Saturday, 4 July 2015

Info Epik

Genre sastera dapat dibahagikan kepada tiga bahagian utama iaitu drama, epik dan lirik. Epik adalah puisi naratif yang panjang dan berbentuk ucapan yang tulen. Epik lebih panjang daripada drama. Bagaimanapun epik kurang kemas strukturnya kerana panjang serta ceritanya pula lebih bersifat peristiwa. Epik kepahlawanan (disebut EK) ialah sebuah epik yang mana unsur-unsur di dalamnya merupakan kisah-kisah keberanian dan kepahlawanan tokoh-tokoh wira manusia yang termahsyur. Menurut Koster, EK ialah suatu naratif tentang perbuatan agung dan gemilang yang dilakukan oleh pahlawan-pahlawan pada suatu masa dahulu kala. Tambah beliau, EK disampaikan secara lisan oleh pencerita ataupun disampaikan secara bertulis tetapi seolah-olah disampaikan oleh pencerita lisan. (Koster, 1995:25). Malah peranan dewa-dewa juga diselitkan dalam cerita ini. Kisah-kisah ini diberi kepentingan yang luas ertinya sehingga melibatkan seluruh tamadun manusia. EK sering mengambil bahannya dari sejarah dan mitos. Mitos lebih bersifat rohaniah dan berhubung dengan pandangan masyarakat pada satu-satu ketika. Penciptaannya bukanlah sejenis dongengan tetapi di dalamnya terdapat “suara” untuk memohon restu daripada dewa. (Danziger, 1993:109)
EK sebagai puisi naratif mempunyai tema dan gaya yang agak berlainan. Epik berkaitan dengan peristiwa-peristiwa legenda dan sejarah untuk membentuk satu signifikan (=makna baru) kepada sesebuah bangsa, negara mahupun kepada universal. Secara amnya epik merangkumi beberapa elemen seperti mengemukakan kuasa-kuasa luar biasa yang membentuk setiap aksi atau perlakuan seseorang protogonis dan antogonis dalam cerita. Selain itu, terdapat juga konflik-konflik tertentu yang menyebabkan peperangan berlaku. Selain itu, penyataan temanya cukup jelas dan ujaran-ujaran yang digunakan oleh watak adalah lebih memberangsangkan atau melebih-lebihkan sesuatu suasana. EK ini menekankan sifat-sifat keunggulan sesebuah negara pada sesuatu signifikan masa dalam sejarah.
Perwatakan wira dalam EK lebih bersifat kenegaraan berbanding keindividuan seperti dalam cerita romans. Setiap perlakuan watak itu menunjukkan kebanggaan negara atau sesuatu bangsa. Pada masa yang lain, epik ini mensintesiskan keunggulan agama-agama terbesar atau pergerakan budaya sesuatu bangsa. Epik ini dibentuk daripada tradisi lisan. Hal ini termasuklah Anglo-Saxon Beowulf (kurun ke-8), Epik India iaitu Mahabarata (300 sebelum masihi dan 300 selepas masihi serta Ramayana (300 sebelum masihi). Kesusasteraan EK ini adalah ciptaan penyair-penyair yang terkenal yang pernah bekerja atau berkhidmat kepada mana-mana bentuk pengiktirafan seperti istana dan sebagainya. Kesusasteraan epik ini berhubung kait dengan tradisi, mitos, dan sejarah sesebuah negara atau tamadun.
Dalam EK perbuatan hebat dipanjang-panjangkan. Epik mempunyai kata-kata yang gemilang dan diceritakan dengan menggunakan acuan yang sama. Hal ini kerana pencerita sudahpun menghafal acuan (=pola-pola penceritaan). Beliau tidak menghafal keseluruhan cerita tetapi cuma ingat pola-pola ceritanya sahaja. Epik sebenarnya dimonopoli oleh dunia lelaki contohnya dalam epik Hikayat Hang Tuah, dan epik Syair Perang Mengkasar. Bagi Mahabarata dan Ramayana walaupun dunia lelaki lebih dominan tetapi terdapat juga watak wanita yang tidak kurang penting. Contohnya dalam Mahabarata, ada episod peperangan antara Pandawa dengan Korawa kerana isteri kelima adik beradik Pandawa iaitu Draupadi ingin diberkas oleh Korawa. Dalam Ramayana pula, episod pengembaraan Sita Dewi berlaku kerana ketidakpercayaan Rama terhadap kesucian isterinya. Dalam kebanyakan epik kuasa luar biasa termasuk kuasa Dewata adalah sangat penting. Kuasa ini bukan sekadar menasihati wira malah membantu wira dalam menyelesaikan sesuatu masalah.
