Saturday, 4 July 2015

Karangan-Pengangguran Siswazah

Siswazah lepasan Institut Pengajian Tinggi (IPT) menghadapi kesukaran untuk mendapat pekerjaan. Huraikan punca peningkatan kadar pengangguran dalam kalangan siswazah di negara ini

Pada setiap tahun, bilangan graduan yang dihasilkan oleh IPTA dan IPTS semakin meningkat daripada ratusan ke ribuan. Keadaan ini disebabkan oleh kemasukan ramai pelajar lepasan sekolah yang memperoleh keputusan cemerlang dan layak memasuki salah sebuah institusi tersebut. IPTA dan IPTS membuka banyak peluang pilihan pelajaran dalam pelbagai bidang. Hal ini telah membawa kepada kesukaran siswazah mendapatkan pekerjaan dan menyebabkan masalah pengangguran dalam kalangan mereka.
Terdapat pelbagai punca kesukaran para siswazah mendapat pekerjaan. Salah satu daripadanya ialah persaingan yang terlalu sengit antara para siswazah daripada bidang yang sama. Majikan yang menawarkan pekerjaan hanya mahu pekerja yang terbaik. Hal ini kerana pendapatan yang ditawarkan kepada pekerja hendaklah berbaloi dengan produktiviti mereka. Jika seseorang siswazah tidak mempunyai kelayakan yang ditetapkan maka sukarlah untuk siswazah tersebut mendapat pekerjaan.
Selain itu, punca pengangguran dalam kalangan siswazah disebabkan majikan mempunyai pekerja yang berpengalaman dan mahir. Kebanyakan majikan enggan mengambil rsiko melatih pekerja baharu seperti siswazah kerana tindakan ini menelan kos yang besar. Memang diketahui umum bahawa majikan lazimnya ingin mengurangkan kos operasinya.
Keadaan ekonomi negara juga menjadi punca siswazah menganggur. Dalam keadaan ekonomi yang gawat, negara terpaksa kehilangan pelabur-pelabur asing. Pelabur-pelabur ini tidak berupaya mewujudkan jawatan-jawatan baharu. Malah sektor awam juga membekukan beberapa jawatan baharu kerana tidak mampu membayar gaji kepada pekerja baharu. Keadaan bertambah buruk apabila terdapat beberapa pengusaha kilang terpaksa gulung tikar kerana tidak dapat menampung kos dalam keadaan kemelesatan ekonomi.
Para siswazah IPTA dan IPTS yang berpotensi dalam sesuatu bidang yang khusus menjadi punca mereka sukar mendapat pekerjaan. Jika bidang jurusan di IPT tidak sesuai dengan pasaran semasa, maka mereka tidak dapat mencari pekerjaan dalam bidang yang lain. Lagipun permintaan dalam pasaran buruh tempatan semakin berubah-ubah mengikut peredaran masa. Kursus yang diikuti selama lima tahun di IPT sudah tidak cocok apabila siswazah keluar dari IPT selepas lima tahun. Keadaan menjadi lebih teruk jika mereka tidak mengkhususkan bidang minor ketika di IPT.
Kesimpulannya, para siswazah lepasan IPTA dna IPTS haruslah bijak dalam menentukan hala tuju hidup mereka. Mereka hendaklah memilih bidang atau kursus yang dikehendaki oleh pasaran buruh tempatan.

No comments:

Post a Comment