
Sebelum anda membaca ulasan dan komen ini, anda perlu mempunyai kertas soalan PA1 2016. Ulasan ini dibuat berdasarkan persepsi dan tanggapan saya sebagai seorang guru yang berpengalaman mengajar Pengajian Am .
#Sebelum peperiksaan saya telahpun memberikan taklimat kepada kesemua pelajar saya bahawa jangan tambah sebarang ruang jawapan. Maksud saya ruangan yang disediakan dalam kertas soalan memang memadai. Tetapi ada pelajar saya menambah ruang. Ini satu kesilapan besar.
#Saya juga memberitahu mereka jika soalan meminta dua (bilangan) , pelajar hanya perlu menulis dua jawapan sahaja . Contohnya jika soalan meminta dua sebab, pelajar perlu menulis dua sebab sahaja. Hal ini kerena sebab yang ketiga tidak akan dibaca dan tidak akan disemak walaupun sebab yang ditulisnya itu betul.
#Pelajar-pelajar saya salah faham bahawa, jika mereka menulis lebih banyak dan lebih panjang, maka mereka akan mendapat markah yang banyak. Ini satu persepsi yang salah.
Soalan 16- Sebanyak 5% sahaja menjawab dengan lengkap dan tepat. Baki 95% menjawab salah  soalan ini. Rata-rata pelajar saya memberitahu saya bahawa soalan ini meminta objektif atau tujuan perlembagaan diwujudkan. Komen saya ialah pelajar saya khususnya tidak bijak mengaitkan perlembagaan dengan kedaulatan negara. Hal ini sudah dijelaskan dalam bab pertama sukatan PAP1.
Soalan 17- Boleh dikatakan 85% pelajar saya menjawab dengan lengkap. Namun pelajar saya mengulang isi-isinya. Contohnya mereka menulis hilang kelayakan sebagai isi pertama. Manakala isi kedua dan ketiga pula mereka memberikan contoh seperti penjara , muflis , hilang kewarasan dan sebagainya.
Soalan 18- Boleh dikatakan 55% pelajar saya  salah anggap bahawa SPA merupakan satu badan yang menyediakan perkhidmatan kepada masyarakat awam seperti membersihkan kawasan, membaiki kemudahan awam, menguruskan dan membuang sampah dan sebagainya. Keadaan ini jelas menunjukkan pelajar-pelajar saya tidak dapat membezakan  suruhanjaya perkhidmatan dengan majlis perbandaran.
Soalan 19-Sebanyak 65% jawab salah soalan ini. Mereka salah menanggapi soalan. Kononnya soalan meminta cara-cara seseorang pesalah ditangkap. Jadi pelajar-pelajar saya mungkin juga pelajar-pelajar lain tidak membaca soalan dengan betul. Soalan meminta cara memberi  keterangan.
Soalan 20-Kebanyakan pelajar saya tidak berminat menjawab soalan ini. Yang menjawabnya pula memberikan fokus kepada  kakitangan awam atau pegawai kerajaan secara amnya. Senario ini menunjukkan bahawa pelajar saya tidak mengulang kaji bab terakhir iaitu tadbir urus kerajaan, walaupun topik ini sudah diajar dalam kelas.
Soalan 21-Sebanyak 97% pelajar saya menjawab soalan ini. Hal ini kerana tajuk ini pernah dibincangkan pada awal kemasukan pelajar enam bawah ke sekolah. Saya pernah mengajar topik ini memandangkan pelbagai rusuhan dan demonstrasi jalanan serta banyak mahasiswa kita terlibat dalam pelbagai isu termasuk menyalahgunakan media sosial untuk memfitnah negara dan kerajaan kita. Saya boleh menjangka pelajar saya dapat menjawab dengan baik kerana kebanyakan idea mereka seolah-olah relevan. Tetapi saya tidak pasti sama ada idea mereka akur dengan skema.
Soalan 22- Soalan ini juga  menjadi pilihan utama kebanyakan calon. Namun saya tidak pasti idea-idea mereka boleh diterima oleh pemeriksa. Hal ini kerana rata-rata pelajar yang berjumpa dan berbincang dengan saya mengatakan bahawa mereka menulis idea yang lebih berfokus kepada internet dan kemudahan ICT di rumah, di sekolah dan di tempat awam. 

Semoga semua pelajar yang saya ajar dan bimbing berjaya dengan cemerlang.

Friday, 13 November 2015

ELEMEN KESALAHAN CALON DALAM ESEI


           Analisis elemen kesalahan pelajar dalam penulisan esei. Tolong elakkan



Elemen Kesalahan
Peratus(%)
Kesalahan umum
96.81
Pengaruh bahasa asing
3.82
Cantuman imbuhan
37.17
Perbezaan bunyi e,o,i,u
23.6
Kosa kata
10.52
Struktur ayat
15.01
Gabungan perkataan
6.69

TIP DAN FOKUS SOALAN STRUKTUR 2015

TEKNIK MENJAWAB SOALAN STRUKTUR
  jawapan mesti lengkap...jangan jawab dalam bentuk poin,
  jika soalan kehendaki 2 ciri jangan guna perkataan DAN untuk jawapan satu lagi..
  jika guna perkataan DAN maka ini akan dikira sebagai satu ciri sahaja.
  buat ayat menggunakan perkataan ciri pertama untuk jawapan pertama dan ciri yang kedua  ialah....... kalau jawapan panjang guna kertas jawapan pelajar dan hantar sekali dgn kertas soalan..
  Satu lagi perkara penting pelajar jangan buat.
  kalau soalan bertanyakan 3 jawapan jangan berikan jawapan yang lebih
  jawapan yang dikira adalah jawapan yang teratas
  walaupun jawapan di bawah betul, jawapan di atas masih dikira  salah

      TIP - bagi soalan seperti peranan, matlamat, objektif, fungsi dan apa-apa kata kunci soalan yang membawa maksud perbuatan, maka mulakan jawapan anda dengan kata kerja seperti me.....atau ber..... Bagaimanapun ini tertakluk kepada imbuhan yang digunakan dalam dokumen rasmi atau penyata kerajaan. 
       -bagi soalan ringkas seperti nyatakan elemen, kriteria, ciri dan apa-apa kata kunci soalan yang membawa maksud kata nama, maka mulakan jawapan anda dengan kata nama seperti pe…an, ke…an, dan pe…. Bagaimanapun ini tertakluk kepada imbuhan yang digunakan dalam dokumen rasmi atau penyata kerajaan. 

FOKUS 2015 DIBERI KEPADA
  1.Prinsip tadbir urus
  2.Pelantikan rasmi negara-jawatan-jawatan utama negara
  3.Senarai-senarai (jadual Kesembilan)
  4.Badan Berkanun/Badan Tidak Berkanun
  5.Fungsi Kementerian

            6.Bidang kuasa sultan/raja/YDPN