Saturday, 4 July 2015

Perbandingan Antara HHT dengan HAH Sebagai Karya Epik


Kedua-dua karya ini disebut sebagai epik kerana peranan serta perlukisan lahiriah dan batiniah yang digambarkan oleh kedua-dua pengarang karya ini. Persoalan wira dalam sastera Melayu selalu digambarkan sebagai seorang manusia yang gagah berani dan berwibawa.Wira merupakan seorang pahlawan. Dalam konteks Hikayat Hang Tuah , wiranya ialah Hang Tuah kerana beliau membela nasib bangsa Melayu dan menjadi pelindung kepada institusi raja. Manakala dalam Hikayat Amir Hamzah, wiranya ialah Amir Hamzah pahlawan Islam bukan sahaja menumbangkan musuh-musuh Islam serta raja-raja besar tetapi juga menyebarkan syiar Islam ke seluruh dunia. Kedua-dua mereka menjadi tumpuan dari awal hingga ke akhir cerita. Kedua-dua wira ini gigih mempertahankan, memperjuangkan,dan meneruskan visi dan misi mereka sebagai pahlawan dan mereka juga mempunyai cara tersendiri untuk mencapai wawasan dan pegangan mereka. Wawasan dan pegangan Hang Tuah adalah seperti diperintah oleh raja-raja Melayu. Contohnya dia sanggup membunuh kawan setianya Hang Jebat tanpa usul periksa kerana disuruh oleh raja. Begitu juga dengan menculik Tun Teja untuk memenuhi kemahuan raja.
Manakala tindakan tidak bermoral seperti ini tidak terdapat dalam Hikayat Amir Hamzah. Amir Hamzah bertindak dengan sendiri mengikut bukan kemahuan dirinya tetapi kemahuan agama yang dianutinya. Jika didapati tindakan seseorang itu tidak baik, maka dengan cepat-cepat Amir Hamzah bertindak untuk memperbetulkan salah laku mereka sama ada secara ujaran (= nasihat) ataupun secara berperang.
Selain daripada perbandingan di atas, kedua-dua epik ini juga dapat dilihat dari lima perspektif yang lain iaitu a) perpektif ideologi, b) konsep fungsi (=functional concept), c)simbolisme, d) sumber penghormatan ( =courage dan endurance), dan e) tujuan-tujuan misi( = legitimacy of mission)
Dari perspektif ideologi Hikayat Hang Tuah memaparkan adegan-adegan yang berunsur taat setia dan
kepatuhan seseorang rakyat kepada raja. Konsep daulat raja amat ditekankan dalam epik ini. Rakyat tidak sekali-kali dibenarkan menderhaka kepada raja. Dalam sistem feudal Melayu telah ditetapkan satu kepatuhan rakyat kepada raja. Mereka yang didapati melanggar kepatuhan ini maka hukuman akan menanti mereka. Ini seolah-olah menjadi satu konvensi dalam Hikayat Hang Tuah umpamanya Hang Tuah sanggup membunuh kawan setianya Hang Jebat kerana Hang Jebat telah bermain kasih dengan gundik-gundik istana. Pada hal sebab dia melakukannya untuk mambalas dendam raja kerana raja menjadi punca kematian Hang Tuah. Hang Tuah gagal memikirkan logik di sebalik tindakan Hang Jebat itu, maka Hang Jebat pun dibunuh oleh Hang Tuah.Jadi kesetian dan ketaatan Hang Tuah pada raja jelas terlihat dalam ideologi Hang Tuah. Manakala ideologi perspektif dalam Hikayat Amir Hamzah ialah peranan yang dimainkan oleh Amir Hamzah dalam menegakkan agama Islam dan tauhid. Malah sebelum lahirnya Amir Hamzah, bapanya Abdul Mutalib selalu berdoa kepada Allah supaya mengurniakannya seorang anak yang kuat dan berani. Kerana hanya dengan kekuatan dan keberanian, maka Amir Hamzah dapat membunuh mereka yang tidak percaya akan agama dan dapat membuktikan kepada dunia ini bahawa agama Islam wukuj dalam bentuk yang sempurna. Doa selama 12 tahun tidak menghampakan Mutalib. Isterinya telah melahirkan Amir Hamzah di Mekkah dan dinamai oleh Khoja Buzurjumhur Hakim. Kata Khoja Buzurjumhur bahawa:
“Hei Khoja Abdul Mutalib , kanak-kanak inilah kelak membukakan (=mengembangkan) agama
Nabi Muhammad Rasululullah salallahu alaihi wassalam. Di dalam dunia ini, Hamzah inilah yang tiada berlawan, dan ialah yang menghukum tujuh penjuru dunia ini; ialah mengalahkan negeri yang besar-besar...” ( A.Samad Ahamd,1987 :24)