Dalam EK, wira digambarkan sebagai seorang yang bercakap besar dan percakapan besar itu mesti dituruti olehnya. Jika tidak dia akan dikatakan sombong dan angkuh. Setiap permulaan epik, wira dikaitkan dengan kelahiran yang amat istimewa atau unggul. Biasanya kesemua cerita epik berkisar pada bangsawan atau orang-orang istana. Percakapan besar ini dikaitkan dengan keberanian watak. Ada kalanya seseorang watak itu mati kerana keterlaluan dalam menunjukkan keberaniannya. Lagi pun dia berasa malu jika dia minta sebarang bantuan daripada orang lain. Seboleh-bolehnya dia mengatasi sendiri sesuatu masalah walaupun dia tahu bahawa dia tidak mampu melakukannya.
Struktur penceritaan EK lebih menekankan kata dan makna. Setiap perkataan yang diujarkan oleh wira bukanlah sesuatu yang sia-sia, sebaliknya berisi dan bermakna. Dalam epic, wira tidak akan menggunakan kata-kata ujarannya dengan membazirkan begitu sahaja. Setiap perkataan yang dilafazkan ada makna dan kata-katanya itu biasanya dikotakan, bukan sekadar cakap angin sahaja. Akan tetapi dalam penggunaan kata-kata itu, terdapat juga puji-pujian. Sebenarnya puji-pujian ini adalah untuk “mengingatkan” atau memberi pengajaran kepada pembaca. Daripada pengingatan tersebut pencerita inginkan kita mengambil teladan. Kebanyakan EK bertujuan menyampaikan ingatan atau teladan kepada kita. Dalam epik, penerusan ingatan adalah satu sumber kebanggaan. Sumber kebanggaan itu berdasarkan keturunan yang gilang gemilang.
Begitu juga apabila kita membicarakan epik, kita tidak dapat melarikan diri daripada konfllik. Konflik yang berlaku antara pihak yang berhak dengan pihak yang merampas hak itulah akan menjadi tonggak penceritaan dalam EK. Contohnya epik Mahabarata itu sendiri ditulis berdasarkan konflik tersebut: iaitu pihak Korawa ingin merampas kuasa atau hak yang sepatutnya dimiliki oleh pihak Pandawa. Unsur pengingatan yang terdapat di sini ialah sesuatu konflik dalam epik yang diasaskan oleh dua perkara pokok iaitu Hukum(=Law) dan keinginan (desire). Boleh dikatakan dalam semua epik, semua konflik yang digambarkan adalah berpunca daripada dua perkara pokok ini. Pihak yang merampas hak seseorang itu lalai atau alpa akan hukum (=undang-undang) yang telah ditetapkan sama ada oleh agamawi ataupun duniawai. Biasanya si pelupa hukum ini melakukan sesuatu mengikut hawa nafsunya sahaja tanpa memikirkan risikonya. Bagaimanapun dalam bahagian peleraian EK ini, sentiasa digambarkan poetic justice iaitu mereka yang gagal ingat akan hukum-hukum ini, akan mendapat ganjaran yang setimpal. Menurut Koster, orang-orang yang mematuhi hukum akan menerima ganjaran yang baik, dan yang melanggarnya dihukum. (Koster,1994:1). Begitu juga dalam epik. Jika seseorang watak itu bercakap besar, bersombong atau berpura-pura, maka kepura-puraan, kesombongan dan percakapan besarnya itu dihukum.

Satu lagi ciri yang menonjol dalam EK ialah peperangan yang digambarkan dalam EK selalunya tidaklah ‘fair play’. Hal ini bermaksud tentu ada permainan kotor atau peperangan kotor. Ini dilakukan dengan penipuan, pembohongan dan pengkhianatan sama ada oleh protoganis atau antoganis. Hal ini disebabkan oleh dua faktor. Yang pertama pencerita ingin ‘mengingatkan’ kepada pembaca bahawa untuk menegakkan keadilan, kita boleh melakukan pengkhianatan ini. Unsur ini dilakukan oleh pasukan wira. Manakala pengkhianatan dengan tujuan jahat untuk merampas hak seseorang itu pula dilakukan oleh pasukan jahat dan sekutunya.

No comments:

Post a Comment