Pendahuluan
Pada masa ini, penggunaan laman sosial melalui internet
amat popular di Malaysia. Laman sosial seperti “Facebook”, “My Space”,
“Frienster”, “Twitter” dan sebagainya mendapat perhatian masyarakat di negara
ini terutamanya golongan remaja. Laman sesawang rangkaian sosial tersebut telah
menjadi satu trend dalam kehidupan masyarakat masa kini. Remaja kini telah
menjadikan penggunaan laman sosial di internet ini sebagai medium untuk mengisi
kekosongan waktu mereka. Hal ini disebabkan oleh aplikasi yang terdapat di
laman sosial yang canggih dapat menarik perhatian masyarakat di Malaysia.
Secara tidak langsung, penggunaan laman sosial ini telah memberikan kesan
positif dan negatif terhadap gaya hidup para remaja.
Kebaikan
Isi Pertama :
Isi Pertama :
Sebagaimana yang kita ketahui,penggunaan laman sosial dapat menambah kenalan yang baru di samping hubungan yang telah lama
terputus dapat dieratkan semula. Apabila seseorang
itu telah menamatkan sesuatu pengajian di sekolah menyebabkan mereka telah
terputus hubungan antara satu sama lain. Laman sosial ini digunakan sebagai
suatu medium utama untuk mencari kenalan lama yang telah terputus. Mereka dapat
mengetahui kerjaya yang telah diceburi oleh rakan dan dapat berinterasi antara
satu sama lain. Gambar yang telah diletakkan di dalam profil juga boleh dilihat
dan dikomen oleh semua rakan. Mereka juga dapat menyampaikan maklumat seperti
mengadakan satu perjumpaan di sesuatu tempat dengan mengumpulkan guru-guru dan
rakan-rakan. Perkara ini menjadi mudah kerana dapat menjimatkan masa dan tenaga
dengan cara menggunakan kemudahan yang sedia ada. Jadi jelaslah bahawa
penggunaan laman sesawang sosial boleh menambahkan kenalan yang baru.
Isi
Kedua :
Selain
itu,ramai remaja juga menghabiskan masa mereka dengan laman sosial. Dengan
adanya laman sesawang sosial, mereka dapat
mengisi masa lapang mereka dengan melayari facebook. Bagi mereka yang bijak, di samping mengisi masa lapang ada
antara mereka membuat bisnes dan membuat promosi melalui laman sesawang sosial
seperti Facebook dan Twitter. Mereka juga dapat menjadikan laman sesawang
sosial tersebut sebagai alternatif untuk menambahkan pendapatan bulanan mereka.
Orang ramai boleh membeli dengan mengklik di laman sesawang dan barangan
tersebut akan dihantar melalui pos laju. Siapa sahaja yang berminat untuk
membeli barangan tersebut hanya membayar dengan memasukan wang ke dalam bank
yang telah ditetapkan oleh penjual. Oleh itu, medium ini dapat menjimatkan masa
dan tidak perlu bersesak-sesak di pusat membeli belah untuk membeli sesuatu
barangan.
Keburukan
Isi
Pertama :
Penggunaan
laman sosial bukan sahaja mendatangkan kesan yang positif malah mendatangkan
kesan negatif iaitu penggunaan laman sosial melalui internet menyebabkan berlakunya banyak penipuan atau pemalsuan. Hal ini demikian kerana, terdapat banyak kes penipuan yang
berlaku terutamanya dalam kalangan remaja perempuan. Perkara ini disebabkan
oleh mereka yang baru dikenalinya melalui laman sosial. Mereka biasanya akan
mengikut semua kemahuan yang diminta oleh rakan dalam laman sosial tersebut.
Sebagai contohnya, perkara ini berlaku apabila pasangan dalam laman sosial menghantar
sistem pesanan ringkas(sms) untuk membuat temu janji dengan menyatakan tempat
dan masanya. Seterusnya, remaja perempuan tersebut akan pergi ke tempat yang
telah dinyatakan tanpa berfikir panjang. Namun demikian, setibanya di tempat
yang dinyatakan oleh kenalan laman sosial itu, mereka mungkin ditipu dan ada
juga yang telah menjadi mangsa rogol.
Isi
Kedua :
Selain
itu,penggunaan laman sosial menyebabkan golongan remaja menjadi lalai dalam melakukan sesuatu tugasan. Kepelbagaian aplikasi yang menarik seperti permainan yang
terdapat dalam laman sosial mampu menarik minat pengguna laman sosial tersebut.
Hal ini menyebabkan pengguna akan berasa seronok sehingga leka dan lalai untuk
menyempurnakan urusan mereka. Tambahan pula, penggunaan laman sosial juga
memberikan kesan kepada prestasi pelajaran dalam kalangan remaja. Hal ini akan
menyebabkan mereka mengabaikan pelajaran kerana tiada masa yang diperuntuk
untuk mengulang kaji pelajaran.Apabila berlangsungnya sesuatu peperiksaan
markah yang diperolehi merosot dari peperiksaan sebelum ini menyebabkan mereka
tercari-cari kesilapan yang telah dilakukan untuk diperbetulkan. Golongan
pelajar yang menjadi tunjang kecemerlangan negara tidak dapat dilahirkan ekoran
penggunaannya yang melalaikan masyarakat. Oleh itu, penggunaan laman
menyebabkan seseorang itu membazir masa.
Penutup
Kesimpulannya,
penggunaan laman sosial ini mendatangkan pelbagai kebaikan dan keburukan kepada
golongan remaja. Namun impak negatif yang wujud harus diberi perhatian yang
serius oleh pihak berkuasa untuk mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap
laman sesawang sosial yang tidak bertanggungjawab. Sebagai manusia yang berakal
pastinya kita perlu menangkis setiap perkara yang buruk. Pepatah ada mengatakan
bahawa “mencegah itu lebih baik daripada mengubati".
Dari
blog: http://cikgukarizam.blogspot.my/
No comments:
Post a Comment