jadi kutipan dengan jelas menunjukkan bahawa kelahiran Amir Hamzah adalah untuk meneruskan perjuangan nabi-nabi sebelumnya dalam mensyiarkan Islam dan bukan sekadar berperang sahaja dan bertaat setia kepada manusia yang berkuasa sahaja seperti Hang Tuah.
Perbandingan kedua ialah dari segi konsep fungsi. Dalam kedua-dua epik fungsi utama wira ialah menjaga keamanan dan memberi perlindungan kepada rakyat. Tetapi cara menggambarkan kedua-dua wira sahaja agak berlainan. Dalam Hikayat Hang Tuah, Hang Tuah dilukiskan sebagai individu hamba raja. Hang Tuah memainkan peranan sebagai seorang hamba dan berulang-ulang menegaskan bahawa hidup dan kewujudannya hanyalah untuk berkhidmat kepada Sultan Melaka.Ini seolah-olah menunjukkan bahawa pengarang ingin mengekalkan sistem feudal dalam Hikayat Hang Tuah. Hang Tuah digambarkan sebagai wira yang non-noble, malah ia adalah daripada orang biasa. Malah apabila ke medan peperangan Hang Tuah masih digambarkan sebagai seorang wira tetapi bukan dengan kostume seorang militari. Bagi Hang Tuah apa yang penting dilakukan ialah suruhan atau perintah raja hendaklah dijalankan (=dipatuhi). Manakala dalam Hikayat Amir Hamzah pula, Amir Hamzah digambarkan sebagai seorang militari dengan pakaian serba lengkap. Sekilas memandang maka kita boleh mengatakan bahawa tujuan ia berpakaian begitu hendaklah turun ke medan pertempuran. Peperangan merupakan unsur yang menarik dalam Hikaya Amir Hamzah.
Pengarang Hikayat Amir Hamzah memperincikan setiap keadaan peperangan. Diperlihatkan benar-benar bagaimana seorang wira memakai kostumenya dalam peperangan. Dalam menggambarkan keadaan ini simbol-simbol seperti kuda, baju perang, dan senjata juga turut terdapat dalam perlukisan itu.
Pengarang Hikayat Amir Hamzah menulis:
“Maka Amir Hamzah pun memakai segala senjatanya, pertama dengan dipakainya baju sarung Nabi Allah Ismail alaihissalam, kemudian memakai baju sutera China delapan lapis kan melembutkan tubuhnya, dan memakai zirah Nabi Allah daud alaihissalam pada kepalanya, kemudian mengenakan ikat pinggang Nabi Allah Salleh a.s pada lengan kanannya, dan tujuh helai ranbut Nabi Allah Adam a.s. diikatnya pada lengankirinya, dan tali kemandu Nabi Khidir a.s. diikatnya pada pinggangnya. ... serta pedang... perasai.... cokmar... iringan kuda yang bernama janggi Syah Kertas itu lalu digerlakkannya ke tengah medan berhadapan dengan Raja Syamsul Alam” ( A.Samad Ahmad, 1987 : 663)
Daripada contoh, kutipan ini cukup jelas bahawa fungsi utama wira dalam epic ini ialah untuk berperang. Selain elemen-elemen di atas terdapat juga watak pembantu dalam Hikayat Amir Hamzah yang sering berdamping dengan Amir Hamzah dan membantunya iaitu Umar Ummaiya. Jika dilihat dalam Hikayat Hang Tuah, tidak terdapat watak pembantu kecuali kesaktian keris Taming Sari serta pertolongan Bendahara. Dalam semua situasi termasuk perperangan, Hang Tuah menghadapinya seorang diri untuk menunjukkan bahawa dia benar-benar seorang wira. Malahan adalah mengaibkan jika seorang wira mendapat bantuan daripada kuasa atau orang lain apabila berdepan dengan musuhnya.
