Epik sebagai puisi naratif mempunyai tema dan gaya yang agak
berlainan. Epik berkaitan dengan peristiwa-peristiwa legenda dan sejarah untuk
membentuk satu signifikan (=makna baru) kepada sesebuah bangsa, negara mahupun
kepada universal. Secara amnya epik merangkumi beberapa elemen seperti
mengemukakan kuasa-kuasa luar biasa yang membentuk setiap aksi atau perlakuan
seseorang protoganis atau antoganis dalam cerita.Selain itu terdapat
konflik-konflik tertentu yang menyebabkan peperangan berlaku.Dalam epik; penyataan
tema serta motif(=tema kecil) cukup jelas dan ujaran-ujaran yang digunakan oleh
watak adalah lebih memberangsangkan atau melebih-lebihkan sesuatu suasana. Epik
menekankan sifat-sifat keunggulan sesebuah negara pada sesuatu signifikan masa
dalam sejarah.
Perwatakan wira dalam epik lebih bersifat kenegaraan
berbanding dengan bersifat lebih individu seperti dalam cerita romans. Setiap
perlakuan watak itu menunjukkan kebanggaan negara atau sesuatu bangsa.Pada masa
yang lain, epik ini mensintesiskan keunggulan agama-agama terbesar atau
pergerakan budaya sesuatu bangsa.Epik ini dibentuk daripada tradisi lisan.Ini
termasuklah Anglo-Saxon Beowulf (kurun ke-8),Epik India iaitu Mahabarata (300
sebelum masihi dan 300 selepas masihi serta
Ramayana (300 sebelum masihi).(Cuddon;1982:225).Kesusasteraan
epik ini adalah ciptaan penyair-penyair yang terkenal yang pernah bekerja atau
berkhidmat kepada mana-mana institusi yang established seperti istana dan
sebagainya. Contohnya Hikayat Hang Tuah lahir dalam situasi kesultanan Melayu
Melaka. Kesusasteraan epik ini berhubung kait dengan tradisi, mitos dan sejarah
sesebuah negara atau tamadun.
Dalam epik perbuatan hebat seseorang wira
dipanjang-panjangkan. Epik mempunyai kata-kata gemilang dan diceritakan dengan
menggunakan acuan yang sama. Hal ini kerana pencerita sudahpun menghafal acuan
(=pola-pola penceritaan). Dia tidak menghafal keseluruhan cerita tetapi cuma
ingat pola-pola ceritanya sahaja. Epik sebenarnya dimonopoli oleh dunia lelaki
contohnya dalam epik Hikayat Hang Tuah, dan epik Syair Perang Mengkasar, dan
epik Hikayat Amir Hamzah. Bagi Mahabarata dan
Ramayana walaupun dunia lelaki lebih dominan tetapi terdapat
juga watak wanita yang tidak kurang penting. Dalam kebanyakan epik, kuasa luar
biasa termasuk kuasa Dewata adalah sangat penting. Kuasa ini bukan sekadar
menasihati wira malah membentuk wira dalam menyelesaikan sesuatu masalah.
Dalam epik, wira digambarkan sebagai seorang yang bercakap
besar dan percakapan besar itu mesti dituruti olehnya. Jika tidak dia akan
dikatakan sombong dan angkuh. Pada setiap permulaan epik, wira dikaitkan dengan
kelahiran yang amat istimewa atau unggul. Biasanya, kesemua cerita epik
berkisar pada bangsawan atau orang-orang istana. Bagaimanapun dalam Hikayat
Hang Tuah dan Hikayat Amir Hamzah, wira adalah daripada rakyat jelata.
Percakapan besar ini dikaitkan dengan keberanian watak. Ada kalanya seseorang
watak itu mati kerana keterlaluan dalam menunjukkan keberaniannya. Lagipun dia
berasa malu jika dia minta sebarang bantuan daripada orang lain.
Seboleh-bolehnya dia mengatasi sendiri sesuatu masalah walaupun dia tahu bahawa
dia tidak mampu melakukannya.
Struktur penceritaan epik lebih menekankan kata dan makna.
