Saturday, 4 July 2015

Hikayat Hang Tuah sebagai Epik


Hikayat Hang Tuah adalah sebuah epik bersifat kebangsaan. Hikayat ini menonjolkan keperwiraan Hang Tuah sebagai wira Melayu dalam kerajaan Melayu pada zaman feudal. Hikayat ini bukan sahaja merupakan hikayat yang meriwayatkan hidup seorang pahlawan Melayu malah telah menyanjung tinggi tokoh Hang Tuah sebagai lambang keagungan dan kemudian kemerosotan bangsa Melayu. Dalam Hikayat Hang Tuah dikisahkan juga kepahlawanan Hang Tuah muncul dan meningkat bersama-sama Melaka. Apabila Hang Tuah telah uzur dan sakit, Melaka juga turut lemah. Satu kelebihan epik ini ialah pada akhir cerita Hang Tuah tidak ‘dimatilkan’ oleh pengarang, sebaliknya Hang Tuah akan kembali untuk membela nasib bangsa Melayu pada satu hari nanti. Penghilangan dirinya telah menyebabkan Feringgi dengan mudah menakluki Melaka. Hikayat Hang Tuah memperlihatkan sejarah bangsa Melayu secara tersirat. Hikayat Hang Tuah bukan sekadar mencatatkan cerita –cerita sebaliknya menggambarkan kebenaran sejarah dan kebenaran sejarah itu dikaitkan dengan lambang kebanggaan, kekuatan dan kebesaran bangsa Melayu. Boleh dikatakan epik ini epic rakyat kerana perjuangan yang dilukiskan di dalamnya adalah perjuangan seorang rakyat biasa dan perjuangan tersebut adalah membela nasib rakyat jelata Melayu yang amat daif pada ketika itu. Di samping itu digambarkan juga ketaatan dan kesetiaan Hang Tuah yang tidak berbelah bahagi kepada sistem monarki.(=institusi raja ). Sifat- sifat gagah berani Hang Tuah diimprovisasi dengan unsur-unsur keluarbiasaan. Dan ini telah menyebabkan Hang Tuah mudah menghadapi apa jua aral melintang. Kegagahan Hang Tuanh memang terserlah sejak beliau masih kecil lagi. Walaupun tidak disebut tentang kelahiran Hang Tuah tetapi beliau sudahpun menjadi anak muda ketika namanya disebut dalam epik ini.Tanda yang menunjukkan beliau menjadi seorang anggota yang agung pada masa hadapan telah muncul dalam mimpi ayahandanya pada malam sebelum keluarga itu berpindah dari Sungai Duyung ke Bentan. Hang Mahmud bermimpi bahawa bulan jatuh dari langit dan semua cahayanya menerangi kepala Hang Tuah. Watak serta perwatakan Hang Tuah hanya bermula di Bentan. Antara mereka yang menyaksikan peristiwa Hang Tuah membunuh seorang yang megamuk berkata:
“sesunguhnya budak inilah akan menjadi hulubalang besar pada Tanah Melayu ini”(Kassim Ahmad 1964:29). Beliau membunuh lanun-lanun di laut, membunuh orang yang mengamuk dan juga pernah menyelamatkan bendahara daripada dibunuh oleh orang yang mengamuk tersebut. Apabila menjadi hulubalang, beliau dengan berkat kesaktian yang dimilikinya menewaskan musuh-musuh yang handal. Antaranya beliau pernah menukar rupa menjadi harimau semasa menentang Seri Winara dan Marga Paksi. Satu lagi lambang kesaktiannya ialah keris Taming Sari, sebilah keris di mana jika dihunus sahaja maka musuh boleh tumbang. Lambang ini sangat penting dan menjadi motif Hikayat Hang Tuah. Apabila keris itu sudah dirampas oleh seekor buaya putih, maka hilanglah kekuatan dan kesaktian Hang Tuah. Dalam misi-misinya ke beberapa tempat seperti Majapahit, Siam, China, India, Arab dam Rom, Hang Tuah telah memperlihatkan kelebihan dirinya berbanding orang di tempat yang dilawatinya. Antaranya ialah cara bercakapnya, bersopan santun, menguasai bahasa negeri yang dilawati serta berdiplomasi apabila berhubung dengan sesebuah negeri. Apabila memulakan perkhidmatannya di istana raja, seorang pelawat istana dari negeri asing telah dapat melihat ciri-ciri positif yang dimiliki oleh Hang Tuah ini. Memandangkan kecemerlangan dalam tugas serta keperibadiannya yang baik itu maka pelawat itu mengatakan:
“Apa juga asalnya, bentara kiri ini tidak patut dijadikan bentara, hulubalang juga layaknya. Pada

penglihatanku ini akan bergelar laksamana juga akhirnya, kerana orang bijaksana”(ibid :76)

Sebagai sebuah epik, Hikayat Hang Tuah meneguhkan lagi kedaulatan raja-raja, sistem feudalisme Melayu dan menguatkan lagi sifat taat setia rakyat kepada rajanya.

No comments:

Post a Comment