Perbandingan seterusnya dapat dilihat dalam penggunaan simbolisme dalam kedua-dua epik ini. Dalam Hikayat Hang Tuah diceritakan bagaimana Hang Tuah mendapat keris saktinya iaitu Taming Sari. Hasil daripada kecekapannya dia memperoleh keris itu. Dalam satu perlawanan silat, Hang Tuah telah menumpaskan seorang pahlawan yang bernama Taming Sari. Beliau telah menggunakan tipu helah untuk mendapatkannya. Jadi keris itu bukan sesuatu yang diwarisinya. Simbol kekuatan dan kegagahan Hang Tuah adalah kerisnya. Sejak menyimpan keris itu tiada sesiapa pun boleh mendampingi Hang Tuah. Dengan mudah sahaja dia menumbangkan musuh. Dalam bahagian akhir Hikayat Hang Tuah, dapat dilihat bahawa apabila keris itu ditelan buaya putih, maka kekuatannya mula susut dan akhirnya Hang Tuah menjadi lemah. Manakala dalam Hikayat Amir Hamzah tidak diceritakan bagaimana Amir Hamzah memperoleh pakaian nabi-nabi serta senjata seperti pedang dan cokmar yang digunakan oleh Amir Hamzah. Malah dikatakan pengarang, alat-alat ini diwarisi daripada nabi-nabi sebelumnya. Dalam Hikayat Amir Hamzah, Amir Hamzah adalah wira Islam yang menjadikan nabi-nabi sebagai modelnya dalam peperangan.Amir Hamzah berperang dengan menggunakan peralatan nabi-nabi kerana dengan menggunakan peralatan tersebutlah maka nabi-nabi dapat memulih keharmonian hidup umatnya pada zaman pra Amir Hamzah. Maka sebab itulah diceritakan dalam Hikayat Amir Hamzah bahawa dia menggunakan peralatan yang sama(=diwariskan daripada nabi-nabi). Bagi Amir Hamzah pedang, cokmar baju sarung, baju sutera China, dan kuda Janggi adalah antara simbol dalam Hikayat Amir Hamzah untuk menghadapi musuh. Cara berpakaian sebagai wira Islamnya pernah dikagumi oleh Raja Syamsul dan Raja Nusyirwan.
Seterusnya perbandingan dapat dilihat dari segi courage and endurance, iaitu bagaimana cara wira-wira membela bangsa mereka dalam apa jua keadaan pun dan bagaimana mereka sering dipandang tinggi sebagai wira. Sumber penghormatan pada Hang Tuah ialah ketaatan yang tidak berbelah bahagi raja. Malah dikatakan dalam Hikayat Hang Tuah bahawa Hang Tuah tidak mempunyai masa untuk dirinya ataupun untuk keluarganya sendiri. Dirinya sendiri tidak penting sama sekali. Rasa kasih dan persahabatan terhadap Jebat disingkirkan demi rasa tanggungjawab dan taat setianya kepada raja. Begitu juga dengan penculikan Tun Teja. Sebagai hulubalang Hang Tuah juga merasa bertanggungjawab terhadap maruah tuannya, ketika Tun Bijaya Sura dan Tun Utama gagal meminang Tun Teja, dia ikut rasa kecewa. Selain itu dia juga sanggup menanggung keaiban apabila difitnah oleh Pateh Karma Wijaya bahawa Hang Tuah menyalahgunakan kuasa di istana Sultan Melaka. Kerana ketaatan itulah maka Hang Tuah tidak berdendam kepada raja malah mempunyai keinginan untuk menolong raja. Manakala dalam Hikayat Amir Hamzah pula, Amir Hamzah sanggup menghadapi pihak musuh walaupun kedua-dua matanya buta. Semangat keperwiraan tetap terserlah kerana tujuan utama ialah membela negeri Arab daripada serangan Raja Nusyirwan. Di sinilah Amir Hamzah mendapat penghormatan yang tinggi daripada pembaca Kata Amir Hamzah,
“Apa bicara kita sekalian, akan kaum kafir itu sudah memalu genderang parang, jika tiada kita keluar, bukanlah laki- laki kita namanya. Pada bicaraku bangkitlah kamu sekalian, pakai segala senjata, supaya kita pergi perang dengan kafir itu……Apabila dilihat oleh raja Nursyirwan segala pahlawan dan askar Arab iti, maka katanya “Hei Masyruk, manatah kata engkau segala pahlawan Arab itu semuanya habis buta? Sekarang mengapa meraka itu ke medan hendak melawan kita berperang?”(ibid : 540)
Semangat peperangan Amir Hamzah dan pasukannya akhirnya menyebabkan mereka berjaya dalam peperangan tersebut. Kutipan ini jelas menunjukkan semangat pembelaan pada negerinya sendiri dan sanggup mempertahankan negerinya dalam apa jua keadaan walaupun matanya buta sekalipun.