Setiap perkataan yang diujarkan oleh wira bukanlah sesuatu yang sia-sia, sebaliknya
berisi dan bermakna. Dalam epik, wira tidak akan Menggunakan kata-kata
ujarannya dengan membazirkan begitu sahaja. Setiap perkataan yang dilafazkan
ada makna dan kata-katanya itu biasanya dikotakan, bukan sekadar cakap angin
sahaja. Akan tetapi dalam atau penggunaan kata-kata itu, terdapat juga
puji-pujian. Sebenarnya puji-pujian ini adalah untuk “mengingati” atau memberi
pengajaran kepada pembaca. Daripada pengingatan tersebut pencerita inginkan
kita mengambil teladan. Kebanyakan epik bertujuan menyampaikan ingatan atau
teladan kepada kita. Dalam epik, penerusan ingatan adalah satu sumber
kebanggaan. Sumber kebanggaan itu berdasarkan keturunan yang gilang gemilang.
Apabila membicarakan epik, kita tidak dapat melarikan diri daripada konflik.
Setiap konflik yang digambarkan oleh pengarang pasti ada
jalan penyelesaiannya. Konflik ini seolah-olah berlaku antara pihak yang berhak
dengan pihak yang merampas hak. Inilah yang menjadi tonggak penceritaan dalam
epik. Unsur pengingatan yang terdapat di sini ialah sesuatu konflik dalam epik
yang diasaskan oleh dua perkara pokok iaitu Hukum (=Law) dan keinginan
(=Desire). Boleh dikatakan dalam semua epik, semua konflik digambarkan berpunca
daripda dua perkara pokok ini. Pihak yang merampas hak seseorang itu lalai atau
alpa akan hukum (=undang-undang) yang telah ditetapkan sama ada oleh agamawi
ataupun duniawai. Biasanya si pelupa hukum ini melakukan sesuatu mengikut hawa
nafsunya sahaja tanpa memikirkan risikonya. Bagaimanapun dalam bahagian
peleraian epik ini, sentiasa digambarkan poetic justice iaitu mereka yang gagal
ingat hukum-hukum ini akan mendapat ganjaran yang setimpal. Menutrut Koster,
“orang-orang yang mematuhi hukum menerima ganjaran,yang baik, dan yang
melanggarnya dihukum.” (Konster,1994 :1). Begitu juga dalam epik. Jika
seseorang watak itu bercakap besar, bersombong atau berpura-pura, maka
kepura-puraan, kesombongan dan percakapan besarnya itu dihukum.
Satu lagi elemen yang menonjol dalam epik ini ialah
peperangan. Peperangan yang digambarkan dalam epik selalunya tidaklah ‘fair
play’ . Ini bermaksud tentu ada permainan kotor atau peperangan kotor . Ini
dilakukan dengan penipuan, pembohongan dan pengkhianatan sama ada oleh
protoganis atau antoganis. Hal ini disebabkan oleh dua faktor. Yang pertama pencerita
ingin ‘meningatkan’ kepada pembaca bahawa untuk menegakkan keadilan maka kita
boleh melakukan pengkhianatan ini. Unsur ini dilakukan oleh pasukan wira.
Manakala pengkhianatan dengan tujuan jahat untuk merampas hak seseorang itu
pula dilakukan oleh pasukan jahat dan sekutunya. Mengikut Thrall, Aibbard dan
Holman, ciri-ciri sebuah epik hendaklah mematuhi beberapa prinsip seperti
berikut:
i) wira mempunyai sifat-sifat kepewiraan penting bagi bangsa
atau antarabangsa atau istimewa dari sudut sejarah atau legenda.
ii)latarnya luas meliputi berbagai negara besar atau alam
luas.
iii)mngandungi aksi-aksi berupa perjuangan penuh
ketangkasan, kekuatan, dan kepintaran yang memerlukan kekuatan manusia luar
biasa.
iv)memperlihatkan kuasa supernatural (ghaib/luar biasa)
dewa-dewa, mambang dan malaikat yang mengambil peranan dan sekali sekala masuk
campur dalam hal-ehwal cerita.
v)stail penceritaan yang halus dan mudah
vi)penyair atau pengarang epik menggambarkan perjuangan wira
dengan penuh objektif
(dalam Ali Ahmad,1995:29)
No comments:
Post a Comment