Sunday, 23 October 2016

Nasionalisme

Istilah nasionalisme  berbeza dengan patriotisme. Patriotisme merupakan perasaan taat setia dan mempunyai ''sense of belonging'' yang mendalam kepada negara. Nasionalisme merujuk kepada perasaan patriotisme yang kemudiannya bertukar menjadi satu sentimen yang lebih radikal dan bersifat imperialisme. Propaganda nasionalisme inilah yang sering diuar-uarkan semasa zaman Perang Dunia Kedua oleh Adolf Hitler (Jerman), Josef Stalin (Russia) dan Hirohito (Jepun). Pada masa ini, nasionalisme sering digunakan bagi membangkitkan sentimen perkauman dan agama bagi menutup kelemahan kerajaan pemerintah, sebagaimana yang dilakukan oleh sesetengah negara.
Baru-baru ini bekas Perdana Menteri Itali Enrico Letta memberi amaran bahawa trend kebangkitan nasionalisme di Eropah, yang juga berlaku di Asia, boleh membawa kesan negatif yang akan menyebabkan masalah  pada masa-masa akan datang. Beliau berpendapat rasa nasionalisme adalah perasaan yang buruk yang pernah dialami mereka pada hari ini.  
Nasionalisme jika tidak dikawal boleh menjadi satu halangan kepada integrasi serantau. Hal ini kini berlaku di Eropah dan juga di Asia Tenggara. Letta menjelaskan bahawa kebangkitan nasionalisme berlaku apabila ahli-ahli politik yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan daripada keadaan ekonomi dan sosial yang makin teruk untuk kepentingan agenda politik mereka. Isu nasionalisme mula diperkatakan oleh masyarakat apabila meningkatnya  kadar pengangguran, ketegangan sosial dan kekurangan pertumbuhan ekonomi. Di Malaysia jika kerajaan gagal memantau tindak-tanduk ahli-ahli politik, maka mereka juga akan menggunakan nasionalisme sebagai satu medan untuk mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengundi khususnya dan kepada rakyat Malaysia amnya.


No comments:

Post a Comment