Peningkatan peratusan lulus murid-murid UPSR dari
sekolah-sekolah jenis kebangsaan dalam Bahasa Melayu tidak menjamin penguasaan
mereka dalam bahasa tersebut di sekolah menengah. Khususnya dalam konteks verbal bahasa, mereka
masih belum memperlihatkan kefasihan atau penguasaan yang sempurna.
Hal ini kerana apabila murud-murid ini menjejaki alam
sekolah menengah, mereka turut membawa bersama budaya bahasa ibunda mereka.
Keadaan penggunaan bahasa Melayu baku dalam kalangan pelajar yang lemah atau
gagal dalam bahasa Melayu di peringkat UPSR, mengeruhkan keadaan lagi.
Guru-guru yang mengajarkan bahasa Melayu di sekolah menengah
menghadapi satu cabaran baharu. Guru-guru terpaksa mengajari kelas-kelas yang
berlainan latar belakang budaya pelajar. Pelajar-pelajar ini bukan sahaja lemah
dalam pembelajaran bahasa malah masih menebal dengan pengaruh bahasa ibunda
mereka di sekolah dan di kelas. Tiada sebarang usaha diambil oleh pelajar atau
ibu bapa untuk menangani masalah ini. Kesemua beban tugas ini diserahkan pada
pundak guru.
Kekangan komunikasi antara pelajar berbilang etnik
mengakibatkan pelajar-pelajar ini berinteraksi dalam puak yang sama. Jadi
Kementerian Pelajaran hendaklah menganjurkan suatu pendekatan baharu di
sekolah-sekolah untuk menggalakkan pelajar-pelajar ini berbahasa Melayu dengan
fasih, lancar dan selesa. Pendekatan yang dimaksudkan ialah guru-guru yang
mengajarkan bahasa Melayu hendaklah menyelami budaya bahasa ibunda pelajar
tersebut. Ini tidak bermakna bahasa Melayu perlu diajarkan oleh guru-guru bukan
Melayu. Guru bahasa Melayu tanpa mengira kaum, setidak-tidaknya mengetahui dan
mengenali budaya bahasa ibunda pelajar mereka.
Apabila guru mengajarkan sintaksis, ayat yang digunakan oleh
pelajar itu hendaklah disusun semula mengikut aturan dan susunan sintaksis
bahasa Melayu. Jika pelajar menyatakan, “Emak kedai pergi”, maka guru hendaklah
membetulkan ayat ini di hadapan kelas supaya semua pelajar dapat mengetahui dan
mengenali ayat bahasa Melayu yang sebenarnya. Guru boleh menggunakan kaedah
pola ayat dasar bahasa Melayu. Guru
perlu bertanya kepada pelajar, ‘siapakah pergi ke kedai’, kemudian diikuti
dengan soalan ‘apakah dilakukan oleh emak’ dan soalan terakhir ‘emak ke mana’.
Jadi guru hendaklah menjelaskan kepada pelajar bahawa subjek emak mesti diikuti
oleh perbuatan pergi dan diikuti pula oleh tempat kedai.
Walaupun kaedah ini mengambil masa yang agak lama, tetapi
dengan berbuat demikian lambat-laun pelajar dapat menguasai struktur ayat
bahasa Melayu dengan cepat dan mudah. Guru-guru kita hendaklah banyak bersabar
mengajarkan bahasa Melayu mengikut kontekstual dan jangan tergesa-gesa
menghabiskan sukatan bahasa Melayu. Pendekatan memahami budaya bahasa ibunda
sebelum membetulkan kesalahan bahasa pelajar hendaklah dipraktikkan di semua
sekolah di negara ini khususnya di sekolah yang mempunyai kelas-kelas peralihan
atau di sekolah yang mempunyai populasi pelajar bukan Melayu.
No comments:
Post a Comment