Apakah yang dimaksudkan dengan Dasar Luar Negara? Dasar luar
Negara bermaksud dasar kerajaan terhadap negara-negara lain. Negara juga
boleh diibaratkan sebagai seorang manusia. Oleh itu, sesebuah negara
perlulah menjaga keselamatannya. Kita semua ingin menjalankan tugas rutin
harian tanpa diganggu atau diancam oleh pihak-pihak tertentu. Begitu
juga sesebuah negara perlu mengekalkan kedaulatannya serta menjamin
keselamatannya daripada serangan musuh. Hal ini lebih diutamakan bagi
sesebuah negara yang kecil seperti Malaysia.
Kadangkala negara-negara kecil ini terpaksa mencari perlindungan
daripada kuasa-kuasa besar, atau bekerjasama dengan negara lain untuk
mempertahankan kepentingan bersama. Keperluan asas negara yang berikutnya
ialah mencari sumber pendapatan. Berdasarkan hal ini, sesebuah negara
perlulah menjamin kepentingan ekonomi perdagangan yang menjadi
punca pendapatannya.
Negara-negara yang bergantung kepada perdagangan tentu akan
memelihara hubungan yang baik dengan negara-negara lain bagi memasarkan
barangannya atau bagi mendapatkan bahan mentah yang diperlukannya. Oleh
itu, sekiranya kita ingin memahami dasar luar sesebuah negara, kita mesti
mengetahui keperluan asas negara itu dari segi keselamatan ekonomi
dan politik. Di samping itu pula, kita mesti mengetahui tentang latar
belakang sejarah dan kebudayaan masyarakat tersebut.
DEFINISI DASAR LUAR NEGARA
Dasar luar dapat didefinisikan sebagai matlamat, rancangan dan
tindakan yang dijalankan oleh sesebuah negara dalam usaha untuk berhubung
dengan sesebuah negara yang lain dalam pengertian yang terhad, dasar luar
negara hanya mementingkan aspek tindakan yang diambil oleh sesebuah negara
bagi mempengaruhi keadaan-keadaan yang berada di luar bidang kuasanya.
Bagi menjaga kepentingan, keamanan dan keselamatan sesebuah negara,
hubungan di antara sebuah negara dengan sesebuah negara yang lain adalah
perlu dan penting. Hal ini demikian kerana kebanyakan negara bergantung
antara satu sama lain dalam pelbagai aspek seperti politik, ekonomi,
teknologi dan keselamatan. Negara maju perlu mengadakan hubungan dengan
negara membangun khususnya dalam bidang perdagangan.
OBJEKTIF-OBJEKTIF UTAMA DASAR LUAR MALAYSIA
Objektif asas dan utama Dasar Luar Malaysia adalah bertujuan
untuk melindungi kepentingan nasional di arena antarabangsa sekaligus di
pentas dunia. Menurut pernyataan mantan Menteri Luar Negeri, Dato’ Seri Syed
Hamid Albar, antara objektif-objektif paling utama dasar luar negara
Malaysia adalah menjaga, mempertahankan dan memajukan
kepentingan-kepentingan Malaysia di peringkat global. Selain itu, dasar
ini turut menjaga dan mempertahankan kemerdekaan, kedaulatan dan
keselamatan Malaysia seterusnya mempertahankan prinsip menghormati
kemerdekaan dan kedaulatan sesebuah wilayah melalui dasar tidak
campur tangan dalam hal ehwal dan masalah dalaman negara lain. Tambahan
lagi, objektif seterusnya adalah untuk menangani perkembangan dan cabaran
politik, ekonomi, keselamatan dan sosial di pentas dunia. Dasar ini juga
dapat memupuk hubungan baik serta dapat mengeratkan kerjasama dengan
negar-negara lain. Selain itu, pendirian serta kepentingan negara-negara membangun
dapat dipertahankan di peringkat antarabangsa.
PRINSIP DASAR LUAR MALAYSIA
Salah satu prinsip Malaysia ialah ′menyelesaikan masalah
menerusi rundingan’. Malaysia mengamalkan prinsip pendekatan berbaik-baik
dengan negara-negara lain di samping bersedia menjalinkan hubungan
diplomatik dengan mana-mana negara yang sudi bekerjasama dengan negara.
Malaysia memilih untuk menyelesaikan masalah antara negara lain
melalui perundingan atau meja bulat dan menolak sekeras kerasnya
pendebataan apatah lagi secara kekerasan dan paksaan.Seterusnya, Malaysia
mengamalkan prinsip hidup bersama secara aman dan harmoni. Malaysia
sentiasa memperjuangkan hak untuk setiap negara supaya menyelesaikan
masalah dalamannya tanpa campur tangan dari pihak luar. Di samping itu, Malaysia
yakin bahawa setiap rakyat di setiap negara tahu apa yang terbaik untuk
negara mereka dan lebih memahami apa yang diperlukan. Oleh itu, Malaysia
menyokong secara tidak langsung perjuangan-perjuangan Pertubuhan
Pembebasan Palestin, Kerajaan Campuran Demokratik Kampuchea dan
pejuang-pejuang Mujahidin Afghanistan.
(Sumber: Kementerian Luar Negeri)
No comments:
Post a Comment