Perbandingan yang terakhir ialah legistimacy of mission iaitu misi dalam perjuangan wira dalam epic ini. Misi dalam kedua-dua epik ini amat jelas iaitu Hang Tuah ingin membela meruah raja Manakala Amir Hamzah pula ingin membela diri sendiri dan agama. Dalam Amir Hamzah misi itu disampaikan dalam pelbagai cara, salah satunya ialah mengingatkan seseorang tentang kesalahan dirinya supaya ini tidak menjadi ikutan kepada generasi akan datang. Dalam Amir Hamzah terdapat dua firman Allah yang membetulkan sikap manusia yang tidak sepatutnya. Apabila Amir Hamzah telah dibunuh oleh Raja Lahad. Apabila Nabi Allah ingin membalas dendam Raja Lahad maka datanglah Jibril membawa firman Allah subhanahu wa taala seperti berikut:
Jangan kamu sangka yang mati pada perang Sabilullah itu, tetapi hidup di hadapan hadrat Allah, mereka itu beroleh untung”. Maksudnya “jangan kamu sangka mereka yang terbunuh di jalan Allah itu mati sia-sia, bahkan mereka itu hidup di sisi Tuhan diberikan rezeki”. (ibid : 710)

Selain itu peristiwa Raja Lahad diislamkan oleh Nabi Allah juga menunjukkan pengarang Hikayat Amir Hamzah ingin menegakkan dan mensyiarkan Islam. Struktur penceritaan epic Hikayat Amir Hamzah dan Hikayat Hang Tuah sering menekankan peringatan tersebut pencerita inginkan kita mengambil iktibar atau teladan. Dalam beberapa tindakan Hang Tuah, agak jelas bahawa misinya tidak lain daripada manfaat yang akan diperoleh oleh Melaka amnya dan sultan khususnya. Dalam episod penculikan Tun Teja dari Inderapura, jalas sekali betapa Hang Tuah tidak mengambil kira perasaan dan perikemanusiaan. Apabila tunang Tun Teja,(=Megat Panji Alam) ingin mendapatkan haknya itu, Hang Tuah menentangnya dan membunuhnya. Hang Jebat dibunuh oleh Hang Tuah hanya kerana mempertingkatkan martabat raja-raja iaitu sebagai rakyat kita tidak boleh menderhaka raja. Kedua-dua peristiwa ini seolah-olah dilakukan untuk membela raja dan melindungi raja daripada mendapat aibnya.

No comments:

Post a Comment