Keseimbangan dalam pendidikan ditekankan dalam semua sistem
pendidikan di dunia ini. Tanpa keseimbangan ini sudah pasti masyarakat sesebuah
negara itu tidak dapat hidup dalam keadaan yang maju dan selesa. Setiap kanak-kanak
yang dilahirkan berhak mendapat pendidikan yang secukupnya. Maka itu kerajaan
Malaysia turut membelanjakan berbilion-bilion ringgit untuk mempertingkatkan
mutu prasarana pembelajaran di negara ini. Kerajaan kita ingin memastikan
ketidakseimbangan dalam pendapatan isi rumah tidak akan menjejaskan
peluang-peluang pendidikan kanak-kanak di negara ini. Sebagai contoh negara
Norway menekankan keseimbangan kondisi kehidupan rakyatnya. Negara tersebut
ingin memastikan kejayaan remajanya mencapai matlamat pendidikan. Mereka tidak
mahu remaja mereka kecundang dalam pelajaran akibat masalah sosioekonomi
keluarga. Amerika pula menekankan pengembangan dan peningkatan akses terbuka
institusi-institusinya. Bagi Amerika setiap institusi termasuk keluarga
hendaklah lebih terbuka kepada akses pelajaran. Mereka tidak mahu keluarga atau
institusi lain menjadi penghalang untuk rakyatnya memperoleh pelajaran. Pendek
kata kedua-dua negara ini menekankan hubungan antara latar belakang keluarga
dengan pemerolehan kelulusan akademik atau pendidikan. Di negara kita juga
adalah diperlukan satu kajian yang holistik untuk mengesan hubungan keluarga
dengan pencapaian pendidikan. Pelbagai teori baru dalam sosiologi pendidikan
hendaklah diterokai untuk melihat hubungan tersebut.
No comments:
Post a Comment