Menyentuh mengenai PPSMI, saya tidak memahami kenapa bahasa
Inggeris perlu digunakan dalam PPSMI?Di sini sedikit coretan pengalaman saya.
Saya berasal daripada sebuah sekolah rendah Tamil di sebuah ladang getah di
negeri Kedah. Kemudian saya melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah di pekan
Kuala Ketil. Sejak di sekolah menengah kami diajari semua mata pelajaran dalam
bahasa Melayu. Pada ketika itu bahasa Melayu sangat penting dan ibu saya
walaupun seorang penoreh yang buta huruf menyedari peri pentingnya Bahasa
Kebangsaan, maka saya didaftarkan dalam aliran Melayu.Saya belajar bersungguh-sungguh
dalam aliran tersebut. Allahyarham Cikgu Amin yang mengajari kelas kami sastera
Melayu dan Cik Asiah yang mengajar bahasa Melayu, melonjakkan minat saya
terhadap bahasa Melayu dan kesusasteraan Melayu.Kemudian minat dan cinta pada
bahasa Melayu mula berkembang sehingga saya mula melanggan majalah Dewan
Sastera dan Dewan Bahasa untuk menimba ilmu dalam bidang sastera dan bahasa.
Kerana cinta yang begitu mendalam terhadap bahasa dan sastera Melayu saya
mengambil Jurusan Pengajian Melayu di Universiti Malaya. Ketika itu semua
rujukan adalah dalam bahasa Inggeris. Syukurlah saya dapat membuat rujukan
dalam bahasa Inggeris, pada hal saya tidak begitu fasih pun dalam bahas
tersebut. Bagaimanapun pada akhirnya saya dapat menamatkan pengajian saya dalam
Jurusan Penulisan Kreatif dan Deskriptif.Kemudian saya melanjutkan pengajian MA
dalam kesusasteraan dan PhD dalam pendidikan. Kedua-dua bidang ini memerlukan
kefasihan dalam bahasa Inggeris untuk mencari, mentafsir dan memahami teori
sastera dan pendidikan. Pada akhirnya saya dapat menamatkan kedua-duanya dengan
jayanya.Begitu juga anak sulung saya seorang lepasan SPM dalam aliran bahasa
Melayu. Kemudian melanjutkan pelajaran dalam A Level dan seterusnya ke negara
Eropah melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan. Kesemuanya dalam bahasa
Inggeris. Sehingga kini, dia tidak pernah merungut dia tidak faham apa yang dia
belajar dalam bahasa Inggeris.Oleh sebab itu saya berpendapat penggunaan bahasa
Melayu dalam pengajaran subjek sains dan matematik di sekolah rendah dan
menengah, tidak menghalang dan mengongkong seseorang pelajar melanjutkan
pengajian dalam bidang yang diminati dalam bahasa Inggeris.Jika bahasa Melayu
boleh mengungkapkan pelbagai ilmu dan memang terbukti menjadi bahasa ilmiah,
mengapa kita mesti tunduk pada bahasa Inggeris?
No comments:
Post a Comment